“Sesungguhnya Allah, Dia-lah yang menetapkan harga, menyempitkan, melapangkan dan merezekikan. Sesungguhnya aku berharap ketika aku berjumpa dengan tuhanku (Allah), tidak ada seorangpun yang menuntut kepadaku kerana suatu kezaliman yang menyangkut urusan darah (nyawa) mahupun harta (ekonomi)." [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1314 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan penetapan harga)]
Betulkah pemahaman beliau tentang hadis tersebut?
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.
Hadis tersebut tidak dipertikai kesahihannya, Namun ustaz tersebut memahami hadis secara fardie, tanpa memahaminya
secara bersama dengan hadis-hadis yang lain, begitu juga tidak melihat
lingkungan hadis dan illahnya. Imam Ibnu Taimiyyah sendiri (begitu juga
muridnya Ibnul Qayyim) memfatwakan; at-tas’ir (kawalan harga) oleh kerajaan
dibolehkan –malah dituntut- pada waktu-waktu tertentu (rujuk; al-Hisbah, Ibnu Taimiyyah, hlm. 21. Majmu’
al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 28/75). Nabi SAW sendiri –walaupun dalam hadis tadi enggan melakukan
tas’ir-, namun baginda sendiri pernah menyuruhnya.
Nabi SAW pernah bersabda berkenaan hamba yang dimiliki
beberapa tuan (satu pihak dari tuannya ingin membebaskannya dan pihak lain tidak
ingin membebaskannya kecuali dengan bayaran), kata Nabi SAW; “Sesiapa yang memerdekakan bahagiannya dari seorang
hamba, jika ia memiliki wang yang membolehkannya membayar harga hamba itu
sepenuhnya, hendaklah ditetapkan untuk hamba itu harga misil (yakni harga
sebanding), kemudian dibayar harga itu kepada rakan-rakan kongsinya mengikut
kadar pemilikan masing-masing supaya hamba itu dapat bebas di tangannya. Jika
ia tidak memiliki wang untuk membeli hamba itu, hamba itu merdeka sekadar yang
dimerdekakannya sahaja (yakni menjadi hamba muba’adh; hamba merdeka separuh)”
(Soheh Muslim; 1501/1, dari Ibnu ‘Umar RA).
Hadis ini menunjukkan arahan tas’ir (penetapan harga)
dari Nabi SAW, kerana baginda menetapkan hamba itu dinilai dengan harga misil.
Baginda tidak berkata; hendaklah rakan-rakan kongsinya menetapkan harga
mengikut yang mereka mahu kerana hamba itu adalah milik mereka bersama. Hadis
ini menunjukkan bahawa tas’ir bukanlah haram sepenuhnya, ada ketikanya ia
disyariatkan kerana jika haram sepenuhnya sudah tentu Nabi SAW tidak akan
melakukannya. Antara factor keharusan tas’ir ialah apabila diperlukan untuk
maslahah masyarakat, sebagaimana kaedah; “maslahah awam diutamakan dari
maslahah khusus”. Jika peniaga-peniaga menetapkan harga yang tidak munasabah
semata-mata ingin mengaut untung lebih dan tindakan mereka menekan masyakat
pengguna, pada ketika itu para ulamak memberi fatwa; harus kerajaan masuk
campur untuk menjaga maslahah masyarakat. Walaupun tindakan kerajaan menafikan
hak segolongan masyarakat (iaitu para peniaga) untuk mendapat keuntungan besar
tetapi penafian itu demi menjaga maslahah yang lebih besar iaitu masyarakat
umum. Amalan Nabi SAW tadi membenarkan tindakan ini.
Imam Ibnul Qayyim menjelaskan; “Arahan Nabi SAW supaya
hamba itu dinilai mengikut harga misil (tidak boleh dijual dengan nilai lebih
dari itu) itu adalah tas’ir pada hakikatnya. Maka jika Syarak (iaitu Nabi SAW)
mengharuskan tas’ir untuk maslahah khusus (iaitu maslahah seorang hamba; untuk memudahkan
pembebasannya dengan menetapkan harga misil supaya dapat dibeli oleh orang yang
ingin membebaskannya), maslahah orang ramai untuk menjamin mereka dapat memiliki
(barang-barang keperluan mereka) adalah lebih besar dari itu” (rujuk; al-Turuq
al-Hukumiyyah, Ibnul Qayyim, hlm. 217-218. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah; 11/310, perkataan; ‘Tas’ir’).
Kerajaan dalam situasi di atas menjadi penimbang antara
dua pihak iaitu antara peniaga dan pengguna, antara maslahah khusus dan
maslahah umum. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenang melakukan tas’ir tanpa ada
maslahah yang lebih besar kerana ia akan menzalimi satu pihak tanpa hak. Namun
dalam kes harga minyak, ia membabitkan kerajaan sendiri. Kerajaan yang memiliki
minyak dan kerajaan yang bertindak sebagai peniaga (menjualnya kepada rakyat),
maka tiada siapa yang dizalimi jika
kerajaan melakukan tas’ir ke atas harga minyak demi menjaga kebajikan
rakyatnya. Maka penggunaan hadis tadi oleh ustaz tersebut bagi kes harga minyak
adalah tidak kena pada tempatnya. Namun kita jelaskan juga di sini untuk
membetulkan kekeliruannya.
Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan