Isnin, 31 Januari 2022

MEMBACA AL-QURAN DAN BERZIKIR DENGAN HATI

SOALAN; Assalamualaikum ustaz, adakah membaca alquran atau zikir secara kuat/israr/ jahar fadilatnya sama seperti membaca didalam hati?

JAWAPAN; tadabbur al-Quran memadai dengan hati, namun untuk mendapat pahala membaca al-Quran mesti dengan pergerakan lidah dan mulut. Bacaan al-Quran dalam solat juga tertakluk dengan hukum yang sama iaitu wajib dibaca dengan menggerakkan mulut dan lidah. Tidak sah bacaan tanpa menggerakkan mulut dan lidah (ada ketikanya dikuatkan suara dan adakalanya diperlahan suara, mengikut keperluan yang ditentukan Syarak atau kehendak pembaca bagi situasi yang bersesuaian dengannya). Bacaan lidah dan mulut amat digalakkan untuk disertakan pula dengan zikir hati (iaitu tafahhum, tadabbur dan takhahsyu’).

Berzikir juga sama. Zikir-zikir seperti tahlil, tahmid, tasbih, selawat dan sebagainya untuk mendapat pahala/fadhilat sebagaimana yang dijanjikan dalam hadis-hadis mesti dengan bacaan lidah dan mulut. Untuk ganjaran lebih sempurna disertakan pula dengan zikir hati tadi. Menurut ulamak; darjat-darjat zikir ada empat;

a)       Zikir lidah dan hati (paling baik)

b)      Zikir hati sahaja (baik)

c)       Zikir lidah sahaja (baik)

d)      Tidak berzikir langsung (buruk, rugi)

Namun ada juga ulamak menggolongkan semua amalan ketaatan/ibadah sebagai zikir seperti solat, sedekah, puasa, ziarah dan sebagainya. Maka bagi pandangan ini, zikir turut merangkumi zikir badani di samping zikir qalbi dan zikir lisani tadi. Sudah tentu zikir terbaik ialah solat kerana terkandung di dalamnya rukun qalbi, qauli dan ‘amali.

Kesimpulannya, membaca al-Quran/berzikir dengan hati adalah ibadah yang diberi pahala oleh Allah, namun untuk mendapat pahala qiraatul Quran dan zikrullah mesti dengan pergerakan mulut dan lidah. Untuk lebih sempurna, digabungkan kedua-dua sekali (zikir lisan dan zikir hati).

Wallahu a’lam.

BERZIKIR TANPA SUARA; APAKAH DIKIRA

Soalan; Bolehkah berrzikir degan menggerakan bibir dan lidah tetapi ada kala nya tidak terkekuar suara. Mohon pencerahan. Terima.kasih.....

JAWAPAN;

Menurut Imam al-Nawawi dalam al-Azkar; “Berzikir boleh dengan hati dan boleh dengan lidah. Zikir terbaik ialah yang menggabungkan hati dan lidah secara Bersama. Jika ingin berzikir dengan salah satu darinya sahaja, maka zikir dengan hati lebih afdhal. Adapun zikir-zikir yang disyariatkan di dalam solat dan ibadah-ibadah lainnya -sama ada yang wajib atau yang disunatkan- tidak terhitung sebagai zikir melainkan dengan dilafazkan sekira-kira dapat didengar oleh diri sendiri sekiranya tiada masalah pada pendengarannya”.

Merujuk kepada soalan; lafaz-lafaz zikir yang disyariatkan membacanya -dalam solat, selepas solat, zikir pagi dan petang, sebelum tidur dan sebagainya- mesti dengan sebutan lidah dan mengeluarkan suara sekurang-kurangnya yang dapat didengari diri sendiri. Dikecualikan bagi orang yang mengalami masalah pendengaran, maka memadai dengan sebutan lidah walaupun tanpa didengar telinga.

Jawapan berkaitan; MEMBACA AL-QURAN DAN BERZIKIR DENGAN HATI 

Wallahu a’lam.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...