Isnin, 4 Jun 2018

DUIT ROYALTI, PUSAKA & HADIAH; ADAKAH WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT SEGERA?

Soalan; saya baru mendapat bayaran royalti dari buku yang saya tulis. Adakah wajib saya mengeluarkan zakat untuknya sebagai saya menerimanya?

Jawapan;

Dalam fekah, duit perolehan royalti termasuk dalam kategori mal musafad (iaitu harta perolehan baru). Harta perolehan baru ada dua jenis;

1. Perolehan baru yang dihasil melalui harta/modal sedia ada yang dikenakan zakat seperti keuntungan dari perniagaan, keuntungan pelaburan dan sebagainya. Bagi perolehan baru dari jenis ini, zakatnya mengikuti harta/modal asalnya, yakni dikira nisab dan haulnya bersama harta/modal asalnya. Nisab ialah kadar minima yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Haul pula bermaksud tempoh setahun (12 bulan) harta dimiliki. 

2. Perolehan baru bukan dari harta/modal yang sedia ada, seperti wang perolehan dari harta pusaka, upah profesional, gaji, hadiah dan bayaran royalti seperti yang ditanya dalam soalan tadi. Bagi perolehan baru dari jenis ini, jumhur ulamak (termasuk imam-imam mazhab empat) berpandangan; tidak dikenakan zakat ke atasnya -sekalipun jumlahnya mencapai nisab- melainkan setelah genap setahun pemilikan ke atasnya, berdalilkan hadis Nabi SAW;

لَا زَكَاةَ فِي مَالٍ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ
"Tidak dikenakan zakat ke atas harta sehingga ia cukup haul" (Sunan Ibnu Majah; 1792, dari 'Aisyah RA. hadis soheh).

مَنْ اسْتَفَادَ مَالًا فَلَا زَكَاةَ عَلَيْهِ، حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الحَوْلُ عِنْدَ رَبِّهِ
"Sesiapa yang memperolehi harta maka tidak wajib zakat ke atasnya sehinggalah ia cukup haul di tangan pemiliknya" (Sunan at-Tirmizi; 631, dari Ibnu 'Umar RA. hadis soheh).

Maka orang yang memperolehi perolehan baru (royalti, pusaka, pampasan, hadiah majikan atau kerajaan dan sebagainya) yang mencukupi nisab, apabila cukup setahun dari tarikh perolehannya, dia hendaklah menyemak harta tersebut sama ada masih mencukupi nisab atau tidak. Jika mencukupi nisab, wajiblah dia mengeluarkan zakat. Jika tidak mencukupi nisab, tidaklah dikenakan zakat. Nisab bagi wang simpanan ialah 20 misqal (yakni 85 gram emas, iaitu nilai semasa baginya mengikut mata wang tempatan). Kadar zakat pula ialah 2/5% dari jumlah keseluruhan wang yang ada.

Diharuskan jika orang yang memperolehi pendapatan baru itu ingin mencampurkannya bersama harta-hartanya yang lain yang kebetulan tiba haulnya untuk dikeluarkan zakat bersama harta-harta tersebut, namun tidaklah wajib. Tindakan itu digalakkan kerana ia menyegerakan pemberian kepada penerima zakat, lagi pula memudahkan kiraan zakat (yakni mengelak pengiraan zakat berulang kali dalam setahun), namun tidaklah wajib kerana haul zakat bagi harta perolehan baru itu belum tiba.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Pengurusan Zakat (Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid), hlm. 336-340.
2. Fatwa Syeikh Husamuddin 'Afanah (ar.islamway.net/fatwa/5669).
3. ad-Darari al-Mudhiyyah (Imam Muhammad bin 'Ali as-Syaukani), hlm. 236.



Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...