Search This Blog2

Friday, 18 July 2014

SIAPA DI KALANGAN KELUARGA SUAMI ATAU ISTERI YANG MENJADI MAHRAM KITA?

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanyakan 2 soalan berkaitan aurat suami-isteri dan tanggungjawab yang wajib bagi seorang suami dan isteri. Soalan saya adalah seperti berikut:
1. Apakah aurat suami dan isteri di mata keluarga mertua? Contohnya, dengan mertua, ipar, anak saudara, bapa/ibu saudara, suami/isteri kepada bapa/ibu saudara. Apakah had bersalaman dengan mereka?
Terima kasih di atas jawapan ustaz. Saya adalah hamba yang jahil dan perlukan bantuan ustaz. Sekian.

Jawapan; 

Bismillah. Aurat dan bersalaman bergantung kepada mahram atau tidak orang yang berhadapan kita. Jika dia mahram kita, harus kita bersalaman dengannya dan auratnya dengan kita (lelaki) ialah sepertimana aurat ibu dan adik-beradik perempuan kandung kita iaitu dari dada hingga lutut mengikut pandangan yang rajih (yakni boleh menampakkan bahagian rambut, leher, tangan dan betis, adapun kawasan lainnya wajib ditutup). Maksud mahram ialah orang yang diharamkan ke atas kita mengahwininya buat selamanya. Mahram boleh timbul dengan sebab nasab, perkahwinan atau penyusuan.Mahram dengan sebab perkahwinan -bagi seorang lelaki- hanya membabitkan empat orang sahaja;

1. Ibu dan nenek isteri (yakni ibu mertua dan nenek mertua)[1]
2. Menantu (yakni isteri kepada anak lelakinya atau isteri kepada cucu dan cicitnya).[2]
3. Anak dan cucu tiri (anak perempuan isteri, cucu perempuan isteri, hingga ke bawah)[3]
4. Ibu dan nenek tiri (yakni isteri bapa atau isteri datuk, hingga ke atas)[4]

Maka apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, hanya ibu, nenek, anak perempuan dan cucu perempuan isterinya sahaja yang menjadi mahramnya (dari kalangan keluarga isterinya). Adapun wanita-wanita lain (iaitu adik/kakak ipar, ibu saudara isteri, anak saudara isteri..) mereka bukanlah mahramnya. Maka mereka wajib menutup aurat di hadapannya (iaitu seluruh badan kecuali muka dan tangan, yakni wajib memakai tudung kepala), dan tidak harus dia bersalaman dengan mereka kerana mereka bukan mahramnya. Adapun auratnya di hadapan mereka pula ialah kawasan antara pusat hingga lutut (yakni kawasan badan yang lain harus didedahkan, adapun kawasan antara pusat dan lutut wajib ditutup).

Bagi wanita pula, mahramnya dengan sebab perkahwinan juga membabitkan empat orang juga;
1. Bapa dan datuk suaminya (iaitu bapa mertua dan datuk mertua).
2. Menantu (iaitu suami kepada anak perempuannya dan suami kepada cucu atau cicit perempuannya)
3. Anak dan cucu tiri (iaitu anak lelaki dan cucu lelaki suaminya)
4. Bapa atau datuk tiri (iaitu suami kepada ibunya atau suami kepada neneknya).

Maka apabila seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki, hanya bapa, datuk, anak lelaki dan cucu lelaki suaminya sahaja yang menjadi mahramnya (dari kalangan keluarga suaminya). Di depan mereka harus dia membuka tudungnya dan harus dia bersalaman degan mereka. Adapun lelaki-lelaki lain (adik/abang ipar, bapa saudara suami, anak saudara suami...) mereka bukanlah mahramnya, maka dia tidak boleh mendedahkan aurat di hadapan mereka (kecuali muka dan tangan sahaja, yakni wajib pakai tudung) dan tidak harus bersalaman dengan mereka.

Wallahu a'lam.

[1] Yakni wanita-wanita yang menjadi usul kepada isteri kita meerangkumi; ibunya, ibu kepada ibunya dan ibu kepada bapanya, hingga seterusnya (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[2] Yakni isteri-isteri kepada furu’nya (anak, cucu dan cicitnya) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213). Namun pengharaman (yakni hubungan mahram) hanya terhenti kepada wanita yang menjadi isteri furu’ kita sahaja. Adapun wanita-wanita yang bertalian dengannya sama ada usulnya atau furu’nya tidaklah menjadi mahram kita (yakni mereka hanya menjadi mahram anak atau cucu kita sahaja) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[3] Iaitulah furu’ isteri, merangkumi anak perempuannya, cucu perempuannya, cicit perempuannya, hingga seterusnya ke bawah. Namun mereka hanya menjadi mahram apabila isteri disetubuhi (yakni tidak cukup dengan akad sahaja) (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).
[4] Yang menjadi mahram hanyalah wanita yang menjadi isteri kepada bapa atau datuk sahaja, adapun wanita-wanita lain yang ada hubungan nasab dengan wanita tersebut (ibunya, saudara perempuannya, anak perempuannya) tidaklah mereka menjadi mahram kita (sama ada usulnya atau furu’nya), mereka hanya menjadi mahram bapa atau datuk kita sahaja (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan mahram, 36/213).

Sunday, 13 July 2014

ISTERI BERMUSAFIR KE LUAR NEGARA TANPA DITEMANI SUAMI

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, saya ada pertanyaan, mengenai isteri musafir keluar negara untuk urusan kerja; Bolehkah isteri travel keluar negara utk urusan kerja tanpa suami menemaninya? terima kasih.

Jawapan;

Para ulamak telah mensepakati bahawa diharamkan wanita keluar bermusafir dengan seorang diri -terutamanya musafir yang jauh-(1). Para ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali mensyaratkan; mesti ditemani oleh suami atau mahramnya (yakni bapa, anak lelaki, saudara lelaki atau sebagainya). Mereka berdalilkan sabda Nabi saw;

لاَ تُسَافِرِ المَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
"Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama mahramnya" (Soheh al-Bukhari; 1862, dari Ibnu 'Abbas RA).
 
لاَ يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُسَافِرَ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ لَيْسَ مَعَهَا حُرْمَةٌ
"Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir dengan jarak perjalanan sehari semalan tanpa ditemani mahramnya" (Soheh al-Bukhari; 1088, dari Abu Hurairah RA).

Menurut mazhab Syafiie dan Maliki; selain dengan suami dan mahram, diharuskan juga wanita keluar bermusafir bersama teman-terman yang dapat memastikan keselamatannya (rufqah makmunah) yang terdiri dari lelaki-lelaki yang dipercayai atau wanita-wanita yang dipercayai, namun untuk tujuan mengerjakan haji yang wajib sahaja, atau urusan-urusan lain yang wajib di sisi Syariat.(2) Ada ulamak mengharuskan keluar dengan bertemankan seorang sahaja wanita yang dipercayai, dengan syarat perjalanan adalah aman. Malah ada ulamak yang hanya mensyaratkan; perjalanan yang aman sahaja. Imam al-Mawardi berkata; di kalangan sahabat-sahabat kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Syafiie) ada yang berkata; jika perjalanan adalah aman/selamat, tidak dikhuatiri berlaku percampuran dengan kaum lelaki bersamanya, harus dia (yakni wanita) keluar bermusafir tanpa ditemani mahram atau wanita yang dipercayai(3). Semua keharusan itu adalah bagi musafir untuk tujuan haji yang wajib (atau kewajipan-kewajipan syarie yang lain). Adapun untuk haji tatawwu' (yakni haji sunat) atau urusan-urusan yang mubah/harus (seperti berziarah, berniaga dan sebagainya), tidak harus keluar melainkan dengan ditemani mahram(4).

Beberapa ulamak semasa hari ini membuka keharusan tersebut kepada semua jenis musafir yang harus (tidak terhad kepada musafir haji dan urusan-urusan wajib syar'ie sahaja), melihat kepada perubahan zaman hari di mana perjalanan dapat ditempuh dengan lebih selamat walaupun amat jauh dan kenderaan juga lebih selamat (bas, keretapi, kapal terbang dan sebagainya).(5) Di antaranya ialah fatwa dari Darul Iftak Mesir (Institusi Fatwa Kerajaan Mesir) yang menegaskan; "Diharuskan bagi wanita untuk bermusafir tanpa ditemani mahram dengan syarat dia dapat memastikan keselamatan dirinya, agama serta kehormatannya di sepanjang perjalanan, di tempat perhentiannya dan juga semasa perjalanan pulang nanti...Dalam Soheh al-Bukhari (dan kitab-kitab hadis lainnya) diceritakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda kepada 'Adiyy bin Hatim RA;

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ، لَتَرَيَنَّ الظَّعِينَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ
"Jika kamu dikurniakan umur panjang, nescaya kamu akan dapat menyaksikan seorang wanita di atas untanya bermusafir dari Hirah (*di Kufah, Iraq hari ini) menuju (ke Mekah) hingga bertawaf mengilingi Kaabah tanpa takut kepada sesiapapun kecuali Allah" (Soheh al-Bukhari; 3595).

Lafaznya dalam Musnad Imam Ahmad;

فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَيُتِمَّنَّ اللهُ هَذَا الْأَمْرَ، حَتَّى تَخْرُجَ الظَّعِينَةُ مِنَ الْحِيرَةِ، حَتَّى تَطُوفَ بِالْبَيْتِ فِي غَيْرِ جِوَارِ أَحَدٍ
"Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan agama ini, sehingga seorang wanita di atas untanya bermusafir dari Hirah (menuju ke Mekah) hingga dapat bertawaf di Baitullah tanpa ditemani (dalam musafirnya itu) oleh sesiapapun" (Musnad Ahmad; 18260).

Berdasarkan hadis ini segolongan fuqahak mujtahidin telah memfatwakan bahawa; harus wanita bermusafir seorang diri jika ia selamat (dalam perjalanannya). Adapun hadis-hadis yang lain yang melarang wanita bermusafir berseorangan tanpa ditemani mahramnya ia khusus kepada keadaan ketika tidak wujudnya keamanan (bagi wanita), di mana pada zaman-zaman dahulu, apabila wanita keluar berseorangan tanpa ditemani mahram ia pasti akan terdedah kepada  bahaya....Maka fatwa (yang bersesuaian dengan situasi hari ini) ialah; musafir wanita secara berseorangan (tanpa ditemani mahramnya) -dengan menggunakan alat-alat pengangkutan yang selamat dan melalui jalan-jalan yang telah tersedia- bertolak dari pelabuhan atau lapangan terbang serta stesyen-stesyen kenderaan awam, musafir tersebut adalah harus di sisi Syarak dan tidak dilarang, sama ada ianya musafir yang wajib, sunat atau harus. Hadis-hadis yang menegah wanita bermusafir tanpa mahram hendaklah difahami bagi keadaan ketika tidak wujudnya keamanan/keselamatan (bagi wanita), maka ketika wujudnya keamaaan secara sempurna, tidak ada lagi tegahan untuk ia bermusafir dari asalnya"(5).

Untuk panduan lebih jelas, dibawah ini diperturunkan syarat-syarat yang digariskan oleh Syeikh Dr. Ali al-Qurrah Daghi (Setiausaha Kesatuan Ulamak Islam Sedunia) untuk mengharuskan wanita bermusafir tanpa ditemani mahram;
1. Hendaklah musafir itu dipastikan selamat untuk diri wanita itu sendiri. Syarat ini merupakan syarat paling asas.
2. Sebolehnya tidak menyebabkan perlu bermalam di perjalanan (transit) -di hotel atau sebagainya -kerana boleh mengundang fitnah bagi wanita-, kecuali jika situasinya bersesuaian, dengan syarat dia ditemani oleh wanita lain yang dipercayai -sekurang-kurangnya seorang- dan selamat dari fitnah.
3. Hendaklah mempunyai tempat tinggal yang selamat di negeri tempat tujunya.
4. Hendaklah mendapat keizinan dari suami (bagi wanita yang telah berkahwin) atau dari walinya (jika belum berkahwin).
5. Hendaklah sepanjang perjalanan itu ia ditemani oleh wanita lain yang dipercayai -sekurang-kurangnya seorang wanita-.(6)


Wallahu a'lam.

Nota/rujukan;

1. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan; safar)
2. al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (perkataan; rufqah, safar).
3. al-Hawi al-Kabir, Imam al-Mawardi, 4/363.
4. al-Hawi al-Kabir, Imam al-Mawardi, 4/363.
5. Dr. Mustafa az-Zarqa' (lihat; Fatawa Mustafa az-Zarqa', hlm. 276), Dr. 'Ali al-Qurrah ad-Daghi (lihat fatwa beliau dalam laman web beliau; http://www.qaradaghi.com), Syeikh Muhsin al-'Abikan (ulamak Arab Saudi) dan ramai lagi.
5. Laman Darul-Iftak, Mesir (http://www.dar-alifta.org), fatwa bertarikh; 9/7/2012, no. fatwa; 4480.
6. Laman web beliau (http://www.qaradaghi.com), fatawa jadidah (fatwa-fatwa semasa), bertarikh; 16/5/2010.

Friday, 11 July 2014

MENGAMBIL PIL PENAHAN HAID UNTUK BERPUASA PENUH DI BULAN RAMADHAN

Soalan; Assalamualaikum w.b.t ustaz sy ingin bertnye apakah hukum nye jika mkn ubat penahan haid pd bln puasa supaya dpt puasa penuh atau mkn pil perancang berterusan tnpa cuti kerana xnk tinggal puasa sekian wassalam

Jawapan;

Bismillah. Membuat sesuatu untuk menahan haid atau melambatkannya -dengan memakan ubat penahan haid, pil perancang atau sebagainya- hukumnya adalah harus jika tidak membawa mudarat kepada tubuh. Namun sebaiknya tidak dilakukan kerana ia melanggar fitrah. Kedatangan haid adalah tabi'ie bagi wanita. Maka sebaiknya dibiar haid keluar secara normal dan puasa yang tidak dapat dilakukan kerana haid itu diganti pada bulan lain.(1)

Waallahu a'lam.

Nota;

(1) Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 2200, dan Fatawa as-Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 13738.

MENIMBA ILMU DARI LAMAN SOSIAL

Soalan; Asallamulaikum ustaz): nak tanya ni..AKU nak mendalami ilmu islam ni, tapi BOLEH tak hanya dengan belajar melalui laman sosial tanpa bersua muka,((contohnya aku sedang bertanya dengan ustaz sekarang ni..)) apakah Hukumnya??

Jawapan;

Bismillah. Menuntut ilmu boleh dengan apa saja cara; membaca dari buku, mengadap guru secara lansung atau bertanyakan ulamak. Namun pastikan sumber ilmu itu benar, agar ilmu yang diperolehi juga benar. Imam Ibnu Sirin pernah memesan; "Ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agama kamu" (Soheh Muslim, mukadimahnya). Oleh itu, sebelum membaca buku, pastikan siapa penulisnya, dan sebelum merujuk ke laman sosial, pastikan siapa pengendalinya. Wallahu a'lam.

MEMBUAT BINAAN ATAU BERKEBUN DI ATAS TANAH KERAJAAN

Soalan; 1) saya ingin bertanya apa hukum kalau saya buat tempat letak kereta berbumbung untuk kegunaan persendirian dan family saya sahaja diatas tanah rizab jalan (dlm taman perumahan).

2) apa hukum saya berkebun dan mendatangkan hasil pendapatan tambahan diatas tanah rezab sungai.

Jawapan;

Bismillah. Diboleh mengguna/memanfaat tanah milik kerajaan atau awam dengan beberapa syarat:

1. Tidak terdapat larangan dari pihak kerajaan atau pengurusan awam, kerana mentaati ulil-amri bagi arahan yang tidak menyalahi Syariat adalah wajib. Firman Allah (bermaksud); "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu" (surah an-Nisa', ayat 59).
 
2. Tidak mendatangkan mudarat kepada orang ramai, seperti mengganggu laluan orang ramai atau sebagainya. Sabda Nabi: "Jangan melakukan kemudaratan (kepada orang lain) dan jangan saling memudaratkan" (Sunan Ibnu Majah; 2340, hadis soheh).

3. Bersedia menyerahkannya kembali bila diperlukan kerajaan atau orang ramai. Ia seperti meminjam barang milik orang lain, bila dituntut oleh tuan empunyanya, wajiblah kita memulangkannya.

Wallahu a'lam.

Wednesday, 9 July 2014

MENULIS AYAT AL-QURAN DENGAN TULISAN RUMI

Soalan; saya ada satu soalan, tadi sy terjumpa di facebook. seorang hamba Allah ini screen shot status ssorang hamba Allah yang lain yang menulis ayat al-quran dalam rumi.
mcm ni gambar yang saya bagi. Hamba Allah tersebut mengatakan bahawa haram membaca ayat al-quran selain dari bahasa arab. adakah benar? dan bagaimana pula sekiranya seseorang itu baru hendak mengenal dan membaca al-quran rumi? adakah ianya berdosa? kerana saya pernah tanya seseorang, dia cakap tak apa. tapi jangan terlalu bergantung sangat dengan al-quran rumi.

Jawapan;

Bismillah. Para ulamak telah memfatwakan haram menulis al-Quran dengan tulisan selain Arab (seperti tulisan rumi dan sebagainya) kerana ia boleh merubah bunyi al-Quran, sekaligus merubah maknanya. Sebagai contoh dalam surah al-Ikhlas bertulisan rumi di atas; apabila kalimah "الله الصمد" (bermaksud; Allah tempat bergantung") dituturkan dengan "Allahus-Samad" kerana mengikut bacaannya dalam rumi, maknanya menjadi "Allah adalah yang berterusan" atau "Allah adalah baja". Perhatikan perbezaan makna yang terlalu menyimpang. Keadaan yang serupa akan berlaku kepada banyak kalimah lagi di dalam al-Quran jika dibenarkan penulisannya dengan rumi, kemudian dibaca oleh orang yang tidak mengetahui bahara Arab.

Imam Ibnu Hajar menegaskan dalam Fatwanya; "Para ulamak telah ijmak melarang menulis al-Quran mengikut lafaz hijaiyyah (yakni tidak mengikut resam uthmani), maka lebih-lebih lagilah dilarang menulis al-Quran dengan bahasa 'ajam (yakni bahasa bukan Arab), di sampingi penulisan al-Quran dengan bahasa bukan Arab itu akan menyebabkan berlaku perubahan pada lafaz al-Quran yang bersifat mukjizat...." (al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/38).

Syeikh az-Zurqani dalam kitabnya Manahil al-'Irfan menjelaskan; "Para ulamak kita telah melarang penulisan al-Quran dengan huruf bukan 'Arab...Lujnah Fatwa al-Azhar bila ditanya tentang penulisan al-Quran dengan huruf-huruf Latin, maka jawapan yang diberikan; 'Tidak diragui bahawa huruf-huruf Latin yang sedia diketahui (hari ini) tidak memiliki beberapa huruf yang menepati bahasa Arab, maka ia tidak dapat memenuhi dengan sempurna fungsi huruf-huruf bahasa Arab. Maka jika ditulis al-Quran dengan huruf-huruf Latin itu akan berlaku kekurangan/kecacatan dan perubahan pada lafaznya, dan ekoran darinya akan berlaku perubahan makna dan merosakkan maknanya...Telah ijmak para ulamak sekelian bahawa sebarang tindakan terhadap al-Quran yang yang membawa kepada pemindaan kepada lafaznya atau merubah maknanya, ia dilarang sama sekali dan haram secara putus...." (Manahil al-'Irfan, 2/134).

Wallahu a'lam.

Tuesday, 8 July 2014

MAKMUM MASBUK KETINGGALAN DARI RUKUK BERSAMA IMAM KERANA INGIN MENGHABISKAN FATIHAHNYA

Soalan; salam ustaz, apabila makmum angkat takbir sejurus imam habis baca fatehah... disebabkan imam baca surah pendek dan terus rukuk... ditambah pula makmum bacaan fatehahnya agak perlahan... perlukah terus ikut rukuk bersama imam atau menghabiskan bacaan fatehah dgn syarat tidak tertinggal 2 rukun.

Adakah solat makmum tersebut sah sekiranya tidak rukuk bersama imam semata2 ingin menghabiskan bacaan fatehahnya. terima kasih ustaz. mohon pencerahan dan salam Ramadhan.

Jawapan;

Bismillah. Makmum yang terkemudian dari imam di mana ia mula ikut imam ketika imam hampir rukuk (iaitu tidak cukup masa baginya membaca fatihah hingga selesai) atau ketika imam telah rukuk, ia dinamakan makmum masbuk. Makmum masbuk dimaafkan untuk tidak membaca fatihah atau tidak menghabiskan baki fatihahnya, kerana fatihahnya ditanggung oleh imam. Oleh itu, apabila imam rukuk, wajib ia turut rukuk bersama imam. Jika ia tidak rukuk bersama imam -kerana ingin menghabiskan fatihahnya- hingga imamnya bangun dari rukuk (dan ia ketinggalan rukuk bersama imam), perbuatannya itu makruh dan luput rakaat tersebut darinya (yakni dia wajib menambah rakaat selepas imam memberi salam). Jika ia ketinggalan dari imam hingga dua rukun fi'li, batallah solatnya. (1)


Wallahu a'lam.
Nota;
(1) Terjemahan al-Qaul at-Taam Fi Ahkam al-Ma'mum wa al-Imam, Dato' Syeikh Haji Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar, hlm. 25.

HUKUM KAD KREDIT YANG MENGENAKAN FAEDAH LEWAT BAYAR

Soalan;  Assalamualaikum, saya ada mempunyai satu kredit kad konvensional. Tujuan utama saya gunakan kredit kad ialah untuk perniagaan di mana saya mengunakan modal perniagaan dari pengeluaran tunai pada kad kredit saya. Di mana setiap pengeluaran tunai saya dikenakan caj pengurusan sebanyak 5%. Buat masa ini saya belum pernah kena "penalty charges" sebab saya bayar pada tempoh yang ditetapkan.

Persoalan saya adakah penggunaan kredit kad dibenarkan dalam islam? dan apakah hukumnya ke atas denda kelewatan bayar yang dikenakan pihak bank?

Harap persoalan saya dapat dijawab. Sekian.
 
Jawapan;
 
Bismillah. Kad Kredit yang mengenakan faedah lewat bayar telah difatwakan ulamak sebagai haram di sisi Syariat sekalipun pemegang kad berazam membayar dalam tempoh ditetapkan (untuk mengelak dikenakan penalti) kerana dua faktor;(1)

1. Pemegang telah menurunkan tandatangan ketika kontrak/akad untuk membayar denda lewat bayar itu jika berlaku kelewatan membayar darinya, itu merupakan persetujuan untuk bermuamalah secara riba dan dilarang oleh Syarak.

2. Pemegang telah meletakkan dirinya dalam kemungkinan melakukan riba, iaitu apabila benar-benar berlaku kelewatan bayar dalam waktu yang tetapkan.
Para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam Antarabangsa kali ke 12 di Riyadh (bulan Rejab 1421H, bersamaan September 2000) telah memutuskan hukum-hakam berkenaan kad kredit, antara yang diputuskan; tidak harus mengeluar atau mengguna kad kredit yang mengenakan faedah ribawi, sekalipun pemohon kad berhasrat membuat pembayaran pada tarikh yang dibenarkan (bagi mengelak dikenakan faedah tersebut).(2)
Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 2834.
(2) Dinaqal dari; Fatawa Dr. Hussam 'Affanah (http://yasaloonak.net), 12/69.

SOLAT SAMBIL DUDUK ATAS KURSI

Soalan; Ustaz, untuk makluman saya solat menggunakan kerusi oleh kerana saya tidak boleh duduk antara sujud.  Bolehkah saya solat duduk di atas kerusi sepanjang waktu solat.  Bagaimana dengan solat terawih dan solat sunat yang lain.   Sekiranya kita berhenti solat seperti di tempat minyak petronas tidak disediakan kerusi, bagaimanakah cara saya hendak solat. Terima kasih. 

Jawapan; 

Bismillah.

1. Seorang yang dalam keuzuran diberi kelonggaran oleh Syarak (yakni Allah dan Rasul) untuk melakukan ibadat mengikut kemampuannya. Firman Allah (bermaksud); "Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya mampu kamu" (surah at-Taghabun, ayat 16). Nabi saw bersabda; "Bila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, lakukannya mengikut yang mampu kamu lakukan" (ٍٍSoheh al-Bukhari; 7288).

Khusus tentang solat Nabi saw bersabda; "Solatlah dengan berdiri. Jika tidak mampu berdiri, solatlah sambil duduk. Jika tidak mampu duduk, solatlah dengan mengiring di atas rusuk kamu" (Soheh al-Bukhari; 1117).

2. Jika setengah rukun solat mampu dilakukan seperti biasa dan setengah lagi tidak mampu dilakukan seperti biasa, maka yang mampu wajib dilakukan seperti biasa dan yang tidak mampu barulah dilakukan mengikut yang terdaya. Ini kerana para ulamak menegaskan dalam kaedah mereka; "Yang mudah dilakukan tidak akan gugur dengan kerana ada yang susah dilakukan"(1). Oleh itu, jika saudara mampu berdiri dan rukuk seperti biasa, wajiblah saudara memulaikan solat dengan berdiri dan ketika hendak sujud barulah saudara duduk di atas kursi dan melakukan sujud dan duduk antara dua sujud di atas kursi mengikut kemampuan saudara. Jika perpindahan dari berdiri kepada duduk itu menyulitkan saudara atau menyakitkan, gugurlah kewajipan berdiri itu dan saudara boleh terus duduk. Begitu juga, jika tidak menemui kerusi untuk duduk, saudara boleh solat dengan duduk di atas lantai sama ada dengan terus duduk (jika tidak mampu berdiri dari awal) atau duduk ketika hendak sujud dan duduk antara dua sujud sahaja, yakni; lakukan apa yangmampu dilakukan.

3. Itu adalah bagi solat fardhu. Adapun solat sunat, harus dilakukan sambil duduk dari awal sekalipun mampu berdiri, namun pahalanya separuh dari solat sambil berdiri jika ia sengaja duduk. Adapun orang yang duduk kerana keuzuran, pahalanya sama seperti orang yang solat berdiri. Sabda Nabi saw; "Apabila seorang itu sakit atau bermusafir, akan ditulis pahala untuknya sebagaimana amalannya ketika sihat dan ketika dalam negeri" (Soheh al-Bukhari; 2996. Musnad Ahmad; 19679).

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Lihat;  al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti, halaman 159. Mengulas kaedah ini, Imam as-Suyuti berkata; di antara cabang kaedah ini ialah; jika seseorang itu ketika solat dia tidak mampu rukuk dan asujud (seperti biasa), namun masih mampu berdiri, wajiblah dia (memulai solat dengan) berdiri. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Syafiie). 

Sunday, 6 July 2014

BENARKAH MATI DI BULAN RAMADHAN SELAMAT DARI SOAL KUBUR?

Soalan; Assalamualaikum ustaz! Di sini saya ingin bertanya, betul ke, saya dengar seseorang yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan akan terlepas daripada soal kubur sehingga hari kiamat...pohon penjelasan ustaz.

Jawapan;

Bismillah. Orang yang mendakwanya perlu membawa dalil syarak (al-quran atau hadis). Setakat ini dalam pencarian saya belum menemui hadis yang menyebutnya. Ada hadis menyebutkan; "Sesiapa yg berpuasa kerana Allah, lalu dia mati ketika sedang berpuasa, akan masuk syurga" (Musnad Ahmad: 23324, soheh). Hadis ini menyebutkan kelebihan mati ketika puasa. Jika seorang itu mati dalam bulan Ramadhan ketika sedang berpuasa dia masuk dalam hadis ini. Adapun kelebihan mati dalam bulan Ramadhan sahaja (tanpa kaitan dengan puasa), belum menemui hadis tentangnya. Wallahu a'lam.

ADAKAH IBU MERTUA SETARAF IBU SENDIRI? HUKUM MENCERCA IBU MERTUA

Soalan; Assamualaikum ustaz, Saya ingin mohon pencerahan dari ustaz mengenai Taraf ibu mertua dgn menantu lelaki. Adakah sama seperti ibu kandungnya sendiri? Sekiranya dia pernah berbuat sesuai yang dianggap kurang ajar terhadap ibu mertuanya seperti memaki, menghalau sehingga menitiskan air mata si mertua, adakah dia telah tergolong sebagai telah melakukan dosa besar juga dianggap anak derhaka & tidak mencium bau syurga seperti yg selalu kita dgr jika berbuat kepada ibu sendiri. Mohon penjelasan ustaz.
Sekian terima kasih.

Jawapan; Bismillah. Ibu mertua tidaklah setara dgn ibu kandung sendiri. Namun bersikap kasar dan biadap kpd ibu mertua tetap berdosa sekalipun tidak sebesar dosa menderhaka kpd ibu sendiri. Wallahu a'lam.

Soalan2; Terima kasih ustaz atas jawapan. Mohon pencerahan lagi ustaz, apakah kategori dosa itu ustaz? Dosa kecil atau dosa besar? Apakah benar kedudukan ibu mertua adalah Selepas ibu kandungnya? Seperkara lagi ustaz, adakah seorang nenek mempunyai Hak utk berjumpa cucunya? Sekiranya Hak itu Ada & dinafikan apakah hukumnya ustaz? Terima kasih atas perhatian.

Jawapan; Bismillah.

1. Tidaklah dapat dipastikan kedudukan ibu mertua adalah selepas ibu kandung tanpa dalil syarak. Setakat ini saya belum bertemu dalil yg mengesahkan perkara tersebut.

2. Berbuat kejahatan kpd ibu mertua ditegah syarak sama seperti berbuat jahat kpd org lain, malah tegahan itu lebih kuat krn dua faktor:
a) Ia menyalahi arahan Allah dan Rasul supaya melayani isteri dgn baik, termasuk dlm pengertiannya ialah melayani keluarga isteri terutama ibu-bapanya.
b) Bersikap biadap kpd ibu mertua seolah mengajar anak2 supaya bersikap biadap dgn nenek mereka sendiri, dan mungkin memutuskan silaturrahim antara mereka.
Adapun kategori dosa -besar atau kecil- ia bergantung kpd jenis kejahatan. Jika membabitkan cercaan dan makian sbg contohnya, maka ia adalah dosa besar. Sabda Nabi saw: "Mencerca org Islam adalah fasik dan nembunuhnya adalah kufur" (Soheh al-Bukhari).

3. Antara nenek dan cucu ada ikatan rahim (silaturrahim). Memutuskan ikatan rahim adalah dosa besar. Sabda Nabi saw: "Tidak akan masuk syurga org yg memutuskan hubungan rahim" (Soheh al-Bukhari). Suami yg menghalang anak2nya dari berhubung dgn nenek mereka tanpa sebab ia mengajar mereka melakukan dosa besar memutuskan rahim, dan mungkin berjangkit kpd tidak nenghormati ibu sendiri satu hari nanti.

Wallahu a'lam.

MENCELUP UBAN DENGAN INAI HITAM

Soalan; salam..ust apakah hukum inaikan rambut dgn inai hitam yg halal...kerana rambut beruban sejak umur 12 tahun lg..skarang 35 thn..bolehkah hitamkan rambut dgn inai hitam ( bukan dail )..tima ksh ust

Jawapan;

Bismillah. Digalakkan mewarnakan uban, namun jgn dengan pewarna yg berwarna hitam. Sabda Nabi saw: Nabi pernah berkata kepada Abi Qahafah (bapa Saidina Abu Bakar) yang datang kepada Nabi dengan rambut dan janggut yang telah memutih (kerana uban); “Ubahlah warna rambut dan janggut kamu itu dengan sesuatu, akan tetapi jauhilah warna hitam” (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.). Berkata Imam an-Nawawi; “Menurut mazhab Syafi’ie digalakkan mencelup uban dengan warna kuning dan merah sama ada bagi lelaki atau perempuan dan haram mencelupnya dengan warna hitam mengikut pandangan yang paling benar” (Syarah Soheh Muslim, juz. 14). Menurut ulamak: harus mencelup dgn warna hampir hitam asalkan bukan benar2 hitam (aunul ma'bud). Wallahu a'lam.

Sunday, 22 June 2014

PENYAKIT WAS WAS

Soalan :
Assalamualaikum ustaz..
Saya mempunyai masalah was-was yang melampau berkaitan dengan ibadah. Saya risau masuk tandas kerana bayangkan kasut akan kotor kerana pijak lantai tandas, dan duduk bersila diperhimpunan pagi kerana membayangkan ia kotor dan seluar/kain yang dipakai tak boleh bawa dalam solat.

Saya pun dah selalu ambil wudhu' atau mandi hadas banyak kali sebab saya rasa macam saya tak sempurna, kadang-kadang rasa dah sempurna, tapi macam ade suara membisik cakap yang saya kena ambik wudhu' lagi...

 dan pelbagai urusan lagi. mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Bismillah.

Berkata imam syafiie: "Kita diperintahkan agar mengukur berdasarkan apa yg zahir/nampak. Adapun yg tersembunyi itu serahkan kpd Allah". Maka utk mengelak dari waswas, berhukumlah berdasrkan apa yg nampak, jgn membuat andaian dari yg tidak nampak. Jika tidak nampak tanda najis (iaitu wrna, bau dan sbgnya) maka tempat itu suci. Jika tidak berlaku pada kita sbrang perkara yg nenbatalkan wudhuk maka wudhuk masih kekal, tak perlu diulang.

 Wallahu a'lam.

Tuesday, 3 June 2014

CARA MANDI WAJIB BAGI PESAKIT

SOALAN : Assalamualaikum.. Saya ingin bertanya ustaz tentang mandi wajib. Saya telah menjalani pembedahan di bahagian perut dan ditampal dengan pembalut luka yang kalis air. Bagaimana cara untuk saya mandi wajib dan menjalankan solat? Terima kasih. JAWAPAN : Bismillah, 1. Mandi seperti biasa bagi kawasan yg tidak bertampal, 2. Kawasan bertampal; sapukan air atasnya, 3. Tayammum selepas mandi bagi kawasan yg tidak dapat disampaikan air, iaitu dengan menyapu debu ke muka dan tangan. Wallahu a'lam.

Friday, 30 May 2014

MAKAN MALAM BERSAMA MAJIKAN

SOALAN :

Assalamualaikum,

Yang Terhormat Ustaz, Apakah hukum bagi seorang wanita yang sudah bersuami yang sering keluar makan malam dengan seorang lelaki yg bukan mahramnya (boss, majikan, atau kawan).

Untuk menutup di tuduh berkhalwat, si istri ini membawa seorang teman wanita untuk menemaninya. Perkara ini sering berlaku. Dan sekiranya si istri ini di beri izin suami untuk keluar makan dengan lelaki yg bukan muhrim nya ada kah ini diperbolehkan.

 Sekian dan terima kaseh.

JAWAPAN :

Wassalam.

Bismillah, sebarang perkara yang membuka jalan kepada berlakunya kemungkaran wajib ditutup. Setiap orang wajib menjaga diri dari terjerumus ke dalam kemungkaran.

Seorang suami pula wajib menjaga isterinya atau anak perempuannya dari terjerumus dalam kemungkaran. Oleh itu, tidak harus dia membenarkan isteri atau anak perempuannya bebas keluar dengan lelaki yang bukan mahram mereka.

Firman Allah; "Wahai orang beriman, jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka" (surah at-Tahrim, ayat 6).

 Wallahu a'lam

Thursday, 29 May 2014

BERIMAMKAN IMAM SOLAT JAMAK

SOALAN

Salam Ustaz.
nak tanya mengenai solat jamak qasar... boleh ke kalau orang solat biasa menjadi makmum kepada orang yang tengah solat jamak qasar? dan bolehkah sebaliknya pula?

JAWAPAN

Bismillah,
1. Menurut mazhab Syafie: boleh org solat biasa menjadi makmum kpd org yg solat jamak dan qasar. Selepas imam beri salam, dia hendaklah mencukupkan rakaat solatnya seperti biasa.
2. Adapun sebaliknya: tidak harus org yg solat qasar berimamkan org solat biasa. Jika dia mengetahuinya di tengah solat, wajib dia mengubah solatnya dari qasar kpd solat biasa.
3. Bagi jamak pula, tidak menjadi larangan selepas mengikut imam bagi solat pertama, setelah selesai solat makmum bangun mengerjakan pula solat kedua. Yakni harus makmum yang menjamak solat menjadi makmum kpd imam yg tidak menjamakkan solat.

Wallahu a'lam.

Wednesday, 21 May 2014

MAJIKAN BERSAMA PEMBANTU RUMAH KETIKA KETIADAAN ISTERI

Soalan :
Assalamualaikum Mohon penjelasan ttg kedudukan seorang majikan lelaki bersama pembantu rumah di dalam rumahnya ketika ketiadaan isterinya di rumah, tetapi terdapat anak2 yg masih kecil. Adakah boleh dianggap khulwah/khalwat?

Jawapan:

Bismillah,

Ya, dianggap khalwat kerana Nabi SAW bersabda; "Janganlah seorang lelaki bersunyian (berkhalwat) dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya (yakni mahram wanita itu)" (Soheh al-Bukhari; 1862. Muslim; 1341).

Perbuatan tersebut boleh menimbulkan keraguan dan mendorong kepada berlakunya zina. Kehadiran anak-anak yang masih kecil tidak menggugurkan hukum tersebut kerana kewujudan mereka tidak dapat menutup keraguan dan tidak menghalang dari zina. Wallahu a'lam.

TIDUR MENIARAP

Soalan:
Assalamualaikum ust
Boleh Jelaskan hukum tidur meniarap dan dalilnya

Jawapan:

Bismillah,
Terdapat hadis dr Abu Hurairah ra menceritakan; Nabi saw melihat seorang lelaki tidur dgn melentang atas perutnya (yakni meniarap), lantas baginda berkata; "Ini adalah tidur yg tidak disukai Allah" (Musnad Ahmad: 7862, 8041. Sunan at-Tirmizi: 2768., isnadnya hasan). Dalam riwayat lain: "Ini adalah tidur yg dibenci Allah" (Musnad Ahmad: 15543. Sunan Abi Daud; 5040. Hasan lighairihi)

Monday, 12 May 2014

HUKUM TAHI CICAK DAN TAHI ANJING KERING

HUKUM TAHI CICAK DAN TAHI ANJING KERING

Soalan.
Assalamualaikum.
1, semasa solat terkena /terpijak tahi cicak kering,bagaimana dengan solatnya.
2, terpijak tahi anjing kering.perlukah samak/sertu.

Mohon penjelasan.terima kasih.

Jawapan; Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah,

1. Segala jenis tahi adalah najis. Apabila terkena pakaian, wajib dicuci sebelum memakainya ketika solat. Jika menyedari ada najis pada pakaian setelah solat, solat batal dan wajib diulang semula. Jika ingin memakai pakaian itu, wajib membasuh kawasan yang dikenai najis, kemudian baru memakainya untuk solat. Najis hanya dimaafkan jika terlalu sedikit, payah dijaga dan sukar dielakkan. Najis yang dianggap sedikit ialah yang tidak kelihatan oleh mata, contohnya; lalat yang hinggap di baju kita. Kemungkinan ada najis yang dibawanya, namun najis itu dimaafkan kerana tidak dilihat oleh mata, lagipun sukar menjaga lalat dari menghinggap kita. Adapun tahi cicak, ia dapat dilihat oleh mata, kerana itu dikira banyak dan tidak dimaafkan. Maka wajiblah diulangi semula solat.

Itu adalah menurut mazhab Syafiie. Sebahagian ulamak (antaranya mazhab Maliki) berkata; najis dikira banyak apabila melebihi saiz satu dirham . Jika kurang dari saiz itu, dikira sedikit dan dimaafkan. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 40/114).

2. Menurut ulamak; najis ketika kering tidak akan berpindah kepada orang/objek yang menyentuhnya. Maka apabila kita menyentuh najis ketika kita kering dan najis itu juga kering, tidak dituntut kita membasuh anggota/pakaian kita yang menyentuh najis itu kerana pemindahan najis tidak berlaku. Maka apabila pakaian kita terkena tahi cicak kering (atau kita memijaknya), memadai dengan kita membuangnya dan tidak wajib kita membasuh pakaian/pakaian kita. Hukum yang sama bagi kes terpijak tahi anjing kering. Namun jika tahi kering itu melekat pada pakaian atau anggota kita dan kita hanya menyedarinya selepas solat, solat kita dikira batal kerana kita solat dalam keadaan membawa najis. Hendaklah dibuang najis kering itu, kemudian ulang semula solat.

Wallahu a’lam.

MEMAKAI PENUTUP MUKA KETIKA IHRAM

MEMAKAI PENUTUP MUKA KETIKA IHRAM

Soalan

Saya akan menunaikan umrah pada bulan May ini.Memandangkan sekarang terdapat penularan wabak penyakit Mers-Cov yg dilaporkan berasal dr Arab Saudi,pihak media telah menyarankan supaya bakal2 umrah memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan. Bolehkah pemakaian topeng muka apabila dlm berihram atau mohon ustaz beri pencerahan @ penjelasan berhubung perkara ini terima kasih.

Jawapan;

 Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah,

 Bagi lelaki, menutup muka tidak dilarang, maksudnya; ia tidak termasuk dalam larangan-larangan ihram.
Adapun bagi wanita, ia dilarang kerana Nabi SAW bersabda;

 وَلاَ تَنْتَقِبِ المَرْأَةُ المُحْرِمَةُ، وَلاَ تَلْبَسِ القُفَّازَيْنِ
“Janganlah wanita yang berada di dalam ihram memakai niqab (tutup muka) dan jangan juga memakai sarung dua tangannya” (Soheh al-Bukhari; 1838, dari Ibnu ‘Umar RA). Oleh itu, memakai topeng muka semasa dalam ihram diharuskan bagi lelaki. Adapun bagi wanita, dilarang.

Kecualilah jika dalam keadaan terpaksa –seperti untuk menjaga jangkitan wabak penyakit -, maka dibolehkan (yakni tidak berdosa melakukannya), namun wajib dikeluarkan dam, iaitu; menyembelih kambing, atau berpuasa 3 hari atau memberi makan enam fakir miskin (setiap seorang ½ cupak) (Rujuk; surah al-Baqarah, ayat 196).

 Wallahu a’lam.

Wednesday, 7 May 2014

SUAMI ENGGAN BERKERJA DAN MENGABAIKAN NAFKAH

SUAMI ENGGAN BERKERJA DAN MENGABAIKAN NAFKAH

Soalan

Apakah hukum nya kalau seorang suami yg masih muda dan cergas lagi menggangur. Beliau tidak langsung mahu mencari pekerjaan sunnguh pun sang isteri sudah berkali2 menasihatkan dia untuk cari apa saja kerja tidak kira pendapatan atau gaji nya kecil dari gaji istri. Sang isteri yang bekerja terpaksa membiayai semua perbelanjaan rumah dan anak termasuk makan minum suaminya walau pun pendpatan isteri kecil.

Jawapan;

Bismillah,

1. Apabila seorang lelaki telah berkahwin dan berkeluarga, wajib dia menanggung nafkah isteri (*sekalipun isteri kaya atau bergaji) dan juga anak-anaknya mengikut yang sepatutnya, merangkumi tempat tinggal, belanja makan, pakaian dan sebagainya dari keperluan hidup.

Sabda Nabi SAW; “Ketahuilah bahawa hak mereka (yakni isteri-isteri kamu) ke atas kamu (yakni yang mesti kamu tunaikan) ialah kamu menyediakan dengan baik (keperluan) makanan dan pakaian untuk mereka” (Sunan at-Tirmizi; 1163, dari ‘Amru bin al-Ahwash RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh). 

Oleh itu, amat perlu seorang suami mempunyai pekerjaan atau sumber pendapatan yang membolehkannya menunaikan kewajipan memberi nafkah tersebut. 

2. Isteri sekalipun kaya dan bergaji, tidak dituntut menanggung nafkah dirinya dan keluarga (termasuk membiayai perbelanjaan rumah dan anak-anak) kerana itu adalah tanggungjawab suami. Suami tidak berhak memaksa isteri membelanjakan wangnya atau gajinya untuk perbelanjaan keluarga, kecuali dengan kerelaan isteri untuk membantu suami. Keengganaan isteri dalam hal ini tidak dianggap nusyuz.

 3. Atas sebab pengabaian nafkah oleh suami, isteri berhak menuntut cerai dari suami atau membuat tuntutan kepada Qadhi.

 Wallahu a’lam.

AURAT DAN PERKAHWINAN ANTARA ADIK BERADIK TIRI

AURAT DAN PERKAHWINAN ANTARA ADIK BERADIK TIRI

Soalan

Seorang janda yang mempunyai anak lelaki berkahwin dengan duda yang mempunyai anak perempuan 
-apakah ada aurat antara adik beradik tiri tersebut? 
-bolehkah adik beradik tiri tersebut berkahwin?
 sekian,terima kasih....

 Jawapan;

Bismillah,

1. Di antara adik beradik tiri tidak ada sebarang ikatan mahram. Mereka adalah ajnabi dan anjabiyah antara satu sama lain. Oleh itu, wajib menutup aurat sesama mereka (*termasuk memakai tudung), tidak harus mereka berduaan dan tidak harus bersalaman. Kerana tiada ikatan mahram, mereka berdua boleh berkahwin.

2. Ikatan mahram hanyalah antara bapa dan anak tirinya, dan antara ibu dan anak tirinya. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita dan ia mensetubuhi wanita itu, haram selepas itu dia mengahwini anak perempuan wanita itu (yakni anak tirinya). Larangan disebut Allah dalam surah an-Nisa’ (bermaksud); “Dan (turut diharamkan ke atas kamu mengahwini) anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu setubuhi, tetapi jika kamu belum setubuhinya, maka tidak berdosa kamu mengawini (anak perempuannya, iaitu setelah kamu ceraikan ibunya)” (Surah an-Nisa’, ayat 23).

Begitu juga, haram mengahwini ibu tiri. Di dalam al-Quran Allah melarang seorang lelaki mengahwini wanita yang pernah dikahwini bapanya. “Dan janganlah kamu kawini wanita yang pernah dikahwini oleh ayahmu” (Surah an-Nisa’, ayat 22). Wallahu a’lam.

Monday, 5 May 2014

HUKUM TUNDUK UNTUK MENGHORMATI

HUKUM TUNDUK UNTUK MENGHORMATI

Soalan

Menghormati seseorang dengan menundukkan kepala di hadapannya, apakah dibenarkan Islam? 

Jawapan;

Bismilllah, Dalam Sunan at-Tirmizi, Anas bin Malik RA menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW; ‘Wahai Rasulullah, jika seorang dari kami bertemu sahabatnya, bolehkah dia membongkok kepadanya?’. Jawab baginda; ‘Tidak boleh’. Dia bertanya lagi; ‘Bagaimana jika dia memeluk dan mengucupnya?’. Baginda menjawab; ‘Tidak boleh’. Dia bertanya lagi; ‘Bagaimana jika dia berjabat tangan dengannya?’. Baginda menjawab; ‘Ya, boleh’ (Sunan at-Tirmizi; 2728. Berkata at-Tirmizi; hadis hasan). 

Berdasarkan hadis ini, kita boleh memahami bahawa menghormati seseorang dengan membongkok di hadapannya tidak disukai agama. Menurut ulamak; jika membongkok itu sampai ke paras yang menyamai rukuk dalam solat, hukumnya adalah haram kerana ia menyerupai sembahan kepada Allah. Jika atas dari kadar rukuk (seperti sekadar menundukkan kepala sahaja), hukumnya makruh dan sebolehnya tidak dilakukan (rujuk; al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 23/135, perkataan; ‘ruku’’. Dalil al-Falihin, bab Istihbab al-Musafahah).

 Wallahu a’lam bis-shawab

Sunday, 4 May 2014

Bapa Mertua Tidak Solat

Soalan.
Ustaz, sejak perkahwinan saya, bapa mertua saya tidak pernah solat. Bagaimana saya nak tegur beliau? Terima kasih ustaz.

Jawapan.

 Bismillah,
1. mohon kepada Allah supaya Dia membuka pintu hati bapa mertua saudara, jgn jemu berdoa.
2. Ada ruang tunaikan solat di rumah agar menjadi contoh dan semoga bapa mertua saudara terfikir tentang dirinya yang tidak solat.
3. Jika ada ruang untuk mengajaknya ke majlis ilmu, ajaklah.
4. Jika ada orang yang diseganinya, berbincanglah dengan orang itu, minta dia menyampaikan nasihat kepada mertua saudara.
wallahu a'lam.

ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?

Soalan;  ustaz, se pertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suami...