Langkau ke kandungan utama

SOLAT GERHANA

Soalan; bagaimana caranya mengerjakan solat gerhana?

Jawapan;

Apabila berlaku gerhana sama ada gerhana matahari atau bulan, disunatkan kita mengerjakan solat sunat dua rakaat dengan niat mengerjakan solat sunat gerhana. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ، يُخَوِّفُ اللهُ بِهِمَا عِبَادَهُ، وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ مِنَ النَّاسِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئاً فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ، حَتَّى يُكْشَفَ مَا بِكُمْ
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Allah menakutkan dengan keduanya akan hamba-hambaNya. Kedua-duanya tidak menjadi gerhana dengan sebab kematian seorang dari manusia. Oleh demikian, apabila kamu melihat sesuatu darinya (yakni menyaksikan sesuatu terjadi pada matahari atau bulan itu), maka hendaklah kamu tunaikan solat dan berdoa kepada Allah sehingga habis gerhana itu”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Adapun cara menunaikan solat gerhana itu ialah;

Pertama; niatkan ketika takbiratul-ihram untuk mengerjakan solat sunat dua rakaat kerana gerhana.

Kedua; setelah membaca al-fatihah serta ayat atau surah selepasnya, hendaklah ruku’,
kemudian bangun dari ruku’ dan baca sekali lagi al-fatihah serta ayat atau surah selepasnya, kemudian ruku’ sekali lagi dan meneruskan solat sebagaimana biasa (yakni sujud, duduk antara dua sujud dan sebagainya).

Ketiga; Apabila berada di rakaat kedua, lalukan sebagaimana dalam rakaat pertama tadi (yakni;dua kali berdiri dan dua kali ruku’).

Kesimpulannya, solat sunat gerhana sama sepertimana solat-solat dua rakaat yang lain, cuma yang berbeza ialah; pada setiap rakaatnya dilakukan dua kali berdiri dan dua kali ruku’. Keseluruhannnya dalam solat gerhana ini; dilakukan empat kali berdiri dan empat kali ruku’.

Dalil bagi kaifiyat solat gerhana di atas ialah hadis dari saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan;

أن الشمس خسفت على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم، فبعث مناديا بـ: الصلاة الجامعة، فتقدم فصلى أربع ركعات في ركعتين وأربع سجدات
“Telah berlaku gerhana matahari di zaman Rasulullah s.a.w.. Lalu baginda mengutuskan seorang pemanggil untuk mengajak orang ramai melakukan solat berjamaah. Kemudian baginda tampil dan menunaikan solat dengan melakukan empat kali ruku’ dalam dua rakaat dan empat sujud”. (Riwayat Imam Bukhari)

Bagi solat gerhana bulan, bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperdengarkan dan bagi solat gerhana matahari, sunat diperlahankan bacaan sebagaimana solat-solat fardhu di waktu siang.

Solat sunat gerhana harus dilakukan bersendirian, namun disunatkan agar dilakukan secara berjamaah. Sunat mengajak orang ramai untuk melakukannya dengan melaungkan “الصلاة جامعة” (Marilah tunaikan solat secara berjamaah).

Setelah menunaikan solat gerhana itu, sunat disampaikan dua khutbah sebagaimana hari jumaat jika solat dikerjakan secara berjamaah. Di dalam khutbah itu hendaklah memberi penekanan kepada orang ramai agar banyak bersedekah dan memperingatkan mereka agar jangan lalai dan lupa kepada Allah.

Wallahu A’lam.

Rujukan;

1. Kifayatul-Akhyar, hlm. 151-152.
2. Bulughul-Maram, bab Solati al-Kusuf.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk