Selasa, 13 Jun 2017

FIQH HADIS; SOLAT SUNAT ISYRAQ

SOLAT SUNAT ISYRAQ

Sabda Nabi SAW;

مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ
“Sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, kemudiannya dia duduk berzikir kepada Allah hinggalah terbit matahari, kemudian dia bersolat pula dua rakaat, maka amalannya itu pahalanya seumpama pahala mengerjakan haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna” (Sunan at-Tirmizi; 586.  Dari Anas RA. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan gharib).

Menurut ulamak; solat sunat dua rakaat yang dilakukan sebaik terbit matahari itu ialah solat sunat isyraq.[1] Namun para ulamak berbeza pandangan dalam menentukan; adakah solat isyraq itu solat tersendiri atau tergolong dalam solat dhuha?

1. Pandangan pertama; ia adalah solat tersendiri, bukan solat dhuha. Dilakukan sebanyak dua rakaat, dengan niat solat sunat isyraq, bermula waktunya sebaik sesudah terbit matahari (isyraq) dan meninggi kira-kira segalah iaitu setelah berlalu masa dilarang solat dan tamat waktunya bila matahari agak meninggi (yakni waktunya tidak berlanjutan sebagaimana waktu dhuha, iaitu sehingga matahari berada di tengah langit). Pandangan ini dikeluarkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin dan merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.[2]

2. Pandangan kedua; ia bukan solat tersendiri, akan tetapi solat dhuha, iaitu solat dhuha paling awal, yang dilakukan apabila matahari telah meninggi kadar segalah (iaitu kira-kira 20 minit selepas terbit matahari) iaitu setelah keluar waktu makruh solat,[3] dan hendaklah dilakukan dengan niat solat dhuha.[4]  Dalam mazhab Syafiie, pandangan ini disebutkan oleh Imam ar-Ramli (Ahmad bin Hamzah ar-Ramli) dalam fatwanya[5], dan turut ditarjih oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam Fatawa Kubranya, al-Malibari dan ad-Dumyati.[6] Di antara dalil yang menyokong pandangan yang kedua ini ialah lafaz hadis mengikut Imam at-Tabrani di mana Nabi SAW bersabda;

مَنْ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فِي مَسْجِدِ جَمَاعَةٍ يَثْبُتُ فِيهِ حَتَّى يُصَلِّيَ سُبْحَةَ الضُّحَى، كَانَ كَأَجْرِ حَاجٍّ، أَوْ مُعْتَمِرٍ تَامًّا حَجَّتُهُ وَعُمْرَتُهُ
“Sesiapa menunaikan solat subuh di masjid secara berjamaah, (kemudian) dia kekal di dalam masjid sehingga menunaika solat sunat dhuha, pahalanya seperti orang yang mengerjakan haji dan umrah secara sempurna” (al-Mu’jam al-Kabir, at-Tabrani; 7663. Dari Abu Umamah RA).[7]

Turut dinaqalkan dari Ibnu ‘Abbas RA yang menyebutkan; solat isyraq adalah solat dhuha.[8]

Wallahu a’lam.




[1] Mirqaat al-Mafatih (Syeikh ‘Ali al-Qari), 2/770, hadis no. 971.
[2] Lihat; fatawa al-Kubra (Imam Ibnu Hajar), 1/188. Hasyiyah al-Jamal, 1/485. Hasyiyah al-Bujairmi ‘ala al-Khatib, 1/420. Fathul Mu’in, hlm. 164.
[3] Mirqat al-Mafatih, Syeikh ‘Ali al-Qari, 2/770, hadis no. 971. Tuhfah al-Ahwazi, Syeikh al-Mubarakfuri, 3/506.
[4] Fatawa al-Kubra (Imam Ibnu Hajar al-Haitami), 1/177.
[5] Kata Imam ar-Ramli; “Yang muktamad, solat isyraq adalah solat dhuha (Fatawa ar-Ramli, hlm.124). Lihat juga; Hasyiyah al-Jamal, 1/485.
[6] Lihat; Imam al-Malibari dalam kitabnya Fathul Mu’in (hlm. 164) dan ad-Dumyati dalm I’anatu at-Tolibin, 1/393.
[7] Tuhfah al-Ahwazi, Syeikh al-Mubarakfuri, 3/506. Bughyat al-Muttawwi’ (Syeikh Muhammad Bazamul), hlm. 103.
[8] Kifayatu al-Akhyar, hlm. 88. Bughyat al-Muttawwi’, hlm. 101.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...