Saturday, 7 July 2018

WAKAF WANG TUNAI

Soalan; ustaz, jika kita memberi wang dengan niat wakaf, iaitu wang itu dilaburkan, kemudian keuntungannya disalurkan kepada fakir miskin atau mana-mana pihak yang ditentukan pewakaf, adakah cara itu dibolehkan?

Jawapan;

Mewakafkan wang ada dua maksud;

1. Mewakafkan wang dengan maksud mewakilkan kepada pihak tertentu untuk membeli harta wakaf (tanah, bangunan dan sebagainya) bagi pihak kita. Bagi maksud pertama ini, hukumnya tidak ada khilaf di kalangan ulamak akan keharusannya kerana yang diwakafkan itu bukan wang tetapi aset yang dibeli dengan wang tersebut.

2. Mewakafkan wang dengan maksud ingin menjadikan wang itu sendiri sebagai aset wakaf. Wakaf wang bagi maksud kedua ini hari ini dikenali dengan 'wakaf tunai'. Tentang hukumnya, para fuqahak berbeza pandangan;

a) Jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Hanafi dan Maliki) berpandangan; wakaf mata wang (dinar, dirham atau wang kertas) adalah tidak sah, kerana antara syarat sah wakaf ialah; harta wakaf hendaklah dari jenis yang boleh dimanfaatkan tanpa hilang/musnah bendanya apabila digunakan (seperti tanah, bangunan, kenderaan dan seumpamanya). Menurut jumhur ini; mata wang tidak memenuhi syarat tersebut kerana ia akan habis bila dibelanjakan, maka tidak sah untuk dijadikan harta wakaf.

b) Sebahagian ulamak (iaitu sebahagian ulamak mazhab Hanafi dan Maliki) berpandangan; dibolehkan wakaf mata wang, terutamanya jika wang itu dijadikan aset untuk dihutangi atau aset pelaburan. Imam al-Ansari (salah seorang ulamak mazhab Hanafi) bila ditanya; bagaimana caranya menjadikan mata wang sebagai wakaf? Beliau menjelaskan; iaitu mata wang itu diberikan sebagai aset mudarabah (pelaburan), kemudian disedekahkan kepada pihak yang diwakafkan untuknya (Hasyiyah Ibnu 'Abidin, 4/364).

Ulamak semasa hari ini ramai yang cenderung kepada pandangan kedua (iaitu yang membolehkannya). Antaranya, Prof. Dr. Ajil an-Nasymi (Ahli Mahlis Fatwa Kuwait) menegaskan; adalah harus mewakafkan mata wang dengan syarat digunakan dalam rupa seperti mudarabah (pelaburan), contohnya wang (wakaf) itu disimpan dalam bank yang menjalankan mudarabah, kemudian hasil dari keuntungan yang dikeluarkan oleh bank dibelanjakan untuk kebajikan-kebajikan (rujukan; laman rasmi beliau; http://www.dr-nashmi.com/).

Dalam Majallah al-Buhuth al-Islamiyah (yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa Arab Saudi) dinyatakan; (hukum mewakafkan mata wang dinar dan dirham); yang rajih dalam masalah ini ialah pandangan yang mengharuskannya jika ada tujuan tertentu yang diluluskan Syarak, seperti menjadikannya aset untuk dihutangi atau dijadikan aset mudarabah (pelaburan) (rujukan; Majallah al-Buhuth al-Islamiyah, bil. 77, tahun 1426/27H).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mausu'ah Masail al-Jumhur (Dr. Muhammad Na'im Sa'ie), 2/594.
2. NU Menjawab Problematika Umat (Keputusan Bahtsul Masail PWNU Jawa Timur; 1991-2013), hlm. 120.
3. Laman Prof Dr. an-Nasymi (http://www.dr-nashmi.com/), ruang al-Fatawa, tajuk; (وقف مبلغ من المال).
4. Laman Fatwa Kerajaan Arab Saudi (http://www.alifta.net/); ruangan  Majallah al-Buhuth al-Islamiah (bil. 77, tajuk; al-Waqf ala al-Quran).

0 ulasan: