Langkau ke kandungan utama

BAYI YANG GUGUR DAN SOLAT JENAZAH

Soalan; Bayi yang gugur ketika berusia empat bulan di dalam kandungan, adakah wajib disolatkan?

Jawapan;

Soalan ini secara amnya berkait dengan hukum bayi yang keguguran; apakah wajib disolatkan atau tidak? Dalam hal ini terdapat hadis dari Rasulullah s.a.w. menegaskan;

السقط يصلى عليه ويدعى لوالديه بالمغفرة والرحمة
“Bayi yang gugur (hendaklah) disolatkan ke atasnya dan didoakan untuk dua ibu-bapanya keampunan dan rahmat Allah”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim. Hadis ini ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh Imam az-Zahabi).

Hadis di atas adalah umum dan diperincikan oleh ulamak mengikut pandangan dan mazhab masing-masing. Menurut Imam al-‘Abdari; “Jika bayi yang keguguran itu belum berusia empat bulan, tidak wajib disolatkan ke atasnya tanpa khilaf di kalangan ulamak (yakni ijmak). Jika usianya mencapai empat bulan dan tidak bergerak (ketika gugurnya), tidak disolatkan ke atasnya mengikut pandangan jumhur ulamak. Mengikut Imam Ahmad dan Imam Daud; hendaklah disolatkan”. (Lihat; al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 212)

Mengikut pandangan mazhab Syafi’ie; bayi atau janin yang lahir sebelum berusia enam bulan (di dalam kandungan), jika terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis, bergerak, bernafas atau sebagainya), hukumnya sama seperti mayat orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan serta dikebumikan kerana telah diyakini bahawa kematiannya berlaku setelah ia hidup. Jika tidak terdapat tanda-tanda hidup, maka hendaklah dilihat; jika telah kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan), hendaklah dimandikan, dikafankan dan dikebumikan tanpa perlu disolatkan. Jika belum kelihatan bentuk lembaga manusia (biasanya apabila janin belum berusia empat bulan), maka memadai membasuhnya sahaja (untuk membersihkan dari darah), kemudian dibungkus dengan kain atau sebagainya dan ditanam. Tidak perlu dimandikan dan disolatkan.

Dalil bagi perincian mazhab Syafi’ie tersebut ialah sabda Nabi s.a.w.;

إذا استهل السقط صلى عليه وورث
“Jika bayi yang gugur bersuara atau menangis (ketika gugurnya), hendaklah disolatkan ke atasnya dan ia berhak mewarisi”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Jabir r.a.).

Berdasarkan hadis ini, bayi yang keguguran jika tidak terdapat tanda-tanda hidup (seperti menangis atau bersuara sebagaimana di dalam hadis) tidaklah disolatkan. Hadis ini mengikat makna umum hadis pertama di atas. Maka hadis pertama di atas jika dipadankan dengan hadis ini, maka ia memberi maksud; “Bayi yang gugur hendaklah disolatkan ke atasnya (jika ia bersuara atau terdapat tanda-tanda hidup)….”. (Lihat tafsiran hadis ini oleh Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier, hadis no. 4492).

Perincian hukum di atas adalah khusus bagi janin atau bayi yang berusia sebelum enam bulan sebagaimana dinyatakan. Adapun bayi yang telah berusia lebih enam bulan di dalam kandungan, hukumnya sama seperti orang dewasa iaitu wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan jika ia gugur atau mati ketika dilahirkan (sama ada terdapat tanda-tanda hidup atau tidak).

Kesimpulannya, merujuk kepada soalan di atas; bayi yang berusia empat bulan di dalam kandungan jika keguguran tidak perlu disolatkan mengikut mazhab Syafi’ie. Kecualilah jika ketika gugur itu terdapat tanda-tanda hidup, maka wajiblah disolatkan. Namun hal tersebut tidak pernah kita saksikan.

Wallahu A’lam.

Tambahan;

Apa yang kita huraikan di atas adalah mengikut pandangan di kalangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie. Adapun mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab lain;
- Menurut Imam Malik; bayi yang keguguran (yakni lahir tidak cukup bulan) tidak perlu disolatkan kecuali jika ada tanda-tanda hidup dan tanda itu hendaklah dalam tempoh yang panjang.
- Menurut Ibnu Umar r.a., Ibnu Sirin dan Imam Ahmad; hendaklah disolatkan ke atasnya sekalipun tidak bersuara (jika usianya telah sampai empat bulan).

Rujukan;

1. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jil. 5, hlm. 209-212.
2. Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 474.
3. al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 264.
4. Al-Fiqhul-Islami Wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 506.
5. Matn al-Ghayah Wa at-Taqrib, ulasan oleh; Syeikh Majid al-Hamawi, hlm. 100-101.
6. Syarh Soheh Muslim, juz 9, kitab al-Janaiz, bab Tarki as-Solah ‘Ala al-Qatil Nafsahu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...