Rabu, 31 Mei 2017

ORANG BUKAN ISLAM MEMASUKI MASJID?

Apa hukum orang bukan Islam memasuki masjid? Adakah dilarang sepenuhnya? Atau diharuskan dengan syarat-syarat tertentu?

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie –sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin-; Diharuskan kepada orang-orang kafir untuk memasuki mana-mana masjid selain Masjidil Haram dan masjid-masjid dalam Tanah Haram, dengan syarat mendapat keizinan dari orang-orang Islam. Tidak harus mereka memasuki Tanah Haram dalam apa jua keadaan sekalipun. Adapun masjid-masjid selain Masjidil Haram, harus mereka memasukinya dengan keizinan kaum muslimin. Tidak harus tanpa keizinan kaum muslimin mengikut qaul soheh (dalam mazhab Syafiie) (Rujukan; Raudhatu at-Talibin (Imam an-Nawawi), 1/301).

Larangan orang kafir memasuki Masjidil Haram adalah berdalilkan firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu adalah kotor. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini….” (surah at-Taubah, ayat 28).

Adapun keharusan mereka memasuki masjid-masjid yang lain, adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;

1.      Pernah seorang tawanan yang masih kafir (iaitu Tsumamah bin Utsal) diikat oleh Nabi SAW di dalam masjid, iaitu di salah satu tiang dalam masjid (lihat; Soheh al-Bukhari; 462. Soheh Muslim; 1764/59. dari Abu Hurairah RA).

2.      Nabi SAW pernah menerima kedatangan rombongan Nasrani (Kristian) Najran dan menempatkan mereka di dalam masjidnya. Imam al-Khatib as-Syirbini menjelaskan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj; “Telah tsabit bahawa Nabi SAW pernah membenarkan orang-orang kafir memasuki masjidnya. Perkara itu berlaku setelah turunnya surah at-Taubah (yang melarang orang kafir memasuki Masjidil Haram tadi). Surah at-Taubah diturunkan pada tahun ke 9 hijrah, sedang para rombongan kaum tiba kepada baginda pada tahun ke 10 hijrah. Antara romobongan yang datang ialah rombongan Nasrani (Kristian) Najran. Nabi SAW menempatkan mereka di dalam masjidnya dan berdiskusi dengan mereka tentang isu al-Masih (Nabi Isa AS) dan isu-isu lainnya” (Mughni al-Muhtaj, 4/311).  

Kesimpulannya, berdasarkan pandangan mazhab Syafiie; orang kafir dibolehkan memasuki masjid dengan syarat-syarat berikut;
1.      Bukan Masjidil Haram dan masjid-masjid dalam Tanah Haram.
2.      Mendapat keizinan dari kaum muslimin, termasuk ulil Amri (pemerintah) dari kalangan mereka.

Wallahu a’lam.

Tambahan (pandangan mazhab-mazhab lain);

1. Menurut Imam Malik; orang kafir tidak harus memasuki masjid melainkan jika ada suatu keperluan. Menurut Imam Abu Hanifah;  hanya orang kafir kitabi sahaja diharuskan memasuki masjid. Adapun kafir musyrik tidak harus memasukinya berdalilkan hadis;

لَا يَدْخُلُ مَسْجِدَنَا هَذَا مُشْرِكٌ بَعْدَ عَامِنَا هَذَا، غَيْرَ أَهْلِ الْكِتَابِ وَخَدَمِهِمْ
“Tidak boleh memasuki masjid kita (bermula) tahun ini orang musyrik kecuali ahli kitab dan juga khadam mereka” (Musnad Ahmad; 14649)

Rujukan; Syarh as-Sunnah (Imam al-Baghawi), 11/82. Ibanat al-Ahkam syarh Bulughul Maram, 1/268. 

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...