Khamis, 5 September 2013

HAK JAGAAN ANAK YANG TELAH MUMAYYIZ

Soalan;  Assalamualaikum wrwb. Saya dan isteri telah bercerai. Kini bekas isteri saya telahpun berkahwin lain. Setelah bercerai, saya telah memfailkan tuntutan hak penjagaan anak anak di Mahkamah Syariah atas alasan bekas isteri telahpun berkahwin semula, bekas isteri telah mengabaikan anak anak dan berkelakuan buruk. Akan tetapi, Mahkamah sebaliknya mengambil jalan yang mudah dan memerintahkan supaya hak jagaan anak anak ditentukan dengan pilihan anak anak sahaja. Anak anak kini berumur 11 tahun (perempuan) dan 8 tahun (lelaki). Dari segi hukum syarak adakah pilihan anak anak itu lebih diutamakan dalam penentuan hadhanah? Sekian terima kasih.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Anak yang telah mencapai umur 7 tahun ke atas atau umur mumayyiz, jika kedua ibu dan bapanya mencapai persetujuan untuk ia dijaga oleh mana-mana seorang dari mereka, persetujuan itulah yang dipakai. Namun jika mereka saling menuntut hak jagaan, maka diberi pilihan kepada anak untuk memilih antara mereka berdua. Siapa yang dipilih oleh si anak, dialah yang paling berhak memeliharanya. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Abu Hurairah RA yang menceritakan; ‘Seorang wanita datang kepada Nabi SAW dan berkata; ‘Ya Rasulullah, suamiku ingin membawa pergi anak lelakiku ini. Sesungguhnya dialah yang membantuku mengangkut air dari perigi Abi ‘Inabah[1]  dan ia membawa manfaat kepadaku. Lalu Nabi SAW berkata kepada budak itu; “Ini adalah bapamu dan ini pula adalah ibumu. Peganglah tangan mana satu dari mereka berdua yang kamu suka”. Lalu ia memegang tangan ibunya dan ibunya pun membawanya pergi’ (Sunan Abu Daud: 2277, soheh). Jika si anak memilih kedua-dua mereka atau dia tidak memilih sesiapapun antara mereka berdua, hendaklah dibuat undian.

Namun menurut ulamak; hak memilih itu diberikan kepada anak dengan syarat si anak mampu membuat pilihan yang tepat untuk maslahat dirinya dan kedua-dua ibu dan bapa memiliki kelayakan untuk menjaganya mengikut penilaian Syariat. Jika tidak, maka qadhi atau hakim berhak menentukan siapa yang paling layak menjaganya tanpa tertakluk dengan pilihannya. Kesimpulannya, dalam menentukan hak jagaan, maslahah si anak itu yang menjadi ukuran utama.

Adapun anak yang belum mumayyiz, maka ia tertakluk kepada hukum-hakam hadhonah (asuhan). Sila baca tentangnya dalam jawapan saya sebelum ini;  (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/07/hak-hadhonah.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah; 14/36 (kalimah ‘tamyiiz’).
2. at-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 443-446.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil al-‘Azzazi, 3/268.


[1] Sebuah perigi yang jauhnya dari Madinah satu mil.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...