Langkau ke kandungan utama

HUTANG BAPA KEPADA ANAK

Soalan; Salam, seorang bapa semasa hidupnya telah berhutang dengan salah seorang anaknya. Apabila meninggal dunia si bapa tidak meninggalkan apa-apa harta untuk dibayar hutang tersebut. Si anak itu telah menuntut hutang tersebut daripada adik, abang dan kakak yang sebapa dengan nya. Adakah wajib anak-anak yang lain membayar hutang tersebut?

Jawapan;

Bapa yang berhutang dari anak, ia wajib membayarnya kecuali jika si anak menggugurkan hutang itu darinya. Jika ia meninggal, hutang itu hendaklah ditolak dari harta peninggalannya sebelum diagih kepada ahli-ahli warisnya. Jika ia tidak meninggalkan harta, adalah amat baik jika anak-anak dapat mengambil alih tanggungjawab membayar hutangnya itu supaya gugur tanggungan si mati dan perbuatan mereka itu termasuk dalam pengertian berbuat baik dan bersyukur (berterima kasih) kepada ibu-bapa. Namun jika mereka enggan, tidaklah berdosa kerana Syariat tidak mewajibkan ahli-ahli waris (termasuk anak-anak) untuk menanggung hutang orang yang mewariskan harta kepada mereka (yakni si mati). Kata ulamak; "Sebagaimana ahli-ahli waris tidak wajib menanggung hutang seseseorang ketika ia masih hidup, begitu juga mereka tidak wajib menanggungnya selepas ia mati" (Fiqh al-Mu'amalaat al-Maliyah, Syeikh Hasan Ayyub).

Dalam kes di atas, si anak yang memberi hutang itu boleh memohon ihsan dari adik, abang atau kakaknya untuk mengambil alih membayar hutang si mati kepadanya. Namun ia tidak berhak memaksa mereka kerana Syariat tidak mewajibkan mereka membayarnya. Dan ada baik juga ia sendiri berkorban menggugurkan hutang itu dari si mati dan pengorbanan itu adalah tanda kebaikan dan terima kasihnya kepada bapa yang telahpun meninggal.

Wallahu a'lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...