Wednesday, 20 June 2018

KEPULANGAN

Setiap kali hari raya, kita akan pulang. Pulang ke daerah asal kita atau pulang ke pangkuan keluarga yang melahirkan kita. Namun jangan kita lupa kepulangan terakhir kita, iaitu pulang bertemu Pencipta kita (Allah).

Benarkah kita akan pulang bertemu Allah? Dalam hati seorang muslim, soalan ini tidak timbul lagi, kerana al-Quran yang diyakininya berulang kali menyebutkan bahawa manusia setelah mati nanti akan dihidupkan kembali dan akan di bawa mengadap Allah;

"Bagaimana kamu tergamak untuk engkar kepada Allah, sedangkan kamu dulunya mati (tiada), lalu Dia menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kembali kamu, akhirnya kepadaNya kamu dikembalikan" (surah al-Baqarah, ayat 28).

Al-Quran menjelaskan juga; saat manusia menghadap Allah nanti, hanya orang-orang yang pulang dengan hati yang bersih sahaja akan disambut kepulangannya oleh Allah;

"Hari kebangkitan nanti tidak berguna segala harta benda dan anak pihak, melainkan orang yang pulang ke hadirat Allah dengan hati yang bersih" (surah as-Syu'ara, ayat 88-89).

Maka, cabaran kita untuk bertemu Allah bukanlah tubuh dan harta, akan tetapi hati. Untuk kesejahteraan dunia kita, jagalah tubuh dan carilah harta (kerana tanpa tubuh yang sihat dan harta/wang yang cukup, sukar untuk kita bahagia di dunia). Namun untuk akhirat kita, jagalah hati.

Alangkah bahagianya kita di akhirat tatkala Allah berkata kepada kita;

"Wahai jiwa yang tenang (suci), pulanglah kamu kepada TuhanMu redha dan diredhai. Maka masuklah kamu ke dalam kalangan hamba-hambaKu dan masuklah kamu ke dalam syurgaKu" (surah al-Fajt, ayat 27-30).

0 ulasan: