Khamis, 31 Januari 2008

HIKMAH PERKAHWINAN

Soalan; Apakah hikmah perkahwinan dalam Islam? Boleh Ustaz jelaskan secara terperinci?

Jawapan;

Perkahwinan adalah Sunnah Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Menurut jumhur ulamak, hukum berkahwin pada asasnya adalah sunat. Ada juga ulamak yang berpandangan; berkahwin adalah wajib kecuali tidak mampu, antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm.

Hikmah perkahwinan cukup banyak sekali. Di antaranya yang dijelaskan sendiri oleh al-Quran dan as-Sunnah, iaitu;

1. Melahirkan zuriat untuk meramaikan umat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- (bermaksud); “Hendaklah kamu berkahwin. Sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain di hari kiamat. Janganlah kamu menjadi seperti Rahib Nasrani (yang enggan berkahwin)”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dari Abu Umamah –radhiyallahu ‘anhu-)

2. Memelihara diri dari zina atau memenuhi keinginan seks secara tidak halal. Sabda Nabi –sallallahu alaihi wasallam-; “Wahai para pemuda! Siapa yang mampu dari kamu, hendaklah ia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu paling berkesan untuk menjaga pandangan dan memelihara kemaluan (dari zina). Sesiapa di kalangan kamu yang belum mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya puasa itu adalah penahan (syahwat)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-)

3. Mengukuhkan rasa keharmonian, ketenteraman dan rasa kasih-sayang di dalam jiwa. Firman Allah (yang bermaksud); “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir”. (Surah ar-Rum, ayat 21)

Supaya himah perkahwinan di atas menjadi kenyataan, perkahwinan hendaklah dilakukan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama dan pemilihan pasangan hendaklah dilakukan dengan baik, iaitu dengan mengikut saranan Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadisnya (yang bermaksud); “Dikahwini seorang perempuan itu kerana empat sebab; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Kamu pilihlah perempuan yang patuh kepada agama supaya kamu tidak rugi/kecewa”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Wallahu a’lam.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

info yg bagus...mintak izin jadikan panduan...

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...