Saturday, July 18, 2009

SIAPA PARA SAHABAT?

Soalan : Assalamualaikum ustaz.Siapakah sebenarnya dan yang dimaksudkan para sahabat?

Jawapan ;

Para sahabat ialah pengikut-pengikut nabi Muhammad s.a.w. semasa hayat baginda. Menurut takrif ahli-ahli Hadis (al-Muhaddithin); “Sahabat(الصحابة) bermaksud orang yang sempat bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w., beriman dengan baginda dan ia terus kekal di dalam iman hingga akhir hayat”.[1]

Jumlah tepat para sahabat tidak dapat dipastikan, namun dapat diandaikan bahawa ia melebihi 100 ribu orang. Menurut Abi Zur’ah, bilangan para sahabat ketika kewafatan Nabi s.a.w. ialah 114 ribu orang. Mengikut Imam al-Hakim (w 405H), para sahabat yang meriwayat hadis dari Nabi s.a.w. mencecah 4000 orang. Namun mengikut Imam az-Zahabi (w 748H), hanya 1500 orang sahaja. Sahabat yang terakhir meninggal ialah Abu at-Tufail ‘Amir bin Wailah al-Laisi al-Kinani (أبو الطفيل عامر بن وائلة الليثي) yang meninggal di Mekah pada tahun 110 hijrah.[2]

Kurun para sahabat adalah kurun yang paling baik sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya;

خيرُ النَّاسِ قَرني ثُمَّ الذينَ يلُونَهُم ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُم
“Sebaik-baik manusia ialah manusia yang hidup pada kurunku, kemudian mereka yang hidup pada kurun berikutnya, kemudian mereka yang hidup pada kurun berikutnya”. (Riwayat Imam Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi)

Generasi sahabat adalah generasi paling unggul yang dilahirkan oleh Islam. Berkata Asy-Syahid Sayyid Qutb; “Sesungguhnya dakwah Islam telah berjaya mencetuskan satu generasi manusia yang unggul dan istimewa di sepanjang sejarah Islam, bahkan di sepanjang sejarah manusia keseluruhannya iaitu generasi para sahabat. Kemudian generasi seumpama itu tidak pernah muncul lagi untuk kali keduanya. Sememangnya tidak dinafikan adanya beberapa individu dalam lingkungan sejarah yang sama seperti sahabat, namun tidak pernah terjadi selama-lamanya kemunculan kumpulan besar -seumpama kumpulan para sahabat- di satu tempat sebagaimana yang telah berlaku pada peringkat awal kehidupan dakwah ini”. [3]

[1]Dr. Nuruddin ‘Atr, Manhaj an-Naqd Fi ‘Ulumil-Hadith, hlm. 116.
[2]Syeikh Abdul Wahhab Abdul Lathief, al-Mukhtasar Fi ‘Ilmi Rijal al-Athar, hlm. 37-38.
[3]Sayyid Qutb, Ma’alim Fi at-Tariq, hlm. 14.

Wednesday, July 15, 2009

MATI SEMASA IHRAM

Soalan : Adakah orang yang mati semasa ihram perlu disempurnakan hajinya?

Jawapan :

Ibnu 'Abbas –radhiyallahu 'anhu- menceritakan; "Seorang lelaki sedang wukuf di 'Arafah. Tiba-tiba ia terjatuh dari kudanya, lalu patah lehernya dan mati. Maka Nabi –sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda;

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ، وَلاَ تُحَنِّطُوهُ، وَلاَ تُخَمِّرُوا وَجْهَهُ وَلاَ رَأْسَهُ، فَإِنَّهُ يُبْعَثُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مُلَبِّياً

"Mandikanlah ia dengan air dan sidr, kafankanlah ia dengan dua kain ihramnya, janganlah disapu/dipakaikan wangian kepadanya dan janganlah menutup wajah dan juga kepalanya. Sesungguhnya ia akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan bertalbiah".

Dari hadis ini diambil kesimpulan;

1. Hadis ini menunjukkan ihram tidak terputus dengan berlakunya kematian. Maka kesan ihram berkekalan sekalipun selepas mati. Kerana itu, mayatnya tidak dikenakan wangian dan kepalanya tidak ditutup. Inilah yang menjadi mazhab as-Sauri, Syafi'ie, Ahmad dan Ishaq. Namun Ibnu 'Umar berpandangan; ihramnya terputus dengan kematian. Oleh itu ia diperlakukan sebagaimana mayat-mayat yang lain. Pandangan ini juga dipegang oleh mazhab Malik dan ashab ar-Rakyi (yakni Abu Hanifah dan sebagainya).

2. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa seorang yang dalam ihram jika mati, tidak perlu disempurnakan baki hajinya kerana Nabi tidak menyuruhnya. Inilah yang disebut oleh Imam al-Baghawi dalam Syarah as-Sunnahnya. (jil. 5, hlm. 322-323). Rujukan; Dalail al-Ahkam, Ibnu Syadda, jil. 1, hlm. 501-502.

Namun menurut keterangan Imam Ibnu Qudamah di dalam al-Mughni; "Jika seseorang itu telah berihram haji, kemudian ia meninggal, adalah sah orang lain menggantikannya untuk melakukan kerja-kerja ibadah haji yang masih berbaki sama ada ia berniat ihram untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain. Dalilnya ialah; ibadah haji adalah ibadah yang harus berlaku niabah (gentian) di dalamnya, maka jika seseorang mati selepas mengerjakan sebahagiannya, maka untuk sebahagian lagi haruslah diqadha/diganti oleh orang lain bagi pihaknya, iaitu sama seperti zakat. (al-Mugni, juz. 3, hlm. 173).



Tuesday, July 14, 2009

APA ITU TAYAMMUM? BILA DIHARUSKAN TAYAMMUM?

Soalan : Apa itu tayammum? Bila diharuskan tayammum?

Jawapan;

    Tayammum bermaksud menggunakan tanah yang baik dan bersih untuk menyapu muka dan dua tangan (hingga ke siku) ketika ketiadaan air atau tidak berupaya menggunakan air. Pensyari'atan tayammum sabit dengan dalil al-Quran iaitu firman Allah dalam surah al-Maidah;

فلم تجدوا ماء

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda;

جعلت لي الأرض مسجدا

"Dijadikan untukku muka bumi (tanah) sebagai masjid dan penyuci (yakni bahan untuk bersuci). Maka sesiapa dari ummatku bertemu dengan solat, maka hendaklah ia menunaikan solat (di mana saja dia berada di atas muka bumi ini)".

    Tayammum adalah ganti bagi wudhuk dan juga mandi wajib iaitu ia mengambil tempat keduanya. Oleh itu, orang yang bertayammum sama seperti orang yang mandi atau berwudhuk.

    Diharuskan bertayammum bagi kes-kes berikut;

1. Ketika ketiadaan air sama tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak cukup untuk mengambil wudhuk.

2. Tidak mampu menggunakan air seperti sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman dari doctor.

3. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau akan datang..

4. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia menggunakan air.

5. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu manusia atau binatang buas.

6. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya, anjingnua atau sebagainya.

7. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.

8. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti dibersihkan).

9. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.

    Orang yang bertayammun boleh menunaikan dengan tayammumnya itu solat-solat fardhu, solat jumaat, solat dua hari raya, solat-solat sunat, solat jenazah dan mengerjakan tawaf sekitar Kaabah.

Rujukan;

1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, 4/14-15.


 

Sunday, July 12, 2009

APA ERTI MAKANAN YANG BAIK?

Soalan : Apa erti makanan yang baik?

Jawapan :

Apakah yang dimaksudkan dengan makanan yang baik atau At-Tayyibat yang dimaksudkan oleh ayat-ayat al-Quran di atas?.

At-Tayyibat ialah rezki yang halal. Setiap yang dihalalkan Allah adalah rezki yang baik dan setiap yang diharamkan Allah adalah rezki yang buruk (keji atau kotor).[1]

Menurut Imam Ar-Raghib Al-Asfahani; makanan yang baik (الطعام الطيب) di sisi Syara’ ialah yang mempunyai ciri-ciri berikut;
1. Diharuskan oleh Syara’
2. Dimakan dengan kadar yang harus
3. Diperolehi dari sumber yang harus”.[2]

Adapun menurut Imam Ibnu Katsir; “Makanan yang baik ialah yang dipandang baik oleh jiwa manusia dan tidak mendatangkan mudarat kepada badan dan aqal fikiran mereka”.[3]

Dalam tafsir ‘Abrul Athir’, pengarangnya menjelaskan; “Allah menyuruh manusia memakan makanan yang halal dan enak rasanya, iaitu yang tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan tubuh badan dan tidak pula merosakkan kesucian rohani ataupun menghilangkan rasa kesopanan…”.[4]

Ia menjelaskan juga; “Makanan yang baik-baik itu ada dua macam;
1. Baik pada mutunya
2. Baik kerana halal dimakan

Makanan yang baik mutunya, manusia telah banyak yang tahu memilihnya - selain makanan itu enak rasanya- ada pula mengandungi vitamin (khasiat). Adapun tentang makanan yang halal pula, adalah ketentuan yang ditetapkan agama. Adakalanya jenis makanan itu tidak bermutu, tetapi halal untuk di makan.

Maka manusia diseru mengutamakan makanan yang bermutu (yang baik)- baik dari segi kesopanan mahupun kesihatan- serta halal pula dalam segi agama. Janganlah memakan makanan-makanan yang sangat rendah mutunya serta hina pula jenisnya apa lagi yang menjijikkan, sedang makanan yang baik-baik amat banyak disediakan oleh Allah untuk makanan manusia”.[5]

Umar ibn Abdul-Aziz mentafsirkan At-Tayyibat dengan sumber/usaha yang halal iaitu makanan yang diperolehi dari sumber/hasil usaha yang halal.[6] Penafsiran ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;

أَيُّهَا النَّاْسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَاْ يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّباً، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِيْنَ، فقال تعالى (المؤمنون 51): {يا أيها الرسل كلوا من الطيبات واعملوا صالحاً}. وقال تعالى (البقرة 171): {يا أيها الذين آمنوا كلوا من طيبات ما رزقناكم}. ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ: يَاْ رَبِّ يَاْ رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَاْمٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَاْمٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَاْمِ فَأَنَّي يُسْتَجَاْبُ لِذَلِكَ؟
Maksudnya;

“Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik dan Ia tidak menerima kecuali suatu yang baik. Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada orang-orang beriman dengan apa yang telah Ia perintahkan kepada para RasulNya dengan firmanNya;

يَاأَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ(51)
“Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al-Mukminun: 51)

dan firmanNya;

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ(172)
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah”. (al-Baqarah: 172)

Kemudian Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang lelaki yang jauh bermusafir, kusut-masai rambutnya dan berdebu mukanya. Ia mengangkat tangan ke langit berdoa kepada Allah; ‘Wahai Tuhan!’, ‘Wahai tuhan!’, sedangkan makanannya adalah haram, pakaiannya juga haram dan diberi makan dengan yang haram, maka bagaimana hendak dimustajabkan doanya itu oleh Allah”.
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Kesimpulan;

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita simpulkan ciri-ciri makanan yang baik pada pandangan Islam adalah seperti berikut;

1. Makanan yang dihalalkan oleh syari’at Islam dan dipandang baik oleh jiwa manusia yang bersih.

2. Tidak tergolong dalam makanan-makanan yang diharamkan sama ada oleh al-Quran, as-Sunnah, ijma’ Ulama’ mahupun Qias.

3. Makanan itu hendaklah diperolehi dari sumber yang halal seperti dari jual-beli, hasil tangan sendiri (seperti pertanian, memburu, mengambil upah) dan sebagainya.

4. Tidak memudaratkan tubuh badan dan aqal fikiran.
[1] Rawaiu’l Bayan Tafsiir ayatil Ahkam, Syeikh Muhammad ‘Ali as-Shabuni, (al-Muhadharah as-Sabi’ah) hlm. 168 dan lihat juga dalam Tafsir al-Qurthubi (surah al-Maidah, ayat 4).
[2] Al-Mufradaat fi Gharibil Quran, Abil Qasim al-Husain ibn Muhammad (lebih dikenali dengan nama ar-Raghib al-Ashfahani), rujuk kalimah “Thayyibun”.
[3] Tafsir al-Quranul ‘Adziem, Imam Ibnu Kathir (ayat 168, surah al-Baqarah)
[4] Tafsir Al-Quran “عبر الأثير”, Ahmad Sonhadji Mohamad, juz. 2, hlm. 45.
[5] Tafsir Al-Quran “عبر الأثير”, Ahmad Sonhadji Mohamad, juz. 2, hlm. 47.
[6] Rawaiu’l Bayan Tafsiir ayatil Ahkam, Syeikh Muhammad ‘Ali as-Shabuni, (al-Muhadharah as-Sabi’ah) hlm. 167.