Selasa, 8 Julai 2014

SOLAT SAMBIL DUDUK ATAS KURSI

Soalan; Ustaz, untuk makluman saya solat menggunakan kerusi oleh kerana saya tidak boleh duduk antara sujud.  Bolehkah saya solat duduk di atas kerusi sepanjang waktu solat.  Bagaimana dengan solat terawih dan solat sunat yang lain.   Sekiranya kita berhenti solat seperti di tempat minyak petronas tidak disediakan kerusi, bagaimanakah cara saya hendak solat. Terima kasih. 

Jawapan; 

Bismillah.

1. Seorang yang dalam keuzuran diberi kelonggaran oleh Syarak (yakni Allah dan Rasul) untuk melakukan ibadat mengikut kemampuannya. Firman Allah (bermaksud); "Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya mampu kamu" (surah at-Taghabun, ayat 16). Nabi saw bersabda; "Bila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, lakukannya mengikut yang mampu kamu lakukan" (ٍٍSoheh al-Bukhari; 7288).

Khusus tentang solat Nabi saw bersabda; "Solatlah dengan berdiri. Jika tidak mampu berdiri, solatlah sambil duduk. Jika tidak mampu duduk, solatlah dengan mengiring di atas rusuk kamu" (Soheh al-Bukhari; 1117).

2. Jika setengah rukun solat mampu dilakukan seperti biasa dan setengah lagi tidak mampu dilakukan seperti biasa, maka yang mampu wajib dilakukan seperti biasa dan yang tidak mampu barulah dilakukan mengikut yang terdaya. Ini kerana para ulamak menegaskan dalam kaedah mereka; "Yang mudah dilakukan tidak akan gugur dengan kerana ada yang susah dilakukan"(1). Oleh itu, jika saudara mampu berdiri dan rukuk seperti biasa, wajiblah saudara memulaikan solat dengan berdiri dan ketika hendak sujud barulah saudara duduk di atas kursi dan melakukan sujud dan duduk antara dua sujud di atas kursi mengikut kemampuan saudara. Jika perpindahan dari berdiri kepada duduk itu menyulitkan saudara atau menyakitkan, gugurlah kewajipan berdiri itu dan saudara boleh terus duduk. Begitu juga, jika tidak menemui kerusi untuk duduk, saudara boleh solat dengan duduk di atas lantai sama ada dengan terus duduk (jika tidak mampu berdiri dari awal) atau duduk ketika hendak sujud dan duduk antara dua sujud sahaja, yakni; lakukan apa yangmampu dilakukan.

3. Itu adalah bagi solat fardhu. Adapun solat sunat, harus dilakukan sambil duduk dari awal sekalipun mampu berdiri, namun pahalanya separuh dari solat sambil berdiri jika ia sengaja duduk. Adapun orang yang duduk kerana keuzuran, pahalanya sama seperti orang yang solat berdiri. Sabda Nabi saw; "Apabila seorang itu sakit atau bermusafir, akan ditulis pahala untuknya sebagaimana amalannya ketika sihat dan ketika dalam negeri" (Soheh al-Bukhari; 2996. Musnad Ahmad; 19679).

Wallahu a'lam.

Nota;

(1) Lihat;  al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti, halaman 159. Mengulas kaedah ini, Imam as-Suyuti berkata; di antara cabang kaedah ini ialah; jika seseorang itu ketika solat dia tidak mampu rukuk dan asujud (seperti biasa), namun masih mampu berdiri, wajiblah dia (memulai solat dengan) berdiri. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan kami (yakni ulamak-ulamak mazhab Syafiie). 

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...