Tuesday, 13 February 2007

HUKUM TAKLID

Soalan ;

Asalammulikum ustaz

Apa itu taklid ?Adakah kita boleh bertaklid sepanjang hidup kita? Apa dalilnya?
Sekian, terima kasih

Jawapan ;

Bismillahirrahmanirrahim


Taklid dari segi bahasa bermakna mengikuti orang lain. Ada di kalangan Ulamak membezakan antara Taklid dan Itba’ di mana taklid ialah mengikut orang lain tanpa memerhati dalil dan hujjah, adapun Itba’ ialah mengikuti orang lain berdasarkan dalil dan hujahnya. Sama ada harus atau tidaknya taklid atau itba’ di sisi agama bergantung kepada kemampuan seseorang;[1]

1. Seorang yang mampu berijtihad sendiri dari al-Quran dan as-Sunnah, atasnya haram taklid kerana ia seorang Mujtahid.

2. Seorang yang tidak mampu berijtihad, maka ia wajib mengikuti atau mengambil panduan dari ulamak yang mujtahid. Kewajipan ini berpandukan firman Allah;

“…dan bertanyalah kamu kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui”. (an-Nahl: 43)

فإنما شِفَاء العِيّ السُّؤالُ
“Sesungguhnya ubat bagi orang yang jahil ialah bertanya”. (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni)

Berkata Imam as-Syatibi; “Fatwa-fatwa para mujtahidin dinisbah kepada orang-orang awam umpama dalil-dalil Syarak dinisbah kepada para mujtahid”. [2]

Dr. Abdul Karim Zaidan menjelaskan; Seorang mujtahid hendaklah memperolehi hukum-hakam dari sumber-sumbernya yang asli dengan cara pemerhatian dan ijtihad. Tidak harus taklid baginya. Adapun orang yang tidak mampu berijtihad, wajib atasnya bertanya ahli ilmu (ulamak). Bertanyakan ahli ilmu sama ada secara musyafahah atau dengan merujuk kepada pandangan-pandangan mereka yang termuat di dalam kitab-kitab yang dipercayai yang menceritakan tentang pandangan-pandangan mereka dan menaqalkan dengan penaqalan yang soheh. Oleh demikian, harus bagi orang awam untuk mengikuti satu mazhab tertentu dari mazhab-mazhab yang makruf dan wujud hari ini dan dinaqalkan kepada kita dengan penaqalan yang soheh….”.[3]
3. Orang yang tidak sampai darjat mujtahid, tetapi ia mampu menilai pandangan para mujtahid, dalil-dalil dan jalan-jalan istinbat mereka. Bagi orang ini, ia hendaklah berusaha mengetahui dan memahami dalil ulamak mujtahid yang diikutinya. Inilah yang dapat kita fahami dari salah satu taujihad Imam Hasan al-Banna dalam Usul ‘Isyrinnya;

“Setiap orang Islam yang belum sampai tahap kemampuan memerhati/mengkaji sendiri dalil-dalil bagi hukum-hakam Syarak dalam masalah furu’ (cabang) hendaklah ia mengikut salah seorang Imam dari Imam-Imam (mujtahid) dalam agama ini. Namun adalah lebih baik di samping mengikut itu ia berusaha sedaya mungkin untuk mengetahui dalil-dalil (yang dipakai oleh Imamnya)….”. (Usul al-‘Isyrin, Risalah at-Ta’alim).

Wallahu A’lam.
[1] Al-Qaul as-Sadid Fi Masail al-Ijtihad Wa at-Taqlid, al-Imam Muhammad bin Abdul-Adziem al-Makki ar-Rumi, hlm. 32.
[2] Fahmul-Islam Fi Dzilali al-Usul al-‘Isyrin, Syeikh Jum’ah Amin Abdul-Aziz, , hlm. 111.
[3] Al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 409.

0 ulasan: