Langkau ke kandungan utama

TAKRIFAN SEBENAR NEGARA ISLAM (Siri 1)

Soalan : Apa pandangan ulamak berkenaan takrtifan negara Islam?

Jawapan :

Persoalan takrif negara Islam ini, banyak takrif kita dapati dari para ulama’ dan fuqaha’ Islam sama ada dulu atau sekarang. Namun begitu, ia –sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Muhammad Abu Zuhrah- berlegar antara dua pandangan iaitu;[1]

1) Pandangan pertama; Merujuk kepada hukum-hakam dan undang-undang. Jika hukum-hakam dan undang-undang yang dilaksanakan di dalam negara adalah Islam, maka negara tersebut adalah negara Islam. Jika sebaliknya yang berlaku, maka negara tersebut bukanlah negara Islam walaupun didakwa sebagai Islam.

2) Pandangan kedua; Merujuk kepada keamanan orang-orang Islam dan kekuasaan mereka. Jika orang-orang Islam berkuasa dalam negara dan mereka hidup dengan aman dalam negara tersebut, maka negara itu adalah negara Islam. Jika tidak maka ia adalah negara Harb.

Di antara takrif Negara Islam yang dapat kita petik dari ulama’-ulama’ terdahulu dan sekarang ialah;[2]

1) “Golongan teramai para Fuqahak berpendapat; “Negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya undang-undang/hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam”. ( Al-‘Allamah Ibnu Qayyim al-Jauziah, meninggal tahun 728 hijrah)[3]

2) “Sesebuah negara itu menjadi negara kafir jika zahir (jelas nyata) hukum-hakam/undang-undang kufur dalam negara tersebut”.[4] (Imam Abu Yusuf, meninggal tahun 182 hijrah dan Imam Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani, meninggal 189 hijrah)

3) “Sesebuah negara itu dikatakan negara Islam jika sekiranya zahir (yakni jelas kelihatan) Islam di dalamnya dan yang dimaksudkan zahir Islam itu ialah zahir hukum-hakamnya. Sebuah negara akan menjadi negara Islam dengan jelas kelihatan (perlaksanaan) hukum-hakam Islam di dalamnya dan akan menjadi negara kufur jika sekiranya yang jelas kelihatan itu ialah hukum-hakam kufur”. (Imam ‘Alauddin Abu Bakar bin Mas’ud al-Kasani, meninggal tahun 587 hijrah)[5]

4) “Negara Islam ialah nama bagi suatu tempat/kawasan yang berada di bawah kekuasaan orang-orang Islam di mana mereka beroleh keamanan/ketenteraman berada di dalamnya”. (Imam Muhammad bin Abi Sahl as-Sarakhsi, meninggal tahun 482 hijrah)[6]

5) “Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahananya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim”. (Syeikh Abu Zuhrah)[7]

6) “Negara Islam (Dar al-Islam) ialah setiap tempat/kawasan yang mana hukum-hakam Islam nampak nyata di dalamnya…Negara Kafir (Dar al-Harb) ialah setiap tempat/kawasan yang mana hukum-hakam kufur nampak nyata di dalamnya”. (Al-Mausu’at al-Fiqhiah (Ensiklopedia Fiqh))[8]

7) “Dar al-Islam (Negara Islam) ialah; Negara yang majoriti penduduknya adalah kaum muslimin, mereka menikmati kemanan dalam negara itu dan mereka diperintah dengan sistem-sistem/undang-undang Islam”.(‘Mu’jam Lugatul Fuqaha’’ (Dictionary of Islamic legal terminology) oleh Prof. Dr. Muhammad Rawas Qal’aji)[9]

8) “Yang menjadi sandaran untuk membezakan negara (sama ada negara Islam atau negara lainnya) ialah; (1) Kekuasaan, dan (2) Perjalanan hukum-hakam/undang-undang. Jika kedua-duanya itu berwajah Islam, maka negara itu adalah negara Islam. Jika tidak berwajah Islam, maka negara adalah negara harb”. (Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili)[10]

9) “Negara Islam ialah negara yang berjalan di dalamnya hukum-hakam/undang-undang Islam dan penduduk di dalamnya –sama ada muslim atau zimmi- beroleh keamanan berdasarkan pemerintahan yang dikuasai oleh kaum muslimin”. (Syeikh Abdul Wahhab Khallaf)[11]

10) “Perkiraan untuk menentukan sesuatu negara itu negara Islam atau negara kufur hendaklah dilihat kepada dua perkara; (1) Pemerintahan yang berdasarkan hukum-hakam Islam, dan (2) Kekuasaan dalam negara adalah milik kaum muslimin. Jika terdapat kedua-dua syarat ini dalam sebuah negara, maka negara itu adalah negara Islam”. (Syeikh Taqiyyuddin an-Nabhani)[12]

Merujuk kepada takrif-takrif di atas, kita dapati bahawa kebanyakan ulama’ menyebutkan perlaksanaan hukum-hakam/undang-undang Islam sebagai satu unsur penting bagi negara Islam. Bahkan menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, ia merupakan pendapat jumhur atau golongan teramai dari para Fuqahak. Kata beliau tadi; “Golongan teramai para Fuqahak berpendapat; “Negara Islam ialah negara yang diduduki oleh orang-orang Islam dan berjalan padanya undang-undang/hukum-hakam Islam dan selagi mana tidak berjalan padanya hukum-hakam Islam maka ia bukanlah negara Islam”.

Cuma di sana ada beberapa ulama’ memfokuskan takrifan negara Islam kepada; “kekuasaan orang-orang Islam ke atas negara dan keamanan yang mereka kecapi di dalamnya”. Iaitu mereka tidak menyebutkan tentang “penegakan/perlaksanaan Syari’at atau undang-undang Islam” dalam takrif mereka. Antara ulama’ yang selalu dirujuk dengan takrifan sebegini ialah Imam Muhammad bin Abi Sahl as-Sarakhsi, Syeikh Muhamman Abu Zuhrah, Dr. Said Ramadhan al-Buti dan beberapa lagi.

Ini menyebabkan setengah pihak menganggap perlaksanaan Syari’at atau undang-undang Islam dalam negara bukanlah suatu yang penting kerana ia tidak menentukan sesebuah negara itu Islam atau tidak. Mereka menjadikan takrif beberapa ulama’ ini sebagai hujjah mereka. Adakah tepat dan benar anggapan mereka ini? Adakah ulama’-ulama’ yang mengemukakan takrif-takrif tadi juga beranggapan seperti itu? Jawapan bagi persoalan ini akan saya huraikan dalam siri kedua, Insya-Allah.

Wallahu A’lam.

[1] Syeikh Muhammad Abu Zuhrah, Nazariah al-Harb Fil Islam, hlm. 37-38, ter. Al-Majlis al-‘Ala Lisy-Syuun al-Islamiah (Kementerian Wakaf Mesir) (1961).
[2] Kebanyakan takrif/teks di bawah dirujuk melalui internet iaitu dalam laman web ‘Jami’ al-Fiqh al-Islami’ beralamat; fhttp; //feqh.al-islam.com/ (Laman web ini memuatkan kitab-kitab rujukan muktabar dalam bidang Fiqh Islam).
[3] Lihat kitabnya ‘Ahkam Ahli az-Zimmah’, jil. 1/hlm. 366.
[4] Lihat kitab Hasyiah Ibn ‘Abidin, jil. 3, hlm. 390 dan ‘Badai’ as-Sanai’ fi Tartibi asy-Syara’i, Imam al-Kasani, jil. 7, hlm. 130.
[5] Lihat dalam kitab ‘Badai’ as-Sanai’ fi Tartibi asy-Syara’i, oleh Imam al-Kasani, jil. 7, hlm. 130.
[6] Lihat Syarhu as-Siyari al-Kabir, Imam as-Sarakhsi.
[7] Dipetik dari kertas kerja bertajuk “Malaysia Negara Islam”, oleh JAKIM dalam laman web JAKIM (http: //www.islam.gov..my/) bertarikh 20 Nov. 2001.
[8] Al-Mausu’at al-Fiqhiyyah (Ensiklopidia Frqah) ditulis oleh sekumpulan ulama’, dikeluarkan oleh Kementerian Waqaf, Kuwait. (lihat dalam laman web ‘Jami’ al-Fiqh al-Islami’)
[9] Prof. Dr. Muhammad Rawas Qal’aji, ‘Mu’jam Lugatul Fuqaha’’ (Dictionary of Islamic legal terminology), hlm. 182, ter. Dar an-Nafais (1996).
[10] Lihat dalam bukunya “A-tsar al-Harb”, hlm. 155.
[11] Lihat dalam bukunya as-Siyasah as-Syar’iyyah, hlm. 69.
[12] Lihat bukunya “as-Syakhsiyyah al-Islamiyyah”, hlm. 215.

Ulasan

insidewinme berkata…
Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk