Isnin, 11 Jun 2018

PANDUAN MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DENGAN SEMPURNA


1. Zakat fitrah hendaklah diberikan kepada fakir/miskin kerana terdapat arahan dari Nabi SAW supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada hari raya. Ibnu 'Umar RA menceritakan; Nabi SAW telah mewajibkan zakat fitrah ke atas kami dan baginda berpesan; 

أَغْنُوهُمْ فِي هَذَا الْيَوْمِ
“Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)” (Sunan ad-Daruqutni; 2133. Sunan al-Baihaqi; 3799). 

Dalam hadis lain dinyatakan; "Zakat fitrah adalah penyucian bagi orang berpuasa dan makanan bagi orang miskin" (HR Abu Daud dan Ibnu Majah, dari Ibnu 'Abbas RA. Nailul Autar; 1623).

2. Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad dari makanan asas (iaitu beras bagi penduduk Malaysia), iaitu kira-kira 2600 gram (2.6 kg). Boleh digantikan dengan wang senilai dengannya (berpegang kepada mazhab Hanafi).

3. Seorang yang telah berkeluarga wajib membayar zakat fitrah bagi dirinya dan semua orang yang berada di bawah tanggungannya. Jika tidak cukup kemampuan, hendaklah membayar sekadar kemampuan dengan mendahulukan zakat bagi diri sendiri, diikuti bagi isteri dan berikutnya bagi anak yang masih kecil, seterusnya bapa, ibu dan anak dewasa.

4. Dibolehkan membayar sendiri zakat kepada orang-orang yang berhak (fakir/miskin) atau melalui wakil yang dipercayai (Baitul Mail dan sebagainya) yang menyampaikannya kepada mereka. 

5. Memberi zakat fitrah kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka fakir/miskin. 

Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya. Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak/cucu (yang masih kecil), bapa/ibu/datuk (yang tak mampu) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

6. Dibolehkan memberi kepada seorang fakir sahaja (sekalipun zakat lebih dari satu) dan boleh juga kepada ramai fakir jika zakat kita  banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir. 

7. Zakat fitrah adalah ibadah, maka wajib berniat. Sabda Nabi SAW; "Segala amalan (hanya sah dan dikira) berdasarkan niat" (HR al-Bukhari dan Muslim). Memadai berniat dalam hati bahawa apa yang diberikan kepada fakir/miskin itu adalah zakat. Tidak wajib melafazkan niat (hanya sunat sahaja menurut mazhab Syafiie).

8. Zakat fitrah hendaklah ditunaikan sebelum solat hari raya. Sabda Nabi SAW; "Sesiapa menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya, maka zakatnya diterima. Sesiapa menunaikannnya selepas solat hari raya, ia hanya menjadi sedekah biasa" (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim. Bulughul Maram; 586).

Rujukan;

1. al-Mufassal (Dr. Abdul Karim Zaidan).
2. al-Fiqh al-Islami (Dr. Wahbah az-Zuhaili).
3. Fiqh az-Zakah (Dr. Yusuf al-Qaradhawi)
4. A-Z Solal Jawab Puasa, Solat Terawih, Zakat Fitrah (Ustaz Ahmad Adnan Fadzil).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...