Soalan; ustaz, adakah sah akad nikah melalui telefon dengan akad antara wali dan calon suami didengari oleh saksi-saksi melalui pembesar suara (load speaker)? Jawapan; Menurut keputusan Majmak al-Fiqh a-Islami (Himpunan ulamak untuk membahaskan isu-isu fiqh Islam); tidak boleh melakukan akad nikah melalui alat-alat perhubungan moden (telefon, faxs, internet dan sebagainya) kerana akad nikah mensyaratkan penyaksian (oleh saksi-saksi) (Muktamar ke 6, di Jeddah, bulan Sya'ban 1410, bersamaan Mac 1990). Menurut mazhab Syafiie; saksi-saksi bagi akad nikah disyaratkan seorang yang dapat melihat, mendengar dan membuat kepastian (dhabt).(1) Syeikh Sulaiman al-Bujairmi menjelaskan; "Saksi hendaklah membuat kepastian terhadap lafaz-lafaz (akad) yang diucapkan oleh wali dan juga calon suami. Kerana itu tidak mencukupi dengan dia mendengar lafaz mereka dari ruang gelap (tanpa melihat mereka), kerana suara-suara boleh serupa" (Hasyiyah al-Bujairmi 'ala al-Khatib, 3/39...