Sunday, 22 February 2009

JUMHUR

Soalan : Kenapa dok turut pendapat syaukani sedangkan JUMHUR kita kebelakang kan.Apa kita ingt alasan2 yg didatang olh syaukani JUMHUR tak tahu.Kemudian,kesemua ulama 4 tu adlh mujtahid mutlak,manakala syaukani?,,,Kita bukan merendah2kan beliau sbg yg jg sebagai ulama,tetapi siapa dia berbanding dengan JUMHUR.

Jawapan :

Yang menjadi hujjah dalam Islam ialah Ijmak ulamak, bukan jumhur ulamak. Ijmak tidak boleh dipertikai, tetapi jumhur masih harus dipertikai. Tidak semestinya pandangan jumhur yang rajih. Adakalanya yang rajih ialah pandangan yang bukan jumhur. Ukuran rajih bukan terletak pada pandangan itu dari jumhur (majoriti) atau dari bukan jumhur, tetapi terletak pada dalil yang dikemukakan. Bukan sahaja Imam Syaukani yang pernah menyalahi jumhur, malah ulamak-ulamak besar sebelumnya juga pernah menyalahi jumhur. Mereka bukan sengaja nak tunjuk diri hebat, tetapi itulah kejujuran mereka dalam memberi pandangan. Walaupun menyedari akan ada orang akan menghina atau mengutuk mereka -khusus oleh golongan taksub mazhab- kerana menyalahi jumhur, namun yang menjadi penilaian mereka bukan keredhaan manusia tetapi keredhaan Allah. Ulamak hari ini makan gaji. Kalau tak makan gaji pun, bagi kuliah dapat saguhati. Ulamak dulu, berkhidmat tanpa gaji. Mengajar pula, tiada saguhati. Ulamak hari ini tulis buku dapat royalti. Ulamak dulu tulis buku hanya mengharap pahala dari Allah (royalti di akhirat). Imam Syaukani salah seorang dari ulamak mukhlisin tersebut. Beliau telah menghasilkan karya yang cukup hebat iaitulah Nailul-Autar yang menjadi rujukan oleh ulamak-ulamak Timur Tengah termasuk ulamak-ulamak al-Azhar khusus dalam Muqaranah al-Mazahib.
Contoh pandangan-pandangan yang menyalahi jumhur;
1. Pandangan Imam Syafi'ie; menyentuh wanita bukan mahram membatalkan wudhuk. Jumhur ulamak kata tidak batal. Adakah jumhur tak tahu dalil Imam Syafi'ie? Dan adakah Imam Syafi'ie pula tidak tahu dalil jumhur? Di antara yang bersama jumhur ialah Imam Ahmad (murid Imam Syafi'ie). Adakah Imam Ahmad tidak tahu dalil Imam Syafi'ie?
2. Pandangan Imam Abu Hanifah; bacaan al-Fatihah tidak wajib. Sedangkan jumhur ulamak berkata; wajib. Adakah Imam Abu Hanifah tidak mengetahui dalil jumhur hingga beliau menyalahinya?
3. Banyak lagi contoh jika hendak dikemukakan.
Dalam sejarah dunia Islam sejak dari Nabi Muhammad dibangkitkan hingga ke hari ini belum ada seorang ulamak pun yang diizinkan Allah untuk menghimpun kaum muslimin di bawah pandangan/mazhabnya. Sehebat-hebat Imam Malik, banyak pandangannya tidak dipersetujui oleh muridnya Imam Syafiie hingga muncul selepasnya mazhab Syafi'ie. Sehebat-hebat Imam Syafi'ie, banyak juga pandangannya tidak dipersetujui oleh muridnya Imam Ahmad hingga timbul selepasnya mazhab Hanbali.
Begitulah kehendak Allah. Allah ingin agar ada kepelbagaian pandangan di kalangan umat Islam kerana banyak hikmahnya, antaranya untuk memberi kemudahan kepada kaum muslimin. Kerana itu dikatakan; "Perbezaan pandangan di antara ulamak adalah rahmat bagi umat".
Kita yang hidup di akhir zaman ini perlu berterima kasih kepada ulamak-ulamak terdahulu. Mereka bukan maksum, tetapi mereka telah melakukan sesuatu untuk umat yang datang selepas mereka. Kalau tidak kerana kejujuran mereka sudah tentu tidak akan ada perbezaan pandangan -kerana orang hidup bermuka-muka atau untuk mengambil hati orang lain ia tidak akan berani untuk memberi pandangan menyalahi orang lain walaupun hatinya menghendaki sebaliknya-. Begitu juga, kalau tidak kerana mereka yang gigih menulis dan merekodkan pandangan ulamak-ulamak sebelum mereka, nescaya teraba-rabalah orang hari ini mencari pendapat dan pandangan.
Kita yang hidup hari ini jangan sekali-kali berkata; "siapa Syaukani....(atau mana-mana ulamak yang lain)", tetapi lebih baik kita berkata; "siapalah saya nak mengkritik Syaukani...(atau mana-mana ulamak yang lain)". Dia telah menghasil karya/penulisan yang ribuan/puluhan/ratusan ribu ulamak telah membaca dan mengambil manfaat darinya, sedangkan kita belum tahu apa yang akan kita tinggalkan untuk umat selepas kita.
"Umat tersebut telah berlalu (sejarah mereka). Bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan" (al-Baqarah; 141).

Taman yang indah ialah yang dihiasi dengan pelbagai bunga. Jika hanya satu jenis bunga, tidak berseri taman. Begitu lah indahnya Fiqh Islam dengan kepelbagaian pandangannya. Terserah kepada kitalah untuk memetik mana satu bunga pilihan kita. Yang tidak kita petik, jadikan ia hiasan mata kita. Itu pun jika kita mampu memetik. Jika tidak mampu memetik, jadikan ke semuanya sebagai hiasan mata.
Wallahu a'lam.




Wednesday, 18 February 2009

AMALAN UNTUK SI ARWAH

Soalan ;

Asslamualaikum
Sy ada beberapa soalan untuk ustaz menjawabnya.Terlebih dahulu sy akan bercerita masalah yg sy hadapi...Sy baru kehilangan suami tersayang pd Julai 08 (27thn) krn diserang skt jntg scr tiba2....
Sy terlalu menyayangi,mencintai dan merindui arwah suami yg begitu baik sekali thdp sy mahupun org lain..Mmg tiada pengganti setanding arwah suami sy...apa yang sy musykil di sini ialah :
1) Bagaiman cr utk pastikan di syurga nanti sy ingin hidup bersamanya selama2nya,jika diizinkan ALLAH?
2) Apakah roh suami sy dekat dgn sy @ memerhati sy,bolehkah sy minta pd ALLAH utk bertemu arwah didlm mimpi?
3) Besarkah pahala yg dijanjikan ALLAH pd setiap hambanya yg menerima ujian sehebat ini?
4) Pusara arwah disemadikan di Kelantan(kg arwah),sdgkan sy di Kedah...sebulan sekali InsyaALLAH sy akan melawat pusaranya.....Adakah sampai doa atau bacaan AL-QURAN sy hadiahkan utk arwah?Apakah arwah sedih krn sy tak mampu ke pusaranya setiap hari?

Jawapan :

1. Berdoalah kepada Allah agar puan di golongkan Allah di kalangan orang-orang soleh dan begitu juga suami puan. Orang-orang soleh akan bertemu semula di alam Barzakh dan di akhirat (di dalam syurga) sebagaimana firman Allah (bermaksud); “Orang-orang beriman yang dituruti oleh zuriat keturunan mereka dengan iman itu, Kami hubungkan zuriat keturunan mereka itu dengan mereka dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka. Setiap diri manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”. (Surah at-Thur, ayat 21)

Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Seseorang akan bersama dengan orang yang ia kasih (pada hari kiamat)”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-)

Al-‘Allamah Ibnul-Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya ar-Ruh menyatakan; “…Ruh orang-orang yang diberi nikmat (iaitulah ruh-ruh orang beriman yang taat), mereka dapat saling bertemu dan menziarahi antara satu sama lain di alam Barzakh. Malah mereka saling mengingati peristiwa yang dilalui di dunia dulunya. Setiap ruh akan bersama dengan teman yang sedarjat dengan amalannya dan ruh nabi kita Muhammad –sallallahu ‘alaihi wasallam- akan bersama teman yang maha tinggi (الرفيق الأعلى). Allah berfirman di dalam al-Quran (bermaksud):
“Dan sesiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang salih. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang ta’at)”. (Surah an-Nisa’, ayat 69)”.
2. Apabila seorang muslim kematian orang yang dikasihinya, disunatkan ia membaca doa;
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ، وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً
“Ya Allah! Kurniakanlah keampunan untukku dan untuknya dan gantikanlah untukku selepas ketiadaannya dengan gantian yang baik”.
Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah bersabda; “Apabila kamu menziarahi orang sakit atau orang mati, maka ucapkanlah yang baik-baik kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan”. Ummu Salamah menceritakan lagi; Tatkala suamiku (Abu Salamah) meninggal, Rasulullah datang menziarahi, lalu aku berkata kepada baginda; ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya Abu Salamah telah mati’. Maka Rasulullah berkata kepadaku; “Kamu ucapkanlah; …..(doa di atas)…”. Maka akupun mengucapkan doa tersebut, maka ternyata Allah telah menggantikan untukku dengan seorang yang lebih baik dari Abu Salamah iaitu Nabi Muhammad[1] –sallallahu ‘alaihi wasallam-.[2]
3. Amalan orang hidup untuk orang yang telah mati; ada di antaranya yang disepakati ulamak akan sampai pahalanya dan ada yang diiktilafkan. Yang disepakati ialah;
a) Berdoa dan memohon ampun untuknya
b) Memberi infak dan bersedekah untuknya; termasuk infak jariah, wakaf dan sebagainya.
c) Berpuasa ganti untuknya atau membayar fidyah.
d) Melunasi hutangnya
e) Melakukan haji untuknya
Adapun yang diiktilafkan ialah membaca al-Quran dan berzikir untuknya. Jumhur ulamak berpendapat; ia sampai kepada si mati terutama jika diikuti dengan berdoa selepasnya. Ada sebahagian ulamak berpendapat; ia tidak sampai.
4. Mengenai mimpi; menurut ulamak harus berlaku orang hidup bertemu dengan orang yang telah mati di dalam mimpi jika dikehendaki Allah.
5. Mengenai menziarahi kubur; tidak perlulah puan terlalu kerap menziarahi pusara suami puan. Memadai puan menunjukkan ingatan kepada suami puan dengan berdoa untuknya, memohon ampun bagi pihaknya, bersedekah dan sebagainya lagi dari amalan-amalan di atas. Jumhur ulamak memakruhan wanita menziarahi kubur. Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat tidak disertai dengan raungan atau tangisan yang melampau.
6. Setiap takdir Allah ada hikmah dan kebaikannya. Perlu kita sedari bahawa Allah lebih kasih kepada kita dari orang lain. Dialah Arhamur-Rahimin (yang paling pengasih dari segala orang yang mengasihi). Amat beruntunglah orang yang sabar menerima ujian Allah sebagaimana janji Allah;
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya” (al-Baqarah, ayat 155-157).
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar, akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”. (az-Zumar, ayat 10)
Wallahu a’lam.


[1] Selepas kematian Abu Salamah, Ummu Salamah telah diambil oleh Rasulullah menjadi isteri baginda.
[2] Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud.

Monday, 16 February 2009

MENGGANTUNG GAMBAR

Soalan :
assalamualaikum...
sy ada kemusykilan...apakah hukumnya menggantung gambar keluarga seperti gambar konvokesyen, gambar hari raya dan sebagainya..minta tolong jelaskan

Jawapan :

Jika gambar itu adalah gambar yang bersopan, menutup aurat dan tidak ada sebarang imej yang bertentangan dengan syarak, insya Allah harus dipamerkan. Namun hendaklah jelas niatnya; yakni bukan untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi sekadar untuk menzahirkan nikmat Allah atau anugerahNya, untuk memberi semangat kepada orang lain atau sebagainya dari niat-niat yang positif.

Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. hanya melarang gambar lukisan dan patung-patung kerana ia menandingi ciptaan Allah. Adapun gambar foto, ia tidaklah menandingi ciptaan Allah kerana ia bukan lukisan, akan tetapi rakaman; yakni merakam kejadian Allah yang asal di atas kertas, maka tidak timbul unsur menandingi kejadian Allah. Ada juga di kalangan ulamak tidak mengharuskan semua jenis gambar termasuk gambar foto kerana mereka menyamakannya dengan lukisan yang dilarang oleh Nabi. Pandangan kedua ini menjadi pegangan ulamak-ulamak Arab Saudi. Adapun pandangan pertama tadi, ia menjadi pegangan ulamak-ulamak Mesir termasuk Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan pandangan pertama inilah yang saya pilih.

Wallahu a'lam.

Saturday, 14 February 2009

WAKTU SOLAT ISYAK

Soalan :
ASSALAMUALAIKUM USTAZ
SAYA INGIN BERTANYA BILAKAH SEBENARNYA HABIS WAKTU SOLAT ISYAK? KATAKAN SAYA DENGAN SENGAJA ATAU TAK SENGAJA BANGUN SEBELUM JAM 5 PAGI ATAU PUN SEBELUM MASUK WAKTU SUBOH DAN MENGERJAKAN SOLAT ISYAK, ADAKAH SAH SOLAT SAYA TERSEBUT? HARAP DAPAT USTAZ BERIKAN PENJELASAN DENGAN DISERTAKAN DENGAN HADIS-HADIS YANG BERKAITAN DENGAN PERSOALAN INI.

Jawapan :

Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib). Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak;
Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segologan ulamak yang lain.
Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah.
Pandangan pertama berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat. Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh). Pandangan kedua pula berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275).
Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi keluasan/kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu.
Selepas waktu ikhtiyar tersebut, para ulamak berikhtilaf;
Menurut mazhab Hanbali dan Maliki; selepas waktu ikhtiyar itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalan terbitnya fajar (masuk waktu subuh). Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah. Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki; tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran. Di antara bentuk keuzuran ialah;
1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.
Adapun menurut mazhab Syafi’ie; selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh). Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang berbunyi;
“Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).
Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh. Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat;
Pertama; waktu terbaik, iaitu di awal waktu.
Kedua; waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.
Ketiga; waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamatnya waktu (yakni sebelum masuk waktu solat yang lain kecuali subuh di mana waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).
Keempat; waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘ Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.

Tuesday, 3 February 2009

BERKONGSI MAS KAHWIN

Soalan:
assalamualaikum ustaz...
ustaz, saya ingin bertanyakan satu soalan berkaitan mas kahwin...dibeberapa negeri yang tidak ditetapkan nilai mas kahwin (terengganu dan kelantan), duit hantaran (yang jumlahnya ribuan ringgit) selalunya dijadikan mas kahwin. sekiranya duit untuk dijadikan mas kahwin tersebut dikongsi antara bakal pasangan suami isteri tersebut untuk mencukupkan jumlahnya, apakah hukumnya?..adakah sah pernikahan tersebut?

Jawapan :

Perkahwinan itu sah. Mas kahwin adalah hak isteri apabila sempurna akad. Jika mas kahwin itu dikongsi bersama, maka yang datang dari bakal isteri itu boleh dianggap sebagai hibah dari beliau atau boleh juga dianggap sebagai hutangnya kepada bakal suaminya. Jadi, ia bergantung kepada niat dan persetujuan bersama.
Apa-apa pun yang membabitkan maskahwin ia tidak akan menjejaskan perkahwinan jika akad perkahwinan dilaksanakan dengan memenuhi rukun dan syarat-syaratnya. Maskahwin bukanlah menjadi rukun dan syarat sahnya suatu perkahwinan, akan tetapi ia adalah kesan dari akad. Apabila sempurna akad, maka otomatik maskahwin menjadi milik isteri dan dikira hutang yang tertanggung atas suami. Jika telah ditentukan jumlahnya di dalam akad, maka jumlah itulah yang menjadi hak isteri. Jika tidak ditentukan di dalam akad, maka ia hendaklah dirujuk kepada mahar (maskahwin) misil.
Wallahu a'lam.