Wednesday, July 23, 2008

BERZANJI

Soalan; Assalamualaikum ustaz. ana ingin pandangan ustaz mengenai berzanji. ada sesetengah pihak menyatakan banyak kesalahan pada amalan berzanji ini.

Jawapan;

Assalamu 'alaikum.

Saya tidak begitu arif tentang berzanji. Perlu penelitian yang khusus, baru boleh memberi pandangan. Namun secara amnya, dalam kita beribadah -termasuk memuji Nabi s.a.w.-, yang terbaik ialah kita memakai lafaz atau bahasa yang makthur dari Nabi s.a.w. sendiri. Bahasa penghargaan terbaik dari kita untuk Nabi Muhammad s.a.w. ialah berselawat ke atas baginda. Lafaz selawat yang terbaik ialah yang biasa kita baca dalam solat kita kerana itu yang diajar oleh Nabi s.a.w. (atau lafaz-lafaz selawat yang lain yang datang dari baginda). Zikir-zikir dan doa pun begitu juga; utamakan yang makthur, Insya Allah ia lebih berkesan dan lebih mustajab. Selain itu, Nabi s.a.w. juga berpesan; "Janganlah kamu berlebihan memuji/menyanjungku sebagaimana orang-orang Nasara berlebihan memuji Isa bin Mariam. Aku tidak lain hanyalah hamba Allah. Maka kamu ucapkanlah (tentangku); "'Abdullah Wa Rasuluhu (Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya)" (HR Imam al-Bukhari dari Umar r.a.).

Apa yang disebut di atas adalah dari segi yang terbaik. Adapun dari segi keharusan, selama suatu bentuk percakapan atau perbuatan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak, Insya Allah ia adalah harus. Oleh demikian, harus mencipta qasidah atau sya’ir yang memuji dan menyanjung Nabi s.a.w. selagi tidak berlebihan sebagaimana yang dilarang dalam hadis di atas. Namun, tidak boleh kita menganggap ia sebagai ibadah atau amalan yang disunatkan kerana ibadah mesti sabit dengan nas Syarak (al-Quran atau as-Sunnah).

Wallahu a'lam.

1 comments:

 

Copyright © LAMAN SOAL JAWAB AGAMA Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger