This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Thursday, 31 March 2011

SOLAT SUNAT BERJAMAAH

Soalan; Apa hukum mengerjakan solat hajat secara berjamaah?

Jawapan;

Solat sunat ada dua jenis;
(Pertama) Solat sunat yang disyariatkan untuk dilakukan secara berjamaah iaitu solat sunat hari raya, solat gerhana, solat istisqa' (minta hujan), solat terawih dan witir di bulan Ramadhan.
(Kedua) Solat sunat yang disyariatkan dilakukan bersendirian seperti solat tahajjud, solat dhuha, solat istikharah, solat hajat dan solat rawatib yang mengiringi solat fardhu.

Solat sunat yang disyariatkan berjamaah tiada keraguan lagi atas keharusan berjamaah dalam melakukannya malah ia afdhal dilakukan berjamaah. Persoalan yang timbul ialah; solat sunat yang disyariatkan bersendirian, adakah harus jika kita melakukannya secara berjamaah (termasuk solat hajat yang ditanya dalam soalan di atas). Jawapannya adalah harus berdalilkan berberapa hadis, antaranya;

1. Diriwayatkan dari Anas yang menceritakan; "Aku dan seorang anak yatim telah mengerjakan solat di belakang Nabi dan ibuku Ummu Sulaim di belakang kami" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Solat jamaah yang dilakukan oleh Anas bersama Nabi ini adalah solat sunat, bukan solat fardhu.

2. Utban bin Malik menceritakan; Nabi datang ke rumahnya ketika matahari telah meninggi dan bersamanya Abu Bakar. Lalu Nabi bertanyaku; "Di mana ruang yang kamu ingini untuk aku solat di rumah kamu?". Aku pun menunjukkan ke tempat yang aku ingini untuk beliau solat di situ. Nabi berdiri dan kami semua membuat saf di belakangnya. Beliau solat dan kamu turut solat di belakangnya. Apabila beliau memberi salam, kami turut memberi salam. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). 

Sebahagian ulamak mensyaratkan hendaklah solat sunat yang dilakukan berjamaah itu bukan solat sunat rawatib yang mengiringi solat fardhu (yakni qabliyah atau ba'diyah) dan jangan dijadikan kebiasaan hingga ia menyamai solat fardhu kerana ia menyalahi amalan Nabi dan sahabat (yakni Nabi ada melakukan solat sunat yang disyariatkan bersendirian itu secara berjamaah namun hanya sekali sekala sahaja, bukan sentiasa atau menjadi kebiasaan sebagaimana solat fardhu dan solat-solat sunat yang disyariatkan berjamaah tadi).

Imam Malik mensyaratkan; hendaklah jamaah itu beberapa orang sahaja. Adapun berjamaah dengan jumlah yang besar iaitu dengan menghimpun orang ramai untuk melakukan solat sunat yang tidak disyariatkan berjamaah itu, tidak harus kerana dikhuatiri orang yang jahil akan menganggap solat sunat itu sebagai fardhu. Tegahan ini termasuk dalam bab Saddu az-Zarai'. (Fathul-Bari).

Wallahu a'lam.    

Rujukan;

1. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 4/60, Kitab as-Solah, Bab Solat af-Tatawwu'.
2. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil Yusuf al-Azzazi, 1/356.
3. Fathul-Bari, Kitab At-Tahajjud, Bab Solati an-Nawafil Jamaatan.

HUKUM MEMBATALKAN PUASA SUNAT

Soalan; Salam Ustaz, Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan puasa sunat kerana jarang kita dengar ulasan berkenaan puasa ini.
1. Apakah hukum membatalkan puasa sunat dengan sengaja sama ada makan atau minum atau jimak?
2. Adakah perlu mengantikannya semula?
3. Jika melakukan jimak, adakah wajib kaffarah?
Secara keseluruhannya adakah hukum membatalkan puasa sama ada puasa sunat atau puasa dibulan ramadhan adalah sama? Harap ustaz dapat menjelaskan pertanyaan ini.
Sekian, wassalam.

Jawapan;

Terdapat hadis di mana Rasulullah –sallalahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya sendiri. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5122. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh).

Berdasarkan hadis ini, jumhur ulamak (Imam Syafiie, Imam Ahmad, Sufyan as-Sauri, Ishaq dan sebagainya) berpandangan; puasa sunat tidak wajib disempurnakan sebagaimana puasa fardhu (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau Nazar), yakni seorang yang berpuasa sunat harus ia membatalkannya mengikut kehendaknya. Namun jika ia membatalkannya tanpa sebarang keuzuran, hukumnya makruh dan tidaklah haram. Tidaklah wajib menggantikan/mengqadha puasa sunat yang dibatalkan itu, hanya disunatkan sahaja menggantinya. Dari Abi Sa’id menceritakan; Aku telah memasak makanan untuk Nabi. Apabila aku menghidangnya, seorang lelaki (yang datang bersama Nabi) berkata; ‘Aku berpuasa’. Nabi lantas berkata kepadanya; “Saudaramu telah menjemputmu dan bersusah payah (memasak) untukmu. Berbukalah dan gantilah puasamu itu pada hari lain jika kamu mahu” (HR Imam al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; sanadnya hasan. Dinaqalkan dari Tuhfah al-Ahwazi, juz. 2, bab Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’).

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berbeza pandangan dengan jumhur di mana menurut mereka; puasa sunat wajib disempurnakan apabila seseorang telah mula berpuasa berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33). Dan sesiapa membatalkannya, wajiblah ia mengganti/mengqadhanya. Namun jumhur ulamak menjawab; larangan ayat tersebut ialah khusus bagi ibadah-ibadah fardhu sahaja, yakni ditegah seseorang membatalkan pahala ibadah fardhunya. Adapun ibadah sunat tidaklah ditegah membatalkannya kerana ia tidaklah diwajibkan. Lagipun, terdapat hadis yang mengharuskannya. (Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 5122.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz 2, bab Ma Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’.
3. Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33.

Wednesday, 30 March 2011

SOLAT HAJAT SELEPAS AZAN ASAR DAN SEBELUM SOLAT ASAR 

Soalan; Ustaz telah menerangkan bahawa haram solat hajat selepas menunaikan Solat Asar hingga matahari terbenam sepenuhnya.
1. Bagaimana pula hukumnya kita melakukan solat hajat sebaik sahaja selesai Azan Asar menandakan masuk waktu iaitu sebelum kita melakukan Solat Fardhu Asar?( Solat Hajat dahulu dan kemudian barulah solat Fardhu Asar).
2. Bolehkah melakukan Solat Hajat secara berjamaah.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Ada lima waktu kita dilarang solat;
1.       Selepas solat subuh hingga terbit matahari
2.       Selepas solat asar hingga terbenam matahari
3.       Ketika terbit matahari hinggalah meninggi dengan kadar segalah (yakni 15 – 20 minit selepas terbit matahari, iaitu masuknya waktu dhuha)
4.       Ketika matahari di tengah langit hinggalah ia tergelincir (yakni hingga masuk waktu zohor); dikecualikan hari jumaat bagi orang hadir ke masjid untuk solat jumaat.
5.       Ketika matahari menguning hingga terbenam matahari.[1] 

Dalil larangan tersebut ialah hadis-hadis Nabi berikut;

a)      Sabda Nabi –sallallahu ‘alahi wasallam-; “Tidak ada solat selepas solat subuh hingga matahari meninggi dan tidak ada solat selepas solat asar hinggalah matahari terbenam” (HR Imam al-Bukhari dari Abi Sa’id al-Khudri, Bab La Tataharra as-Solah Qabla Ghurub as-Syams).
b)      Abu Hurairah menceritakan; “Rasulullah menegah dari mengerjakan solat selepas asar hingga terbenam matahari dan selepas subuh hingga terbit matahari” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah. Bab al-Auqat allati Nuhiya ‘an as-Solah fiha).
c)       Dari ‘Uqbah bin ‘Amir menceritakan; “Tiga waktu Rasulullah menegah kami dari mengerjakan solat dan mengkebumikan jenazah-jenazah kami pada waktu-waktu tersebut, iaitu; (1) Ketika terbit matahari hinggalah matahari meninggi, (2) Ketika bayang-bayang tengahari berdiri (yakni berhenti) (*bermaksud; matahari berada di tengah langit) dan (3) Ketika matahari condong untuk terbenam (*yakni ketika menguning di waktu petang)” (HR Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Daripada lima waktu si atas, dua waktu berkait dengan perbuatan solat, iaitu yang pertama dan yang kedua (selepas solat subuh dan selepas solat asar), maksudnya, kita dilarang solat bukan semata-mata apabila masuk waktu subuh atau masuk waktu asar, akan tetapi kita dilarang solat apabila kita telah melakukan solat subuh dan telah melakukan solat asar. Maka merujuk kepada soalan di atas, adalah harus kita melakukan solat hajat apabila masuk waktu asar selagi kita belum menunaikan solat asar. Itu adalah dari segi keharusan. Adapun dari segi yang sepatutnya, apabila masuk waktu solat fardhu, kita sebaiknya hendaklah menyibukkan diri untuk menunaikan solat dalam waktu tersebut (sebaiknya secara berjamaah) dan juga solat sunat yang disyariat khusus pada waktu tersebut  (iaitulah sunat qabliyah). Adalah tidak tepat jika kita melakukan solat hajat pada ketika itu hingga kita terluput solat sunat qabliyah atau terlepas solat berjamaah atau terlepas takbir pertama bersama imam.

Adapun tiga waktu selebihnya, larangan adalah berkait dengan waktu. Maksudnya, apabila tiba sahaja waktu matahari berada di tengah langit atau matahari menguning atau matahari terbit, dilarang kita mengerjakan solat hinggalah tamat waktu larangan tersebut.

Solat yang dilarang kita melakukannya dalam waktu-waktu tadi ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat yang bersebab diharuskan kita melakukannya pada bila-bila masa sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang di atas. Maksud solat-solat sunat bersebab ialah solat-solat yang didahului oleh suatu sebab (yakni sebab datang dahulu, kemudian baru disusuli dengan solat). Di antaranya;
1.       Solat–solat yang terluput sama ada solat fardhu atau solat sunat, yakni ia boleh diqadha sekalipun dalam waktu-waktu dilarang di atas.
2.       Solat yang dinazarkan
3.       Solat jenazah
4.       Sujud tilawah dan sujud syukur
5.       Solat gerhana.
6.       Solat sunat tawaf
7.       Solat sunat wudhuk
8.       Solat istisqa (minta hujan)
9.       Solat tahiyyatul-masjid (dengan syarat seseorang itu masuk ke dalam masjid untuk tujuan iktikaf, menuntut ilmu, menunggu solat atau tujuan-tujuan lainnya. Adapun jika ia masuk masjid semata-mata ingin mengerjakan solat tahiyyatul-masjid, dilarang solat pada waktu-waktu tersebut).

Solat-solat di atas diharuskan untuk dilakukan pada waktu-waktu dilarang solat tadi kerana ia bersebab. Adapun solat-solat yang dilarang kerana tidak bersebab ialah;
1.       Solat istikharah
2.       Solat hajat
3.       Solat sunat ihram
4.       Solat sunat mutlak

Mengenai soalan kedua (hukum solat hajat berjamaah), akan dijawab dalam sesi lain, insya Allah.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Ada ulamak meringkas lima waktu di atas kepada tiga sahaja, iaitu;
A) Selepas solat subuh hingga matahari meninggi.
B) Selepas solat asar hingga matahari terbenam
C) Ketika matahari berada di tengah langit hingga tergelincir.
Namun yang rajih ialah pembahagian kepada lima tadi. 

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/150 (kitab as-Solah, bab as-Saat allati Nuhiya an as-solah fiha).
2. Tamam al-Minnah, Syeikh 'Adil Yusuf al-Azzazi, 1/356. 

IMAM TERLEBIH RAKAAT; APA YANG PERLU MAKMUM LAKUKAN?

Soalan; Assalamualaikum wbt,Jika imam telebih satu rakaat sebagai contoh: Sembahyang isyak. Selepas rakaat keempat imam terlupa dan terus bangun( walaupun di tegur oleh makmum) untuk rakaat yang kelima dan setelah selesai tahiyad akhir imam terus sujud sahwi dan seterusnya memberi salam. Persaolan:
1. Sabagai makmum adakah saya perlu terus mengikuti imam atau saya perlu berniat keluar drpd jemaah dan meneruskan tahiyad akhir saya pada rakaat yang keempat.
Sekian Terima Kasih.


Jawapan;

1. Dalam kes seperti di atas, makmum hendaklah memperingatkan imam dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah). Bagi perempuan, hendaklah memperingatkan imamnya dengan menepuk di atas belakang tangannya. Ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Jika berlaku sesuatu di hadapan kamu ketika sedang solat[1] (dan kamu ingin memperingatkan/memberitahu tentangnya), hendaklah orang lelaki bertasbih, adapun perempuan hendaklah ia menepuk (di atas belakang tangannya)[2]” (HR Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idiy).

2. Jika imam tidak memberi perhatian dengan peringatan yang diberikan (yakni ia tidak kembali duduk), hendaklah makmum berpisah dari imam (yakni berniat mufaraqah) dan menyempurnakan solat secara sendirian. Jika makmum terus mengikut imam, batallah solatnya kerana ia mengikuti imam pada perbuatan yang tidak dikira solat.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Maksud berlaku sesuatu di hadapan kamu ialah seperti imam lupa, ada seseorang memohon izin dari kita (dan dia tidak mengetahui kita sedang solat), kita melihat ada seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam lubang atau kita ingin memberitahu sesuatu kepada orang lain dan sebagainya. Dalam semua keadaan tersebut, jika kita ingin memberitahu atau memperingatkan orang terbabit hendaklah dengan bertasbih atau dengan menepuk (bagi perempuan). (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/92)

[2] Iaitu tapak tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. Dilarang menepuk antara kedua tapak tangan kanan dan kiri dan jika dengan tujuan bermain-main, batallah solat. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 4, hlm 92 (Kitab as-Solah, bab Ma Yufsidu as-Solah…) dan hlm. 208 (bab Solat al-Jamaah).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Taqdim al-Jamaah Man Yushalli bihim..
3. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 3402.

Tuesday, 29 March 2011

MENGHIBAH HARTA KEPADA ANAK-ANAK SEBELUM MATI

Soalan; Assalamualaikum wbt. Bapa saya yg masih lagi hidup telah membahagikan hartanya kepada kami adik-beradik seramai 8 orang ( 6 lelaki dan 2 perempuan). Masing2 telah diperuntukkannya dgn hartanya yg berupa tanah dan rumah. Semuanya mendapat bahagian masing2. Soalan saya ialah, adakah pembahagian ini dipanggil hibah atau wasiat dan adakah ianya sah disegi syarak. Jika ianya tidak sah, bagaimanakah caranya yg sah?

Jawapan;

Harus pemilik harta ketika ia sihat dan berakal waras menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang ia kehendaki, tanpa berniat menganiayai waris-warisnya. Jika dengan niat tersebut, ia berdosa kerana niat jahat tersebut sekalipun hibah tersebut terlaksana kerana seseorang berhak membelanjakan harta miliknya mengikut keputusannya. Adapun menghibahkan harta kepada anak-anak, wajib berlaku adil kepada semua anak-anak, yakni; tanpa mengecualikan seorangpun dari mereka. Ini sebagaimana terdapat dalam Soheh Imam al-Bukhari riwayat dari an-Nukman bin Basyir yang menceritakan bahawa bapanya memberi kepadanya satu pemberian, lalu ia berjumpa Nabi supaya Nabi menjadi saksi terhadap pemberian tersebut. Maka Nabi bertanya kepadanya; "Adakah semua anak-anak kamu kamu berikan pemberian yang sama?". Jawab bapaku; "Tidak". Lantas Nabi berkata; "Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu". Lalu bapaku pulang dan dan mengambil kembali pemberian tersebut. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat yang lain, Nabi berkata; "Jangan bersaksikan aku, kerana sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi atas suatu kezaliman".  

Berdasarkan hadis tersebut, adalah dituntut oleh Syariat hibah (pemberian) kepada anak-anak dilakukan sama rata, tanpa pilih kasih termasuk antara lelaki dan perempuan. Sebahagian ulamak berkata; diberikan kepada anak lelaki sekali ganda dari yang diberikan kepada anak perempuan (iaitu sebagaimana dalam faraid). 

Jika seorang bapa melakukan pilih kasih, apakah hibahnya itu sah? Terdapat beza pandangan di kalangan ulamak;
1. Sebahagian ulamak (antaranya as-Sauri, Imam Ahmad dan Daud az-Zahiri) menyatakan; hibah tersebut haram, tidak sah (batal) dan wajib ditarik kembali. Dikecualikan jika ada suatu sebab tertentu seperti ada anak yang kurang upaya, ketika itu harus ia dilebihkan dari anak-anak lain mengikut pandangan Imam Ahmad.  
2. Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); hibah tersebut makruh (tidak haram) dan ianya sah (yakni tidak batal dan tidak wajib ditarik kembali).  Hanya disunatkan sahaja bapa mengambil kembali hibah tersebut dan membahaginya sama rata kepada semua anaknya. Jumhur ulamak memahami tegahan Nabi dalam hadis di atas sebagai tegahan makruh, bukan tegahan haram berbeza dengan golongan pertama tadi.

Adapun perbezaan antara hibah dan wasiat; hibah ialah pemberian yang diberikan ketika masih hidup. Adapun wasiat, ia adalah pemberian yang diikat dengan selepas mati, seperti seorang berkata; "Bila aku mati nanti, tanahku di tempat sekian sekian hendaklah diwakafkan kepada pihak sekian sekian". Hibah harus diberikan kepada anak-anak atau waris-waris lain dengan syarat berlaku adil tadi. Adapun wasiat tidak harus diberikan kepada orang akan mewarisi harta selepas mati termasuk anak-anak. Ini sebagaimana sabda Nabi; "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya. Oleh demikian, tidak ada wasiat untuk orang yang bakal mewarisi" (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abi Umamah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan).     

Wallahu a'lam.        

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Hibaat, bab Karahati Tafdhil Baina al-Aulad Fi al-Hibah.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, Kitab al-Hibah..., bab al-Hibah Lil-Walad.  

Monday, 28 March 2011

DARAH YANG KELUAR SEBELUM BERSALIN ATAU KEGUGURAN

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya merujuk kepada laman blog ustaz 
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/03/darah-selepas-keguguran-adakah-ia-nifas.html
berkenaan darah nifas. Saya ingin bertanya, kadangkala sebelum keguguran, terdapat tanda2 darah yang keluar. Apakah status darah ini? Adakah ia haid atau istihadah? Terima kasih..

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie, darah yang datang sebelum bersalin atau sebelum berlaku keguguran bukanlah darah nifas kerana pengertian darah nifas ialah darah yang keluar selepas terpisah sepenuhnya bayi atau janin dari ibu. Oleh itu, darah yang keluar sebelum bersalin/keguguran itu adalah dikira sama ada darah haid atau darah penyakit (fasad/istihadhah). Dikira darah haid jika ia berbetulan dengan masa haid sebelum mengandung dan nampak tanda-tanda darah haid padanya. Ini merujuk kepada pandangan mazhab Syafiie bahawa wanita mengandung ada kemungkinan didatangi haid (*Sila baca jawapan saya dalam blog ini tentang "Keluar darah ketika mengandung"). Jika tidak berbetulan dengan masa haid dan tidak nampak tanda-tanda darah haid pada darah yang keluar itu (seperti warnanya seperti darah biasa, bukan seperti darah haid), ia dikira darah penyakit (fasad/istihadhah) dan wanita terbabit dituntut mengerjakan solat fardhu sebagaimana biasa. Di bulan Ramadhan ia dituntut berpuasa. Namun jika tidak dapat menunaikannya atau tidak mampu menunaikannya, wajiblah ia mengqadha solat dan puasa yang ditinggalkan sebelum bersalin/keguguran itu apabila habis nifas selepas bersalin/keguguran nanti.

Itu adalah mengikut mazhab Syafiie. Adapun menurut mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit, begitu juga darah yang keluar bersama dengan keluarnya bayi adalah dikira darah nifas sama seperti darah yang keluar selepasnya.

Wallahu a'lam.

Sunday, 27 March 2011

HARTA PUSAKA; HAK ISTERI DAN ANAK-ANAK

Soalan; assalamualaikum wbt.. mengenai harta si mati...arwah meninggalkan harta pada isteri dan juga anak perempuannya... 
SOALAN 1- selepas kamatian suaminya si isteri berkahwin dgn org lain secara automatiknya si isteri menjadi tnggungjwb suami barunya, siapa kah berhak untuk dapat harta tersebut? si anak or si isteri yg sudah berkahwin lain??
SOALAN 2- adakah haram jika bapa tiri tersebut menggunakan harta tersebut tanpa keredhaan si anak??
SOALAN 3-anak tersebut berumur 19 tahun dan masih belajar, adakah anak tersebut masih berhak mendapat harta tersebut??
SOALAN 4-apakah berdosa jika si ibu menghalang anaknya dari menggunakan harta arwah ayahnya dan patut kah si ibu tersebut bagi kesemua harta tersebut pada anaknya misalnya wang gaji arwah suami, rumah dan lain2....
SOALAN 5-berdosakah si ibu jika melarang anknya menduduki rumah arwah ayahnya jika rumah tersebut diwariskan nama anak dan isteri tersebut??
SOALAN 6- apakah hukum mengharamkan benda2 yg halal kerana kemarahan, contohnya si A mengharamkan si B memijak rumahnya kerana mnegur kesalahannya, dan mengharamkn anak2nya berjumpa dgn si B.. dan apakah haram anak2nya melanggar kata2 si A, kerana ingin sgt berjumpa dgn saudra maranya(si B).

Jawapan;

1. Apabila seorang lelaki mati dan meninggalkan isteri dan anak-anak -dengan andaian tiada waris-waris yang lain masih hidup-, pembahagian harta si mati ialah seperti berikut;
- Untuk isteri; 1/8
- Anak-anak; baki setelah ditolak bahagian isteri tersebut iaitulah 7/8.
Pembahagian harta dibuat setelah ditolak hutang-hutang si mati dan wasiatnya jika ada.
Pembahagian di atas adalah mengikut ketetapan al-Quran sebagaimana terdapat dalam surah an-Nisa' (ayat 12). 

2. Semua waris yang berhak mewarisi wajib diberikan hak mereka dan hak itu tidak gugur melainkan dengan kerelaaan mereka sendiri. Isteri berhak mendapat bahagiannya sekalipun ia telah berkahwin lain asalkan ketika kematian suaminya ia masih berstatus isteri atau berada dalam eddah talak raj'ie. Bagi anak-anak juga hak mereka mesti diberikan kepada mereka. Jika mereka masih kecil, hak mereka mesti dijaga oleh wali (penjaga) mereka bagi pihak mereka. Wali (penjaga) itu tidak boleh mengambil harta mereka atau membelanjanya sewenang-wenang kecuali perbelanjaan untuk keperluan hidup mereka. Jika penjaga miskin, ia boleh mengambil upah dari harta mereka dengan kadar yang sepadan (bukan mencuri kesempatan).[1] Jika ia kaya (berada) hendaklah ia menjaga diri dari mengambil harta mereka. Inilah yang terkandung dalam firman Allah;

"Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa, yakni baligh). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya; dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang berlebihan dan secara tergesa-gesa (kerana ingin merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan)" (Surah an-Nisa', ayat 6).

Hendaklah menjaga diri dari memakan harta anak yatim kerana dosanya besar sebagaimana firman Allah; "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala" (Surah an-Nisa', ayat 10). 

3. Tidak harus sesiapa mengguna atau mengambil harta milik orang lain melainkan dengan kerelaan hati mereka. Sabda Nabi; "Tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu dari harta saudaranya yang lain kecuali dengan keredhaan darinya" (HR Imam Ahmad dari Amrin bin Yasribi r.a.. Juga diriwayatkan dari Khifah ar-Raqasyi r.a.. Lihat; Ziyadah al-Jami' as-Saghier, no. 3891. Menurut Syeikh al-Albani, hadis ini soheh).    

Lebih-lebih lagi harta anak yatim, tidak harus harta mereka disalah-gunakan, sebaliknya hendaklah dijaga dan dipelihara untuk diserahkan kepada mereka apabila mereka dewasa nanti. Firman Allah tadi; "...dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa...". Menurut as-Sya'bi; haram memakan harta anak yatim sama seperti haram memakan bangkai dan darah. (Tafsir Ibnu Kathir)    

Apabila anak-anak yatim telah dewasa dan cerdik, harta mereka wajiblah diserahkan kepada mereka sebagaimana firman Allah tadi; "Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya". Menahan harta itu dari mereka pada hal mereka telah layak menguruskannya, ia termasuk dalam erti merampas hak orang lain dan jika hak yang dirampas itu rosak/musnah/hilang, wajiblah orang yang merampas itu mengganti/membayarnya.

4. Tidak harus seorang muslim bermasam muka, berpaling (tidak bertegur sapa) atau berkelahi dengan sesama saudara muslim melebihi tiga hari. Sabda Nabi; "Tidak halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya melebihi tiga hari" (HR Imam Muslim dari Abdullah bin Umar dan Imam al-Tirmizi dari  Abu Ayyub al-Ansari). Begitu juga, tidak harus ia mengajak atau menyuruh orang lain melakukan tindakan sedemikian. Bagi orang yang disuruh, tidak wajib ia menurutinya sekalipun yang menyuruh adalah bapa atau ibunya kerana seorang hanya harus mematuhi arahan manusia lain dalam perkara yang tidak bertentangan dengan kehendak Allah. 

Wallahu a'lam.

Nota

[1] Menurut Fuqahak; penjaga yang miskin hendaklah memilih yang paling rendah kosnya antara dua; antara mengambil dari harta anak yatim itu sekadar keperluan dirinya atau mengenakan upah misil (yakni upah sebanding yang biasa diberikan bagi khidmat tertentu). (Tafsir Ibnu Kathir).

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir, Surah an-Nisa', ayat 6.

Friday, 25 March 2011

MENGUBAH RAMBUT

Soalan; apa hukum jika kaum wanita membuat rambut seperti rebonding, kerinting kan rambut mereka atau membuat treament rambut kaum hawa sendiri saya ada mendengar yang kesemua itu ada lah haram saya ingin megetahui nya kesahihan nya.

Jawapan;

Mengubah rambut sama ada meluruskannya, mengkerintingkannya dan merawatnya (penanaman rambut atau sebagainya) hukumnya harus dengan syarat-syarat berikut;
1. Tidak menggunakan bahan-bahan yang haram dan najis seperti lemak babi dan sebagainya.
2. Bahan yang digunakan tidak memudaratkan rambut atau badan.
3. Dengan tujuan yang harus; seperti berhias untuk suami, untuk merapikan rambut dan sebagainya. Adapun untuk didedahkan kepada orang lain yang bukan mahram atau untuk meniru gaya rambut orang kafir atau orang fasik, diharamkan kerana tujuan yang dilarang itu. Begitu juga, diharamkan orang lelaki meniru gaya rambut perempuan dan perempuan meniru gaya rambut lelaki.
4. Orang yang menjalankan khidmat mengubah rambut itu hendaklah perempuan juga. Tidak harus dilakukan oleh lelaki yang bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Ma’qal bin Yasar –radhiyallahi ‘anhu-. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216).

Keharusan tersebut adalah kerana tiada dalil yang melarangnya. Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal keduniaan hukum asal bagi segala perbuatan dan perlakuan manusia adalah harus selama tidak ada ada nas Syariat (iaitu ayat al-Quran atau hadis Nabi) yang melarangnya.

Mungkin kita akan berkata; Tidakkah perbuatan tersebut termasuk dalam pengertian mengubah ciptaan Allah? Jawapan kita; Tidak semua pengubahan dapat dianggap mengubah ciptaan Allah yang diharamkan. Sebagai contohnya; mewarnakan rambut. Mewarnakan tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah pengubahan iaitu mengubah warna rambut yang putih –sebagai contoh- kepada warna lain dari putih dengan menggunakan inai atau bahan lain. Walaupun berlaku pengubahan, namun ia diharuskan oleh Nabi dalam hadisnya. Hanya mewarnakan rambut dengan warna hitam sahaja yang dilarang. Nabi pernah berkata kepada Abi Qahafah (bapa Saidina Abu Bakar) yang datang kepada Nabi dengan rambut dan janggut yang telah memutih (kerana uban); “Ubahlah warna rambut dan janggut kamu itu dengan sesuatu, akan tetapi jauhilah warna hitam” (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; “Menurut mazhab kami (yakni mazhab Syafiie); Digalakkan lelaki dan wanita yang telah beruban untuk mewarnakan uban mereka warna kuning atau merah, dan diharamkan dengan warna hitam mengikut pandangan yang paling benar (al-asah)” (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi). Menginai jari-jari tangan dan kuku, bercelak mata, berkhitan semua itu juga menyebabkan perubahan pada tubuh, namun ia diharuskan atau diwajibkan (bagi berkhatan).

Jadi semata-mata berlaku perubahan, belumlah dapat dihukum sebagai haram sehinggalah terdapat factor-faktor lain yang dilarang/diharamkan oleh Syariat, antaranya;
1. Perubahan itu telah jelas dilarang oleh Syariat seperti yang disebut oleh hadis tadi iaitu; membuat tatu, mencabut kening atau menipiskannya, menjarakkan gigi, menyambung rambut dan mencukur rambut di sebelah kepala sahaja. Ibnu Mas’ud menceritakan; “Rasulullah –sallallahu alaihi wasallam- melaknat wanita yang membuat tatu dan yang minta dibuat tatu, wanita yang meminta dicukur/dicabut keningnya dan wanita yang menjarangkan giginya untuk tujuan kecantikan serta mengubah ciptaan Allah” (Soheh al-Bukhari dan Soheh Muslim). Dari Jabir yang menceritakan; “Rasulullah melarang wanita menyambung rambutnya dengan sesuatu” (HR Imam Muslim). Ibnu Umar menceritakan; “Rasulullah melarang dari al-Qaza’ iaitulah mencukur rambut kanak-kanak di sebahagian kepala sahaja dan meninggalkannya di sebahagian lagi” (HR Imam Bukhari dan Muslim).
2. Mendatangkan mudarat kepada tubuh. Firman Allah (bermaksud); “Janganlah kamu mendedahkan diri kamu kepada kebinasaan” (Surah al-Baqarah, ayat 195).
3. Berlaku pendedahan aurat dan tabarruj (iaitu mendedahkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya didedahkan termasuk rambut, dan membangkitkan ghairah orang lain kepada zina). Firman Allah (bermaksud); “dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu bertabarruj (yakni berhias dan bertingkah laku) seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu ….”. (al-Ahzab: 33)
4. Berlebihan (membazir masa dan wang). Firman Allah (bermaksud); ““…dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan….”. (al-A’raf, ayat 31-32).
5. Dengan tujuan berbangga-bangga. Firman Allah (bermaksud); “Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri”. (al-Hadid: 23)
6. Meniru gaya orang kafir atau orang fasik. Sabda Nabi; “Sesiapa meniru satu kaum, maka ia dari kalangan mereka” (HR Abu Daud dari Ibnu Umar).
7. Lelaki meniru gaya perempuan dan sebaliknya. Ibnu ‘Abbas menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah melaknat lelaki-lelaki yang meniru-niru perempuan dan wanita-wanita yang meniru-niru lelaki”. (HR Imam Bukhari)
8. Bertujuan menipu orang lain seperti orang yang bersolek untuk kelihatan muda supaya pinangannya diterima. Berkata Imam al-Khattabi; “Wanita-wanita yang menyambung rambut (yang dilarang dalam hadis) ialah mereka yang menyambung rambut mereka dengan rambut yang diambil dari wanita lain dengan tujuan supaya rambut mereka kelihatan panjang. Maka itu adalah tipuan dan pemalsuan, kerana itu ia ditegah. Adapun menyambung dengan Qaramil (satu bahan/benda kelihatan seperti rambut, namun bukan rambut), ia dibenarkan oleh ulamak kerana tidak berlaku penipuan padanya kerana orang yang melihat kepadanya tidak meragu bahawa ia bukanlah rambut” (Ma’alim as-Sunan).

Sebahagian ulamak menambah; mengubah ciptaan Allah yang dilarang oleh agama ialah yang bersifat kekal. Adapun yang tidak kekal seperti bercelak, mewarnakan rambut dan sebagainya, ia adalah harus. (Lihat; Tafsir al-Qurtubi (Surah an-Nisa’, ayat 119), Nailul-Autar (jil. 6, kitab al-Walimah…, bab Ma Yukrahu min Tazayyun an-Nisa’…). Namun sebahagian ulamak yang lain menjawab; jika kekal atau tidak kekal menjadi factor larangan atau keharusan perubahan, bagaimana pula dengan mencabut bulu kening (atau menipiskannya)? Ia bukanlah perubahan yang kekal (kerana bulu kening itu akan tumbuh kembali), namun dalam pada itu Syariat telah mengharamkannya dalam hadis tadi. Oleh itu, yang tepatnya ialah dengan kembali kepada prinsip asal tadi iaitu ia adalah harus selagi tidak melanggar larangan Syariat yang disenaraikan tadi atau larangan-larangan lain yang bersabit dengan nas yang soheh.

Untuk tambahan, sila baca jawapan sebelum ini; “Hukum kerinting rambut dan mewarnakannya” dalam blog ini juga.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 14, kitab al-Libas Wa az-Zinah, bab Istihbab Khadhab as-Syaibi…
2. Tafsir al-Qurtubi, surah an-Nisa’, ayat 119.
3. Tafsir at-Thabari, surah an-Nisa’, ayat 119.
4. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, jil. 6, kitab al-Walimah…, bab Ma Yukrahu min Tazayyun an-Nisa’…
5. Ad-Dhawabit as-Syar’iyyah Lil-‘Amaliyaat at-Tajmiliyah, Dr. Hani bin Abdullah bin Muhammad al-Jubair.
6. Fatwa dalam laman al-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.net), no. 102055.

Thursday, 17 March 2011

PENGHALALAN DARI ORANG YANG DIRAMPAS HAKNYA; APAKAH GUGUR DOSA DARI ORANG YANG MERAMPAS?

Soalan; Assalamualaikum wbt. Arwah kawan ada meninggalkan sebiji loket. Jika dijual, perlukah dibahagi mengikut hukum faraid. Yang ada suami dan 2 orang anak lelaki. Menurut suami, sebenarnya ada lagi barang kemas arwah tetapi diambil oleh adik beradik dan arwah ibunya. Mustahil untuk mengambilnya semula. Perlukah dia beritahu kepada ipar2 secara lisan untuk menghalalkan ataupun cukup sekadar niatnya sahaja.
Terima kasih.

Jawapan;

 1. Semua bentuk harta peninggalan si mati sama ada berupa wang, harta boleh alih (kereta, motor dan sebagainya) atau tidak boleh alih (tanah, rumah dan sebagainya) dan barang-barang berharga -dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya- mesti diagihkan kepada ahli-ahli warisnya yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan Allah dan Rasul. Harus dibahagikan secara persepakatan dengan syarat mendapat persetujuan semua ahli waris yang berhak tanpa terkecuali seorang pun. Dikecualikan jika ada ahli waris yang belum baligh, maka haknya mesti diberikan penuh mengikut yang diperuntukkan dalam hukum faraid, kerana persetujuannya tidak dipakai.

2. Membolot harta si mati sedangkan ada ahli-ahli waris lain yang turut berhak atas atas harta itu, perbuatan tersebut merupakan dosa besar kerana memakan harta orang lain secara batil. Firman Allah (bermaksud); "Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil" (Surah al-Baqarah, ayat 188). Memakan harta orang secara batil bermaksud melalui jalan yang haram termasuklah mencuri, merampas hak orang lain dan sebagainya (Lihat; Tafsir al-Jalalain; Surah al-Baqarah, ayat 188). Sabda Nabi; "Tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu dari harta saudaranya yang lain kecuali dengan keredhaan darinya" (HR Imam Ahmad dari Amrin bin Yasribi r.a.. Juga diriwayatkan dari Khifah ar-Raqasyi r.a.. Lihat; Ziyadah al-Jami' as-Saghier, no. 3891. Menurut Syeikh al-Albani, hadis ini soheh).

3. Sekalipun orang yang dirampas haknya menghalalkan haknya yang dirampas, itu tidak mencukupi untuk menggugurkan dosa dari orang yang merampas. Ini kerana syarat taubat bagi orang yang melakukan dosa yang berkait dengan hak manusia lain ada empat;
A) Ia meninggalakan perbuatan dosa itu
B) Ia menyesali ketelanjuran melakukannya.
C) Ia bertekad/berazam tidak akan mengulanginya lagi
D) Ia memulangkan hak orang lain yang dirampasnya atau memohon halal dari mereka.

Dengan penghalalan dari orang yang dirampas haknya, ia hanya menggugurkan tuntutan harta dari orang yang merampas iaitu menyelesaikan syarat ke 4 (D) di atas. Adapun tiga syarat sebelumnya tidak terlaksana dengan semata-mata penghalalan tersebut. Ia mesti datang hari kesedaran hati orang yang terlibat dengan dosa tersebut. 

Oleh demikian, hendaklah ada orang yang memperingatkan ibu dan sudara-saudara si mati tentang perbuatan mereka yang salah di sisi agama itu (merampas harta orang lain). Tindakan suami si mati menghalalkan haknya yang dirampas, ia mendapat pahala dengan tindakan itu. Namun ia tidak menggugurkan dosa dari mertua dan adik-beradik iparnya jika mereka tidak bertaubat. Lagi pula harta itu membabitkan juga anak-anak si mati, tidak cukup dengan penghalalan dari suami sahaja. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang belum baligh di mana persetujuan mereka tidak dipakai, bermakna; hak mereka mesti diberi secara penuh tanpa digugurkan sebarang hak pun.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 15 March 2011

HAID SELANG SEMINGGU, WANITA ISTIHADHAH; HARUSKAH BERSAMA SUAMI?

Soalan; Salam..Ust saya nak tanya, jika seorang perempuan didatangi haid seminggu, kemudian seminggu berhenti dan selepas itu datang lagi seminggu, adakah itu adalah darah penyakit? Boleh ust terangkan bagaimana keadaannya dikira sebagai darah penyakit? Dan seperti yg sy tahu, jika darah penyakit, seseorang itu dikehendaki menunaikan solat fardu seperti biasa tetapi bolehkah seseorang itu memegang @ membaca al-quran, membuat solat sunat dan bolehkah seseorang itu bersama dgn suami?  Harap ust dpt jawab kemusykilan saya ini. Terima kasih.

Jawapan;

1. Menurut mazhab Syafiie; tempoh suci di antara satu haid dengan satu haid yang lain tidak boleh kurang dari 15 hari. Oleh itu, jika seseorang wanita baru habis haid kemudian belum genap 15 hari dari tanggal habis haid tadi muncul semula darah, maka darah itu tidak dianggap darah haid, akan tetapi darah istihadhah. Darah haid adalah darah tabiie (normal) bagi wanita, adapun darah istihadhah bukan darah tabiie, tetapi muncul kerana suatu masalah atau penyakit yang dihadapi oleh seorang wanita. Darah haid tidak perlu diubati kerana ia bukan penyakit, adapun darah istihadhah perlu diubati kerana ia adalah penyakit.

2. Wanita yang menghadapi masalah darah istihadhah ia mesti beribadah seperti biasa, yakni ia wajib mengerjakan solat fardhu seperti biasa dan wajib berpuasa di bulan Ramadhan. Begitu juga harus ia melakukan solat-solat sunat dan puasa sunat. Ia juga harus membaca al-Quran, begitu juga harus memegangnya setelah bersuci dan mengambil wudhuk sebagaimana yang ditetapkan. Namun oleh kerana wanita yang istihadhah terpaksa mengambil wudhuk pada ketika darah sedang keluar dari farajnya, maka kaedah bersucinya ada sedikit berbeza dengan orang lain yang tidak menghadapi masalah tersebut. Sila baca kaedah bersuci wanita istihadhah dalam blog saya (klik).

3. Mengenai bersama suami ketika istihadhah (berjimak); menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie) ia diharuskan kerana tidak ada nas melarangnya. Namun dengan syarat tidak mendatangkan mudarat. Jika mendatangkan mudarat, dilarang dengan kerana mudarat tersebut, bukan kerana kewujudan darah istihadhah itu.

Untuk membaca huraian lebih terperinci tentang Darah Istihadhah, sila masuk ke blog (http://fiqh-am.blogspot.com/) dan lihat tajuk Darah-Darah Wanita.

Wallahu a'lam.

SEPUPU IBU; ADAKAH BOLEH DIKAHWINI?

Soalan; ust , sy nak tanya . apa hukum mngahwini sepupu ibu sndiri ??

Jawapan;

Sepupu sendiri, sepupu ibu atau sepupu bapa, semuanya bukan mahram. Oleh itu, harus dikahwini.
Bagi seorang lelaki, wanita-wanita yang menjadi mahramnya ialah;
1. Ibunya
2. Neneknya (sebelah bapa dan juga sebelah ibu)
3. Anak perempuannya
4. Cucu perempuannya
5. Kakak atau adik perempuannya.
6. Anak saudara perempuannya (yakni anak perempuan kepada saudara-saudara kandungnya)
7. Ibu saudaranya (sebelah bapa dan juga sebelah ibu)
8. Ibu mertua
9. Anak tiri perempuan
10. Menantu perempuan
11. Ibu tiri
 
Bagi seorang wanita pula, lelaki-lelaki yang menjadi mahramnya ialah;
1. Bapanya
2. Datuknya (sebelah bapa dan juga sebelah ibu)
3. Anak lelakinya
4. Cucu lelakinya
5. Abang atau adik lelakinya
6. Anak saudara lelakinya (yakni anak lelaki kepada saudara-saudara kandungnya)
7. Bapa saudaranya (sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu)
8. Bapa mertua
9. Anak tiri lelaki
10. Menantu lelaki
11. Bapa tiri
 
Dari senarai di atas, sepupu-sepupu (sama sepupu sendiri, sepupu ibu atau sepupu bapa) tidak termasuk dalam senarai kerana mereka bukan mahram. Maksud mahram (khususnya mahram muabbad) ialah orang-orang yang haram dikahwini buat selamanya. Dengan mereka harus kita bersalaman, berduaan (jika aman dari fitnah), membuka aurat yang diharuskan sesama mahram (seperti tidak wajib bertudung) dan menemani mereka atau ditemani ketika safar (perjalanan jauh). Semua ini tidak harus ketika bersama sepupu kerana ia bukan mahram dan harus dikahwini.

(*Mahram-mahram di atas tidak termasuk kerana susuan. Ia ada diterangkan dalam jawapan sebelum ini. Pembaca yang ingin membacanya sila taip "susuan" di ruang carian).   
 
Wallahu a'lam.

Sunday, 13 March 2011

JAM EMAS

Soalan; Assalamualaikum Ustaz..Saya ada pertanyaan..Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang disadurkan dengan emas? Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat larangan yang jelas dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- terhadap orang lelaki memakai emas. Sabda Nabi (bermaksud); “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Malah turut dilarang ialah perkakas/peralatan dari emas (dan juga perak). Larangan ini merangkumi lelaki dan juga perempuan. Sabda Nabi SAW; "Jangan kamu minum dalam bekas dari emas dan perak dan jangan kamu makan dalam pinggan dari keduanya kerana sesungguhnya ia untuk mereka (yakni orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu di akhirat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Huzaifah r.a.).

Hadis di atas walaupun hanya menyebutkan larangan bekas emas dan perak untuk makan dan minum, namun dikiaskan kepadanya peralatan-peralatan yang lain yang dibuat darinya untuk kegunaan lainnya kerana jika untuk kegunaan terpenting manusia (iaitu makan dan minum) ia dilarang, maka kegunaan yang kurang penting darinya lebih-lebih lagilah dilarang. Berkata Imam an-Nawawi; "Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa diharamkan menggunakan bekas dari emas dan perak sama ada untuk makan, minum, bersuci atau bentuk-bentuk penggunaan yang lain, sama ada bekas itu besar atau kecil, sama ada yang menggunakannya itu lelaki atau perempuan" (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi). Termasuk yang diharamkan ialah jam dan pen dari emas dan perak. (Syeikh Majid al-Hamawi, ta’liq ‘ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, hlm. 28). Kesimpulannya, Emas (dan begitu juga perak) hanya harus untuk perhiasan diri sahaja (emas bagi perempuan sahaja, perak bagi perempuan dan juga lelaki) dengan kadar yang diharuskan oleh Syarak. Adapun untuk dijadikan perkakas atau kegunaan, tidak diharuskan sama sekali.

Oleh itu, jam yang dibuat dari emas haram lelaki memakainya sama ada atas nama perhiasan atau peralatan.[1] Begitu juga, jam yang bukan keseluruhannya dari emas, akan tetapi terdapat bahagian tertentu dibuat dari emas –seperti jarumnya, lingkungan mukanya, tangannya atau sebagainya- juga diharamkan lelaki memakainya kerana ia juga termasuk dalam makna menjadikan emas sebagai peralatan atau perhiasan.[2]

2. Adapun jam yang bersalut emas; jika salutan emas itu adalah tiruan (yakni bukan emas, tetapi air emas atau bahan lain yang berwarna seperti emas), tidaklah dilarang. Namun jika salutan itu sememangnya emas (yakni jam yang dibuat dari logam lain, kemudian disalut dengan lapisan emas di luarnya), jika salutan itu banyak, haram memakainya dengan sepakat para ulamak. Jika salutan itu sedikit, ia menjadi khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafiie); Salutan yang sedikit, tidak haram memakainya, akan tetapi makruh. Ukuran untuk menentukan banyak atau sedikit ialah; jika emas itu masih dapat dipisahkan dari logam yang disalutinya –dengan cara peleburan, pengikisan atau seumpamanya-, ia dianggap banyak. Jika sudah tidak dapat dipisahkan –dengan apa cara sekalipun-, ia dikira sedikit.[3]

b) Menurut mazhab Hanbali; diharamkan memakainya sama ada salutan emas banyak atau sedikit, sama ada emas itu dapat dipisahkan atau tidak lagi dapat dipisahkan, kerana larangan Nabi dalam hadis tadi adalah umum merangkumi pengertian emas secara amnya (tanpa diikat dengan sedikit atau banyak). (al-Insaf, 1/478)

Tindakan terbaik ialah kita tidak memakainya kerana jumhur ulamak yang mengharuskannya tadi mereka mengharuskannya dengan hukum makruh (yakni sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi makruh). Lagipun apabila terdapat khilaf di kalangan ulamak, jika kita dapat mengambil jalan untuk lari dari khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah tindakan terbaik.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Begitu juga, diharamkan ke atas kanak-kanak. Namun oleh kerana kanak-kanak belum mukallaf, yang menanggung dosa ialah orang yang memakaikan kepadanya sama ada ibunya, bapanya atau sebagainya. (Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah).

[2]-Pemakaian emas oleh lelaki hanya harus ketika darurat sahaja seperti untuk menampung kecacatan di badan seperti membuat hidung palsu, gigi (termasuk mengikat gigi), hujung jari dan sebagainya jika tidak ada logam lain dapat menggantinya. Harus juga menggunakan perak. (lihat; al-Majmu’, 1/256, 6/38. Lihat juga; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 348).
-Menurut ulamak; Termasuk yang dilarang ialah menjadikan emas sebagai bahan penampal, tampungan atau pengikat kepada bekas sama ada kerana keperluan (seperti menampung bekas yang pecah) atau kerana perhiasan. Ia diharamkan sama ada kadar emas itu banyak atau sedikit. Hanya diharuskan tampalan/tampungan itu ialah dengan perak, itupun untuk keperluan, bukan untuk perhiasan. Kadarnya hendaklah sedikit sahaja, tidak banyak. Menurut mazhab Syafiie; menampung bekas dengan perak, jika sedikit kadar tampungan itu dan dibuat kerana keperluan, tidaklah makruh (yakni harus). Jika dibuat untuk perhiasan, makruh. Jika kadar tampungan banyak, jika kerana ada keperluan, hukumnya makruh, dan jika kerana perhiasan (bukan keperluan), hukumnya haram. Adapun dengan emas, hukumnya haram sama ada kerana keperluan atau perhiasan, sedikit kadar emasnya atau banyak. (Lihat; al-Majmu’, 1/254, bab al-Aniyah).

[3] Tidak diharamkan memakainya kerana dengan kadar emas yang sedikit itu (dan tidak dapat dipisahkan lagi), ia seolah-olah tidak wujud melainkan warnanya sahaja yang masih tinggal. Menurut pandangan yang paling soheh; tidak diambil perkiraan lagi bagi suatu yang tidak tinggal darinya melainkan warna sahaja (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 369).

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisan wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 369.
2. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
3. Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah.
4. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/254 (bab al-Aniyah), 6/38 (Kitab az-Zakah, bab Nisab az-Zahab wa al-Fiddah..).
5. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
6. at-Ta'liq 'Ala Matn al-Ghayah wa at-Taqrib, Syeikh Majid al-Hamawi.

ZAKAT PERNIAGAAN IBU TUNGGAL

Soalan; Assalamualaikum w.b.t Tuan, Saya hamba yang kurang pengetahuan ini ada satu persoalan yang saya inginkan penjelasan. Adakah seorang ibu tunggal (telah kematian suami) yang meniaga sendiri untuk menyara keluarganya dan katakanlah telah mendapat keuntungan bersih hasil perniagaannya berjumlah RM10,000.00 setahun, wajib untuk membayar zakat perniagaannya sedangkan dia yang mempunyai 5 orang anak dimana 2 daripadanya telah bekerja (cukup untuk menyara diri sendiri) manakala 3 darinya masih menuntut (seorang di Universiti Awam, seorang di Matrikulasi Kerajaan dan seorang lagi masih belajar di tingkatan 4). Harap dapat dibantu. Terima Kasih.

Jawapan;

1. Zakat wajib dikeluarkan apabila seorang itu kaya. Dalam hadis yang menceritakan Nabi menghantar Muaz ke Yaman untuk menjadi Gabenor, antara yang dipesan Nabi kepadanya ialah; "Apabila mereka telah patuh kewajipan Solat lima waktu, beritahu pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (yakni zakat) iaitu dipungut dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas). Kewajipan zakat ini tidak terkecuali dari sesiapapun asalkan harta yang dimiliki adalah milik sempurna dan memenuhi syarat-syarat diwajibkan zakat, termasuklah harta anak yatim, ibu tunggal atau sebagainya.  

Maksud kaya dalam istilah Syariat bukan bermaksud seorang itu mempunyai simpanan wang berjuta, beratus ribu atau puluhan ribu. Jika seseorang mempunyai lebihan wang setelah ditolak keperluan asas dirinya dan keluarganya dan lebihan itu menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan (yakni kadar minima pemilikan harta yang mewajibkan zakat), ia dianggap kaya di sisi Syariat dan wajiblah mengeluarkan zakat. Jika ia tidak mempunyai lebihan atau lebihan yang ada tidak sampai nisab yang ditetapkan, ia tidak dianggap kaya dan tidak wajib zakat.

2. Bagi zakat perniagaan, wajib dikeluarkan zakat apabila harta perniagaan yang dimiliki mencukupi nisab yang ditetapkan Syariat iaitu nilai semasa 85 gram emas. Zakat dikeluarkan setelah ditolak keperluan diri dan keluarga (termasuk kos pengajian anak-anak). Jika lebihan setelah ditolak belanja keperluan mencapai nisab, barulah diwajibkan zakat. Ikut langkah-langkah berikut untuk mengira zakat;
1. Tetapkan tarikh hitungan zakat bagi setiap tahun. Contoh; 1 Ramadhan atau 1 Muharram atau sebagainya. Ini kerana zakat perniagaan hanya wajib sekali sahaja pada setiap tahun.
2. Bila tiba tarikh tersebut, buat perkiraan terhadap semua barang-barang perniagaan yang ada di kedai atau di stor simpanan.* Hitung dalam nilai wang. Kemudian campurkan nilai itu dengan wang yang ada dalam tangan dan dalam simpanan (di bank dan sebagainya).
3. Tolak hutang semasa sama ada hutang perniagaan atau hutang keperluan hidup.
4. Tolak kos keperluan hidup semasa merangkumi untuk diri dan keluarga.
5. Setelah itu, perhatikan berapa yang berbaki. Jika baki sampai nisab tadi (nilai semasa 85 gram emas), wajiblah dikeluarkan zakat ke atas baki tadi iaitu sebanyak 2.5% sahaja. Jika tak sampai, tak wajiblah zakat.

(*Perlu diketahui; yang perlu dihitung ialah barang-barang perniagaan sahaja. Adapun aset-aset yang tidak diperniagaankan seperti kerusi-meja, perabot, komputer, mesin-mesin dan sebagainya, tidaklah termasuk dalam hitungan).

3. Mengeluarkan zakat banyak hikmah dan kebaikannua. Selain melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah, ia menjadi simpanan pahala untuk kita di akhirat, membersihkan harta dan mengundang keberkatan kepada harta. Harta yang dikeluarkan zakat, harta itu akan semakin bertambah, Insya Allah.

Wallahu a'lam.

Friday, 11 March 2011

TELUR YANG BERDARAH; ADAKAH MASIH HARUS DIMAKAN?

Soalan; Telur yang berdarah, apakah ia masih boleh dimakan? Apa hukum menjualnya?

Jawapan;

1. Telur jika telah berubah menjadi darah, ia adalah najis menurut mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali). Adapun jika ia menjadi busuk sahaja (yakni tidak menjadi darah), para ulamak khilaf;
A) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Syafiie dan Hanbali); ia tidaklah menjadi najis. Hukumnya sama seperti daging yang menjadi busuk; ia tidak diianggap najis dan masih harus dimakan jika tidak memudaratkan. 
B) Namun menurut mazhab Maliki; telur yang berubah menjadi busuk adalah najis dan haram dimakan. 
Jika perubahannya hanya sekadar bercampur kuningnya dan putihnya -yakni belum lagi menjadi busuk- ia adalah suci tanpa khilaf.

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmuk; Telur dari binatang yang suci jika ia berubah menjadi darah; menurut pandangan yang paling soheh dalam mazhab Syafiie ia adalah najis. Adapun telur yang berubah baunya iaitu yang bercampur putihnya dan kuningnya, ia masih suci tanpa ada khilaf. Begitu juga, daging yang menjadi busuk; ia masih suci mengikut pandangan yang dipakai dalam mazhab Syafiie. (al-Majmuk, 2/555, bab Izalati an-Najasah).

Walau bagaimanapun, sebahagian ulamak menjelaskan; darah yang dimaksudkan itu ialah yang mengalir. Jika darah dalam telur itu sekadar satu tompok sahaja, ia dimaafkan (yakni tidaklah dianggap najis dan tidak haram dimakan). Imam al-Qarafi menyebutkan dalam kitabnya az-Zakhirah; "Kadang-kadang di tengah kuning telur terdapat setompok darah yang berasal darinya (yakni dari kuning telur itu). Maka dengan mengambil kira bahawa darah yang dianggap najis ialah yang mengalir, tidaklah telur itu menjadi najis (dengan kerana terdapat tompokan darah pada kuningnya itu kerana ia tidak mengalir)". (az-Zakhirah (4/108), Mawahib al-Jalil (Imam al-Hattab, 4/355).

Kenyataan Imam al-Qarafi di atas (bahawa darah yang najis ialah yang mengalir) merujuk kepada firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah" (al-An'am, ayat 145). Berdasarkan ayat ini para ulamak menyimpulkan bahawa; darah yang haram dimakan ialah yang mengalir. Adapun darah yang terperangkap dalam daging, hati atau limpa, ia adalah dimaafkan (yakni harus dimakan bersama daging, hati atau limpa) kerana tidak lagi mengalir. Maka bagi kes di atas, oleh kerana setompok darah pada kuning telur itu tidak mengalir, ia juga turut dimaafkan.   

2. Jika telur telah berubah menjadi janin ayam, ia adalah najis (dengan matinya) kerana ia dikira bangkai. Tidak haruslah ia dimakan. Majlis Fatwa Arab Saudi menjelaskan; "Anak ayam (yang mati dalam telur) adalah bangkai yang tidak harus dimakan kerana ia adalah kejadian yang tercipta dalam telur. Pengharam bangkai telah sedia diketahui oleh sekelian kaum muslimin" (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah Lil-Iftak, 22/360).

3. Apa yang kita kemukakan di atas adalah dari segi hukum suci atau najisnya dan hukum halal atau haram memakannya (*Setiap yang najis haram dimakan). Adapun hukum menjualnya (sama ada secara lansung atau setelah dimasak atau dimasukkan sebagai bahan dalam produk makanan), kita semua mengetahui bahawa kebiasaan di Malaysia orang ramai tidak menerima telur yang telah berubah bau atau warnanya (termasuk yang bertompok darah) kerana telur yang berubah bau dan warnanya itu dianggap barang rosak. Kerana itu, penjualan telur sebegitu dianggap menipu pengguna atau pembeli. Jika berlaku secara tidak sengaja, pengguna/pembeli mempunyai hak untuk memulangkannya iaitu hak khiyar aib yang ditetapkan oleh Syariat Islam. Melainkan jika pengguna atau pembeli dimaklumkan tentangnya dan mereka redha menerimanya, ketika itu sahlah jual-beli tersebut walaupun terdapat kecacatan pada barang.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, kalimah; Baidhun.
2. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 2/555, bab Izalati an-Najasah.
4. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 133448. 

Thursday, 10 March 2011

MENGULANGI SOLAT KERANA WAS-WAS DAN TIDAK KHUSYUK

Soalan; Assalamualaikum, ustaz, saya selalu was-was bilangan sujud semasa solat, bila fikiran terlalai sikit terus terlupa atau was-was bilangan sujud sesuatu rakaat walaupun sepanjang solat tersebut kita khusyuk. Apakah tindakan sekiranya hadir perasaan was-was tersebut.  saya ada terdengar dalam kuliah di surau-surau menyatakan seseorang yang merasakan solatnya tidak sah atau tidak sempurna dibolehkan bangun solat semula. Semoga dengan penerangan dari Ustaz dapat menenangkan hati saya. wassalam...

Jawapan;

1. Bila timbul keraguan tentang bilangan sujud, lakukan sujud sekali lagi, kemudian di akhir solat lakukan sujud sahwi. Sujud sahwi itu akan menampung kekurangan pahala solat kerana keraguan tadi.
 
2. Tidak harus berhenti solat dengan sengaja kecuali jika benar-benar yakin solat kita batal seperti ada najis pada badan, terlupa mengambil wudhuk atau aurat terdedah/kain terkoyak (dan tidak dapat ditutup ketika solat).
 
3. Adapun merasa tak khusyuk atau ada rukun atau perbuatan solat tidak sempurna, tidak harus berhenti solat. Apa yang perlu dilakukan ialah meneruskan solat. Jika kita yakin ada rukun yang tak sempurna, hendaklah dilakukan semula rukun itu tanpa berhenti solat. Contohnya, apabila kita berada di rakaat kedua kita teringat bahawa pada rakaat pertama tadi kita terlupa baca Fatihah, kita hendaklah meneruskan solat dengan mengira rakaat kedua itu sebagai rakaat pertama kerana rakaat pertama tadi tidak dikira kerana tertinggal satu rukun iaitu membaca Fatihah. Adapun solat kita tidaklah batal (atau perlu dibatalkan) kerana bukan sengaja kita tidak membaca Fatihah, akan tetapi kerana terlupa. Kemudian di hujung solat, kita tampung kelupaan kita itu dengan sujud sahwi.
 
4. Suatu yang mustahil bagi seorang manusia biasa (yang bukan rasul) untuk mencapai 100% khusyuk dalam solat. Kerana itu, para ulamak sepakat menyatakan bahawa; tidak batal solat dengan kerana terkurang khusyuk. Yang membatalkan solat ialah apabila dengan sengaja ditinggalkan rukun-rukun solat atau dengan sengaja dilakukan di dalam solat perbuatan-perbuatan yang bukan solat seperti makan, bercakap, bergerak dengan pergerakan yang bukan disuruh dalam solat. Adapun tidak khusyuk ia tidak sampai membatalkan solat, cuma boleh mengurangkan pahala solat. Semakin kurang khusyuk, semakin berkuranglah pahala solat hinggalah mungkin pahala solat kita hanya tinggal 20% atau 10% sahaja. Adapun untuk tinggal 0%, itu tidak mungkin berlaku kecuali orang yang berolok-olok mengerjakan solat ataupun ia gila/tidak siuman.

Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya seorang lelaki selesai menunaikan solat, namun tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Lihat. Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1978).
 
5. Perlu disedari bahawa Allah mensyariatkan banyak solat sunat untuk kita lakukan. Di antara manfaat solat sunat ialah ia akan menampung kekuarangan dalam solat fardhu kita. Oleh demikian, cara untuk menampung kekurangan dalam solat fardhu bukanlah dengan mengulanginya (kerana kita ditegah mengulangi solat fardhu tanpa sebab), akan tetapi dengan kita banyak melakukan solat-solat sunat.

6. Menurut ulamak; Solat fardhu yang telah dilakukan tidak harus diulangi semula kecuali dengan sebab-sebab berikut;
a) Kerana kita menemui jamaah. Contohnya; kita telah menunaikan solat zohor tetapi secara berseorangan. Kemudian kita menemui ada jamaah ingin menunaikan solat zohor berjamaah. Maka harus kita solat semula zohor dengan jamaah itu kerana kita mendapat yang lebih baik.
b) Kerana kita mendapati solat fardhu yang kita lakukan tidak sah seperti belum masuk waktu, ada najis di pakaian atgau ada rukun yang tertinggal (dan telah berlaku masa yang lama baru kita mengingatinya, yakni telah lama kita memberi salam).
c) Kerana ingin membantu orang lain bagi mendapatkan jamaah. Contohnya; kita telah pun solat bersama jamaah. Kemudian ada seorang masuk ke masjid dan mengajak kita untuk solat bersamanya bagi membolehkannya mendapat pahala jamaah, maka harus kita solat bersamanya sekali lagi dan kita akan mendapat pahala membantu orang lain di samping pahala solat.
 
Wallahu a'lam.

Tuesday, 8 March 2011

HUKUM BERCUMBUAN TANPA ZINA

Soalan; Assalamualaikum..sy nak tanya, apakah hukum seorang lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bersentuhan dan bercumbuan pada pertama kali tanpa melakukan zina? adakah dosa keterlanjuran ini sangat berat walaupun tidak berlaku zina? apakah Allah akan mengampunkan dosanya sekiranya mereka ini telah insaf dan tidak mengulangi perbuatan ini untuk kali kedua?? sy kurang jelas tentang hal ini..

Jawapan;

Perbuatan tersebut sekalipun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu;

1. Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).

2. Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).

3. Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.

4. Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)

5. Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).

6. Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. Dengan ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.

Orang yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;
1. Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.
2. Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.
3. Bertekad tidak akan mengulangi lagi.

Sebagai bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; "Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman" (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 4516)

Wallahu a'lam.

Sunday, 6 March 2011

DARAH SELEPAS KEGUGURAN; Adakah ia nifas?

Soalan; Assalamualaikum ustaz. selepas keguguran, darah yang keluar adakah nifas? dan berapa lamakah tempoh nifas keguguran? adakah sama dengan nifas bersalin? atau dikira sama dengan tempoh haid?

Jawapan;

1. Menurut mazhab Syafiie; Tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan disahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Nifas yang keluar kerana keguguran dari segi hukum sama seperti nifas kerana kelahiran. Tempoh paling singkat ialah seketika/sedetik dan paling lama ialah 60 hari (menurut mazhab Syafiie) atau 40 hari (menurut jumhur ulamak).

3. Jika nifas datang beberapa hari dan kemudian berhenti, hendaklah diperhatikan; jika tempoh berhentinya l5 hari atau lebih, ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Jika keluar semula darah selepas itu, ia dianggap darah haid bukan nifas lagi. Adapun jika tempoh berhentinya kurang dari 15 hari (seperti berhenti 5 hari dan datang semula darah selepas itu), ia masih dianggap darah nifas. Sehinggalah bila melepasi tempoh maksima nifas tadi (iaitu 40 hari mengikut jumhur ulamak atau 60 hari mengikut mazhab Syafiie), jika ditakdirkan darah masih keluar, ia bukan lagi darah nifas akan tetapi darah haid (jika ada tanda-tanda haid dan menepati hari kebiasaan haid) atau istihadhah (jika darah yang masih keluar itu tiada tanda-tanda haid).

4. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita tersebut dianggap tidak bernifas.

Untuk mendapat maklumat lebih terperinci tentang nifas, sila baca di laman FIQH ANDA, di bahagian Darah-Darah Wanita.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Buku Fiqh Toharah (Bersuci), Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil al-‘Azzazi, 1/142.

Saturday, 5 March 2011

RAMBUT YANG GUGUR SEMASA HAID

Soalan; Salam ustaz, .Rambut saya gugur apabila saya datang haid.Perlukah saya mengutip rambut yang gugur dan mandi wajib sekali dengan rambut yang gugur itu?

Jawapan;

1. Ketika kita mandi wajib (yakni mandi untuk menghilangkan hadas besar pada badan kita sama ada kerana haid atau kerana janabah), kita hanya disuruh meratakan air ke seluruh badan kita iaitu merangkumi seluruh kulit dan rambut/bulu yang ada pada badan kita. Kita tidaklah disuruh untuk turut memandikan mana-mana rambut, kuku dan sebagainya yang telah terpisah dari badan kita. Malah para ulamak mengharuskan orang yang berjunub dan wanita yang sedang haid untuk memotong rambut, membuang kuku, mencukur bulu ari-ari, membuang darah (berbekam) dan sebagainya pada ketika sedang haid atau janabah itu kerana tidak ada dalil yang melarangnya. Dan mereka tidaklah pula mensyaratkan rambut, kuku atau sebagainya yang dipotong atau dibuang itu wajib dihimpun dan dimandikan bersama ketika mandi wajib nanti. Hanya beberapa ulamak sahaja (antaranya Imam al-Ghazali) yang menyebutkan larangan memotong rambut, membuang kuku dan sebagainya itu ketika haid atau berjunub. Namun pendapat mereka ditolak oleh ulamak-ulamak lain kerana setiap larangan mesti berdalil. Sila baca jawapan sebelum ini "Memotong rambut dan kuku ketika haid".

2. Walaupun tidak diwajibkan memandi rambut atau kuku atau sebagainya yang terpisah dari badan kita itu, namun kita disuruh agar menghormatinya. Kerana itu, menurut ulamak; sebaiknya rambut, kuku atau sebagainya yang kita buang dari badan kita; hendaklah kita ambil dan kita tanam. Mil binti Misraj menceritakan; Bapanya Misraj -seorang sahabat Nabi- apabila ia memotong kuku, ia akan menghimpunnya, kemudian ia menanamnya. Ia berkata; "Begitulah aku melihat Rasulullah melakukannya". (HR Imam al-Baihaqi dalam Syu'abil-Iman, hadis no. 6068). Hadis ini walaupun dhaif menurut ulamak-ulamak hadis, namun ia menepati ayat al-Quran yang menyebutkan kemuliaan manusia iaitu firman Allah (bermaksud); "Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah memuliakan anak-anak Adam (manusia)" (Surah al-Isra', ayat 70).

Jika susah untuk menanamnya, hendaklah kita letakkan di tempat yang tersembunyi dari orang lain. Ini sebagaimana Rasulullah menyuruh Abdullah bin Zubair supaya mengambil darah bekamnya dan membuangnya di tempat yang tidak dilihat orang lain. Dalam Sunan Kubra (Imam al-Baihaqi), diriwayatkan dari Abdullah bin az-Zubair yang menceritakan; “Rasulullah telah berbekam, lalu ia memberi darahnya kepadaku dan berkata; ‘Pergi dan buangnya di tempat yang tersembunyi yang tidak ditemui oleh binatang buas, anjing atau manusia’” (Sunan al-Kubra, Imam al-Baihaqi, hadis no. 13789)

Adapun rambut yang gugur dengan sendiri tanpa kita menyedarinya, kita tidaklah disuruh mencari dan menghimpunnya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu', Imam an-Nawawi, 5/208, Kitab al-Janaiz.
2. Fatwa dari laman (Islamweb.com), no. 119428, 9187.

Friday, 4 March 2011

KEPADA SIAPA PEMINANGAN HENDAK DITUJUKAN?

Soalan; salam ustaz..saya mempunyai beberapa soalan..harap ustaz dpt membantu..
1) saya pernah mendapat artikel dari facebook dan terdengar dari mulut kawan-kawan..adakah benar bahawa lelaki dan perempuan ini telahpun bertunang secara tidak rasmi apabila lelaki menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada perempuan yang disukai..lelaki itu baru menyatakan hasrat tetapi belum pun berjumpa dengan kedua ibu bapa perempuan itu..adakah dianggap bertunang?
 
Jawapan;

Bagi wanita yang masih dara dan ia memupunyai wali mujbir (iaitu bapa atau datuk), penyataan hasrat untuk mengahwininya (iaitu peminangan) hendaklah dibuat kepada waji mujbirnya itu, yakni kepada bapanya atau datuknya (jika bapa tiada). Apabila wali mujbir itu menerima  barulah di antara mereka berdua (yakni gadis dan lelaki yang meminangnya) dikatakan mempunyai ikatan pertunangan. Adapun wanita janda atau wanita yang masih dara tetapi tidak mempunyai wali mujbir, peminangan boleh dibuat kepada dirinya sendiri atau kepada walinya namun hendaklah dengan persetujuannya. Ini kerana wanita yang telah menjadi janda, walinya tidak berhak mengahwinkannya kecuali dengan persetujuannya. Begitu juga dengan wanita dara yang tidak mempunyai wali mujbir (yakni wali yang ada adalah selain bapa dan datuk, iaitu abang, bapa saudara dan sebagainya), wali bukan mujbir itu tidak berhak mengahwininya tanpa persetujuannya. Berbeza dengan wanita dara yang mempunyai wali mujbir (bapa atau datuk), wali mujbirnya berhak mengahwinkannya sekalipun tanpa persetujuannya. Kerana itu, peminangan hendaklah dilakukan kepada wali mujbir, bukan kepada wanita itu. Maka jika seorang lelaki melamar seorang wanita yang masih dara, sekalipun wanita itu bersetuju menerimanya tidaklah persetujuan itu dianggap pertunangan sehinggalah wali mujbirnya turut sama bersetuju.

Wallahu a'lam.

Nota;

1. Implikasi pertunangan dari segi hukum ialah larangan pinangan atas pinangan sebagaimana ditegaskan oleh Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam-; "Jangan sebahagian kamu meminang atas pinangan saudaranya" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar). Berdasarkan hadis ini, para ulamak menyimpulkan; diharamkan seorang lelaki meminang seorang wanita yang diketahui telah dipinang oleh orang lain dan pinangannya telah diterima, dalam erti lain; telah ada ikatan pertuangan antara lelaki dan wanita tersebut. Menurut Imam an-Nawawi; para ulamak sepakat (ijmak) bahawa diharamkan pinangan atas pinangan ialah jika pihak wanita telah memberi jawapan terima dan lelaki yang meminang dulu tidak mengizinkannya dan tidak meninggalkan wanita yang dipinangnya. Jika jawapan belum diberikan (yakni belum ada sebarang ikatan pertunangan) tidaklah diharamkan orang lain masuk meminang? Maka, timbul persoalan; jawapan siapa yang hendak dipakai atau dikira, jawapan dari wanita itu sendirikah atau dari walinya? Imam an-Nawawi menjawab; "Jawapan yang diambil kira ialah dari jawapan wali dan persetujuannya jika wanita adalah mujbarah (yakni yang boleh dikahwinkan oleh wali mujbir (iaitu bapa atau datuk) tanpa persetujuannya, iaitulah wanita yang masih dara). Jika wanita itu bukan mujbar (yakni yang tidak diboleh dikahwinkan tanpa persetujuannya, iaitulah janda atau wanita dara yang tiada lagi wali mujbir), yang diambil kira ialah jawapannya dan persetujuannya. Bagi wanita hamba, yang diambil kira ialah jawapan dan persetujuan tuannya. Bagi wanita yang gila pula, yang diambil kira ialah jawapan dan persetujuan sultan" (Raudhatu at-Thalibin, kitab an-Nikah, bab Muqaddimaat al-Nikah. Rujuk juga; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, 3/177, Kitab an-Nikah.
2. Az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al- Hafnawi, hlm. 68-86.
3. Al-Mausuah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, perkataan; Khitbah.
4. Takmilah al-Majmu', Dr. Mahmud al-Matraji, 17/327.

Wednesday, 2 March 2011

MAKMUM BANGUN MENDAHULUI IMAM KERANA IMAM SILAP RAKAAT

Soalan; Assalamualaikum. Ustaz, saya ingin bertanya tentang solat secara berjemaah. Adakah sah solat jika makmum dengan secara tidak sengaja mendahului imam bangun berdiri pada rakaat ketiga solat zuhur kerana tidak mengetahui bahawa imam terlupa rakaat (yakni imam duduk tahiyat akhir - namun ia cepat sedar). Apabila sedar, imam terus bangun, dan meneruskan solat hingga akhir. Bagaimana dengan solat makmum yang telah berdiri mendahului imam tersebut.

Jawapan;

Makmum tidak harus mengikut imam jika imam melakukan kesalahan/kesilapan yang boleh menjejaskan solat seperti menambah rakaat solat atau tertinggal rakaat. Makmum hendaklah mengingatkan imam (dengan bertasbih jika makmum lelaki atau dengan menepuk belakang tangannya jika makmum perempuan). Dalam masalah saudara tersebut, jika saudara yakin imam saudara telah terlupa rakaat, hendaklah saudara terus berdiri di rakaat baru itu dan bertasbih mengingatkan imam (atau menunggu sahaja imam naik jika ada orang lain telah bertasbih mengingatkannya). Jika imam bangun, saudara hendaklah terus mengikutnya. Apabila nanti ia sujud sahwi di akhir solat, wajib saudara turut sujud bersamanya. Namun jika ia tidak bangun, saudara hendaklah berniat mufarawah darinya (yakni niat berpisah darinya) dan meneruskan solat sendirian.

Mengenai soalan saudara; apakah batal solat makmum kerana berdiri mendahului imam dalam masalah tersebut? Jawapannya; tidak batal, malah tidak harus makmum untuk turut duduk bersama imam dalam kes tersebut kerana duduknya itu ternyata satu kesilapan. 

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 4/207-208 (bab Solati al-Jamaah), 4/92 (bab Ma Yufsidu al-Solah...).     

MAKMUM BANGUN MENDAHULUI IMAM KERANA IMAM SILAP RAKAAT

Soalan; Assalamualaikum. Ustaz, saya ingin bertanya tentang solat secara berjemaah. Adakah sah solat jika makmum dengan secara tidak sengaja mendahului imam bangun berdiri pada rakaat ketiga solat zuhur kerana tidak mengetahui bahawa imam terlupa rakaat (yakni imam duduk tahiyat akhir - namun ia cepat sedar). Apabila sedar, imam terus bangun, dan meneruskan solat hingga akhir. Bagaimana dengan solat makmum yang telah berdiri mendahului imam tersebut.

Jawapan;

Makmum tidak harus mengikut imam jika imam melakukan kesalahan/kesilapan yang boleh menjejaskan solat seperti menambah rakaat solat atau tertinggal rakaat. Makmum hendaklah mengingatkan imam (dengan bertasbih jika makmum lelaki atau dengan menepuk belakang tangannya jika makmum perempuan). Dalam masalah saudara tersebut, jika saudara yakin imam saudara telah terlupa rakaat, hendaklah saudara terus berdiri di rakaat baru itu dan bertasbih mengingatkan imam (atau menunggu sahaja imam naik jika ada orang lain telah bertasbih mengingatkannya). Jika imam bangun, saudara hendaklah terus mengikutnya. Apabila nanti ia sujud sahwi di akhir solat, wajib saudara turut sujud bersamanya. Namun jika ia tidak bangun, saudara hendaklah berniat mufarawah darinya (yakni niat berpisah darinya) dan meneruskan solat sendirian.

Mengenai soalan saudara; apakah batal solat makmum kerana berdiri mendahului imam dalam masalah tersebut? Jawapannya; tidak batal, malah tidak harus makmum untuk turut duduk bersama imam dalam kes tersebut kerana duduknya itu ternyata satu kesilapan. 

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 4/207-208 (bab Solati al-Jamaah), 4/92 (bab Ma Yufsidu al-Solah...).     

Tuesday, 1 March 2011

JUAL-BELI MELALUI MESIN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Saya ada satu permasalahan tentang perniagaan,yakni tentang perniagaan menjual air minuman  seperti air tin dan air R.O water yang menggunakan mesin.wang dimasukkan didalam mesin untuk membeli minuman tersebut,tiada penjual dan tiada ijab kabul.Apakah hukumnya ,adakah diharuskan didalam islam.Sebab saya ingin memulakan perniagaan ini jika diharuskan oleh islam.minta ustaz jelaskan.sekian terima kasih.

Jawapan;

Tujuan ijab dan qabul ialah untuk menzahir keredhaan/persetujuan dari kedua belah pihak untuk berjual-beli. Jual-beli tidak sah tanpa keredhaan/persetujuan kedua-belah pihak iaitu penjual dan pembeli. Firman Allah; "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu secara batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai antara kamu" (Surah an-Nisa', ayat 29).

Oleh kerana keredhaan asalnya berada dalam hati, maka ia perlu dizahirkan. Menurut mazhab Syafiie; menzahirkan keredhaan wajib dengan bahasa atau ucapan iaitulah ijab dari satu pihak (yakni ucapan penawaran) dan qabul dari pihak satu lagi (iaitu ucapan penerimaan). Namun menurut jumhur (majoriti) ulamak; Untuk menzahirkan keredhaan tidaklah terhad kepada ucapan sahaja. Ia juga boleh dengan perlakuan, bahasa badan, isyarat, tulisan dan sebagainya asalkan menunjukkan keredhaan/persetujuan. Kerana itu, mereka mengharuskan jual-beli secara al-muathah (المعاطاة) iaitu saling memberi dan menerima di antara penjual dan pembeli tanpa mengeluarkan sebarang ucapan (yakni pembeli memberi wang dan mengambil barang, sementara penjual pula memberi barang dan mengambil wang, kemudian mereka berdua berlalu pergi tanpa melafazkan ijab atau qabul). Ini kerana dengan adanya saling memberi dan menerima itu sudah cukup untuk membuktikan kedua mereka redha/bersetuju dengan akad jual beli yang berlaku. Pandangan kedua inilah yang rajih. Antara yang mentarjihnya ialah Imam al-Baghawi dan Imam Nawawi (kedua-duanya ulamak besar mazhab Syafiie). 

Berdasarkan pandangan kedua, jual-beli menggunakan mesin sebagaimana yang saudara sebutkan itu hukumnya adalah harus dan sah jika memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Syariat ke atas jual beli (selain syarat ijab dan qabul atau saling meredhai tadi), antaranya;
1. Barang/produk yang dijual jelas ada di dalam mesin tersebut dan menepati sebagaimana iklan yang terpampang di mesin.
2. Harga bagi setiap satu produk juga jelas (tiada kesamaran atau kekeliruan).
3. Tidak menafikan hak khiyar untuk pembeli (hak mengembalikan barang) jika barang yang keluar dari mesin itu rosak atau tidak menepati sebagaimana yang diiklankan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-'Azzazi, 3/289-290.
2. Soal-Jawab MLM Syariah, Ahmad Adnan bin Fadzil, hlm. 42.

HUKUM KULIT DAN BULU BINATANG

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Mohon agar dapat memberi penjelasan mengenai perkara beriku:
1) Apakah hukumnya menunaikan solat di atas carpet yg diperbuat dari bulu/kulit kambing biri2?
2) Adakah wuduk terbatal jika memijak carpet yg diperbuat dari bulu/kulit kambing biri2...adakah carpet tersebut dikira sebagai najis? Terima Kasih.

Jawapan;

Di dalam al-Quran terdapat ayat menjelaskan bahawa kulit dan bulu haiwan/binatang dijadikan Allah untuk dimanfaatkan oleh manusia. Firman Allah (bermaksud); “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal; dan Ia menjadikan bagi kamu dari kulit binatang-binatang ternak: khemah-khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (di bawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti; dan (Ia juga menjadikan bagi kamu) dari berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa” (an-Nahl, ayat 80).

Semua jenis kulit binatang menjadi suci dengan disamak sama ada kulit dari binatang yang halal di makan (seperti lembu, kambing dan kerbau) atau kulit dari haiwan yang haram di makan (seperti harimau, buaya, ular dan sebagainya). Sabda Nabi -sallalahu 'alaihi wasallam-; "Jika kulit telah disamak, menjadi sucilah ia" (HR Imam Muslim). Maksud samak ialah membersihkan kulit dengan membuang darah, daging dan lendiran yang boleh merosakkan kulit dengan menggunakan bahan-bahan penanggal atau penghakis. Untuk melakukan samakan tidak disyaratkan orang Islam. Oleh itu, harus kita menggunakan kulit yang disamak oleh orang bukan Islam jika samakannya memenuhi maksud samak tadi iaitu membuangkan dari kulit segala lendiran, daging dan darah tadi (yakni yang tinggal hanya kulit sahaja).

Dikecualikan kulit anjing dan babi di mana ia terdapat khilaf di kalangan ulamak; apakah ia akan menjadi suci dengan samakan atau tidak? Menurut mazhab Syafiie; semua jenis kulit menjadi suci dengan samakan kecuali kulit anjing dan babi. Kulit anjing dan babi tidak akan menjadi suci walaupun setelah disamak kerana kedua-duanya adakah haiwan najis ketika hidup dan selepas mati. Oleh itu, menurut mazhab Syafiie; tidak harus orang Islam memakai kulit anjing dan babi sekalipun setelah ia disamak. Menurut mazhab Hanafi; semua jenis kulit menjadi suci dengan disamak kecuali satu kulit sahaja iaitu kulit anjing. Adapun kulit babi, ia menjadi suci jika disamak. Mazhab yang paling terbuka dalam masalah kulit inilah mazhab Daud az-Zahiri iaitu semua jenis kulit menjadi suci dengan disamak termasuklah kulit anjing dan babi.

Mengenai bulu pula, telah disepakati oleh para ulamak bahawa; bulu dari binatang yang halal dimakan (seperti bulu biri-biri) jika ia diambil ketika ia masih hidup (yakni dicabut atau dicukur ketika ia hidup), hukumnya adalah suci dan harus digunakan termasuk ketika solat. Adapun bulu binatang yang haram dimakan (harimau, singa, babi dan sebagainya), terdapat khilaf di kalangan ulamak. Menurut mazhab Syafiie; ia adalah najis. Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; ia adalah suci.

Para ulamak juga berbeza pandangan tentang bulu dari bangkai iaitu binatang yang mati tanpa disembelih (seperti lembu atau kambing yang mati tanpa disembelih) dan binatang yang tidak halal dimakan apabila ia mati; adakah bulunya boleh dimanfaatkan atau tidak? Menurut mazhab Syafiie; bulunya adalah najis. Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; bulunya adalah suci setelah dibasuh.

Kesimpulannya, dalam masalah bulu ini, mazhab Hanafi dan Maliki lebih terbuka berbanding mazhab Syafiie. Menurut mazhab Syafiie; hanya bulu haiwan yang halal dimakan sahaja yang suci dan boleh dibawa ke dalam solat dan itu pun disyaratkan bulu itu diambil ketika hidup atau dari haiwan yang disembelih (*yakni haiwan yang halal dimakan. Adapun haiwan yang haram dimakan, sekalipun disembelih ia tetap najis dan segala yang yang ada pada tubuhnya semuanya najis, kecuali kulit sahaja yang dapat menjadi suci dengan samakan). Sementara menurut mazhab Maliki dan Hanafi; semua jenis bulu adalah suci sama ada bulu dari haiwan yang halal dimakan atau yang haram dimakan, sama ada diambil ketika ia masih hidup atau selepas ia mati.

Merujuk kepada soalan di atas (iaitu mengenai kulit dan bulu biri-biri); jika melihat kepada mazhab Syafiie, kulit dan bulu biri-biri itu adalah suci jika ia dari biri-biri yang disembelih. Jika bukan dari biri-biri yang disembelih, hendaklah dilihat;
a) Jika yang hendak digunakan itu adalah kulitnya sahaja (tanpa bulu), ia adalah suci jika terdapat tanda ianya telah disamak (iaitu kulit itu telah bersih dari lendiran, darah dan najis, yakni yang tinggal hanya kulit sahaja). Oleh itu, harus digunakan ketika solat.
b) Namun jika yang hendak digunakan ialah kulit dan juga bulunya, tidak harus digunakan ketika solat kerana menurut mazhab Syafiie; bulu binatang yang mati tanpa disembelih adalah najis. Maka sekalipun kulitnya menjadi suci dengan samakan, tetapi bulunya tetap najis. Oleh itu, tidak harus ia dipakai ketika solat.

Bagaimana sekiranya kita tidak dapat memastikan apakah suatu bulu itu datangnya dari haiwan yang disembelih atau tidak? Menurut ulamak mazhab Syafiie; harus kita menggunakan bulu itu jika bulu itu dari haiwan yang halal dimakan. Ini kerana berpegang dengan hukum asal bagi bulu dari haiwan yang halal dimakan iaitu suci. Jika bulu itu dari binatang yang haram dimakan, tidak harus kita menggunakannya kerana menurut mazhab Syafiie; semua bulu dari binatang yang haram dimakan adalah najis. Sekiranya kita tidak dapat mengetahui adakah bulu itu dari haiwan yang halal atau yang haram dimakan; para ulamak berikhtilaf; adakah harus kita menggunakan atau tidak harus? Sebahagian ulamak berkata; harus kita menggunakannya sebagai berpegang dengan hukum asal bagi segala benda di atas muka bumi ini iaitu harus dan suci. Sebahagian ulamak yang lain pula berkata; tidak harus digunakan selagi kita tidak pasti ia dari binatang halal atau binatang haram.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al -Majmuk, Imam an-Nawawi, 1/236, bab al-Aniyah.
2. Tafsir al-Qurtubi, Surah an-Nahl, ayat 80.
3. Al-Ijma’, Imam Ibnu al-Munzir, hlm. 23.
4. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz. 1, kitab at-Toharah, bab Ma Ja-a Fi Tathir ad-Dibagh.

ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?

Soalan;  ustaz, se pertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suami...