Sunday, 24 June 2018

MENGAMBIL WUDHUK DENGAN MENCELUP TANGAN KE DALAM BEKAS AIR


Soalan; saya melihat ada orang mengambil wudhuk dengan mencelup tangannya ke dalam bekas air yang kecil (timba, cebok, gayung dan sebagainya). Adakah sah wudhuknya? Tidakkah air itu akan menjadi musta’mal?

Jawapan;

1. Mengambil wudhuk dengan mencebuk air dengan tapak tangan dari bekas air itulah cara wudhuk Nabi SAW. Cara itulah yang terbaik jika dapat dipraktikkan kerana ia paling menjimatkan air.

Para sahabat (antaranya Saidina ‘Usman RA, Abdullah bin Zaid RA, Ibnu ‘Abbas RA dan sebagainya) menceritakan; Nabi SAW semasa mengambil wudhuk, baginda akan bermula dengan menuang air (dari bekas) untuk membasuh tangannya tiga kali, kemudian baginda akan  mencebuk air dari bekas dengan tangan kanannya (atau kedua tangannya) untuk berkumur dan menyedut air ke dalam hidung, membasuh muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki, yakni bagi setiap anggota wudhuk cebukan air berasingan (Soheh al-Bukhari; 159, 164. 186. Muslim; 226, 235).

2. Kebanyakan ulamak mazhab Syafiie memfatwakan; hendaklah disertakan niat Ightiraf ketika mencebuk dengan tangan itu untuk mengelak air dalam bekas kecil menjadi musta’mal. Menurut mazhab Syafiie dan Ahmad; air musta’mal tidak lagi sah digunakan untuk bersuci. Niat I’tiraf ialah meniatkan tangan sebagai pencebuk atau pemindah air. Cukup niat itu hadir dalam hati sahaja, tidak perlu dilafazkan (lihat; Nihayah al-Muhtaj dan Mughni al-Muhtaj).

Namun ada juga ulamak mazhab Syafiie (antaranya Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam Ibnu al-Attar) berpandangan; tidak perlu  niat ightiraf itu, kerana tidak ada sahabat menceritakan Nabi SAW melakukannya atau menyuruhnya (lihat; Fathul Bari dan Al-‘Uddah).

3. Bagi jumhur Fuqahak (antaranya Imam Malik, az-Zuhri, al-Auza’ie, Abu Tsur dan Imam Daud) yang berpandangan; air musta’mal masih sah digunakan untuk menyucikan hadas, perbahasan tentang niat ightiraf tadi tidak timbul.

4. Walaupun kita menyatakan cara Nabi itu adalah terbaik, tidaklah bermakna kita berpandangan; mengambil wudhuk terus dari pili tidak baik dan dilarang. Tidak dinafikan bahawa mengambil terus dari pili/paip lebih mudah bagi orang hari ini. Namun hendaklah elak pembaziran air, iaitu dengan mengecil air yang keluar; sekadar yang diperlukan sahaja.

Sentiasalah ingat bahawa Nabi SAW hanya menggunakan satu cupak air sahaja untuk wudhuknya (Soheh al-Bukhari; 201. Muslim; 325). Iaitu lebih kurang 1 liter air.

Rujukan;

1.      Tuhfah al-Muhtaj (Imam Ibnu Hajar al-Haitami), 1/70.
2.      Mughni al-Muhtaj (Imam al-Khatib as-Syirbini), 1/124.
3.      Fathul Bari (Imam Ibnu Hajar al-Asqalani), 1/269.
4.      Syarah Soheh Muslim (Imam an-Nawawi), 3/125.
5.      Al-‘Uddah syarh ‘Umdatil Ahkam (Imam Ibnu al-Attar), 1/93 dan 99.
6.      Mausu’ah Masail al-Jumhur (Dr. Muhammad Na’im Sa’ie), 1/40.

0 ulasan: