Soalan; jika saya masih makan ketika waktu imsak telah tiba,
adakah puasa saya batal?
Jawapan;
Waktu
mula berpuasa ialah apabila terbitnya fajar sodiq (yakni masuknya waktu solat
subuh). Di dalam al-Quran, Allah membenarkan kita untuk makan hinggalah
terbitnya fajar (sodiq), setelah itu barulah disuruh memulakan puasa. Firman
Allah (bermaksud); “dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam
iaitu fajar (sodiq). Kemudian
sempurnakanlah puasa hingga (datang) malam (iaitu terbenam matahari)…” (surah al-Baqarah, ayat 187).
Adapun waktu imsak yang
ditetapkan oleh pihak berkuasa agama (biasanya 10 minit sebelum masuk waktu
subuh) hanyalah tanbih (peringatan) sahaja, iaitu untuk memperingatkan orang
yang hendak berpuasa bahawa waktu untuk mula berpuasa sudah amat hampir. Maka orang
yang masih menikmati makanan ketika waktu imsak itu tidaklah terbatal puasanya
asalkan ia berhenti makan sebelum masuk waktu solat subuh.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Tafsir al-Jalalain (surah
al-Baqarah, ayat 187).
2. Fatawa Syeikh Mustafa al-Zarqa,
hlm. 172-173.
Ulasan