Sunday, 30 September 2012

MELAKUKAN AQIQAH DENGAN DUA EKOR KAMBING BERPERINGKAT

Soalan; Assalamualaikum, Akikah utk Baby lelaki. Boleh tak majlis akikah buat 2 Kali; Majlis akikah yg pertama seekor kambing, Majlis akikah yg ke 2 (Hari yg berbeza) seekor lagi kambing ...Atau 1 bahagian lembu. Terima kasih

Jawapan;

Aqiqah untuk anak lelaki disunatkan dua ekor kambing sebagaimana dalam hadis; “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (HR Imam Abu Daud dari Ummu Kurzi al-Ka'biyah RA. Sunan Abu Daud, 2834). Menurut ulamak mazhab Syafiie; harus dilakukan juga dengan dua tumpuk lembu. (lihat jawapan sebelum ini; Hukum Aqiqah dengan lembu).

Sebaik-baiknya dua ekor kambing (atau dua tompok) itu dilakukan bersama kerana dapat segera terhasil pahala beraqiqah dengan dua ekor kambing sebagaimana yang disunatkan oleh Nabi SAW bagi anak lelaki tadi. Namun jika hendak dilakukan seekor dulu, tidaklah dilarang kerana menurut ulamak; sekalipun aqiqah untuk anak lelaki digalakkan dua ekor kambing, namun jika dilakukan seekor sahaja ia adalah sah dan terhasil pahala aqiqah. Nabi SAW sendiri walaupun menggalakkan dua ekor, tetapi baginda hanya melakukan seekor sahaja untuk cucunya. Ibnu 'Abbas RA menceritakan; “Rasulullah SAW melakukan aqiqah bagi Hasan RA dan Husain RA dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (HR Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, 2841).


Apabila telah dilakukan seekor, kemudian dilakukan lagi seekor maka yang kedua dianggap penyempurnaan bagi aqiqah yang pertama, namun pahalanya tidak sama dengan yang pertama kerana ibadah aqiqah -apabila telah tiba waktunya- lagi segera/cepat dilaksanakan, lagi baik.

Masa terbaik melakukan Aqiqah ialah pada hari yang ke tujuh bayi dilahirkan (hari lahir dihitung sebagai hari pertama jika dilahirkan siang hari). Saidatina 'Aisyah RA menceritakn; “Nabi SAW melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni dicukur rambut mereka)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi. Lihat; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320).

Menurut ulamak; Jika tidak dapat dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).

Wallahu a'lam.

MONEY DROP & WHO WANTS O BE MILLIONAIRE

Soalan; Assalammuailakum Ustaz, saya ingin membuat pertanyaan, apakah hukum seseorang muslim itu jika dia menyertai  gameshow di TV seperti ¨money drop" dsn "who wants to be a millionaire"?

Jawapan;

1. Kuiz ilmiah yang menjanjikan hadiah perlu dilihat pada beberapa segi;

a) Dari mana sumber hadiah? Jika diambil dari para peserta yang memohon masuk -walau sebahagian dari hadiah yang ditawarkan- (seperti dikenakan ke atas permohonan masuk suatu bayaran tertentu dan bayaran itu dikumpulkan menjadi hadiah untuk peserta yang berjaya masuk dan berjaya menjawab soalan yang dikemukakan), maka itu tergolong dalam perjudian yang diharamkan Syariat. Jika hadiah datang dari pihak lain yang tiada kaitan dengan peserta (seperti dari penaja atau sebagainya), ia tidak menjadi perjudian dan halal bagi peserta yang berjaya dengan syarat syarikat penaja itu menjalankan aktiviti perniagaan yang halal. Jika hadiah ditawarkan oleh syarikat arak, perjudian atau seumpamanya, haram seorang muslim menyertainya kerana akan membawanya menerima wang dari sumber yang haram secara nyata di samping terlibat mempromosi perkara haram di sisi Syariat.

c) Soalan-soalan yang ditanya? Hendaklah soalan-soalan yang ditanya adalah soalan-soalan yang bermanfaat dan tidak mempromosi dosa/maksiat/munkar. Dalam akad Ju'alah (iaitu tawaran hadiah/saguhati yang diikat dengan suatu kerja/peranan) disyaratkan kerja/peranan yang menjadi tukaran kepada hadiah itu hendaklah halal mengikut pandangan Syariat. Oleh kerana hadiah yang ditawarkan merupakan imbalan kepada jawapan bagi soalan yang ditanya, jika jawapan adalah berupa dosa/maksiat, hadiah itu akan menjadi imbalan kepada perkara maksiat, maka tidak harus hadiah tersebut kerana ia menjadi imbalan kepada perkara haram di sisi Syariat.

d) Suasana program itu sendiri hendaklah menepati Syariat Islam; tiada percampuran lelaki dan wanita, tidak bercampur perkara masksiat dan munkar dan tidak bertujuan mempromosi perkara yang haram di sisi Syariat, kerana seorang muslim tidak harus berada dalam majlis yang dimurkai Allah.             

2. Khusus bagi program "Who wants to be a milionaire" telah terbit fatwa dan pandangan dari beberapa ulamak mengharamkannya, antaranya;
a) Syeikh Dr. Nasr Farid Wasil (Mufti Mesir)
b) Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
c) Syeikh Abdul Aziz bin Baz (Mufti Arab Saudi) (Lihat; www.islamqa.com, fatwa no. 21078).
d) Syeikh Dr. 'Alauddin Za'tari (dalam bukunya Fiqh al-Muamalat al-Maliyah al-Muqaran, hlm. 345).
d) Syeikh Abdus-Somad Balhaji (dalam bukunya Ahkam al-Musabaqaat, hlm. 225; tesis MA bawah seliaan Syeikh Dr. Muhammad Khair Haikal)
e) Majlis Fatwa Ulamak-Ulamak Halab, Syria (lihat laman resminya; http://www.eftaa-aleppo.com/, fatwa no. 495).

Sebab pengharaman secara amnya adalah kerana terdapat unsur perjudian di dalamnya.

Walallahu a'lam.

Tuesday, 25 September 2012

ANAK 8 TAHUN MASIH TIDUR BERSAMA IBU DAN BAPA

Soalan; Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu-bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.

Jawapan;

Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri  berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud);

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayatNya. Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana” (ayat 58).

Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu;
a)      Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b)      Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c)       Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut; “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”. Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur-; “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).

Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh). Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur; perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).

Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan. Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain. Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).

Rujukan;

1.       az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2.       al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3.       Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4.       al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178