Rabu, 30 Januari 2008

ADAKAH WAJIB BERTARIKAT?

Soalan; Saya ingin mengetahui perlukah seseorang itu mengikuti mana-mana tarikat, dan bagaimana menentukan mana satu tarikat yang berada di atas jalan Ahlus-Sunnah Wal-Jama’ah?

Jawapan;

Seorang muslim wajib menempuh jalan untuk menyucikan jiwanya; iaitu membersihkan hati dari kufr, syirk, riyak, ‘ujub, bangga diri, hasad dan sebagainya lagi dari penyakit-penyakit hati dan menghiasinya dengan sifat ubudiyah kepada Allah, ikhlas, tawadhuk, tawakkal, khusyuk dan sebagainya dari sifat-sifat hati yang bersih yang dikehendaki Allah. Firman Allah (bermaksud);

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”. (surah as-Syams, ayat 9-10)

Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- diutuskan oleh Allah selain untuk menyampai wahyu dan mengajar manusia kandungan kitab Allah, juga untuk mendidik manusia bagaimana menyucikan jiwanya. Firman Allah (yang bermaksud);

“Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang beriman ketika Dia mengutuskan seorang Rasul (yakni Nabi Muhammad) di tengah-tengah mereka dari kalangan mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menyucikan (jiwa mereka) dan mengajarkan kepada mereka Kitab (al-Quran) dan Hikmah (as-Sunnah), meskipun sebelumnya mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata”. (Surah Ali ‘Imran, ayat 164).

Jalan kepada penyucian jiwa (Tazkiyah an-Nafs) ialah dengan mempelajari Kitab Allah dan Sunnah RasulullahNya serta beramal dengan keduanya. Seorang tokoh Sufi terkenal di kalangan Salaf Soleh iaitu Imam al-Haris al-Muhasibi pernah menyebutkan; “Ketahuilah bahawa kewajipan kita terhadap kitab Allah ialah; beramal dengan hukum-hakamnya sama ada berupa suruhan atau larangan, merasai takut dan menaruh harapan (terhadap Allah) apabila berhadapan dengan janji baik dan ancaman buruk darinya, beriman dengan ayat-ayat Mutasyabihat di dalamnya dan mengambil iktibar (pengajaran) dari kisah-kisah dan perumpamaan yang disampaikannya. Jika kamu telah melaksanakan kewajipan tersebut, kamu pasti akan keluar dari kegelapan kejahilan dan menuju kepada nur (cahaya) ilmu dan keluar dari azab/kesengsaraan (yang timbul dalam jiwa kerana) keraguan dan menuju kepada ketenangan (jiwa yang timbul dari) keyakinan. Allah telah berfirman (dalam surah al-Baqarah, ayat 257, yang bermaksud); “Allah adalah pelindung dan penjaga orang-orang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya (iman)”. (Risalah al-Mustarsyidin, halaman 38).

Syeikh ‘Abdul-Fattah Abu Ghuddah semasa mengulas kenyataan Imam al-Muhasibi di atas, beliau menyebutkan; “Kata-kata Imam al-Muhasibi tersebut menunjukkan kepada kita bahawa untuk mengambil jalan hidayah menuju Allah dan membaiki jiwa serta menyucikannya ia tidak bergantung kepada komitmen kita dengan mana-mana Syeikh (Tarikat) dan berbai’ah (dengannya), akan tetapi bergantung kepada sejaumana komitmen kita dalam menuntut ilmu dan beramal dengan perintah Allah yang terkandung di dalam al-Quran, as-Sunnah dan perjalanan hidup para Salaf (yakni para Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabiin)”.

Dari ulasan tersebut dapat kita fahami bahawa mengikuti mana-mana Tarikat tidaklah wajib ke atas orang Islam. Yang wajib ke atas mereka ialah menuntut ilmu agama (yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah) dari alim-ulamak yang tsiqah (dipercayai keilmuan dan ketakwaan mereka) dan kemudiannya beramal dengan ilmu yang dipelajari itu dengan ikhlas kerana Allah dan untuk mencari keredhaanNya.

Menyentuh tentang soalan “bagaimana menentukan mana satu tarikat yang berada di atas jalan Ahlus-Sunnah Wal-Jama’ah?”, saya tidak arif tentang tarikat. Namun sebagai seorang muslim kita diajar supaya merujuk segala-galanya kepada kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Apa sahaja ajaran atau kumpulan, jika betentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka ia adalah batil dan sesat dan wajib kita tolak. Jika menepati keduanya, haruslah kita menerima dan mengikutinya. Untuk sedikit panduan, Syeikh Ahmad bin Zaruq –seorang ulamak Tariqah yang terkenal di Mesir- pernah menegaskan; “Prinsip asas Tariqah kami ada lima;

Pertama; Bertakwa kepada Allah ketika bersunyian dan berterangan.
Kedua; Mengikuti Sunnah Nabi dalam segenap ucapan dan perbuatan.
Ketiga; Berpaling dari makhluk sama ada ketika tampil kepada mereka atau berpaling dari mereka.
Keempat; Redha terhadap pemberian Allah sama ada sedikit atau banyak.
Kelima; Kembali kepada Allah sama ada ketika senang atau ketika susah.

Wallahu a’lam.

Rujukan;


1. Risalah al-Mustarsyidin, Imam Abi ‘Abdillah al-Haris al-Muhasibi al-Basri (meninggal tahun 243 Hijrah), tahqiq (analisa) dan ulasan oleh; Syeikh ‘Abdul-Fattah Abu Ghuddah, ter. Darus-Salam, Mesir (1988).
2. Ad-Durar as-Saniyyah Fi Adab Wa Aurad as-Sadah as-Syaziliyah, Syeikh Muhammad Sa’ad Badran., ter. Ahbab at-Tariqah as-Syaziliyah, Iskandariyah, Mesir.

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...