Langkau ke kandungan utama

CARA MELAKUKAN ISTIKHARAH

Soalan; bagaimana cara yang betul untuk saya melakukan solat Istikharah? Apakah bentuk pertunjuk atau tanda yang akan saya perolehi selepas melakukan Istikharah?

Jawapan;

Bismillahirrahmanirrahim,

1. Solat Istikharah bermaksud solat untuk memohon kepada Allah agar ditunjukkan keputusan yang terbaik dalam urusan kita yang menimbulkan keraguan dan kesangsian. Solat ini disunatkan –sekalipun bagi urusan-urusan kecil atau remeh- berdasarkan hadis Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam segala urusan kami seperti beliau mengajar surah al-Quran. Baginda bersabda; ‘Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang bukan solat fardhu. Setelah selesai solat, hendaklah ia membaca doa;

اللَّهُمَّ إنِّي أسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وأسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأسألُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ، فإنَّكَ تَقْدِرُ ولا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أعْلَمُ، وأنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ خَيْرٌ لي فِي دِيني وَمَعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعَاجلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لي، ثُم بارِكْ لي فِيهِ، وَإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي وَمعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاصْرِفْهُ عَنِّي، وَاقْدُرْ لِيَ الخَيْرَ حَيْثُ كانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

“Ya Allah! Aku memohon petunjuk dariMu tentang mana yang lebih baik untukku berdasarkan ilmuMu, dan aku memohon kekuatan dariMu untukku dengan kudratMu serta aku memohon kepadaMu kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau maha tahu sedang aku tidak mengetahui. Engkaulah Tuhan yang maha mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui urusan ini baik untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka takdirkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah aku dalam melakukannya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka palingkanlah ia dariku dan takdirkanlah untukku apa yang baik bagiku dalam apa rupa sekalipun, kemudian jadikanlah hatiku redha menerimanya”.
Hendaklah ia menyebutkan hajatnya (semasa berdoa itu).
(Riwayat Imam al-Bukhari).

2. Sunat Istikharah hanyalah bagi urusan-urusan yang harus sahaja seperti perkahwinan, perniagaan, untuk keluar bermusafir dan sebagainya. Adapun urusan-urusan yang diwajibkan atau disunatkan Syarak, tidak perlu lagi istikharah kerana ia disuruh oleh Syarak. Setiap yang disuruh oleh syarak adalah jelas baik tanpa syak lagi. Begitu juga dengan urusan-urusan yang diharamkan oleh Syarak atau dimakruhkan, tidak perlu lagi diistikharahkan kerana ia dilarang oleh Syarak dan setiap yang dilarang oleh Syarak adalah buruk tanpa syak lagi.

3. Solat istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki asalkan bukan di dalam waktu-waktu yang dilarang solat sunat.

4. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar; disunatkan membaca dalam rakaat pertama –selepas al-Fatihah- surah al-Kafirun dan dalam rakaat kedua surah al-Ikhlas. Jika seseorang tidak dapat mengerjakan solat, bolehlah ia beristikharah dengan membaca doa sahaja. Semasa berdoa, sunat dimulakan dengan memuji Allah dan mengucapkan selawat serta salam kepada Nabi Muhammad dan begitu juga apabila selesai berdoa.

5. Adapun tanda-tanda atau petunjuk Allah selepas istikharah ialah apa yang dirasai oleh hati. Selepas menunaikan solat dan berdoa kepada Allah sebagaimana tadi, hendaklah orang yang beristikharah itu melakukan apa yang hatinya berasa tenang dan yakin untuk melakukannya. Jika perlu diulangi, ulangilah istikharah itu. Ada ulamak menggalakkan Istikharah diulangi hingga tujuh kali berdasarkan hadis riwayat Imam Ibnu Sunni dari Anas r.a.; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jika kamu ingin melakukan suatu urusan, beristikharahlah kepada Tuhanmu tujuh kali. Kemudian lihatlah apa yang mula sampai kepada hati kamu. Sesungguhnya kebaikan ada padanya”. Namun hadis ini menurut ulamak hadis adalah lemah.

6. Satu perkara yang perlu diingat; ketika melakukan istikharah, hati hendaklah pasrah kepada Allah. Jangan melakukan istikharah dalam keadaan hati cenderung pada mana-mana keputusan kerana itu tanda kita tidak ikhlas dalam beristikharah kepada Allah. Berkata Imam Nawawi; “Sesudah istikharah hendaklah seseorang itu memilih apa yang hatinya berasa tenang/lapang untuk melakukannya. Janganlah ia berpegang dengan ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah. Bahkan orang yang melakukan istikharah hendaklah ia meninggalkan pilihan sendiri, kerana kalau demikian bukanlah beristikharah kepada Allah namanya, tetapi beristikharah kepada nafsu sendiri. Kadang-kadang orang yang beristikharah itu tidak jujur/tidak ikhlas dalam istikharahnya dan dia tidak pasrah kepada ilmu dan qudrat Allah. Jika ia benar-benar jujur/ikhlas dalam istikharahnya, sudah tentu ia akan membebaskan hatinya dari upaya dan kekuatannya serta dari pilihannya sendiri (sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah)”. (Rujuk; Nailul-Autar, jil. 3, hlm. 74).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Azkar, Imam Nawawi, Kitab al-Azkar Wa ad-Da’awat…, Bab al-Istikharah.
2. at-Tajul Jami’, Syeikh Mnasur ‘Ali Nasif, jil. 1, hlm. 333.
3. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, jil. 3, hlm. 74.

Ulasan

Puteri Teja berkata…
ustaz, saya nak bertanya, saya pernah melakukan solat istikharah sebanyak 3 kali pada ramadhan yang lalu. sebenarnya, lelaki ini adalah kawan saya (kami tidak pernah bercinta tetapi jujur saya katakan saya amat menyukai dia kerana akhlaknya yg baik, sebab itu saya buat istikharah utk mengetahui adakah dia jodoh saya atau tidak). Persoalannya, selepas saya melakukan solat istikharah dan berdoa istikharah buat pertama kali, saya rasa amat mengantuk lgpun masa tu dh pukul 4am..saya terus tido, saya tak mimpi tapi dlm 15 minit terlelap, saya tiba-tiba terkejut dr tido (bagaikan ada orang sentap tangan saya)saya tersebut nama dia (mcm org melatah). saya terus bangun dan bersahur.

Kerana tidak faham dengan peristiwa itu, saya buatistikharah buat kali kedua. namun tiada apa yang berlaku.namun hati saya saya sangat tenang.

kali ketiga saya buat istikharah, saya bermimpi memilih tasbih, pada tasbih itu ada tulisan 99.entah apa 99 tu..mungkin harga, mungkin juga benda lain. saya tak faham. beberapa bln selepas itu, saya amat terkejut sebab terjumpa tasbih lelaki tadi dan dia amat serupa dengan tasbih dlm mimpi saya selepas istikharah ketiga.
Apa maksudnya ustaz. buat masa ini hubungan kami mcm kawan biasa. saya tak tahu nak merujuk mimpi ini pada orang yg lebih arif.saya harap ustaz dapat membantu.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk