Selasa, 13 Jun 2017

FIQH HADIS; SOLAT SUNAT ISYRAQ

SOLAT SUNAT ISYRAQ

Sabda Nabi SAW;

مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ
“Sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, kemudiannya dia duduk berzikir kepada Allah hinggalah terbit matahari, kemudian dia bersolat pula dua rakaat, maka amalannya itu pahalanya seumpama pahala mengerjakan haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna” (Sunan at-Tirmizi; 586.  Dari Anas RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan gharib).

Menurut ulamak; solat sunat dua rakaat yang dilakukan sebaik terbit matahari itu ialah solat sunat isyraq.[1] Namun para ulamak berbeza pandangan dalam menentukan; adakah solat isyraq itu solat tersendiri atau tergolong dalam solat dhuha?

1. Pandangan pertama; ia adalah solat tersendiri, bukan solat dhuha. Dilakukan sebanyak dua rakaat, dengan niat solat sunat isyraq, bermula waktunya sebaik sesudah terbit matahari (isyraq) dan meninggi kira-kira segalah iaitu setelah berlalu masa dilarang solat dan tamat waktunya bila matahari agak meninggi (yakni waktunya tidak berlanjutan sebagaimana waktu dhuha, iaitu sehingga matahari berada di tengah langit). Pandangan ini dikeluarkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin dan merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.[2]

2. Pandangan kedua; ia bukan solat tersendiri, akan tetapi solat dhuha, iaitu solat dhuha paling awal, yang dilakukan apabila matahari telah meninggi kadar segalah (iaitu kira-kira 20 minit selepas terbit matahari) iaitu setelah keluar waktu makruh solat,[3] dan hendaklah dilakukan dengan niat solat dhuha.[4]  Dalam mazhab Syafiie, pandangan ini disebutkan oleh Imam ar-Ramli (Ahmad bin Hamzah ar-Ramli) dalam fatwanya[5], dan turut ditarjih oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam Fatawa Kubranya, al-Malibari dan ad-Dumyati.[6] Di antara dalil yang menyokong pandangan yang kedua ini ialah lafaz hadis mengikut Imam at-Tabrani di mana Nabi SAW bersabda;

مَنْ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فِي مَسْجِدِ جَمَاعَةٍ يَثْبُتُ فِيهِ حَتَّى يُصَلِّيَ سُبْحَةَ الضُّحَى، كَانَ كَأَجْرِ حَاجٍّ، أَوْ مُعْتَمِرٍ تَامًّا حَجَّتُهُ وَعُمْرَتُهُ
“Sesiapa menunaikan solat subuh di masjid secara berjamaah, (kemudian) dia kekal di dalam masjid sehingga menunaika solat sunat dhuha, pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan umrah secara sempurna” (al-Mu’jam al-Kabir, at-Tabrani; 7663. Dari Abu Umamah RA).[7]

Turut dinaqalkan dari Ibnu ‘Abbas RA yang menyebutkan; solat isyraq adalah solat dhuha.[8]

Wallahu a’lam.




[1] Mirqaat al-Mafatih (Syeikh ‘Ali al-Qari), 2/770, hadis no. 971.
[2] Lihat; fatawa al-Kubra (Imam Ibnu Hajar), 1/188. Hasyiyah al-Jamal, 1/485. Hasyiyah al-Bujairmi ‘ala al-Khatib, 1/420. Fathul Mu’in, hlm. 164.
[3] Mirqat al-Mafatih, Syeikh ‘Ali al-Qari, 2/770, hadis no. 971. Tuhfah al-Ahwazi, Syeikh al-Mubarakfuri, 3/506.
[4] Fatawa al-Kubra (Imam Ibnu Hajar al-Haitami), 1/177.
[5] Kata Imam ar-Ramli; “Yang muktamad, solat isyraq adalah solat dhuha (Fatawa ar-Ramli, hlm.124). Lihat juga; Hasyiyah al-Jamal, 1/485.
[6] Lihat; Imam al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in (hlm. 164) dan ad-Dumyati dalm I’anatu at-Tolibin, 1/393.
[7] Tuhfah al-Ahwazi, Syeikh al-Mubarakfuri, 3/506. Bughyat al-Muttawwi’ (Syeikh Muhammad Bazamul), hlm. 103.
[8] Kifayatu al-Akhyar, hlm. 88. Bughyat al-Muttawwi’, hlm. 101.

Jumaat, 9 Jun 2017

MAKAN SELEPAS WAKTU IMSAK

MAKAN SELEPAS WAKTU IMSAK

Soalan; jika saya masih makan ketika waktu imsak telah tiba, adakah puasa saya batal?

Jawapan;

Waktu mula berpuasa ialah apabila terbitnya fajar sodiq (yakni masuknya waktu solat subuh). Di dalam al-Quran, Allah membenarkan kita untuk makan hinggalah terbitnya fajar (sodiq), setelah itu barulah disuruh memulakan puasa. Firman Allah (bermaksud); “dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam iaitu  fajar (sodiq). Kemudian sempurnakanlah puasa hingga (datang) malam (iaitu terbenam matahari)…” (surah al-Baqarah, ayat 187).

Adapun waktu imsak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama (biasanya 10 minit sebelum masuk waktu subuh) hanyalah tanbih (peringatan) sahaja, iaitu untuk memperingatkan orang yang hendak berpuasa bahawa waktu untuk mula berpuasa sudah amat hampir. Maka orang yang masih menikmati makanan ketika waktu imsak itu tidaklah terbatal puasanya asalkan ia berhenti makan sebelum masuk waktu solat subuh.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.      Tafsir al-Jalalain (surah al-Baqarah, ayat 187).

2.      Fatawa Syeikh Mustafa al-Zarqa, hlm. 172-173. 

Khamis, 8 Jun 2017

FIQH HADIS; GALAKAN BERTERAWIH BERSAMA IMAM HINGGA TAMAT


GALAKAN BERTERAWIH BERSAMA IMAM HINGGA TAMAT

Sabda Nabi SAW;

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

“Sesiapa berqiyam (Ramadhan) bersama imam hingga imam selesai (dari keseluruhan solatnya), akan ditulis untuknya (pahala seumpama) berqiyam sepanjang malam” (Sunan at-Tirmizi; 806. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh).


Abu Zar RA menceritakan; Nabi SAW bangun beribadah bersama kami pada malam ke 5 (sebelum tamat Ramadhan, iaitu malam ke 25 Ramadhan) hingga ke pertengahan malam. Lalu kami berkata kepada baginda; ‘Wahai Rasul Allah, jika engkau dapat menambah lagi solat bersama kami pada malam ini alangkan baiknya’. Lantas baginda bersabda (kepada mereka); “Orang yang berqiyam (Ramadhan) bersama imam hingga imam selesai (dari keseluruhan solatnya), akan ditulis untuknya (pahala seumpama) berqiyam sepanjang malam” (Sunan at-Tirmizi; 806).

Menurut ulamak; hadis ini menjadi dalil bagi kelebihan solat terawih berjamaah, dan galakkan kepada orang yang berterawih bersama imam untuk menyelesaikan keseluruhan terawihnya bersama imam (sama ada imam bersolat 11 rakaat atau 23 rakaat atau sebagainya), supaya ia mendapat kelebihan umpama bersolat sepanjang malam yang disebut oleh hadis di atas.

Berkata Imam Ahmad; ‘Hendaklah dia (yakni orang yang berqiyam Ramadhan bersama imam itu) mengerjakan solat bersama orang ramai (yakni para makmum yang lain) hingga dia berwitir bersama mereka dan tidak pulang hinggalah imamnya selesai dari solat’ (Tuhwah al-Ahwazi, 3/236).

Maka berpandukan  taujihat dari hadis dan huraian ulamak di atas, sebaiknya orang yang ingin bersolat terawih dengan 11 rakaat sahaja, mereka tidak bermakmumkan imam yang solat 23 rakaat dan pulang sebelum imam menyelesaikan terawihnya. Sebaiknya mereka mencari masjid atau mushalla yang mengerjakan terawih hanya 11 rakaat sahaja, supaya dapat berterawih bersama imam dari awal hingga akhirnya, agar berpeluang mendapat fadhilat yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis di atas.

Wallahu a’lam..

Rujukan;

1.    Fatawa Syeikh Soleh al-Munajjid (https://islamqa.info/ar/153247).
2.    Tuhfah al-Ahwazi (Syeikh al-Mubarakfuri), 3/228,236).


Selasa, 6 Jun 2017

FIQH HADIS; HUKUM MENDERMA DARAH KETIKA BERPUASA?

Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Ibnu ‘Abbas RA yang menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ
“Nabi SAW berbekam ketika beliau sedang berpuasa” (Soheh al-Bukhari; 1938).

Hadis ini menjadi dalil bagi keharusan berbekam ketika sedang berpuasa. Proses bekam melibatkan pengeluaran darah dari badan. Dengan merujuk hukum berbekam itu, para ulamak hari ini mengharuskan orang berpuasa menderma darah atau menjalankan ujian darah kerana ia juga membabitkan proses yang sama (iaitu pengeluaran darah dari tubuh).

Namun keharusan tersebut bersyarat, iaitu tidak dikhuatiri tubuh menjadi lemah hingga terpaksa berbuka puasa. Jika ada kekhuatiran tersebut, dilarang berbekam atau menderma darah atau menjalankan ujian darah, kecuali jika darurat (yakni keadaan terpaksa). Dalam Soheh al-Bukhari juga, terdapat hadis dari Tsabit al-Bunani yang menceritakan; pernah ditanya kepada Anas bin Malik RA (sahabat Nabi); ‘Adakah kamu semua (para sahabat) memakruhkan berbekam kepada orang berpuasa?’. Dia menjawab; “Tidak, kecuali jika boleh melemahkannya” (Soheh al-Bukhari; 1940).


Menurut penjelasan Imam an-Nawawi; “Keharusan berbekam oleh orang berpuasa merupakan pandangan mazhab Syafiie, Imam Malik dan Abu Hanifah, serta jumhur para sahabat dan kebanyakan fuqahak” (lihat; al-Majmuk, 6/349).

Sabtu, 3 Jun 2017

ORANG KOMA & PENGSAN; ADAKAH WAJIB MENGGANTIKAN SOLAT DAN PUASANYA?

Soalan; orang yang pengsan atau koma berhari-hari, adakah dia wajib mengqadha solat dan puasa yang dia tinggalkan semasa sedang koma/pengsan itu?

Jawapan;

1. Orang yang sedang dalam koma/pengsan gugur kewajipan ibadat darinya (termasuk solat dan puasa). Adapun tentang qadha, maka bagi ibadat puasa, telah ijmak sekelian ulamak bahawa koma/pengsan tidak menggugurkan kewajipan mengqadha puasa. Maka orang yang tertinggal puasanya kerana koma/pengsan dia wajib mengqadha semua puasa yang ditinggalnya semasa sedang koma/pengsan itu apabila ia sembuh dari sakitnya (yakni tersedar dari koma/pengsannya). 

Jika komanya berterusan hingga saat kematiannya, hendaklah digantikan puasanya dengan fidyah sebagaimana sabda Nabi SAW; "Jika seseorang itu sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak ada qadha atasnya" (Sunan Abu Daud; 2401, dari Ibnu 'Abbas RA).

2. Adapun solat, maka para fuqahak berbeza pandangan seperti berikut;

a)  Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki dan Syafiie)[1]; orang yang koma atau pengsan tidak dituntut mengqadha solat yang luput darinya sepanjang tempoh koma/pengsannya, kecuali jika ia tersedar pada suatu waktu solat ketika waktu masih ada (maka wajiblah dia menunaikan solat tersebut). Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; ‘Dia bertanya Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang pengsan, lalu menyebabkan dia meninggalkan solat (adakah wajib dia mengqadha solatnya?’. Maka baginda menjawab; “Tidak dituntut dia mengqadha solatnya, kecuali dia pengsan dan tersedar ketika waktu solat masih ada, maka wajiblah dia mengerjakan solat tersebut” (Sunan ad-Daruqutni; 1860. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 1820).

b) Menurut Imam Abu Hanifah; jika jumlah solat yang tertinggal semasa koma/pengsan itu kurang dari lima solat, wajiblah dia mengqadhanya. Namun jika lebih dari 5 solat (iaitu 6 dan ke atas), tidaklah dituntut lagi dia mengqadha solat-solatnya.

c) Menurut mazhab Hanbali; orang koma/pengsan wajib mengqadha ke semua solat yang dia tinggalkan semasa sedang koma/pengsan sama ada bilangan banyak atau sedikit, berdalilkan amalan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Ammar RA yang pengsan selama tiga hari. Apabila ia sedar dari pengsannya, dia mengqadha ke semua solat yang ditinggalnya dalam tiga hari itu. Pandangan yang sama turut di riwayatkan dari sahabat Nabi bernama Samurah bin Jundab RA.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.    Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/267-268.
2.    Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 3/7 (kitab as-Solah) dan 6/872 (kitab as-Shaum).




[1] Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’; “Sesiapa hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (Syarak) seperti menjadi gila atau koma/pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum suatu ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum suatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan bila ia tersedar, tidak diwajibkan qadha solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafiie)…. Namun jika hilang akal itu dengan sebab suatu yang diharamkan seperti dia meminum arak dengan sengaja, dengan tahu dan dengan pilihan sendiri (tanpa paksaan) atau meminum suatu ubat -yang diketahuinya boleh memabukkan- tanpa ada keperluan hingga menyebabkan akalnya hilang, tidak sah solatnya ketika itu dan bila akalnya kembali (yakni dia tersedar), wajib dia mengqadha solatnya  (al-Majmu’, 3/6).

Jumaat, 2 Jun 2017

ANAK-ANAK YANG KEMATIAN BAPA; ADAKAH IBU MENANGGUNG ZAKAT FITRAH MEREKA?

Soalan; jika anak-anak telah kematian bapa dan dibela oleh ibu, adakah ibu menanggung zakat fitrah mereka?

Jawapan;

Zakat fitrah bergantung kepada  nafkah. Siapa menanggung nafkah anak tersebut, dialah yang menanggung zakat fitrahnya. Jaafar bin Muhammad meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Nabi SAW memerintahkan agar dikeluarkan zakat fitrah bagi pihak orang merdeka, hamba, lelaki dan perempuan, iaitu semua orang yang kamu sarai” (Musnad as-Syafiie; 429. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 7682. Hadis mursal).[1]

Imam Ibnu Qudamah menjelaskan; “Diwajibkan ke atas ibu untuk menafkahi anaknya jika mereka tidak berbapa. Inilah yang menjadi pandangan Imam Abu Hanifah dan as-Syafiie (serta Imam Ahmad)….(Begitu juga) jika bapa susah/miskin, nafkah mereka wajib ditaggung ibu” (al-Mughni, 8/212).. Maka pada ketika nafkah ditanggung oleh ibu, zakat fitrah bagi anak turut ditanggung ibu.

Wallahu a’lam.




[1] Walaupun mursal, namun disokong oleh hadis-hadis yang lain (Syeikh Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul Muttalin; Tahqiq Musnad al-Imam as-Syafiie, 1/575, hadis no. 429).

MAKNA “KEBERKATAN” PADA SAHUR

Soalan; Saya ada mendengar ada hadis berkata; “sahur itu membawa barakah”. Apa maknanya ustaz?

Jawapan;

Ya, terdapat hadis dari Nabi SAW yang menyebutkan;

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

 “Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada barakah” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik RA Bulughul-Maram, hadis no. 616).


Perkataan ‘berkat’ atau ‘barakah’ banyak disebut oleh Allah di dalam al-Quran dan juga oleh Nabi SAW di dalam hadis-hadisnya. Dari segi makna bahasa Arab, al-barakah (البركة) bermaksud; ziyadah (tambah), numuw (tumbuh), sa’adah (kebahagiaan) dan kathratul-khair (banyak kebaikan).[1] Dari segi makna Syarak, barakah bermaksud terdapatnya limpahan kebaikan Ilahi (Allah) pada sesuatu. Maka suatu yang diberkati bermaksud; suatu yang dilimpahi kebaikan dari Allah.[2]

Khusus bagi sahur, menurut Imam Ibnu Daqiq al-‘Id; barakah pada sahur merangkumi aspek ukhrawi dan duniawi;
1.    Aspek ukhrawi (yakni faedah akhirat); sahur itu adalah sunnah Nabi SAW. Setiap pengamalan sunnah membawa barakah iaitu pahala dan tambahan pahala dari Allah di akhirat.
2.    Aspek duniawi; sahur memberi kekuatan kepada tubuh untuk menghadapi ibadah puasa, menyenangkan tubuh, tidak memaksanya di luar kemampuannya.
(Lihat; Ihkam al-Ahkam syarh ‘Umdatil Ahkam, Imam Ibnu Daqiq al-‘Id, 2/9).

Menurut Imam an-Nawawi; keberkatan sahur –selain dari memberi kekuatan untuk menghadapi ibadah puasa-, ada juga ulamak menyebutkan; keberkatan sahur ialah kerana ia membangkitkan manusia pada waktu yang mulia, iaitu waktu turunnya rahmat Allah dan dimakbulkan doa dan istighfar (yakni waktu dari tengah malam hingga sebelum terbit fajar). Mudah-mudahan orang yang bangun bersahur dapat melanjutkan amalannya dengan mengambil wudhuk dan bersolat sunat atau amalan bersahur itu akan membiasakannya untuk berjaga malam untuk beribadah dengan berzikir, berdoa dan bersolat malam (Lihat; Syarah Soheh Muslim, al-Imam an-Nawawi, 7/206).

Memandangkan banyak barakah dan kebaikan yang akan diperolehi dari bersahur, maka Nabi SAW amat menggalakkan kita bersahur sekalipun dengan makanan yang sedikit;

تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةِ مَاءٍ
“Bersahurlah walaupun dengan seteguk air” (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dan Abu Ya’la dari Anas bin Malik RA. Hadis ini telah disohehkan oleh Ibnu Hibban. Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, hadis no. 642). 

Wallahu a’lam,



[1] Mukhtar as-Sihhah. Al-Qamus al-Muhit. Dr. Mustafa al-Bugha (Syarah al-Bukhari, hadis no. 1037).
[2] Al-Mufradaat (Imam Ar-Raghib al-Asfahani).

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...