Thursday, 8 June 2017

FIQH HADIS; GALAKAN BERTERAWIH BERSAMA IMAM HINGGA TAMAT


GALAKAN BERTERAWIH BERSAMA IMAM HINGGA TAMAT


Sabda Nabi SAW;

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

“Sesiapa berqiyam (Ramadhan) bersama imam hingga imam selesai (dari keseluruhan solatnya), akan ditulis untuknya (pahala seumpama) berqiyam sepanjang malam” (Sunan at-Tirmizi; 806. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh).


Abu Zar RA menceritakan; Nabi SAW bangun beribadah bersama kami pada malam ke 5 (sebelum tamat Ramadhan, iaitu malam ke 25 Ramadhan) hingga ke pertengahan malam. Lalu kami berkata kepada baginda; ‘Wahai Rasul Allah, jika engkau dapat menambah lagi solat bersama kami pada malam ini alangkan baiknya’. Lantas baginda bersabda (kepada mereka); “Orang yang berqiyam (Ramadhan) bersama imam hingga imam selesai (dari keseluruhan solatnya), akan ditulis untuknya (pahala seumpama) berqiyam sepanjang malam” (Sunan at-Tirmizi; 806).

Menurut ulamak; hadis ini menjadi dalil bagi kelebihan solat terawih berjamaah, dan galakkan kepada orang yang berterawih bersama imam untuk menyelesaikan keseluruhan terawihnya bersama imam (sama ada imam bersolat 11 rakaat atau 23 rakaat atau sebagainya), supaya ia mendapat kelebihan umpama bersolat sepanjang malam yang disebut oleh hadis di atas.

Berkata Imam Ahmad; ‘Hendaklah dia (yakni orang yang berqiyam Ramadhan bersama imam itu) mengerjakan solat bersama orang ramai (yakni para makmum yang lain) hingga dia berwitir bersama mereka dan tidak pulang hinggalah imamnya selesai dari solat’ (Tuhwah al-Ahwazi, 3/236).

Maka berpandukan  taujihat dari hadis dan huraian ulamak di atas, sebaiknya orang yang ingin bersolat terawih dengan 11 rakaat sahaja, mereka tidak bermakmumkan imam yang solat 23 rakaat dan pulang sebelum imam menyelesaikan terawihnya. Sebaiknya mereka mencari masjid atau mushalla yang mengerjakan terawih hanya 11 rakaat sahaja, supaya dapat berterawih bersama imam dari awal hingga akhirnya, agar berpeluang mendapat fadhilat yang disebut oleh Nabi SAW dalam hadis di atas.

Wallahu a’lam..

Rujukan;

1.    Fatawa Syeikh Soleh al-Munajjid (https://islamqa.info/ar/153247).
2.    Tuhfah al-Ahwazi (Syeikh al-Mubarakfuri), 3/228,236).


0 ulasan: