Langkau ke kandungan utama

HADIAH PERTANDINGAN MEMANCING

Soalan : Pertandingan memancing dengan menawarkan hadiah sebagai contohnya tempat pertama RM10 000, adakah harus?
Jawapan :
Jika hadiah di ambil dari wang yang dibayar oleh setiap peserta -contohnya; setiap peserta dikenakan yuran RM50 setiap seorang, kemudian dari yuran itu diberikan hadiah kepada peserta yang menang-, maka amalan tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (a-Qimar) yang diharamkan. Adapun jika hadiah diambil dari pihak luar tanpa membabitkan wang dari peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam ertikata hibah dari penganjur atau penyumbang.

Berkata Imam Ibnu Qudamah; “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-Qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-Maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah, 14/154). Firman Allah (bermaksud);

“Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (al-Maidah; 90)

Menurut ulamak Tafsir, al-Maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-Qimar). Telah sepakat semua ulamak (yakni ijmak) bahawa semua jenis pertaruhan (al-Qimar) adalah haram mengikut Islam. Yang dimaksudkan pertaruhan (al-Qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang/harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperolehi wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (yakni tidak memperolehi semula wangnya).

Dalam pertandingan atau perlawanan seperti memancing atau sebagainya, kemungkinan berlakunya pertaruhan atau judi adalah jika membabitkan hadiah atau pemberian. Tanpa adanya hadiah atau pemberian, tidak dapat digambarkan akan berlakunya pertaruhan atau perjudian. Namun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah yang dihalalkan oleh Syarak. Untuk mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah berada dalam salah satu dari dua keadaan berikut;

1. Hadiah itu diambil dari pihak luar yang tidak berlibat dalam pertandingan (yakni dari kerajaan, individu, persatuan atau sebagainya).
2.Atau hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja dari pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya; “Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50.00. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku”.

Dalam dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan judi atau pertaruhan. Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding –sama ada dalam bentuk yuran kemasukan, bayaran penyertaan atau sebagainya-, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan Syarak mengharamkannya melalui ayat di atas.

Secara amnya, bagi apa-apa pertandingan yang dianjurkan, hendaklah diperhatikan perkara-perkara berikut;
1. Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
2. Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
3. Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat Arak , Judi atau sebagainya.
4. Tidak melalaikan dari kewajipan Syarak; solat dan sebagainya.
5. Tidak melibatkan larangan-larangan Syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram dan sebagainya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Ahkam al-Musabaqat Fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah, Abdus-Somat bin Muhammad Balhaji, Dar an-Nafais, Jordan (2004).
2. Anda Bertanya Saya Menjawab, Syed Abdillah Ahmad al-Jufri, hlm. 11 (ter. Pustaka Nasional).

Ulasan

hamba Allah berkata…
assalamualaikum,
saya ingin bertanya kpd ustaz,saya dalam perancangan untuk menubuhkan syarikat penganjur pertandingan memancing.saya ingin tahu adakah syarikat yg sebegini adalah haram? hadiah-hadiah yg disediakan adalah dari wang syarikat sendiri bukan dari kutipan yuran pertandingan.
Tanpa Nama berkata…
saya rase isu ini perlu di wartakan, kerana terlalu ramai ank melayu khususnye org yg beragama islam terjebak dlm perjudian memancing.
Tanpa Nama berkata…
owh..kalau kumpul duit ramai2 baru bertanding tu dikira berjudi?maknenya kena ambik sponsor luar untuk bagi hadiah ke?peserta bayar kos penyediaan dan kelengkapan pertandingan..macam tu ker?
Ikhwan Nain berkata…
Assalamu'alaikum... Bagaimana pula jika di adakan satu pertandingan, yuran berkenaan digunakan untuk parap pemenang sahaja. Dan peserta yang kalah cuma mendapat sijil daripada hasil yuran tersebut?? Dalam kes ini, yuran menjadi sumber utama bagai hadiah. Bagaimana hukumnya?

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...