Cari Blog Ini
Rabu, 9 Oktober 2013
Khamis, 3 Oktober 2013
AQIQAH UNTUK ANAK ANGKAT
Soalan; assalamu alaikum, ustaz. Saya ada mengambil anak
angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.
‘Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung
nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan
oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan
oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka,
aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulamak termasuk
mazhab Syafiie.
Ada juga ulamak berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk
si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira
siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Anak kecil dipertaruhkan
dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi
nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis
ini Nabi SAW hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi
menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan
niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing
(Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).
Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak
itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan
aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar
dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya
dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal
kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan
membelanya.
Rujukan;
1. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
2. Fathul-Bari, 9/595.
3. Subulus-Salam;
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no; 111169, 15671.
Rabu, 2 Oktober 2013
BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH
Soalan; Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban
untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah
mencapai akil baligh dan berakal.
Jawapan;
Menurut mazhab Syafiie; wali (penjaga)[1]
dibolehkan untuk melakukan korban bagi anak jagaannya yang masih kecil (belum
baligh), dengan syarat binatang korban datang dari hartanya (yakni dibeli
dengan wangnya, bukan wang si anak). Dia seolah menghadiahkan binatang itu
kepada si anak, kemudian melakukan korban bagi pihaknya, maka untuknya pahala
hadiah dan untuk si anak pula pahala korban. Adapun melakukan korban dengan
mengambil dari harta si anak, tidak dibolehkan.
Secara umum, hukum melakukan ibadah korban untuk orang
lain –menurut mazhab Syafiie- adalah seperti berikut;
1. Melakukan korban untuk orang yang telah meninggal; terdapat
khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak
berpendapat; dibolehkan kerana ia sebahagian dari sedekah dan telah ijmak para
ulamak bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah sah, berguna untuknya dan sampai
pahala kepadanya. Sebahagian ulamak berpendapat; berkorban untuk si mati hanya
sah jika dengan pesanan/wasiat darinya. Jika tanpa pesanan/wasiatnya, tidak sah
korban untuknya.
2. Melakukan korban untuk orang yang masih hidup yang
telah baligh (termasuk anak); tidak sah korban untuknya melainkan dengan
keizinannya.
3. Melakukan korban untuk anak yang belum baligh; hukumnya
seperti di atas tadi.
4. Melakukan korban untuk diri sendiri, tetapi
menyertakan orang lain dalam pahalanya (yakni meniatkan pahalanya untuk orang
lain sama), juga dibolehkan.
Rujukan;
1. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 8/299.
2. Mughni al-Muhtaj, 6/137.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/80
(perkataan ‘udhiyah’), 45/197 (perkataan ‘walad’).
Langgan:
Catatan (Atom)
SEJAUHMANA BAPA ATAU IBU BOLEH MENGGUNAKAN HARTA ANAK?
Soalan; jika anak mendapat wang pampasan kemalangan, apakah bapa atau ibu boleh menggunakan wang tersebut untuk diri mereka? Jawapan; Mengik...
-
Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal m...
-
Soalan; ustaz, ketetapan jarak 2 marhalah untuk membolehkan kita solat jamak dan qasar, adakah dikira sehala (pergi sahaja), atau dikira ...
-
Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al...