Selasa, 12 Jun 2018

KEDUDUKAN SOLAT JUMAAT PADA HARI RAYA

Soalan; Assalamualaikum Ustaz mohon beri sedikit pencerahan berkenaan hukum solat jumaat bila hari raya jatuh hari jumat?

Jawapan;

Para ulamak berbeza pandangan dalam masalah tersebut;

1) Menurut ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad (Hanbali); apabila hari raya jatuh pada hari jumaat, gugur kewajipan jumaat dari keseluruhan lelaki yang telah menghadiri solat hari raya sama ada mereka masyarakat tempatan (yakni yang tinggal dalam kawasan didirikan jumaat) atau dari pedalaman (yakni tinggal di luar kawasan jumaat). Jadi yang wajib ke atas mereka semua ialah melakukan solat zohor menggantikan jumaat.

Mereka berdalilkan hadis dari Zaid bin Arqam RA yang menceritakan; "Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi SAW -yang kebetulan jatuh pada hari jumaat-, maka baginda memberi kelonggaran kepada solat jumaat, di mana baginda berkata; "Sesiapa ingin melakukan solat jumaat, lakukanlah" (HR Abu Daud (1070) dan Ibnu Majah (1310) dengan sanad yang baik (al-Majmu'; 5/559).

Dalam hadis lain, baginda bersabda; "Telah berhimpun pada hari ini dua raya (yakni raya 'ied dan raya jumaat), maka sesiapa ingin (untuk tidak menghadiri jumaat), maka solat hari rayanya mencukupi sebagai ganti jumaatnya. Adapun kami, maka kami tetap akan melakukannya" (Sunan Abu Daud; 1073, . Sunan Ibnu Majah; 1311, 1312. Hadis jayyid biyawahidihi).

2) Menurut mazhab Hanafi; tidak gugur jumaat dari keseluruhan mereka (yakni masyarakat tempatan dan yang dari pedalaman), yakni walaupun mereka telah menghadiri solat hari raya pada paginya, wajib pula menghadiri solat jumaat pada tengaharinya kerana solat jumaat adalah ibadat yang berbeza dari solat hari raya di mana ia adalah wajib, sedang solat hari raya sunat sahaja.

3) Menurut mazhab Syafiie; kewajipan solat jumaat yang jatuh pada hari raya hanya gugur dari orang pedalaman sahaja, yakni apabila mereka telah menghadiri solat hari raya pada paginya, tidak wajib lagi mereka menghadiri solat jumaat pada tengaharinya, kerana (pada zaman dahulu) menimbulkan kesukaran untuk berulang alik dua kali dari pedalaman ke kota. Adapun bagi masyarakat tempatan (yang tinggal dalam kawasan didirikan jumaat), kewajipan solat jumaat tidak gugur dari mereka, yakni wajib mereka menghadiri solat jumaat sekalipun pada paginya mereka telah menghadiri solat hari raya serta khutbahnya.

Mazhab Syafiie berdalilkan hadis dalam Soheh al-Bukhari yang menceritakan; pada zaman Saidina Usman RA pernah hari raya jatuh pada hari jumaat, maka beliau berkata dalam khutbahnya; "Wahai hadirin sekelian, telah berhimpun dua raya pada hari kamu ini (yakni raya 'ied dan raya jumaat), maka sesiapa dari kamu yang datang dari kampung/pedalaman yang ingin menunggu solat jumaat, silakanlah. Sesiapa yang ingin pulang, silakanlah. Aku mengizinkannya untuk kamu" (Soheh al-Bukhari; 5572).

Kesimpulannya, melihat kepada realiti hari ini, hanya ada dua pandangan bagi masalah tersebut;

1) Pandangan pertama (mazhab Hanbali); gugur solat jumaat bagi orang yang telah menghadiri solat hari raya. 

2) Pandangan kedua (jumhur ulamak; antaranya mazhab Hanafi dan Syafiie); kewajipan solat jumaat tidak gugur sekalipun solat hari raya dihadiri. Adapun pembahagian penduduk tempatan dan dari pedalaman (yang disebut mazhab Syafiie), pembahagian itu tidak wujud lagi hari ini, kerana ketika ini masjid jumaat wujud dalam setiap qariah (meliputi bandar, pekan dan kampung/pedalaman). 

Rujukan;

1. al-Majmuk (Imam an-Nawawi); 5/557-560.
2. Mausu'ah Masail al-Jumhur (Dr. Muhammad Na'im Sa'ie), 1/222.
3. Fahul Bari (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani), 11/114.
4. 'Aunul Ma'bud (al-Allamah Muhammad Syamsul Haqq al-Azim Abadi), 2/429.
5. as-Syarh al-Kabir (Imam Ibnu Qudamah), 2/194.
6. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami (Dr. Wahbah az-Zuhaili), 1/256.
7. Rahmatul Ummah (Syeikh Muhammad bin Abdirrahman ad-Dimasyqi), hlm. 54.


Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...