Tuesday, September 10, 2013

HUKUM DAGING GAJAH DAN DAGING KUDA

Soalan;  assalamualaikum wr.wb pak ustad saya mau tanya bagaimana hukumnya daging gajah dan kuda untuk di makan...,,????

Jawapan;

Bismillah, walhadulillah, wassolatu ala Rasulillah.

1. Daging gajah

Menurut jumhur ulamak (mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring.  Abu Tsa’labah al-Khusyani RA menceritakan; “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang bertaring dari binatang-binatang buas” (Soheh al-Bukhari; 5530, 5780. Soheh Muslim; 1932).

Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang disebut ulamak bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa, harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar, as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).

Menurut mazhab Maliki; haiwan-haiwan yang haram dimakan hanyalah yang disebut keharamannya di dalam al-Quran (antaranya surah al-An’am, ayat 145), iaitu; “bangkai, darah dan daging babi”. Binatang-binatang yang tidak disebut dalam ayat ini tidaklah haram memakannya. Adapun binatang-binatang yang bertaring tadi; makruh memakannya kerana dilarang oleh hadis. Jadi, menurut mazhab Maliki; larangan Nabi SAW dalam hadis tadi adalah larangan makruh, bukan larangan haram (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

2. Daging kuda

Daging kuda halal memakannya kerana kehalalannya telah sabit dari hadis-hadis Nabi SAW. Asma binti Abu Bakar RA menceritakan; “Kami pernah menyembelih seekor kuda pada zaman Nabi SAW dan memakannya” (Soheh al-Bukhari; 5510, 5519).  Jabir bin Abdullah RA menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari memakan daging kaldai pada hari Khaibar dan membenarkan kami memakan daging kuda” (Soheh al-Bukhari; 5520. Muslim; 1941).

Wallahu a’lam.
Post a Comment