This is default featured slide 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Monday, 30 June 2008

SAPU KHUF UNTUK 3 BULAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz,Saye nak tanye sesuatu..ni berkenaan dengan khuf..bagi seorang yangg musafir, dia dibolehkan menyapunya selama 3 hari 3 malam manakala untuk yang menetap di dalam kampung ada sehari semalam..tapi saya berada di luar negara dan sekarang ni sedang musim sejuk..kalau nak tanggalkan stokin dan basuh kaki tu memang sejuk sangat walaupun di dalam rumah..dan musim sejuk ni berlarutan selama 3 bulan..bolehkah saya mengamalkannya selama 3 bulan??(khuf atau jaurab) sekian, wassalam...

Jawapan;

Rasulullah s.a.w. telah menetapkan tempoh keharusan menyapu khuf bagi musafir selama tiga hari tiga malam, sementara bagi orang mukim (tidak musafir) pula sehari semalam. Apabila melepasi tempoh ini, khuf wajib ditanggalkan dan kaki wajib dibasuh sebagaimana biasa semasa mengambil wudhuk. Jadi, jika saudara ingin menyapu khuf sepanjang tiga bulan saudara berada di luar negara itu, hendaklah saudara menanggalnya setiap tiga hari, kemudian mengambil wudhuk sebagaimana biasa dengan membasuh kaki, setelah itu pakai semula khuf dan saudara harus menyapunya -semasa mengambil wudhuk- untuk tiga hari berikutnya. Tidak harus menyapu khuf berlarutan melebihi tiga hari -tanpa menanggalnya- kerana ia menyanggahi ketetapan Syarak.
* Untuk keterangan lanjut tentang menyapu khuf dan hukum menyapu jaurab (stokin), sila layari; http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/menyapu-khuf.html

Wallahu a'lam.

BERSUCI ORANG SAKIT

Soalan; Assalamualaikum. Saya nak tanya ustaz macam mana kalau org sakit kat hospital. Badan dia penuh wayar, tapi nak sembahyang. Nak ambil wuduk tak boleh. Apa patut dia lakukan ustaz.

Jawapan;

Jika ia mampu menggunakan air (yakni air tidak memudaratkan badannya atau tidak merasai sakit apabila terkena air), bantulah dia untuk mengambil wudhuk. Utamakan anggota-anggota wudhuk yang wajib sahaja iaitu muka, dua tangan hingga siku, kepala dan kaki. Mula-mula, suruh dia niat. Kemudian, ratakan air secara sederhana ke anggota-anggota wudhuknya; iaitu ambil air dengan tapak tangan dan ratakan ke anggota wudhuknya. Tidak perlu menjirusnya. Jika ia tidak mampu mengguna air, memadai dengan tayammum iaitu menyapukan debu tanah ke muka dan dua tangannya.

Wallahu a'lam.

Sunday, 29 June 2008

MEMULAU KENDURI

Soalan; Wajarkah tindakan saya meninggalkan atau tidak pergi ke majlis perkahwinan / kenduri kendara yang mendendangkan lagu atau nyayian?

Jawapan

Memenuhi jemputan kenduri perkahwinan adalah wajib kecuali jika ada keuzuran. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Sesiapa dari kamu diundang ke satu majlis kenduri perkahwinan, hendaklah ia menghadirinya” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Umar r.a.). Dalam satu hadis yang lain, baginda berkata; “Sesiapa tidak memenuhi jemputan, ia telah memaksiati Allah dan Rasulnya (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Namun menurut ulamak, kewajipan tersebut terikat dengan beberapa syarat –antaranya-;
1. Jemputan adalah umum merangkumi orang kaya dan orang miskin, yakni tidak mengkhususkan orang kaya sahaja.
2. Dijemput sendiri oleh orang yang mengadakan majlis kenduri atau melalui wakilnya.
3. Tidak terdapat kemungkaran dalam majlis kenduri tersebut.
4. Orang yang menjemput adalah muslim.

Merujuk kepada soalan saudara, jika lagu atau nyanyian yang didendangkan dalam majlis kenduri adalah bercanggah dengan Syari’at sama ada dari segi senikatanya atau cara persembahannya, maka tidak wajib saudara menghadirinya malah dilarang menghadirinya. Sekiranya lagu atau nyanyian itu tidak bercanggah dengan Syari’at seperti dendangan nasyid dan sebagainya, haruslah saudara menghadirinya. Mengenai hukum muzik, sila baca; “Masalah Berkaitan Muzik” (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/06/masalah-berkaitan-muzik.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, hlm. 372-377.

MAJLIS DIHIDANGKAN ARAK

Soalan; Adakah haram menghadiri majlis keramaian yang ditaja pihak majikan dimana arak dihidangkan untuk para pekerja yang bukan Islam? Bolehkan pekerja Islam duduk semeja dengan pekerja bukan Islam yang meneguk arak?

Jawapan;

Dilarang sama sekali seorang muslim menghadiri majlis munkar atau majlis yang terdapat kemungkaran di dalamnya kecuali dengan tujuan untuk membenterasnya jika ia merasakan mampu berbuat demikian. Jika ia telah hadir tanpa mengetahui adanya munkar di dalam majlis itu, ia hanya ada dua pilihan;
1. Menegur kemungkaran tersebut
2. Keluar dari majlis jika tegurannya tidak dihiraukan.

Di dalam al-Quran, antara sifat 'Ibadurrahman (hamba-hamba Tuhan yang rahman) yang disebut oleh Allah di dalam surah al-Furqan ialah (yang bermaksud); "Dan mereka tidak menghadiri tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya" (al-Furqan; 72). Menurut tafsiran ulamak Tafsir, maksud "...tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang..", antaranya ialah;
1. Perayaan-perayaan orang kafir (pendapat Abu al-‘Aliyah, Tawus dan Ibnu Sirin)
2. Majlis-majlis yang batil dan keji (pendapat Imam ‘Amru bin Qies, Dr. Wahbah az-Zuhaili)
3. Majlis yang dihidangkan arak (pendapat Imam az-Zuhri)

Allah juga pernah melaknat Bani Israel kerana tolak-ansur mereka dengan majlis-majlis munkar. Firman Allah (bermaksud); “Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Hal tersebut disebabkan mereka menderhaka dan melampaui batas. Mereka tidak saling melarang/menegah (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka telah lakukan” (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Sabda Nabi s.a.w.; “Tatkala Bani Israel terjerumus ke dalam lembah maksiat, pada mulanya ulamak-ulamak mereka mengambil langkah menegah mereka. Namun mereka tidak berhenti dari melakukan maksiat. Akhirnya, ulamak-ulamak mereka juga turut sama (melakukan maksiat) dalam majlis-majlis mereka dan di pasar-pasar mereka serta turut sama makan dan minum bersama mereka. Akibatnya Allah menutup pintu hati sesama mereka dan melaknat mereka di atas lisan Nabi Daud dan Nabi Isa kerana sikap mereka yang mendehakai Allah dan melampaui batas..” (HR Imam Ahmad dan Abdullah r.a.).

Kesimpulannya, saudara dilarang menghadiri majlis yang terdapat munkar di dalamnya –termasuk yang menghidangkan arak kerana arak amat jelas pengharamannya di dalam Islam-. Begitu juga, saudara tidak harus duduk semeja dengan orang yang minum arak kerana itu menunjukkan saudara bertolak-ansur dengan munkar. Saudara hanya ada dua pilihan iaitu; sama ada saudara meminta agar arak itu dibuang dari meja atau saudara keluar dari majlis jika permintaan saudara tidak diendahkan.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir.
2. Tafsir al-Wajiz, Dr. Wahbah az-Zuhaili.
3. Kifayatul-Akhyar, hlm. 372-377.

Friday, 27 June 2008

SOLAT TIDAK KHUSYUK

Soalan; Assalamualaikum ustaz, bagaimana nk mendapat khusuk dlm solat, ada yg mengatakan sia sia lah kalau sembahyang tak khusuk,tapi pada hakikatnya telah berusaha mendapatkan khusuk,tapi saya masih dok ingat tah apa2, kalau dah kata sia2 semayang.takkan saya nk ambik sikap tak nak semayang...apa yg perlu saya lakukan ustaz.

Jawapan;

Untuk mendapat khusyuk di dalam solat, kita hendaklah menumpukan seluruh perhatian kita kepada solat. Menurut ulamak; khusyuk di dalam solat merangkumi dua jenis;

1. Khusyuk batin; iaitu khusyuk hati dengan menghadirkan di dalam hati perasaan takut kepada Allah, rendah diri serta mengharapkan rahmatNya.

2. Khusyuk lahir; iaitu khusyuk kepala dengan cara menundukkannya, khusyuk mata dengan cara tidak menoleh atau berpaling-paling, khusyuk tangan ialah dengan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri dengan penuh hormat seperti perlakuan seorang hamba dan khusyuk dua kaki ialah dengan tegaknya berpijak dan berkeadaan tetap, tidak bergerak. Khusyuk lahir ini terbit dari khusyuk batin atau hati tadi.

Menurut Imam al-Ghazali, untuk mendapat khusyuk di dalam solat, ada enam perkara yang perlu kita lakukan semasa mengerjakan solat;
Pertama; Hudhur al-Qalb (حضور القلب); iaitu menghadirkan hati kita ketika menunaikan solat iaitu dengan membuang dari hati segala yang tidak ada kena-mengena dengan solat kita.
Kedua; at-Tafahhum(التفهم); iaitu berusaha memahami iaitu melakukan usaha untuk memahami segala perkara yang dilakukan di dalam solat sama ada perbuatan atau yang dibaca/diucapkan.
Ketiga; at-Ta’dziem (التعظيم); iaitu merasai kebesaran Allah iaitu dengan merasai diri terlalu kerdil di hadapan Allah.
Keempat; al-Haibah (الهيبة); iaitu merasa gerun terhadap keagungan Allah dan siksaanNya.
Kelima; ar-Raja’ (الرجاء); iaitu sentiasa menaruh harapan besar kepada Allah mudah-mudahan solat yang dikerjakan akan diterima dan diganjari oleh Allah.
Keenam; al-Haya’ (الحياء); iaitu merasa malu terhadap Allah di atas segala kekurangan dan kecacatan yang terdapat di dalam solat.

Menjaga khusyuk memang dituntut di dalam solat. Ia menentukan sejauh mana pahala yang akan kita perolehi dari solat kita. Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya seorang lelaki selesai menunaikan solat, namun tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua”. (HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari Ammar bin Yasir r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini soheh. Lihat. Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1978). Menurut ulamak perbezaan pahala tersebut adalah melihat kepada sejauhmana khusyuknya di dalam solat.

Walau khusyuk di dalam solat amat penting, namun tidak sama antara orang yang solat tanpa khusyuk dengan orang yang langsung tidak solat. Orang yang menunaikan solat, gugur dosa tidak solat darinya sekalipun pahalanya kurang kerana tidak menjaga khusyuk atau tiada langsung pahala. Adapun orang yang meninggalkan solat, ia menanggung dosa kerana mengabaikan kewajipan. Dahlah tiada pahala yang diperolehi, dosa pula yang ditanggung. Malah ada ulamak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat fardhu dengan sengaja. Imam al-Minawi tatkala mengulas hadis Nabi s.a.w. (yang bermaksud);

“Barangkali seorang yang bangun mengerjakan solat di malam hari, habuannya dari solat malamnya hanyalah berjaga malam (yakni tidak ada pahala). Dan barangkai seorang yang berpuasa, habuannya dari puasanya hanyalah lapar dan dahaga”. (Riwayat at-Tabrani, Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Berkata Hafidz al-‘Iraqi; ia adalah hasan. Menurut Imam al-Haitami; perawi-perawinya adalah siqah. Lihat; al-Jami’ as-Saghier dan Faidhul-Qadier, hadis no. 4405)

Beliau berkata; “Hadis tersebut memberi pengertian; tidak ada pahala bagi orang itu (yakni orang yang solat malam dan berpuasa tersebut) kerana ketiadaan syarat-syarat untuk terhasilnya pahala iaitu ikhlas atau khusyuk. Atau yang dimaksudkan oleh hadis ialah; ia tidak diberi pahala melainkan bagi amalan yang ia lakukan dengan hati (yang ikhlas dan khusyuk)… Adapun dari segi kewajipan, maka gugur kewajipan darinya dengan ia mengerjakan amalan tersebut dengan anggotanya. Oleh demikian, ia tidak akan disiksa kerana meninggalkan ibadah, akan tetapi dicela kerana mengabaikan pahala dari Tuhannya (dengan tidak menjaga hati ketika beramal) (Lihat; Faidhul-Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, syarah hadis no. 4405).

Wallahu a’lam.

Thursday, 26 June 2008

FIDYAH BAGI PUASA-PUASA YANG LALU

Soalan; Bagaimana caranya untuk qadha puasa yang ditinggalkan untuk beberapa tahun yang lepas? Apakah perlu dibayar fidyah sahaja atau perlu juga puasa?

Jawapan;

Puasa yang ditinggalkan pada masa yang lalu, tiada khilaf di kalangan ulamak bahawa ia wajib diqadha; satu hari ditinggalkan diganti satu hari juga. Kecuali jika seseorang itu tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak. Yang ada khilaf ialah jika puasa yang dtinggalkan itu telah melepasi tahun (yakni telah memasuki Ramadhan baru) namun masih belum diqadha lagi; adakah diwajibkan qadha puasa sahaja atau diwajibkan juga fidyah bersama puasa. Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; menurut mazhab Imam Abu Hanifah; memadai dengan qadha/ganti dan mohon ampun sahaja. Tidak ada sebarang denda dalam bentuk fidyah sekalipun telah menjangkau tahun kerana tidak ada nas al-Quran mahu pun as-Sunnah yang soheh menyebutnya. Pandangan inilah yang saya kemukakan dalam jawapan yang lalu (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/mengganti-puasa-lampau.html) dan ia ditarjihkan oleh Mufti Mesir sekarang ini (Dr. Ali Jum'ah Muhammad). Pandangan inilah lebih ringan diamalkan berbanding pandangan kedua nanti.

Kedua; menurut jumhur ulamak (mazhab Imam Malik, Syafi'ie dan Ahmad); puasa yang masih belum diganti sedangkan telah masuk ramadhan yang baru, hendaklah dibayar fidyah di samping qadha puasa. Bagi sehari puasa yang belum diganti, maka satu fidyah yang mesti dikeluarkan. Itu bagi orang yang sengaja melewat-lewatkan qadha puasanya tanpa sebarang keuzuran hingga tiba Ramadhan yang baru. Fidyah itu adalah sebagai kaffarah ke atas kelalaiannya. Adapun jika kerana keuzuran –seperti ia terlantar di hospital selama 11 bulan dan tidak mampu berpuasa sepanjang tempoh sakit itu-, tidaklah wajib atasnya membayar fidyah. Memadai dengan ia mengqadha puasa sahaja.

Menurut mazhab Syafi'ie; jumlah fidyah bertambah dengan bertambahnya tahun yang dijangkaui. Jika menjangkaui setahun sahaja, hanya satu fidyah yang perlu dikeluarkan bagi satu hari puasa yang belum diganti. Jika menjangkau tahun kedua, dua fidyah yang perlu dikeluarkan. Dan begitulah seterusnya. Adapun jumlah puasa yang perlu diqadha tidak bertambah. Sebagai contoh; seorang ada puasa yang ditinggalnya 10 tahun lalu selama 5 hari, lalu hari ini baru nak diqadhanya. Maka jumlah hari puasa yang perlu diqadha ialah 5 juga. Adapun fidyah, bagi satu hari perlu dikeluarkan 9 fidyah. Bagi keseluruhan 5 hari ialah 45 fidyah (5 x 9). Namun menurut mazhab Imam Malik dan Ahmad; jumlah itu tidaklah bertambah. Hanya satu fidyah sahaja yang wajib dikeluarkan bagi satu hari puasa walaupun berbilang tahun telah dijangkaui.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 2, hlm. 688-689.
2. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.
3. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 206.

Wednesday, 25 June 2008

BAGAIMANA UNTUK ISTIQAMAH SELEPAS TAUBAT?

Soalan; Saya telah bertaubat kepada Allah dan berjanji pada diri untuk tidak mengulangi dosa yang pernah saya lakukan. Namun setelah beberapa lama, saya kembali melakukan dosa tersebut. Mulanya saya amat bersemangat untuk mengubah cara hidup saya, namun lama kelamaan semangat saya luntur dan saya kembali kepada cara hidup lama. Bagaimana caranya untuk saya tetapkan pendirian?

Jawapan;

Jangan pernah putus asa memohon ampun dari Allah kerana Allah tidak pernah menutup keampunanNya kepada sesiapapu dari hambaNya. Di dalam hadis, Nabi s.a.w. ada bersabda; "Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya di waktu malam untuk hambanya yang melakukan dosa di siang hari agar ia bertaubat dan Dia membentangkan tangannya di siang hari untuk hambanya yang melakukan dosa di malam hari agar ia bertaubat" (HR Imam Muslim dari Abu Musa r.a..).
Sememangnya memulakan taubat lebih mudah dari untuk istiqamah selepas taubat. Kerana itu, untuk memastikan kita tidak kembali semula kepada cara hidup lama kita, kita perlu mengubah gaya hidup kita termasuk suasana dan rakan-rakan sekeliling kita. Untuk itu, para ulamak menasihatkan orang yang bertaubat untuk melakukan amalan-amalan berikut;
1. Melazimi majlis ilmu secara istiqamah; iaitu sentiasa mendengar kupasan-kupasan tentang ayat al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. kerana ia akan memberi motivasi kepada diri untuk terus istiqamah di atas jalan yang diredhai Allah.
2. Banyak membaca buku-buku tentang Allah; iaitu yang mengupas kebesaran Allah dan rahmat serta kasih-sayangnya kepada hamba-hambaNya. Antara buku yang amat baik dibaca ialah yang mengupas tentang Asma-Allah (nama-nama Allah). Lagi banyak ilmu yang kita ketahui tentang Allah, akan semakin cinta kita kepadaNya dan apabila kecintaan kepada Allah telah mensebati dengan hati/jiwa, senanglah untuk kita taat kepadaNya.
3. Sentiasalah menjaga solat berjamaah terutama di masjid. Sabda Nabi s.a.w.; "Apabila kamu lihat seorang itu sentiasa berulang-alik ke masjid, bersaksilah bahawa ia sememangnya benar-benar beriman" (HR Imam Ahmad dan at-Tirmizi dari Abi Sa'id r.a.).
4. Berkawan dengan orang-orang soleh. Sabda Nabi s.a.w.; "Seseorang itu berada di atas agama kawannya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan" (HR Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).
Akhirnya, banyaklah berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan mental dan spiritual untuk istiqamah. Manfaatkanlah saat-saat yang mustajab doa antaranya di dalam solat khususnya ketika sujud dan sebelum memberi salam. Sabda Nabi s.a.w.; "Saat paling hampir seorang hamba dengan Allah ialah ketika ia sedang sujud. Maka banyakkanlah berdoa pada ketika tersebut".

Wallahu a'lam.

Tuesday, 24 June 2008

MAKNA SABILILLAH

PSoalan: Apa makna Fi Sabilillah dalam Asnaf Zakat? Bolehkah menyalurkan zakat kepada badan atau pertubuhan Islam?

Jawapan:

Orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah. Tidak boleh sewenang-wenangnya kita membayar zakat kita kecuali kepada aspek-aspek yang ditentukan Syara’. Menurut jumhur ulama’; jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya di mana ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi. (al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514). Kerana itu, amat penting kita memerhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita? Dalam hal ini Allah berfirman;

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hokum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (at-Taubah: 60)

Dalam ayat di atas Allah menyatakan lapan pihak untuk disalurkan harta zakat iaitu;
1.Untuk golongan fakir
2.Untuk golongan miskin
3.Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4.Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5.Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6.Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7.Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8.Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

Apa makna Fi Sabilillah?


Antara aspek yang harus diberi perhatian untuk disalurkan zakat kita ialah Fi Sabilillah. Namun yang menjadi persoalan ialah apa makna Fi Sabilillah itu dan siapa yang tergolong di dalamnya. Dalam hal ini ada pendapat menyempitkan skopnya dan ada pendapat memperluaskannya.

Kebanyakan ulama’ terdahulu mengkhususkan Fi Sabilillah ini kepada ahli-ahli peperangan iaitu orang-orang yang terlibat dengan jihad qital. Uama’ mazhab Syafi’ie mengkhususkannya bagi ahli-ahli peperangan yang tidak dibayar gaji mereka oleh pemerintah. Jika mereka telah diberi gaji dari Baitul Mal, tidak layak lagi mereka menerima zakat. (Lihat al-Muhazzab, Imam asy-Syirazi, jil. 1, hlm. 571).

Namun ada juga ulama’ yang meluaskan makna Fi Sabilillah itu. Mereka tidak menskopkannya kepada ahli-ahli peperangan sahaja, tetapi meluaskannya hingga merangkumi seluruh perkara yang bersangkutan kepentingan Islam dan umat Islam terutama untuk meninggikan hokum-hakam dan syi’ar Islam. Antara ulama’ yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Qaffal asy-Syafi’ie, Imam al-Kasani, Imam al-Alusi, as-Shon’ani, Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji dan sebagainya.

Berkata Imam al-Kasani dalam kitabnya yang terkenal “بدائع الصنائع”; Adapun firman Allah “وَفِي سَبِيلِ اللَّه” ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah “وَفِي سَبِيلِ اللَّه” itu adalah umum”. (Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).

Berkata Abi Thayyib Shadiq Ibn Hasan al-Qanuji dalam kitabnya “الروضة الندية”; “Adapun“وَفِي سَبِيلِ اللَّه”, maka maksudnya di sini ialah jalan Allah. Jihad walaupun sebesar-besar jalan Allah tetapi tidak ada dalil yang mengkhususkan bahagian Fi Sabilillah kepadanya sahaja. Jadi bahagian Fi Sabilillah ini harus dibelanjakan kepada setiap perkara yang menjadi jalan Allah….Ia berkata lagi; Antara yang tergolong dalam Fi Sabilillah ialah membelanjakannya kepada alim-ulama’ yang melaksanakan urusan-urusan kepentingan agama kaum muslimin. Mereka memiliki bahagian dari harta Allah (yakni harta zakat) sama ada mereka kaya atau miskin. Bahkan membelanjakan zakat ke arah ini terdiri dari uruan-urusan yang paling penting kerana para ulama’ adalah waris para Nabi dan pemikul agama. Melalui mereka terpelihara keutuhan Islam dan Syari’at yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.”. (Ar-Raudhatun Nadiyyah, juz. 1, hlm. 206)

Pendapat kedua (yang memperluaskan skop Fi Sabilillah) inilah yang dipersetujui oleh kebanyakan tokoh-tokoh ulama’ Islam zaman mutakhir ini. Antara mereka ialah Syeikh Jamaluddin al-Qasimi (pengarang kitab tafsir terkenal “Mahasin at-Takwil”), Syeikh Rasyid Ridha, Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Mufti Mesir), Syeikh Hasanin Makhluf (juga bekas Mufti Mesir), Dr. Abdul Karim Zaidan dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Berkata Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692)

Menurut Syeikh Mahmud Syaltut; “…Tergolong dalam Fi Sabilillah ialah menyediakan pendakwah-pendakwah Islam untuk berperanan menzahirkan keindahan agama Islam dan sikap toleransinya, menyebarkan ajarannya, menyampaikan hokum-hakamnya dan memerhati serangan-serangan musuh terhadap prinsip-prinsip Islam dan berusaha menangkisnya. Begitu juga termasuklah tugas memastikan berterusannya para Hafidz yang menjaga al-Quran (dari hilang) yang menaqalkannya secara mutawatir sejak dari mula turunnya wahyu hingga ke hari ini, bahkan hingga ke hari kiamat. (al-Islam; ‘Aqidatan wa Syari’atan, Syeikh Mahmud Syaltut, hlm. 105).

Syeikh Hasanin Makhluf –bekas mufti Mesir- pernah ditanya adakah harus mengeluarkan zakat kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam. Maka ia memberi fatwa yang mengharuskannya dengan bersandarkan kepada pendapat yang dinaqalkan oleh Imam ar-Razi dari al-Qaffal dan ulama’ lainnya dalam memperkatakan pengertian Fi Sabilillah. (Lihat Fatawa Syar’iyyah, Syeikh Hasanin Makhluf, jil. 2,hlm. …)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi, antara pandangan beliau dalam Fiqh Zakatnya ialah; “Sesungguhnya antara perkara terpenting pada hari ini untuk dianggap sebagai Fi Sabilillah ia usaha secara serius untuk mengembalikan cara hidup Islam yang sebenarnya iaitu cara hidup yang melaksanakan hokum-hakam Islam keseluruhannya merangkumi persoalan aqidah, kefahaman, syi’ar-syi’ar dan Syari’at, akhlak dan juga adat resam. Yang kita maksudkan dengan usaha secara serius itu ialah usaha secara berjamaah (‘amal jama’ie) yang tersusun dan berhadaf bagi merealisasikan system Islam, menegakkan negara Islam, mengembalikan khilafah Islam, umat Islam dan juga tamadun Islam. Aspek inilah yang sebenarnya paling berhak untuk disalurkan zakat-zakat harta mereka dan juga sekelian derma-derma mereka oleh orang-orang yang cintakan Islam. Namun demikian amat mendukacitakan kerana kebanyakan kaum muslimin belum memahami kepentingan usaha ini dan keperluan mendokongnya dengan jiwa dan harta-benda mereka serta kewajipan mengutamakannya dalam menyalurkan segala bantuan yang termampu oleh mereka. Padahal golongan-golongan yang lain (golongan fakir, miskin dan sebagainya) tidak pernah berhenti tangan yang menghulurkan bantuan kepada mereka sama ada dari harta zakat dan juga bukan zakat”. (Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 712).

Fatwa Syeikh Hasanin Makhluf

Soalan; Terdapat satu jamaah dari kaum muslimin mengambil inisiatif memperluaskan program-program pengajian agama di Negara kita untuk menghapuskan kejahilan terhadap agama. Lalu jamaah ini menyeru kaum muslimin supaya mengumpulkan harta-harta zakat mereka dari biji-bijian, ternakan, zakat fitrah (dan sebagainya) bagi digunakan untuk membangunkan sekolah-sekolah Islam dan pusat-pusat hafalan al-Quran. Namun demikian terdapat segolongan yang dikatakan ahli ilmu berkata; perkara-perkara tersebut (yakni membangunkan sekolah-sekolah Islam dan pusat-pusat hafalan al-Quran) tidak termasuk dalam saluran-saluran yang boleh menerima zakat. Oleh itu tidak harus dari segi Syara’ membayar zakat kepadanya. Kami mengharap penjelasan dalam hal ini.

Jawapan;

Saluran-saluran zakat yang terdiri dari lapan saluran semuanya telah di sebut Allah dalam firmanNya;

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hokum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (at-Taubah: 60)

Antara saluran zakat ialah Fi Sabilillah. Makna Sabilillah adalah umum merangkumi segala bentuk kebaikan/kebajikan bagi kaum muslimin seperti mengkafankan orang mati, membina benteng-benteng, membangunkan masjid, mempersiapkan tentera-tentera untuk berperang di jalan Allah dan yang seumpamanya yang menjadi kemaslahatan umum kaum muslimin. Ini sebagaimana yang menjadi pendapat sebahagian Fuqaha’ dan dipegang oleh Imam al-Qaffal (salah seorang Faqih mazhab Syafi’ie) serta dinaqalkan oleh Imam ar-Razi dalam tafsirnya. Pendapat inilah yang kita pilih sebagai fatwa.

Berdasarkan pendapat tersebut, maka tiada tegahan untuk menyalurkan zakat mata-wang, biji-bijian, ternakan dan begitu juga zakat fitrah untuk tujuan-tujuan yang tersebut di dalam soalan tadi kerana terdapat padanya kemaslahatan yang nyata bagi kaum muslimin khususnya di Negara ini.

(Rujuk fatwa ini dalam Fatawa Syar’iyyah wa Buhusu Islamiyyah, Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Mufti Negara Mesir yang lalu (1945), ter. Dar al’Itisham).

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Fiqhu az-Zakah (فقه الزكاة), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Al-Fiqhul Wadhih (الفقه الواضح), Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, cet. Dar al-Manar/Kaherah, Mesir (1990).
3. Al-Muhazzab (المهذب), Imam asy-Syirazi, cet. Dar al-Qalam/Damsyik, Syria (1992).
4. Al-Mughni (المغني), Imam Ibnu Qudamah, cet. Dar al-Hadith/Kaherah, Mesir (1995).
5. Al-Majmu’ (المجموع), Imam an-Nawawi, cet. Matba’ah al-Madani/Kaherah, Mesir (1973).
6. Bada’I as-Shana’I (بدائع الصنائع), Imam al-Kasani, cet. Maktabah al-‘Ilmiyyah/Beirut, Lubnan (tanpa tahun).
7. Ar-Raudhah an-Nadiyyah (الروضة الندية), Syeikh Abi Thayyib Shadiq Hasan al-Qanuji, cet. Dar al-Turath/Kaherah, Mesir (tanpa tahun).
8. Fatawa Syar’iyyah wa Buhusu Islamiyyah (فتاوى شرعية), Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, cet. Dar al-‘Itisham/Kaherah, Mesir (1984).

Sunday, 22 June 2008

PENYUSUAN OLEH SEORANG GADIS

Soalan; Saya ingin bertanya apakah pandangan Islam tentang seorang gadis (dara) yg ingin menyusukan anak angkatnya. Dengan teknologi yg terkini yg membolehkan seseorang itu menghasilkan susu tanpa mengandung dan melahirkan anak. Adakah ini dikira salah pada pandangan Islam.

Tujuan gadis ini menyusukan anak angkatnya itu, kerana ingin mendapat status ibu susu yg membolehkan isu aurat ibu - anak angkat diselesaikan sebaiknya. Pada pandangan Islam, adakah ini akan menjadi suatu budaya yg tidak sihat?

Saya dahulukan dgn ucapan Terima kasih.

Jawapan;

Dari segi Fiqh, apabila seorang wanita menyusukan seorang bayi yang belum mencecah umur dua tahun dan kadar penyusuan itu tidak kurang dari lima kali penyusuan, maka bayi itu akan menjadi mahramnya. Menurut penjelasan Syeikh Sayid Sabiq dalam kitab Fiqhus-Sunnahnya; "Tidak di ambil kira sama ada wanita yang menyusui itu baligh atau tidak, telah terputus haid (yakni menopaus) atau belum, sama ada ia mempunyai suami atau tidak mempunyai suami dan sama ada ia hamil atau tidak hamil, asalkan susu yang masuk ke dalam mulut bayi itu adalah dari dua teteknya". (Lihat; Fiqhus-Sunnah, jilid 2, hlm. 51).

Itu adalah dari sudut pandangan Fiqh. Adapun dari sudut kesannya terhadap budaya masyarakat, itu memerlukan satu tinjauan yang terperinci. Jika didapati amalan tersebut boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam -terutama sistem kekeluargaannya- atau bercanggah dengan maqasid Syari'ah, maka ia dilarang di dalam Islam. Satu perkara lagi yang perlu ditinjau juga ialah kesan terhadap wanita yang menyusui itu; adalah teknologi baru yang digunakan untuk menghasilkan susu itu boleh memudaratkannya atau tidak?. Setiap yang mendatangkan mudarat adalah dilarang di dalam Islam.

Wallahu a'lam.

Rujukan;
1. Fiqhus-Sunnah, ter. al-Fathu Lil-A'lami al-Arabi, Kaherah, Mesir (2000M).

QADHA SOLAT

Soalan: Adakah saya wajib mengqadha (mengganti) solat yang telah saya tinggalkan? Bagaimana caranya untuk saya menggantikan solat-solat yang saya tinggalkan dalam jangka waktu yang lama?

Jawapan;

Solat atau sembahyang merupakan kewajipan dalam Islam yang mesti ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf. Al-Quran menegaskan;

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya”.
(an-Nisa’: 103)

“Kitaban Mauqutan” dalam ayat di atas bermaksud “Kewajipan yang ditetapkan ke atas mukallaf dan ditentukan waktu-waktunya”.

Al-Quran juga menegaskan;

“Peliharalah solat-solat kamu dan solat wusta (yakni solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan tunduk dan khusyuk”. (al-Baqarah: 238)

Apabila seorang muslim tertingal satu solat atau lebih, wajib atasnya mengqadha secara tartib (yakni mengikut urutan) jika bilangan solat yang tertinggal itu kurang dari lima solat. Jika lebih dari lima, maka tidak wajib tartib.

Jika ia mengetahui dengan pasti bilangan solat yang ia tinggalkan, hendaklah ia mengqadha dengan bilangan yang sempurna. Adapun jika ia tidak mengetahui dengan pasti, hendaklah ia mengqadha dengan bilangan yang kuat sangkaannya bahawa ia telah mengganti bilangan yang tertinggal itu. Ia hendaklah berusaha memastikannya sekadar termampu sekalipun ia tidak dapat menentukannya secara tepat.

Dengan melakukan demikian, akan gugurlah darinya dosa kerana meninggalkan solat. Tinggal lagi dosa melewatkan solat dari dari waktunya, maka dosa ini tidak terbebas darinya kecuali dengan taubat dan istighfar.

Bagi seorang yang meninggalkan solat dalam jangka-masa yang panjang seperti enam bulan sebagai contohnya, antara cara untuk ia mengqadha ialah dengan menentukan tempoh qadha mengikut tempoh lama ia meninggalkan solat itu, iaitu; setiap kali masuk waktu solat, ia menunaikan solat wajib di dalam waktu tersebut, kemudian diikuti dengan solat qadha yang sama jenis dengan solat wajib tersebut. Contohnya; apabila masuk waktu subuh, ia menunaikan solat subuh, kemudian setelah itu menunaikan pula solat qadha subuh. Bila masuk waktu zohor, ia melakukan seperti itu juga. Begitu juga pada waktu-waktu yang lain hinggalah sampai tempoh atau jangka-masa yang ia meninggalkan solat. Dengan melakukan demikian, akan bebaslah dari dirinya tanggungan solat yang ditinggalnya.

Adalah harus meninggalkan solat-solat sunat rawatib yang mengiringi solat-solat fardhu untuk memberi tumpuan kepada mengqadha solat-solat yang tertinggal, sehinggalah apabila selesai dari qadha barulah kembali kepada solat-solat sunat rawatib itu.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Yasalunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah (Jil. 4), Syeikh Dr. Ahmad as-Syirbasi, Dar al-Jil, Beirut – Lubnan.

Wednesday, 18 June 2008

KENCING BERDIRI DAN TIDAK BERSUCI

Soalan; Kebanyakan tandas awam lelaki di negara kita telah direka untuk pengguna yang kencing berdiri. Amat dikesali apabila adanya rakan2 sekerja saya yang berbangsa Melayu dan Islam turut menggunkan tandas tersebut dengan meniru gaya pekerja bukan Islam iaitu kencing berdiri dan tidak bersuci. Mangkuk tandas itu pun memang direka tiada paip air untuk memudahkan penyucian. Semakin ramai saya jumpa mereka ditandas, maka semakin saya menjauhi dari menjadi makmum kepada mereka bila bersolat di surau (di tempat kerja). Adakah tindakan saya itu betul dan apakah sebaik nasihat kepada mereka.

Jawapan;

Yang terbaik bagi seorang muslim ialah kencing sambil duduk kerana perbuatan tersebut adalah kebiasaan Nabi s.a.w.. Walaupun ada hadis menceritakan Nabi s.a.w pernah kencing sambil berdiri, namun kata ulamak itu bukanlah kebiasaan baginda. Kebiasaan baginda ialah kencing sambil duduk. Hukum kencing berdiri menurut ulamak adalah makruh kecuali jika ada keuzuran, maka hukumnya harus. (Untuk penjelasan lanjut tentang hukum kencing berdiri, sila layari blog saya; http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-istinjak.html). Selain factor tersebut, kencing sambil duduk juga dapat mengelak dari percikan air kencing terkena badan atau pakaian dan lebih menjaga aurat. Kerana itu, pada pandangan saya tandas yang dibuat untuk pengguna yang kencing berdiri itu tidaklah sesuai bagi seorang muslim. Seorang muslim wajib menjaga aurat dan kehormatan dirinya. Maka tempat paling sesuai untuk qadha hajat (iaitu kencing atau berak) ialah di dalam tandas yang tertutup. Diceritakan di dalam hadis bahawa Nabi s.a.w., apabila ingin buang air, beliau akan pergi ke tempat yang jauh. Tujuan baginda ialah untuk mengelak dari pandangan orang lain. Baginda s.a.w. bersabda (yang bermaksud); “Sesiapa ingin qadha hajat (berak), hendaklah dia melindungi diri dari pandangan manusia” (Riwayat Imam Abu Daud). Kita hari ini oleh kerana telah ada tandas yang tertutup maka memadailah kita menggunakan tandas itu supaya tidak dilihat oleh orang lain.
Adapun menyucikan kemaluan selepas qadha hajat (sama ada kencing atau berak), maka hukumnya adalah wajib. Ia dinamakan istinjak. Selain dengan air, Syarak memberi kelonggaran untuk beristinjak dengan benda-benda kesat seperti batu, kertas, tisu dan sebagainya, tetapi hendaklah dengan sekurang-kurangnya tiga kali sapuan, tidak boleh kurang darinya. Salman r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. menegah kami dari beristinjak kurang dari tiga batu (yakni tiga sapuan batu)” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Nasai). Jika tiga kali sapuan tidak mencukupi, wajib ditambah dan sunat tambahan itu ganjil (yakni lima, tujuh dan sebagainya).

Wallahu a’lam.

JUDI BOLA

Soalan; Sekarang musim bola EURO. Amat memeranjatkan saya apabila ada rakan sekerja saya yang berbangsa Melayu dan Islam yang tiada segan silu bertaruh / bermain judi diatas sesuatu pertandingan bola tersebut. Malah mereka bertaruh pula dengan pekerja yang bukan beragama Islam dan kaladangkala mereka pula berbangga-bangga menceritakan kemenangan atau kekalahan perjudian mereka. Maka bagaimana dan apa nasihat yang boleh saya sampaikan kepada mereka agar mereka bertaubat? Amat kasihan kerana mereka juga bersembahyang bersama2 kita.

Jawapan;

Pertaruhan dan perjudian adalah perbuatan yang amat jelas pengharamannya di dalam Islam. Ia sabit dengan nas yang qat’ie dari al-Quran di mana sesiapa mengingkarinya ia akan terkeluar dari Islam. Firman Allah (yang bermaksud);

“Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

Perhatikan betapa tegasnya Allah terhadap perbuatan-perbuatan yang disenaraikan di dalam ayat di atas, salah satunya judi. Pertama, Allah menganggap ia adalah kotor (keji). Kedua, ia diistiharkan sebagai kerja/amalan Syaitan. Ketiga, Allah memerintahkan supaya ia dijauhi dan perintah menunjukkan kepada kewajipan. Keempat, Allah mengaitkannya dengan kejayaan, yakni orang yang menjauhi maksiat-maksiat di atas mereka akan berjaya. Menunjukkan bahawa orang yang terlibat dengan maksiat-maksiat di atas, hidup mereka –di dunia dan di akhirat- pasti akan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.

Oleh demikian, nasihatilah kawan-kawan saudara itu dengan membaca ayat di atas kepada mereka. Jika saudara tidak mampu menyampaikan nasihat dengan lisan, saudara boleh melakukannya melalui tulisan. Saudara tuliskan ayat tersebut berserta terjemahannya di atas satu kertas dan hadiahkan kepada kawan-kawan saudara itu. Insya Allah, jika masih ada iman di dalam hati mereka, pasti mereka akan terkesan dengan ayat tersebut dan meninggalkan perjudian/pertaruhan yang jelas dilarang oleh Allah itu. Selain itu, peringatkan juga kepada mereka bahawa orang yang berbangga-bangga serta menunjuk-nunjuk maksiat yang ia lakukan kepada Allah, orang itu sukar mendapat kemaafan dari Allah. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w.; “Setiap umat ku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang menunjuk-nunjuk (maksiatnya)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Wallahu a’lam.

Tuesday, 17 June 2008

MLM; YANG HALAL DAN YANG HARAM

Soalan; Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula?

Jawapan;

Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.

Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus. Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhai

Saling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).

Syarat-syarat bagi akad perniagaan

Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal. Di antara syarat-syarat tersebut ialah;
1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram)
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.

Larangan-larangan Syarak dalam perniagaan

Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;
a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad. (Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)

Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;

(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.

(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri-ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan

(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)

Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.

Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.

Syarat-syarat yuran keahlian

Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan dari peserta.
2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan dijalankan oleh syarikat.
3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit akan dikembalikan.
4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.

Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).

Bonus

Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang, baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;

“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. (Yusuf: 72)

Menurut ulamak, keharusan al-Ji'alah terikat dengan beberapa syarat, antaranya;
1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki keahlian untuk melakukan akad.
2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.
3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)

Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji'alah tersebut, maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di atas.

Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn. Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai ganjaran/upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam melakukan perkara-perkara tersebut;
1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai
2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat
3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.
4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan, perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan terbaru syarikat.

Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh Syarak tadi.

Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus

Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak- dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang hak (yakni hukum Allah)” (Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah r.a.).

Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah al-Ji'alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai mana-mana orang.

Jauhi “Sistem Piramid”

Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru. Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah; 1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan.
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penaajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.

Harga barangan/produk

Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).

Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr. Nazih Hamad, ter. Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami, Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam al-‘Arabi, Kaherah, Mesir (1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar al-Fikr, Damsyiq, Syria (1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar al-Manar, Mesir (1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif Mualamat Islam, Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)

Monday, 16 June 2008

ISTIQAMAH YANG SEBENAR

Soalan: Boleh ustaz jelaskan maksud istiqamah yang sebenar?
Jawapan ;
Assalamu 'alaikum.
Secara dasarnya Istiqamah bermaksud; berdiri teguh di atas jalan Islam dalam segenap ruang kehidupan sama ada dari sudut aqidah dan pegangan, amalan, pandangan hidup, perjuangan dan sebagainya iaitu tidak akan berganjak sedikitpun dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai godaan dan rintangan. Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Untuk lebih memahami makna Istiqamah, di bawah ini saya kemukakan ulasan ulamak tentang hadis di atas;

1. Berkata al-Qadhi ‘Iyadh rhm; ‘Hadis ini antara ungkapan yang ringkas dan padat (Jawami’ul Kalim) dari Rasulullah s.a.w.. Sesungguhnya orang-orang yang berkata; Tuhan kami adalah Allah dan kemudian mereka beristiqamah di mana mereka tidak berpaling dari tauhid dan berterusan pula mereka beriltizam menta’ati Allah S.W.T. hinggalah mereka menemui kematian di atas iman dan istiqamah tersebut’. Jadi Istiqamah menurut Qadhi ‘Iyadh ini ialah; tetap teguh di atas landasan tauhid dan mentaati Allah hingga menemui ajal. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 2, kitab al-Iman)

2. Menurut Imam al-Minawi dalam kitabnya “Faidhul Qadir”; seruan Rasulullah s.a.w. ‘Katakanlah; Aku beriman dengan Allah’, bermaksud; perbaharuilah iman kamu kepada Allah dengan menyebutnya dengan hati kamu serta menuturnya dengan lidah kamu dengan menghadirkan segala pengertian iman yang disyari’atkan. Adapun seruan baginda; ‘hendaklah kamu beristiqamah’ bermaksud; beriltizamlah mengerjakan amalan-amalan ketaatan dan menjauhi perkara-perkara yang bertentangan (dengan kehendak Allah). Jadi Istiqamah mengikut pandangan Imam al-Minawi ini ialah; kita sentiasa taat kepaad Allah dan menjauhi larangan-laranganNya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6143).

Untuk terhasilnya Istiqamah seseorang itu tidak dapat tidak mestilah berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya. Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas Islam iaitu jalan Tauhid dan ketaaatan kepada Allah. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan sebagaimana sabdanya; “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)

Wallahu a’lam.

Sunday, 15 June 2008

MEMBACA TANPA BERGURU

Soalan; Assalamualaikum. Ustaz, apakah hukum orang2 awam yang membaca buku2 agama contohnya Tafsir Ibn Kathir, Kitab Sahih Bukhari dsbnya tanpa berguru dengan orang yang lebih alim?

Jawapan;

Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Sesiapa merentasi satu jalan untuk mencari suatu ilmu, nescaya Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Hadis ini secara zahirnya menjelaskan fadhilat mencari ilmu. Namun jika direnung lebih jauh, hadis ini juga mengisyaratkan kepada kita bahawa ilmu itu hendaklah di ambil dari guru sebagaimana para sahabat mengambilnya dari Nabi s.a.w.. “Merentasi satu jalan untuk mencari suatu ilmu…” bermakna; kita keluar dari rumah kita untuk mencari orang alim untuk belajar suatu ilmu darinya. Jika ilmu itu harus ditimba semata-mata dari buku –tanpa guru-, tidak perlu kita bersusah payah keluar dari rumah untuk menuntut ilmu. Cukup dengan kita membeli buku, kemudian membacanya di rumah. Namun ini bertentangan dengan saranan Nabi s.a.w. di dalam hadis di atas.
Tidak salah menimba ilmu dari buku. Di dalam al-Quran sendiri Allah memerintahkan kita agar membaca. “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan” (surah al-‘Alaq, ayat 1). Allah juga menyebutkan tentang al-Qalam (pena) yang menjadi alat untuk penulisan; “Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan” (Surah al-‘Alaq, ayat 4). Malah di dalam al-Quran ada surah bernama al-Qalam (pena) di mana di dalam surah itu Allah bersumpah dengan Qalam (pena) dan penulisan manusia; “Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis” (Surah al-Qalam, ayat 1). Menurut Imam Ibnu Kathir; “Sumpah Allah dengan Qalam (pena) itu adalah untuk memperingatkan manusia terhadap salah satu nikmat Allah kepada mereka iaitu Dia telah mengajar mereka penulisan di mana dengannya mereka memperolehi ilmu” (Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Qalam, ayat 1).
Membaca sememangnya digalakkan oleh agama. Namun ia tidak menafikan kepentingan guru. Berguru dan membaca seharusnya beriringan dalam hidup kita. Ada masa kita belajar dengan menimba dari guru dan ada masa kita belajar melalui pembacaan kitab-kitab yang ditulis oleh alim-ulamak kita. Tidak harus kita meninggalkan guru kerana merasa cukup dengan buku. Begitu juga, tidak harus kita meninggalkan buku kerana rasa memadai dengan guru. Paling baik ialah suatu ilmu itu dipelajari terlebih dahulu dari guru, kemudian setelah itu diperluaskan kefahaman atau penguasaan tentangnya melalui pembacaan. Ada ungkapan hikmah menyebutkan; “Asal ilmu itu berada di dalam dada ulamak. Kemudian dipindahkan ke dalam kitab-kitab ulamak. Namun kuncinya masih berada di tangan ulamak”. Jadi, di peringkat awal pengajian, kita perlu berguru dari orang alim (ulamak) untuk mendapat kunci ilmu dari mereka. Kemudian, apabila kunci telah ada di tangan kita, kita gunakanlah kunci itu untuk membuka kitab-kitab tulisan ulamak untuk mengharungi lautan ilmu yang lebih luas.
Satu perkara lagi yang perlu diperingatkan iaitu tentang buku yang hendak dibaca. Hendaklah kita memilih dengan tepat buku-buku/kitab-kitab yang hendak dibaca. Pengarangnya hendaklah orang yang berilmu dan jelas kesohehan aqidah dan pegangannya. Tujuan membaca sama seperti berguru iaitu untuk menimba ilmu. Sebagaimana kita perlu mengenali guru, maka kita juga perlu mengenali pengarang buku yang ingin kita baca. Imam Ibnu Sirin menegaskan; “Ilmu itu adalah agama. Maka hendaklah seseorang dari kamu memerhatikan dari siapa ia mengambil agamanya” (Soheh Imam Muslim, bab Bayan Anal-Isnad Minad-Din).
Wallahu a’lam.

Saturday, 14 June 2008

HUKUM BEKERJA SEBAGAI JURUGAMBAR

Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Apa khabar ustaz? Diharap ustaz sentiasa sihat dan dirahmati oleh Allah s.w.t. Di sini saya ada sedikit kemusykilan untuk dikongsi bersama ustaz dan diharap ustaz dapat memberikan sedikit nasihat dan tips untuk saya renungi. Insyaallah hujung bulan jun ini, saya akan berangkat ke UK dalam jangka masa 3 bulan di sana .. Kalau tidak ada aral melintang, saya akan mendapat kerja sambilan sebagai photographer. Bakal majikan saya di UK itu adalah kawan baik boss saya. Antara servis yang ditawarkan oleh bakal majikan saya itu ialah wedding photography. Kemusykilan saya ialah :-
1. Wedding photography di UK di kalangan rakyat Britain melibatkan pergambaran di dalam gereja sebagai salah satu upacara perkahwinan meraka. Barangkali saya juga akan disuruh oleh bakal majikan saya untuk menangkap gambar keseluruhan upacara perkahwinan itu. Dari sudut agama, apakah hukum saya berada dan menangkap gambar di dalam upacara perkahwinan itu samada di dalam dan di luar gereja ?
2. Saya dapati ramai muslim photographers di Malaysia menangkap gambar upacara keagamaan seperti thaipusam, hari wesak dan sebagainya. Adakah hukumnya boleh dari segi agama?
3. Apakah boleh kita menangkap gambar interior di dalam gereja , kuil dan sebagainya?
Harap ustaz dapat merungkaikan sedikit kemusykilan yang saya hadapi. Diharap kita dapat bertemu di lain hari insyaallah. Wassalam.

Jawapan :


Di dalam al-Quran, antara sifat 'Ibadurrahman (hamba-hamba Tuhan yang rahman) yang disebut oleh Allah di dalam surah al-Furqan ialah ayat (yang bermaksud); “Dan mereka tidak menghadiri tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (al-Furqan; 72)

Menurut tafsiran ulamak Tafsir, maksud “tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang”, antaranya ialah;
1. Perayaan-perayaan orang kafir (pendapat Abu al-‘Aliyah, Tawus dan Ibnu Sirin)
2. Majlis-majlis yang batil dan keji (pendapat Imam ‘Amru bin Qies, Dr. Wahbah az-Zuhaili)
3. Majlis yang dihidangkan arak (pendapat Imam az-Zuhri)

Jadi berdasarkan ayat di atas, antara sifat orang beriman yang dikasihi Allah ialah mereka benci menghadiri majlis-majlis yang bertentangan dengan agama, apatahlagi yang menyentuh akidah.

Pekerjaan mengambil gambar tidak salah dari sudut agama asalkan gambar yang diambil itu tidak menyalahi agama. Ia tidak sama dengan melukis dan mengukir manusia atau binatang yang diharamkan oleh agama kerana illah pengharamannya ialah menandingi ciptaan Allah. Mengambil gambar bukan menandingi ciptaan Allah, akan tetapi merakam ciptaan Allah di atas filem atau kertas. Namun jika suatu perkerjaan yang halal itu dilakukan di tengah-tengah majlis yang dimurkai Allah, maka pekerjaan itu menjadi syubhah (bersekongkol dengan maksiat atau kebatilan). Contoh lain ialah seorang yang bekerja sebagai tukang sapu sampah di pusat judi atau kedai arak.

Suatu perkara yang bersalahan dengan agama, sekalipun ramai orang melakukannya, ia tetap salah. Agama tidak terbina di atas pandangan atau perlakuan orang ramai. Ia terbina di atas wahyu (al-Quran dan as-Sunnah). Adalah harus saudara mencari pendapatan dengan menjadi juru foto, namun hendaklah diperhatikan gambar/foto apa yang diambil, apa tujuannya dan majlis apa yang dihadiri. Selagi tidak menyalahi ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, agama memberi keluasan kepada saudara.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, Ahmad Sya’ban bin Ahmad dan Muhammad ‘Iyadi bin ‘Abd Halim, Maktabah as-Sofa.
2. Tafsir al-Wajiz, Dr. Wahbah az-Zuhaili, Dar al-Fikr al-‘Ilmiyyah.

AURAT

Soalan :

Ustaz saya ada satu kemusykilan berkenaan dengan aurat.Apakah hukum lelaki melihat rambut perempuan bukan islam semasa melakukan urusan dengan mereka kerana mereka tidak dituntut menutup rambut kerana mereka bukan orang islam.Minta penjelasan ustaz..
Jawapan :
Assakamu 'alaiku.
Menjaga mata dari melihat aurat wanita ajnabi adalah wajib berdasarkan perintah Allah di dalam surah an-Nur kepada lelaki-lelaki beriman (yang bermaksud); “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan”. (30)

Tujuan perintah tersebut ialah untuk memastikan jiwa/hati orang beriman sentiasa bersih, agama mereka terjaga dan diri mereka selamat dari terjerumus ke dalam zina dan kejatahan. Kerana itu Allah menegaskan di hujung ayat; “…Yang demikian itu lebih suci bagi mereka”. Menurut Imam Ibnu Kathir; maksud “…lebih suci bagi mereka” di dalam ayat di atas ialah; “lebih suci bagi hati dan agama mereka”. Di dalam hadis, Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada seorang lelaki muslim yang melihat kepada keelokan-keelokan seorang wanita, lalu ia menahan pandangannya (yakni ia berpaling dari melihatnya) kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan menggantikan untuknya ibadah yang ia rasai kemanisannya” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Umamah r.a.)

Tidak ada beza dari segi hukum antara melihat aurat wanita Islam atau wanita bukan Islam kerana kesannya pada hati adalah sama. Dan telah disepakati oleh para ulamak bahawa rambut wanita adalah aurat. Adalah haram seorang lelaki muslim melihat aurat wanita ajnabi (yakni wanita yang bukan mahramnya) termasuklah rambutnya tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir kerana arahan Allah di dalam ayat di atas adalah umum dan kesan pandangan tersebut kepada hati adalah sama. Dikecualikan jika pandangan itu berlaku tanpa disengajakan, maka hendaklah segera dipalingkan. Dari Jarir bin Abdillah r.a. menceritakan; “Aku bertanya Rasulullah berkenaan pandangan yang tiba-tiba”. Lalu baginda menjawab; “Palingkanlah pandangan kamu itu” (Riwayat Imam Muslim).

Baginda berkata kepada Saidina Ali r.a.; “Janganlah engkau mengekorkan pandangan selepas pandangan. Bagimu pandangan pertama dan bukan bagimu pandangan yang lain (yakni tidak harus bagimu mengulangi pandangan setelah terpandang kali pertama secara tak disengajakan)”. (Riwayat Imam Abu Daud dan Tirmizi)

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Tafsir Ibnu Kathir

Friday, 13 June 2008

MENGGANTI PUASA LAMPAU

Soalan; Sebelum saya berkahwin saya tidak pernah mengqada' puasa ramadan saya. Ianya bermula dari saya berumur 11 tahun hinggalah saya berkahwin pada usia 23 tahun. Saya rasa berdosa kerana tidak mengqada' puasa terdahulu dan sejak tahun lepas saya telah mula mengqada' puasa-puasa saya itu dan saya hampir selesai mengqada'nya iaitu dengan mengira berapa tahun saya tertinggal di darabkan enam hari setiap tahun. Perlukah saya membayar fidyah?

Jawapan;

Puasa yang ditinggalkan pada masa lampau, wajib diqadha/diganti selagi seseorang itu mampu berpuasa. Satu hari yang ditinggalkan diganti dengan satu hari juga. Maka wajib dihitung jumlah hari yang tertinggal itu.

Jika ia tidak mampu berpuasa, barulah digantikan dengan fidyah iaitu memberi makan seorang fakir miskin bagi sehari puasa yang ditinggalkan. Menurut mazhab Syafi'ie, kadar makanan itu ialah secupak beras untuk sehari puasa. Menurut Mufti Mesir sekarang (Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah); fidyah bagi sehari yang ditinggalkan ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin sebanyak dua hidangan; satu hidangan berbuka dan satu hidangan sahur dengan makanan yang paling baik yang dimakan. Menurut Syeikh 'Atiyah Saqar rhm (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar); satu fidyah ialah dengan memberi makan seorang fakir/miskin dengan makanan yang mencukupinya untuk makanan pagi (ghada’) dan malam (asya’).

Di samping berpuasa ganti atau membayar fidyah, ia wajib bertaubat kepada Allah dengan melahirkan penyesalan atas dosa meninggalkan ibadah yang wajib dan berazam tidak akan mengulanginya. Ia juga hendaklah banyak beristighfar dan mengerjakan amal soleh, moga-moga Allah mengampunkannya.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa 'Asriyyah, Dr. 'Ali Jum'ah Muhammad, hlm. 75 dan 92.
2. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh 'Atiyah Saqar, jil. 2, hlm. 16.

SUJUD SAHWI MAKMUM

Soalan; apabila imam terlupa di dalam solat dan ia melakukan sujud sahwi di hujung solatnya, adakah makmumnya perlu sujud sahwi bersamanya? Bagaimana jika mereka tidak turut sujud sahwi?

Jawapan;

Wajib makmum untuk turut sama sujud sahwi bersama imamnya. Berkata Imam Ibnu al-Munzir; telah ijmak sekelian ulamak pada menyatakan yang demikian. Ijmak tersebut berdalilkan hadis Nabi s.a.w. (bermaksud); “Sesungguh Imam itu dilantik untuk diikuti. Apabila ia bertakbir, hendaklah kamu turut bertakbir. Apabila ia sujud, hendaklah kamu turut sujud….”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas r.a.)

Menurut Imam an-Nawawi; jika makmum tidak turut sujud bersama imam dengan sengaja, batallah solatnya sama ada makmum itu mengetahui imamnya telah lupa di dalam solat atau tidak mengetahuinya. (al-Majmu’, 4/141)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/29-30.
al-Majmu’, Imam an-Nawawi; 4/141-142.

Monday, 9 June 2008

TAQWA

Soalan : Boleh ustaz jelaskan maksud taqwa yang sebenar?
Jawapan :

Makna takwa dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya (yang bermaksud); "Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa iaitu mentaatiNya tanpa melakukan maksiat kepadaNya, mensyukuriNya tanpa kufur kepadaNya dan mengingatiNya tanpa melupaiNya”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Abdullah bin Mas'ud r.a.). Di dalam hadis ini ada tiga unsur yang terangkum di dalam makna takwa, iaitu;
1. Mentaati Allah
2. Mensyukuri nikmatNya
3. Sentiasa mengingatiNya

Kalimah Takwa atau yang merujuk kepada Takwa adalah antara kalimah yang paling banyak diulang di dalam al-Quran, iaitu lebih 200 ayat. Ia berkisar kepada;
1. Menyeru manusia supaya bertakwa
2. Menerangkan ciri-ciri insan bertakwa
3. Menjelaskan faedah dan keuntungan yang akan diperolehi oleh manusia jika ia bertakwa.

Seruan kepada takwa, antara ayatnya ialah (yang bermaksud); "Wahai orang-orang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa". (Ali Imran, ayat 102)

Ciri-ciri orang bertakwa, antara ayatnya ialah (bermaksud); "Bukanlah kebaikan itu dengan hanya kamu menghadapkan mukamu ke timur dan barat. Akan tetapi kebaikan itu ialah dengan berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan para Nabi, serta ia mendermanya hartanya sekalipun ia menyayanginya kepada kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang yang sedang dalam pengembaraan, orang-orang yang meminta dan hamba yang ingin memerdekakan dirinya. Begitu juga, orang yang mengerjakan solat, mengeluarkan zakat dan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, orang-orang yang sabar semasa kesempitan, kesakitan dan ketika peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar beriman dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa”. (al-Baqarah, ayat 177)
Ayat ini telah membentangkan sifat-sifat takwa dengan lengkap merangkumi iman, amal soleh dan akhlak, hubungan dengan Allah dan juga dengan manusia.

Adapun faedah yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa, antaranya disebut oleh ayat (yang bermaksud); “…dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Allah akan membuka untuknya jalan keluar (dari segala kesulitan yang dihadapinya) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangkanya..”. (at-Tolaq, ayat 2-3) Berkata Ibnu 'Abbas; orang bertakwa akan diselamatkan Allah dari segala kesulitan di dunia dan di akhirat.

Wallahu a'lam.

Rujukan;
1. Raudhatul-Muttaqien (Syarah Riyadhus-Salihin), Syeikh 'Abdul-Qadier 'Irfan.

Friday, 6 June 2008

MAKNA KURSI

Soalan :Dalam maksud ayat kursi berbunyi kursi Allah meliputi langit dan bumi.Apakah maksud kursi?

Jawapan :

Menurut Ibnu 'Abbas r.a.; maksud kursi Allah dalam firman Allah (surah al-Baqarah, ayat 255) ialah; ilmu Allah. Jadi ayat itu bermaksud; "Betapa luas ilmu Allah meliputi sekelian langit dan bumi". Namun menurut hadis Nabi s.a.w.; al-Kursi ialah satu makhluk tersendiri yang dijadikan Allah di mana saiznya amat besar namun lebih kecil dari 'Araysh. Sabda baginda; "Demi Tuhan yang diriku berada di tanganNya. Tidak lah keluasan sekelian langit dan bumi yang tujuh lapis itu berbanding dengan keluasan al-Kursi melainkan seumpama keluasan sebentuk cincin berbanding padang pasir yang luas. Sementara bandingan 'Araysh dengan al-Kursi pula ialah seumpama padang pasir yang luas dibandingkan dengan sebentuk cincin". (Hadis soheh riwayat Abu Zar al-Ghifari r.a.). Disimpulkan dari hadis ini bahawa al-Kursi adalah makhluk Allah yang mempunyai jirim yang berdiri sendiri. Ia bukan bersifat maknawi semata-matanya. Saiznya amatlah bersar namun berbading dengan 'Araysh, ia jauh lebih kecil dari 'Araysh.
Wallahu a'lam.
Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir

TANGAN BERSENTUH KEMALUAN KETIKA MANDI WAJIB

Soalan :
Ustaz,
Bagaimana pula jika ketika mandi wajib, tangan menyentuh kemaluan kerana dikuatiri tidak sampai air jika tidak digosok? Ataupun membersihkan sabun dari badan.

Jawapan :

Assalamu'alaikum,
Hadas besar ialah hadas yang meliputi seluruh badan. Apabila seorang itu berhadas berhadas besar, seluruh badannya berada dalam keadaan tidak bersih di sisi Allah termasuklah bahagian kemaluannya. Kerana itu, ia wajib meratakan air ke seluruh badannya untuk menghilangkan hadas termasuklah di bahagian alat sulitnya. Menyentuh kemaluan (alat sulit) ketika mandi tidaklah membawa seseorang itu berhadas kerana ia terpaksa melakukannya untuk menghilangkan hadas dari badannya. Oleh itu, tidak dituntut lagi seorang yang telah sempurna mandinya untuk mengambil semula wudhuk selepasnya itu kerana dengan mandi itu seluruh badannya telah bersih dari hadas. Menurut hadis dari Saidatina Aisyah r.a.; "Rasulullah s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub". (Riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Berkata Abu Bakar Ibnu al-‘Arabi; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa wudhuk terangkum di bawah mandi dan bahawa niat bersuci dari janabah (hadas besar) turut merangkumi hadas kecil dan akan menghilangkannya. (Tuhfah al-Ahwazi, 1/264).
Wallahu a'lam.

Wednesday, 4 June 2008

RASA TAKUT KEPADA ALLAH

Soalan :

Saya ada masalah tak takut dan tak rasa apa-apa pun masa buat dosa dengan Allah.Terlepas subuh pun tak rasa apa..
Bagaimana nak timbulkan rasa takut tu, ustaz??

syukran, assalamualaikum..

Jawapan ;

Assalamu'alaikum.

Seorang yang melakukan dosa, lalu ia tidak berasa bersalah kepada Allah atau tidak ada di dalam hatinya perasaan bimbang atau takut kepada azab Allah atau balasannya, itu tanda hatinya mati atau sakit. Puncanya, mungkin selama ini ia telah terlalu biasa dengan dosa atau maksiat hingga hatinya mati.

Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Seorang manusia jika ia melakukan suatu dosa, akan muncul lah satu titik hitam di dalam hatinya. Jika ia meninggalkan dosa itu, kemudian ia beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya meliputi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran yang disebut Allah dalam firmanNya; “Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan” (al-Mutoffifin; 14) (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Imam Abdullah bin al-Mubarak pernah bermadah;
Aku lihat dosa-dosa itu mematikan hati,
Berterusan melakukannya mengakibatkan kehinaan,
Meninggalkan dosa pula menghidupkan hati,
Mengingkarinya membawa kebaikan kepada diri.

Untuk menghidupkan kembali hati yang mati, langkah berikut perlulah dilakukan;
1. Memperbaharui keimanan kepada Allah dengan melafazkan sebanyak mungkin kalimah Lailahaillallah. Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. berpesan kepada sahabat-sahabatnya; “Hendaklah kamu sekelian memperbaharui iman-iman kamu”. Mereka bertanya beliau; “Ya Rasulullah! Bagaimana caranya kami hendak memperbaharui iman kami?”. Baginda menjawab; “Banyaklah menyebut Lailaha Illallah” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.).
2. Bertaubat kepada Allah dengan memenuhi semua rukun taubat iaitu;
a) Meninggalkan dosa dan maksiat
b) Menyesali keterlanjuran melakukannnya selama ini.
c) Bertekad tidak akan mengulangi lagi dosa dan maksiat.
3. Sentiasa memastikan diri berada dalam Zikrullah (mengingati Allah); melazimi majlis ilmu, menjaga solat, membaca al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Insya Allah, dengan melakukan langkah-langkah tersebut secara istiqamah, hati akan kembali hidup dan perasaan cintakan Allah dan takut kemurkaannya akan kembali bertapak di dalamnya.

Wallahu a'lam.

HADIS ATAU BUKAN

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz.
Saya inginkan kepastian daripada Ustaz berkenaan dengan Hadis yang dibawah ni. Saya dapat melalui emel samada ia Hadis atau tidak

Telah Bersabda Nabi Muhamad SAW yang bermaksud: Ada empat perkara yang berharga dalam diri manusia dan dia boleh hilang dengan empat perkara juga.
Adapun yang berharga itu ialah...Akal, Agama, Malu dan Amal soleh. Maka....PERTAMA - Akal boleh hilang disebabkan marah. KEDUA - Agama boleh hilang disebabkan dengki. KETIGA - Malu boleh hilang disebabkan tamak. KEEMPAT - Amal soleh boleh hilang dan terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.


Jawapan :

Assalamu 'alaikum.
Setakat ini saya belum berjumpa dengan hadis tersebut. Wallahu a'lam, ia hadis atau tidak. Dalam disiplin ilmu hadis, sesuatu itu tidak harus dikatakan sebagai hadis atau sabda Nabi melainkan setelah ia benar-benar telah dipastikan oleh Ahlul-Hadis. Sekurang-kurangnya hadis itu ada termuat di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Orang yang memberi hadis tersebut kepada anda, anda perlu bertanya beliau dari kitab/rujukan mana diambil hadis itu. Jika ia tidak pasti, maka tidak harus anda membaca hadis itu kepada orang dengan menyandarkannya kepada Nabi s.a.w. melainkan setelah anda-anda benar-benar pasti kedudukannya sebagai hadis yang soheh dari Nabi s.a.w..

Wallahu a'lam.

Tuesday, 3 June 2008

MENGENALI DOSA BESAR DAN DOSA KECIL

Soalan; Apa yang dimaksudkan dengan dosa? Bagaimana untuk kita mengenali suatu dosa itu sama ada ia tergolong dalam dosa besar atau dosa kecil?

Jawapan;

Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”.[1] Dosa kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri, mengumpat, menipu dan sebagainya.

Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;

كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ
“Setiap yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)

Namun mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran dan hadis kerana Allah berfirman;


“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda;

اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
“Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)

Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.

Apa maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah; “Dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang (yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.

Apa yang lebih mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah;[2]

1.Diwajibkan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan sebagainya.

2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.

3.Disifatkan orang-orang yang melakukannya sebagai fasiq.

4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau sebaliknya dan sebagainya.

Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.

Namun harus diingat bahawa walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;

إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
“Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)[3]

Malah dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu;[4]
1.Berterus-terusan melakukannnya
2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan
3.Gembira, bangga dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab kepada kecelakaan.
4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan menangguhkan pembalasan terhadapnya.
5.Melakukan dosa dan kemudian menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.
6.Orang yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4.
2. Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi
3. Az-Zawajir ‘an Iqtirafil Kabaair, Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
4. Al-Muntaqa min Kitab at-Targhib Wa at-Tarhib Lil Munziri, Dr. Yusof al-Qaradhawi, juz. 2.
5. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, karangan sekumpulan ulama’, diterbitkan oleh Kementerian Wakaf Kuwait.
6. Syarh al-‘Aqidah ath-Thahawitah, karangan al-‘Allamah ibn Abil ‘Izzi al-Hanafi.
7. Majmu’ al-Fatawa, oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah, jil. 11.
8. Tahzib Madarij as-Salikin (kitab Madarij dikarang oleh Ibnul Qayyim al-Jauziah. Adapun tahzibnya dikarang oleh ‘Abdul Mun’im Sholeh al-‘Aliyyi al-‘Izzi.
9. Bahjatu Qulubil Abrar Wa Qurratu ‘Uyunil Akhyar fi Syarhi Jawami’ul Akhbar, Syeikh Abdur Rahman ibn Naashir as-Sa’adiyy.
10. Tafsir al-Quran al-‘Adziem, Imam Ibnu Kathir (Surah an-Nisa’, ayat 31).

[1] Lihat Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 16 dan Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, karangan sekumpulan ulama’ dari negara Kuwait, diterbitkan oleh Kementerian Wakaf Kuwait. (Lihat perkataan “al-Kabair”).
[2] Az-Zawajir ‘an Iqtirafil Kabaair, Imam Ibnu Hajar al-Haitami, hlm. 18.
[3] Al-Muntaqa min Kitab at-Targhib Wa at-Tarhib Lil Munziri, Dr. Yusof al-Qaradhawi, juz. 2, hlm. 671. (Hadis no. 1464)
[4] Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 32-34 dan Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi, hlm. 264-266.

ADAKAH SYURGA KEMBALI KE BAWAH TAPAK KAKI IBU SETELAH KEMATIAN SUAMI?

Soalan;  ustaz, se pertimana yang saya tahu, syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suaminya. Tapi ustaz, macam mana pula jikalau suami...