Tuesday, July 8, 2014

HUKUM KAD KREDIT YANG MENGENAKAN FAEDAH LEWAT BAYAR

Soalan;  Assalamualaikum, saya ada mempunyai satu kredit kad konvensional. Tujuan utama saya gunakan kredit kad ialah untuk perniagaan di mana saya mengunakan modal perniagaan dari pengeluaran tunai pada kad kredit saya. Di mana setiap pengeluaran tunai saya dikenakan caj pengurusan sebanyak 5%. Buat masa ini saya belum pernah kena "penalty charges" sebab saya bayar pada tempoh yang ditetapkan.

Persoalan saya adakah penggunaan kredit kad dibenarkan dalam islam? dan apakah hukumnya ke atas denda kelewatan bayar yang dikenakan pihak bank?

Harap persoalan saya dapat dijawab. Sekian.
 
Jawapan;
 
Bismillah. Kad Kredit yang mengenakan faedah lewat bayar telah difatwakan ulamak sebagai haram di sisi Syariat sekalipun pemegang kad berazam membayar dalam tempoh ditetapkan (untuk mengelak dikenakan penalti) kerana dua faktor;(1)

1. Pemegang telah menurunkan tandatangan ketika kontrak/akad untuk membayar denda lewat bayar itu jika berlaku kelewatan membayar darinya, itu merupakan persetujuan untuk bermuamalah secara riba dan dilarang oleh Syarak.

2. Pemegang telah meletakkan dirinya dalam kemungkinan melakukan riba, iaitu apabila benar-benar berlaku kelewatan bayar dalam waktu yang tetapkan.
Para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam Antarabangsa kali ke 12 di Riyadh (bulan Rejab 1421H, bersamaan September 2000) telah memutuskan hukum-hakam berkenaan kad kredit, antara yang diputuskan; tidak harus mengeluar atau mengguna kad kredit yang mengenakan faedah ribawi, sekalipun pemohon kad berhasrat membuat pembayaran pada tarikh yang dibenarkan (bagi mengelak dikenakan faedah tersebut).(2)
Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah (http://www.islamweb.net), no. 2834.
(2) Dinaqal dari; Fatawa Dr. Hussam 'Affanah (http://yasaloonak.net), 12/69.
Post a Comment