Sunday, 28 May 2017

5 TIP MENCAPAI PUASA YANG SEMPURNA

Soalan; apa kayu ukur bagi puasa saya, adakah ia sempurna atau tidak? diterima Allah atau tidak diterima?

Jawapan;

Berdasarkan beberapa ayat al-Quran dan hadis, kita dapat menyimpulkan tip-tip (petua) untuk mencapai puasa yang sempurna seperti berikut;
 
1.      Berpuasalah untuk memenuhi tuntutan iman, bukan hanya kerana adat atau kebiasaan berpuasa. Di dalam al-Quran, sebelum Allah menyuruh kita berpuasa, Dia memanggil kita terlebih dahulu dengan panggilan iman iaitu ‘Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa…” (lihat surah al-Baqarah, ayat 183). Nabi SAW juga bersabda; “Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan kerana mengharapkan ganjaran (di sisi Allah), akan diampunkan segala dosanya yang lalu” (Soheh al-Bukhari; 38. Dari Abu Hurairah RA).

2.      Berpuasalah dengan mengharap dan menghitung-hitung pahala di sisi Allah. Nabi SAW bersabda dalam hadis tadi; “Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan kerana mengharap ganjaran (di sisi Allah)…”. Para ulamak mengsyorkan kepada kita agar sentiasa membaca hadis-hadis soheh tentang fadhilat amalan, supaya kita sentiasa mengingati ganjaran yang bakal kita perolehi dari amalan yang kita kerjakan dan itu memberi semangat kepada kita untuk terus beramal dan sentiasa memperelokkannya agar mendapat ganjaran yang sempurna. Khusus tentang puasa, hadis-hadis yang memperkatakan fadhilat puasa cukuplah banyak.

3.      Pelajari tentang hakikat puasa agar kita dapat berpuasa dengan wajah sebenar mengikut yang dikehendaki Allah dan dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Apa sahaja ibadah adalah mustahil untuk kita melakukannya dengan betul dan sempurna tanpa kita mengetahui hakikatnya. Kerana itu para ulamak menegaskan; “العلم يسبق العمل” (ilmu mendahului amal).

4.      Mengetahui tujuan puasa dan berusaha mencapainya. Bagi setiap ibadah, ada tujuan atau sasaran yang disebut Allah untuknya di dalam al-Quran atau al-Hadith untuk kita capai. Solat –sebagai contohnya-, tujuannya ialah mengingati Allah. “Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku” (surah Toha, ayat 14). Apa tujuan puasa? Untuk mencapai takwa. Dalam ayat yang menyebutkan tentang kewajipan puasa tadi (iaitu ayat 183, dari surah al-Baqarah), Allah menegaskan di hujungnya; “…..agar (dengan puasa itu) kamu bertakwa (kepada Allah)”.

5.      Hendaklah menyedari bahawa semasa berpuasa kita sedang berada dalam ibadah. Tempoh puasa adalah panjang iaitu dari mula masuk waktu subuh hinggalah tiba maghrib (terbenam matahari), iaitu kira-kira 13 jam. Sepanjang tempoh itu kita sebenarnya berada dalam ibadah. Maka jagalah ucapan dan tingkah laku kita sepanjang hari berpuasa itu kerana kita dalam ibadah. Nabi SAW sendiri mengingatkan kita; “Puasa itu tidak hanya menahan dari makan dan minum, akan tetapi juga menahan dari ucapan sia-sia dan kotor. Maka jika ada sesiapa mencela kamu atau menjahilkan kamu (jangan kamu membalasnya), akan tetapi jawab kepadanya; ‘Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa’” (Soheh Ibnu Khuzaimah; 1996. Dari Abu Hurairah RA. Isnadnya soheh). Sebaliknya hendaklah kita banyak berzikir, beristighfar dan berdosa semasa sedang berpuasa. Nabi SAW bersabda; “Ada tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka oleh Allah; (salah seorang dari mereka ialah) orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka” (Sunan at-Tirmizi; 3598. Dari Abu Hurairah RA. Hadis hasan).

Wallahu a’lam.

0 ulasan: