Sabtu, 31 Ogos 2013

MAKNA KHALWAT, HUKUM WANITA MENERIMA TETAMU LELAKI

Soalan; Salam ustaz.. saya mohon pencerahan dr ustaz.. Begini, 3 org sahabat zaman sekolah saya menyinggah ke rumah kampung saya sebentar td. mereka sempat bersolat maghrb dan isya' serta djamukan dgn sedikit maknn oleh ibu, nenek dan ibu saudara saya. Namun, sgt mngejutkan bila usai solat isya datuk saya yg baru pulang dr surau mula me'negur' sahabat2 saya. beliau (datuk) menegaskan bahawa beliau tidak ingin bersubahat bersama kerana haram sekumpulan lelaki menziarah seorang wanita bukan mahram. Sungguh saya malu dgn tindakan datuk menegur sahabat saya yang dtg menziarah. Soalan saya apakah benar Islam tidak membenarkan had ziarah-menziarahi sebegini? terima kasih atas perhatian ustaz.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Nabi SAW menegah lelaki ajnabi* dan wanita ajnabiyah* berduaan sebagaimana sabdaNya; “Janganlah seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita (yang bukan mahramnya), dan janganlah seorang wanita bermusafir kecuali dengan disertai  oleh mahramnya” (Soheh al-Bukhari; 3006. Soheh Muslim; 424/1341. Dari Ibnu ‘Abbas RA).(*ajnabi/ajnabiyah; yang asing, iaitu tiada ikatan mahram).

Istilah berduaan/bersunyian hilang apabila dihadiri bersama oleh orang lain. Oleh itu, para ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) menfatwakan; jika perjumpaan antara lelaki dan wanita disertai oleh orang lain sama ada oleh lelaki yang menjadi mahram wanita itu (bapanya, abangnya, anaknya yang telah baligh dan sebagainya), atau wanita yang menjadi mahram lelaki tersebut (ibunya, kakaknya atau sebagainya), atau dihadiri bersama oleh wanita lain yang dipercayai yang menemani (seperti kes di atas; si yang bertanya ditemani oleh ibu, nenek dan ibu saudara), maka perjumpaan itu dibolehkan pada hukum Syarak kerana ia terkeluar dari makna khalwah (berduaan/bersunyian) yang dilarang Nabi SAW dalam hadis tadi.[1] Namun ia terikat dengan syarat; aman dari fitnah dan keraguan.[2]

Maka yang diharamkan ialah;  berduaan/bersunyian antara seorang lelaki dan seorang wanita (keduanya ajnabi) tanpa dihadiri orang ketiga bersama mereka. Menurut Imam an-Nawawi; keharamannya telah diijmakkan ulamak. Menurut beliau lagi; turut diharamkan ialah jika yang hadir bersama mereka itu ialah lelaki yang tidak disegani oleh mereka kerana masih kecil seperti anak berusia dua atau tiga tahun atau seumpamanya kerana kewujudannya sama seperti tiada. Begitu juga, turut diharamkan ialah jika berhimpun ramai lelaki dengan seorang wanita. Adapun jika berhimpun seorang lelaki dengan ramai wanita, mengikut pandangan yang soheh; dibolehkan (*dengan syarat tadi, iaitu; aman dari fitnah dan keraguan). (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Merujuk kepada soalan, maka diboleh seorang wanita menerima tetamu-tetamu lelaki dirumahnya dengan syarat mematuhi hukum-hakam dan adab yang telah ditetapkan Syariat, antaranya;
1. Dihadiri oleh orang lain yang disegani sebagaimana dijelaskan tadi
2. Tidak membuka aurat
3. Selamat dari fitnah dan keraguan
4. Menjaga adab-adab pergaulan lelaki dan perempuan; tidak berlaku ikhtilat.
5. Tidak disertai program maksiat

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; jilid 9 (hadis; 1341).
2. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/268 (perkataan; ‘khalwah’).
3. Fatawa ‘Ulamak al-Baladil Haram, hlm. 679.


[1] Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi; jilid 9 (hadis; 1341).
[2] Lihat; Fatawa ‘Ulamak al-Baladil Haram, hlm. 679.

Jumaat, 30 Ogos 2013

POLIGAMI; TIDAK BERLAKU ADIL KERANA TERIKAT PERJANJIAN

Soalan; Assalammualaikum.Saya ingin bertanya satu soalan. Kawan saya merupakan isteri kedua, baru2 ini berlaku sedikit pertengkaran berkaitan tanggungjawab suami. Si isteri ingin lebih perhatian malangnya Si suami tetap menyatakan tidak dapat memberikannya kerana itu sudah termasuk dalam perjanjian yg telah sama persetujui.

Jawapan;

Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,

Suami yang berpoligami wajib berlaku adil kepada kesemua isterinya. Sebarang syarat atau perjanjian dengan mana-mana pihak untuk menafikan hak pihak yang lain, syarat atau perjanjian sebegitu tidak sah di sisi syarak, wajib dibatalkan dan hendaklah kembali kepada tuntutan syarak kerana kehendak Allah mesti diutamakan dari kehendak manusia. Firman Allah (yang bermaksud); "Berlaku adillah kerana adil itu lebih hampir kepada ketaqwaan" (al-Maidah, ayat 8). Sabda Nabi SAW (bermaksud); "Mana-mana lelaki yang memiliki dua isteri, lalu ia hanya cenderung kepada salah seorang sahaja dari mereka berdua, hari akhirat nanti ia akan tampil dalam keadaan senget sebelah badannya" (Sunan ad-Darimi: 2252. Abu Daud: 2133. dari Abu Hurairah RA, isnadnya soheh). Sabda Nabi SAW tentang syarat; "Sebarang syarat yang bertentangan dengan kitab Allah ia tertolak sekalipun 100 kali disyaratkan" (Musnad Ahmad; 25504, dari Aisyah RA, hadis soheh).

Wallahu a'lam.

PELABURAN DENGAN KEUNTUNGAN TETAP BULANAN

Soalan; Assalamualikum ustaz. Saya setuju melabur sejumlah wang dlm perniagaan yg diushakan kawan saya. Persetujuan telah dibuat kedua2 belah pehak tempoh pelaburan selama 2 tahun dan maksimum 5 tahun dgn jumlah keuntungan tetap 3% dibayar sebuln hingga habis tempoh perjanjian saya akan menerima jumlah pelaburan asal. Apakah boleh saya melabur dan hukumnya pelaburan yang sebegini harap ustaz jelaskan

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Pelaburan yang menjanjikan keuntungan tetap pada setiap bulan (atau dalam tempoh tertentu), tanpa tertakluk kepada untung-rugi yang dikongsi bersama, pelaburan itu tidak sah di sisi Syariat kerana ia berunsurkan riba. Hal ini telah disepakati para ulamak. Jadi 3% yang dijanjikan pada setiap bulan itu adalah riba dan tidak halal. Kecualilah jika 3% yang dijanjikan itu dinisbahkan kepada keuntungan dan tertakluk kepada untung rugi syarikat atau perniagaan terbabit (yakni tiada keuntungan yang akan diberikan jika syarikat/perniagaan mengalami kerugian pada bulan tertentu), maka ia sah di sisi Syariat. Itu dilihat dari aspek pembahagian keuntungan. Perlu juga dilihat dari aspek-aspek lain seperti produk yang diperniagakan (adakah halal?), bentuk perkongsian dan sebagainya untuk memastikan keseluruhannya sah mengikut syariat.

Wallahu a'lam.

Khamis, 29 Ogos 2013

KOPI LUWAK

Soalan; As salam saya ada soalan... najis itu haram. Apa kah hukum memakan makanan yang asalnya dari najis haiwan contoh biji kopi yang telah dimakan oleh musang dan najiis musang tadi mengeluarkan balik biji kopi tersebut lalu diambil dan di proses semula di jadikan kopi...kopi luwak.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

Ada beza antara najis dan mutanajis. Najis bermaksud benda najis, adapun mutanajjis bermaksud benda yang terkena najis (yakni benda yang suci, namun terkena najis). Najis tidak dapat disucikan/dibersihkan kerana zatnya sendiri adalah najis, sedang mutanajjis dapat disucikan dimana apabila dibuang najis darinya akan kembalilah ia kepada asalnya iaitu suci. Kopi luwak berada dalam kategori kedua (mutanajjis). Ia asalnya adalah dari buah kopi yang suci, dimakan musang luwak, kemudian biji kopi yang tidak dapat dihadam oleh ususnya keluar bersama tahinya. Biji kopi itu diambil dan dibersihkan dari najis musang itu dan kemudian diproses menjadi serbuk kopi. Oleh kerana ia mutanajjis, maka ia kembali kepada hukum asalnya (iaitu suci) apabila proses penyucian/pembersihan dilakukan.

Kehalalan kopi luwak telah difatwakan oleh Majlis Ulamak Indonesia (MUI) dan Majlis Fatwa  Kebangsaan Malaysia (rujuk; http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-meminum-kopi-luwak-musang).

Wallahu a'lam.

MENGAMBIL WUDHUK SAMBIL MANDI SHOWER


Soalan; salam, saya mandi shower, sambil mandi shower itu saya terus ambil wuduk. bolih tak?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

Sah ambil wudhuk bersama mandi itu jika diratakan air ke seluruh anggota wudhuk dengan niat wudhuk dan mengikut tertib, iaitu bermula dengan membasuh muka, diikuti tangan ke siku dan seterusnya. Namun mengambil wudhuk sebegitu makruh hukumnya kerana menyebabkan penggunaan air yang banyak (pembaziran).

Abdullah bin ‘Amru RA menceritakan; Rasulullah SAW telah terserempak dengan Saad RA yang sedang mengambil wudhuk (dengan menggunakan air yang banyak). Lantas baginda menegurnya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Sa’ad menjawab; “Apakah dalam mengambil wudhuk juga dikira pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir” (Musnad Imam Ahmad; 7065. Sunan Ibnu Majah; 425. Status hadis; dhaif).

 Wallahu a'lam.

SATU WUDHUK UNTUK BERAPA SOLAT?

Soalan; asalamualaikum. berapa lama kah kita bolih masih berada dalam wuduk, selagi tidak melanggar perkara2 yg bolih membatalkan wuduk,bolihkah terus dari zohor ke asar,atau maghrib ke isyak?...wassaalam

Jawapan;

Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,

Selagi tidak berlaku perkara yang membatalkan wudhuk, selagi itu boleh mengerjakan solat dengan wudhuk yang sama seberapa banyak solat sekalipun. Namun disunatkan memperbaharui wudhuk setiap kali ingin mengerjakan solat fardhu kerana ia menjadi amalan Nabi SAW sebagaimana diceritakan oleh Anas bin Malik RA; "Nabi SAW mengambil wudhuk setiap kali baginda mengerjakan solat (fardhu). Adapun kami, kami mengerjakan semua solat dengan wudhuk yang sama selagi tidak berhadas" (Soheh al-Bukhari; 214. Jami' at-Tirmizi; 60). Ada juga diriwayat Nabi SAW bersabda; "Sesiapa mengambil wudhuk ketika dalam suci (tidak berhadas), Allah menulis untuknya 10 kebajikan" (Jami' at-Tirmizi; 59, dari Ibnu 'Umar RA. Status hadis; dhaif).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi.

Rabu, 28 Ogos 2013

ADAKAH SYURGA BERPINDAH KE BAWAH TAPAK KAKI SUAMI SETELAH BERKAHWIN?

Soalan; Assalamualaikm w.b.t. Saya ade soalan mengenai syurga bagi seorang wanita. Semua tahu yang syurga bagi anak lelaki adalah dibawah tapak kaki ibu, yang wanita pula, sebelum berkahwin syurganya dibawah tapak kaki ibu mereka tetapi bila sudah berkahwin, syurga mereka dibawah tapak kaki suami mereka, betul? Betulkan saya jika saya salah. Disini saye mempunyai situasi yang memusykilkan saya. ade seorang individu ini,seorang wanita dan beliau sudah berkahwin,dan yang menghampakan dan memusykilkan kepala saya, sesudah berkawin, tingkah laku,perbuatan,perangainya terhadap ibu nya sangat tidak ber adab dan sangat "kurang ajar". dan apabila saya bertanya kepadanya,mengapa beliau berbuat demikian sedangkan ibunya melayannya dengan penuh kasih sayang,ibunya menangis setiap hari dan perkara itu sangat menyentuh hati saya,dan jawapan beliau terhdap soalan saya tadi ialah beliau berkata bahawa "syurga aku dibawah tapak kaki suami,bukan tapak kaki ibu lagi" saya sangat kasihan akan ibunya. Adakah boleh sebegitu tindakan wanita tadi? ataupun ade solution disebalik permasalahan ini dan hukum bagi situasi tersebut,saya harap ustaz dapat meleraikan kekusutan saya ini. Wasalam.

Jawapan


Bismillah walhamdulillah wassolatu ala rasulillah.

Kawan saudara itu telah tersalah ilmu tentang hakikat sebenarnya. Seorang anak (lelaki atau wanita) tetap wajib menghormati ibu-bapanya, wajib berbakti kepada mereka, menjaga silaturrahim dengan mereka, mendoakan mereka dan menafkahi mereka (jika mereka miskin) sekalipun dia telah berkahwin. Hanya jika bertembung antara perintah suami dan perintah ibu-bapa, maka perintah suami wajib didahulukan kerana haknya lebih besar. Hal itu tiada kaitan dengan kewajipan-kewajipan terhadap ibu-bapa yang mesti diteruskan sekalipun telah berkahwin.

Firman Allah (bermaksud); “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa” (Surah al-Isra’, ayat 23).

 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya…” (Surah Luqman, ayat 14).

“…bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu” (Surah Luqman, ayat 14).

“…maka janganlah engkau berkata kepada kedua ibu-bapamu (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

“…Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua ibu-bapamu kerana belas kasihan dan kasih sayangmu…” (Surah al-Isra’, ayat 24).

“…dan doakanlah (untuk kedua ibu-bapamu, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil” (Surah al-Isra’, ayat 24).

Sekalipun telah berkahwin, perintah Allah dalam ayat-ayat di atas terus berjalan dan wajib dipatuhi oleh anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak harus sama sekali menderhakai mereka kerana Nabi SAW bersabda; "Dosa-dosa paling besar ada empat;
1. Mensyirikkan Allah,
2. Menderhakai dua ibu-bapa,
3. Membunuh
4. Bersaksi palsu"
(Soheh al-Bukhari; 2653, dari Anas RA).

Kesimpulannya, sekalipun telah berkahwin, seorang anak perempuan tetap wajib menghormati ibu-ayahnya, menghubung silaturrahim dengan mereka, merendah diri di hadapan mereka, berbaik dengan mereka dan berbakti kepada mereka mengikut kemampuannya. Tidak boleh sekali-kali bersikap biadap dengan mereka atas alasan telah berkahwin. Ayat-ayat Allah tadi yang memerintahkan anak agar berbuat baik kepada ibu-bapa, berterima kasih kepada mereka, menjaga tutur kata dengan mereka dan merendah diri kepada mereka, ayat-ayat tersebut tiada siapa dapat mengubahnya termasuk suami. Sampai bila-bilapun syurga tetap di bawah tapak kaki ibu-bapa dan keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa.

Sabda Nabi SAW; “Jagalah kedua ibu-bapamu kerana Syurga di bawah kaki kedua mereka” (Hadis riwayat Imam at-Thabrani dengan sanad yang baik. Lihat; al-Muntaqa, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hadis no. 1475).

Sabda baginda juga; “Keredhaan Tuhan berada pada keredhaan Ibu-bapa dan kemurkaan Tuhan berada pada kemurkaan ibu-bapa” (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi dan al-Hakim dari ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.. Menurut as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4456).

Wallahu a'lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...