Sunday, 10 June 2007

ZAKAT DAN TANGGUNGAN KOS HIDUP

Soalan:

Adakah zakat dihitung setelah ditolak kos sara hidup atau sebelum ditolak? Jika jawapannya adalah ya, apakah perbelanjaan-perbelanjaan yang tersenarai dalam kos sara hidup yang harus ditolak sebelum dikeluarkan zakat?

Jawapan;

Bismillahir-Rahmanir-Rahim

Di antara syarat wajib zakat ialah seseorang itu memiliki harta melebihi keperluan-keperluan asasinya. Oleh demikian, sebelum dihitung zakat, hendaklah ditolak terlebih dahulu kos keperluan hidup yang asas untuk diri dan juga tanggungan (isteri, anak-anak dan keluarga). Setelah ditolak, jika baki yang tinggal sampai nisab yang ditetapkan maka wajiblah zakat dikeluarkan. Jika tidak sampai maka tidak wajiblah zakat. Di sisi Syarak, orang yang mempunyai lebihan harta setelah ditolak keperluan-keperluan asas dianggap kaya dan ia berkewajipan membantu mereka yang miskin atau memerlukan.

Maksud keperluan asasi ialah apa-apa yang diperlukan untuk menjamin kelangsungan hidup sama ada secara realiti seperti makan-minum, pakaian dan tempat tinggal atau secara andaian seperti hutang (kerana yang berhutang periu membayar hutangnya untuk mengelak dari dikenakan tindakan ke atasnya), alat-alat pekerjaan, kemudahan-kemudahan asas rumah, kenderaan, belanja menuntut ilmu dan sebagainya.

Hanya keperluan-keperluan asasi yang dihitung untuk menentukan seseorang itu wajib. mengeluarkan zakat atau tidak. Adapun keperluan-keperluan sampingan, maka ia tidak menggugurkan kewajipan zakat. Oleh kerana keperluan asasi adakalanya mengalami perubahan antara satu zaman dengan zaman yang lain, begitu juga antara satu tempat dengan tempat yang lain, maka menjadi kewajipan ulamak semasa atau setempat untuk berijtihad menentukan atau menyenaraikan perkara-perkara asasi tersebut untuk panduan umat Islam sezaman atau setempat.

Menurut Mujaini Tarimin dalam bukunya "Zakat Menuju Pengurusan Profesional"; "Pada masa ini, item-item keperluan asas yang layak diberi pertimbangan pelepasan zakat ialah;

a) Makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, perubatan dan pendidikan.
b) Membayar hutang segera
c) Modal kekal bagi golongan profesional
d) Buku rujukan pembelajaran
e) Perhiasan diri wanita dan kelengkapan tempat tinggal
f) Barang-barang stok keperluan asas selain dari mata wang.

Wallahu A'lam.

Rujukan;
1. Fiqhu az-Zakah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional, Mujaini Tarimin.

0 ulasan: