Saturday, 5 July 2008

SUARA WANITA

Soalan; Adakah suaru perempuan termasuk dalam aurat?

Jawapan;

Suara wanita pada asalnya tidaklah aurat. Dalam keadaan normal dan aman dari fitnah, harus seorang wanita bercakap dengan lelaki dan harus lelaki mendengar suaranya sama ada berurusan jual-beli, mengajar, menyampaikan taklimat, menjawab telefon atau sebagainya. Pada zaman Nabi s.a.w., wanita-wanita sahabat bercakap dengan Nabi s.a.w. dan bertanya baginda tentang urusan-urusan agama yang bersangkutan dengan mereka. Selain itu, mereka juga bercakap dengan kaum lelaki (di kalangan sahabat) apabila ada keperluan dan tidak pernah Nabi s.a.w. melarang mereka.

Anas r.a. menceritakan; Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. pergi ke rumah Ummu Aiman untuk menziarahi beliau sebagaimana Rasulullah selalu menziarahinya sebelum kewafatan baginda. Sampai di rumahnya, mereka dapati beliau menangis. Mereka berdua bertanya; “Apa yang menyebabkan engkau menangis? Apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi Rasulullah s.a.w..”. Ummu Aiman menjawab; “Aku menangis bukan kerana tidak tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi baginda, akan tetapi aku menangis kerana wahyu telah terputus dari langit (dengan kewafatan baginda)”. Jawapan Ummu Aiman menyebabkan Abu Bakar dan Umar terharu dan turut menangis bersamanya (HR Imam Muslim). Imam Nawawi tatkala mengulas hadis ini, beliau menegaskan –antaranya-; di dalam hadis ini (terdapat dalil menunjukkan) keharusan kumpulan orang lelaki menziarahi perempuan yang solehah dan mendengar ucapannya” (Syarah Soheh Muslim, juz. 16, kitab Fadhail as-Sohabah…).

Suara perempuan hanya akan menjadi aurat apabila dilemah-lembutkan atau dengan nada memujuk-rayu dan memikat. Ini sebagaimana yang ditegah Allah dalam firmanNya (yang bermaksud);

“…janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”. (al-Ahzab; 32)

Menurut Imam Ibnu Kathir, ayat ini bermaksud; seorang wanita hendaklah jangan bertutur dengan lelaki-lelaki asing (yakni yang bukan mahramnya) dengan suara yang dilemah-lembutkan, yakni suara sebagaimana ia bertutur dengan suaminya”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, oleh; Ahmad bin Sya’ban bin Ahmad dan Muhammad bin ‘Iyadi bin Abdul-Halim.
2. al-Fatawa, Syeikh ‘Athiyah Saqar, 2/177-178.
3. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 721.
4. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.

0 ulasan: