Thursday, August 21, 2008

MEMBELI BARANGAN CETAK ROMPAK

Soalan; ustaz , apakah hukum memuat turun lagu - lagu , filem dari internet atau membeli barang - barang cetak rompak yang bukan dari sumber yang asli?

Jawapan;

Dalam soalan saudara itu ada dua perkara yang perlu penjelasan;

1. Kedudukan lagu, filem dan barang-barang itu sendiri; adalah harus di sisi Syarak atau tidak? Jika tidak harus (yakni lagu yang hendak dimuat-turun itu senikata atau liriknya bercanggah dengan Syari'at dan begitu juga dengan filem dan barangan/produk), haramlah ia didownloadkan sekalipun dari sumber yang asli/sah. Ini kerana seorang muslim dilarang Syarak mengguna, menyimpan dan memiliki barang-barang yang haram, apatahlagi menjualnya.

2. Hukum membeli barang cetak rompak; para ulamak dalam Persidangan Fiqh Islam ke 6 yang diadakan di negara Kuwait (1 hingga 6 Jamadil-Awwal 1409 Hijrah) telah memutuskan bahawa; "Hak penulisan, hak cipta dan hak kreativiti adalah terpelihara mengikut Syari'at Islam. Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus ia dicerobohi". Oleh demikian, berdasarkan fatwa ini; tidak harus seseorang menjual barang/produk cetak rompak kerana ia dikira menjual barang milik orang lain tanpa keizinannya. Begitu juga tidak harus kita membeli barang cetak rompak kerana hukumnya sama seperti kita membeli barang curi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, jil. 9, hlm. 559.

2 comments:

Zawawi Abdullah said...

Saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri yang dulu pernah menggunakan barangan cetak rompak. Yang paling biasa adalah perisian komputer. Saya pernah menggunakan beberapa perisian cetak rompak, dan ia telah menyebabkan saya kehilangan 2 buah komputer yang asalnya saya sangat-sangat memerlu-gunanya. Namun, kini tidak lagi. Saya telah membeli sebuah laptop dan kali ini saya membeli semua perisian yang biasa saya gunakan, yang asli @ original. Ajaibnya, komputer saya tidak lagi menghadapi sebarang masalah. Dan saya merasa puas sekali. Saya persoalkan juga dulu, adakah kerana saya sudah membeli yang asli lalu ia menjadi sedemikian rupa? Yakni satu kepuasan juga bilamana tiada lagi masalah seperti masa menggunakan perisian cetak rompak. Biarpun hampir kesemua perisian yang dibeli tiada yang dibangunkan oleh kalangan muslim kecuali AzanPro dari Islamic Finder.org, saya berpuas hati kerana kini kerja-kerja saya tiada lagi terganggu dan bermasalah. Alhamdulillah. Terima Kasih Ustaz diatas penjelasan yang amat berguna ini. Masyarakat kita perlu disedarkan tentang bahayanya menggunakan barangan milik orang tanpa izin yang sah.

Anonymous said...

persoalannya...
ustaz, adakah perbuatan memuat turun lagu2 drpd internet itu sendiri haram?