Soalan; Assalam ustaz..saya ingin membuat pertanyaan, apakah hukumnya menggunakan
pinggan mangkuk, gelas minuman yang di salutkan dengan sedikit warna seperti
emas tetapi ianya bukanlah emas betul seperti yang terdapat dipasaran sekarang
ini. Terima kasih.
Jawapan;
Bekas yang dibuat dari logam selain emas dan perak kemudian disadurkan luarannya
dengan warna keemasan (yakni bukan disadur dengan emas, tetapi dengan bahan yang
memberi warna keemasan), ia harus digunakan kerana yang diambil perkiraan bukan
warna luarannya, tetapi bahan pembuatannya. Oleh kerana bahan pembuatannya bukan
dari emas dan perak, maka ia tidak tertakluk dengan larangan Nabi SAW dalam
hadisnya walaupun warnanya keemasan seperti emas. Di dalam hadis, Nabi SAW hanya
melarang bekas yang diperbuat dari emas dan perak sahaja (tanpa menyebut bekas
dari bahan selain keduanya). Sabda Nabi SAW (bermaksud);
"Jangan kamu
minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari
keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia
dan untuk kamu di akhirat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah
r.a.).
Hadis di atas walaupun hanya menyebutkan larangan bekas emas dan
perak untuk makan dan minum, namun dikiaskan kepadanya peralatan-peralatan yang
lain yang dibuat darinya untuk kegunaan lainnya kerana jika untuk kegunaan
terpenting manusia (iaitu makan dan minum) ia dilarang, maka kegunaan yang
kurang penting darinya lebih-lebih lagilah dilarang. Berkata Imam an-Nawawi;
"Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa diharamkan menggunakan bekas dari
emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk
penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang
menggunakannya itu lelaki atau perempuan" (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).
Termasuk yang diharamkan ialah jam dan pen dari emas dan perak. (Syeikh Majid
al-Hamawi, ta’liq ‘ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, hlm. 28).
Adapun
jika ia disadurkan dengan emas sebenar, hukumnya mengikut mazhab adalah seperti
berikut;
A) Mazhab Hanafi; bekas yang disadur dengan emas dan perak harus
digunakan jika kandungan emas itu tidak mungkin dipisahkan lagi dari bekas.
B) Mazhab Syafiie; harus menggunakan bekas yang disadur dengan emas dan
perak jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas.
Jika kandungan emas itu banyak iaitu dapat dipisah dari bekas yang disadur itu
(melalui peleburan atau sebagainya), haram menggunakannya. Menurut mazhab
Syafiie juga; jika bekas emas atau perak disadur dengan logam lain, harus
digunakan kerana tidak ada lagi kebanggaan emas padanya.
C) Mazhab Hanbali;
bekas yang disadur dengan emas dan perak haram digunakan sama seperti haramnya
bekas emas dan perak itu sendiri. Namun jika berubah sifat emas setelah proses
saduran iaitu warnanya tidak lagi kelihatan seperti emas, harus digunakan dengan
syarat kandungan emas tidak lagi dapat dipisahkan dari bekas yang disadur
itu.
D) Mazhab Maliki; Tidak haram menggunakan bekas yang disadur dengan emas
kerana ia mengikut hukum bekas, bukan hukum emas.
(al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyah (1/119, Aniyah), Mughni al-Muhtaj (1/129, kitab at-Toharah),
al-Insaf (1/478, bab Sitr al-'Aurah), As-Syarh al-Kabir Li ad-Dardir
(1/63)).
Kesimpulanya, menurut jumhur ulamak; bekas yang disadur dengan
emas; jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan lagi dari bekas,
tidak haram menggunakan bekas saduran tersebut kerana emasnya telah musnah dalam
logam lain, maka dihukumkan seperti tiada. Namun jika saduran emas itu banyak di
mana ia dapat dipisahkan dari bekas(melalui pelebutan atau sebagainya), haram
menggunakannya kerana ia masih wujud dan menggunakan bekas itu sama sepert
menggunakan bekas emas. (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, 'Abdul-Wahhab Tawilah,
hlm. 369).
Wallahu a'lam.
Laman soal-jawab agama, dikendalikan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. Sila layari; AKADEMI AL-QURAN IMAM AL-SYAFIIE untuk mendapatkan EBOOK Ustaz Adnan (lihat link di sebelah kanan blog)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?
Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...
-
Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal m...
-
Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni keran...
-
Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan