Sunday, August 31, 2008

MENYAPU STOKIN

Soalan; saya telah rujuk artikel ust dalam blog (Laman Fiqh Anda; http://fiqh-am.blogspot.com/). Saya ingin kepastian bagi asalah berikut; setakat mana stokin boleh diterima sebagai khuf atau jaurab? Daripada artikel ust, ianya mestilah1. Ianya hendaklah tebal, tidak nipis.2. Hendaklah berlapik dengan kulit dibawahnya (yakni di bahagian tapaknya).sudah pasti, stokin yang ada skrg... tidak berlapik dengan kulit di bawah....adakah stokin yang ada hari ini termasuk sebagai khuf atau jaurab?.

Jawapan;

Segolongan ulamak mengharuskan menyapu jaurab (sarung kaki) sekalipun nipis. Menurut Imam Nawawi; pandangan ini diceritakan dari Saidina ‘Umar r.a., Ali r.a., Abu Yusuf, Muhammad, Ishaq dan Daud az-Dzahiri. Mereka berdalilkan hadis dari Nabi s.a.w. yang menjadi dalil keharusan menyapu jaurab (sarung kaki) di mana baginda tidak membezakan antara jaurab yang nipis atau yang tebal. Hadis tersebut ialah dari Mughirah bin Syu’bah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk dan baginda menyapu atas dua jaurab (sarung kaki) dan dua kasutnya” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh).

Antara ulamak semasa hari yang cenderung kepada pandangan di atas ialah Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan beberapa lagi. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan dalam Fatawa Mu’asarahnya; “Harus menyapu atas dua stokin jika seseorang memakainya dalam keadaan suci.[1] Apabila wudhuknya terbatal selepas itu dan ia ingin mengambil wudhuk semula, harus ketika itu untuk ia menyapu atas dua stokinnya (yakni sebagai ganti membasuh kaki). Jika ia muqim (yakni berada dalam negeri, tidak musafir) keharusan itu untuk tempoh 24 jam sahaja (yakni sehari semalam). Adapun jika ia musafir, keharusan itu untuk tempoh tiga hari tiga malam. Keharusan ini memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengambil wudhuk terutamanya ketika musim sejuk di mana sejuknya bersangatan dan sukar bagi seseorang untuk menanggalkan stokinnya dan untuk membasuh kaki dengan air yang sejuk. Islam sebagaimana sedia dimaklumi merupakan agama yang mudah dan tidak memayahkan. Keharusan tersebut telah dinaqalkan dari lebih sepuluh orang sahabat di mana mereka semuanya memberi fatwa harus menyapu atas dua stokin. Sebahagian fuqahak (ahli-ahli Fiqh) telah meletakkan untuk keharusan itu beberapa syarat yang diberat-beratkan seperti; hendaklah jaurab (stokin) itu tahan dibawa berjalan, tidak ada koyakan padanya yang melebihi luas tiga jari dan sebagainya. Syarat-syarat ini sebenarnya tidak ada di dalam sunnah (yakni tidak pernah disebut oleh Nabi s.a.w. di dalam hadisnya). Segalanya terbina atas asas untuk memberi kemudahan (kepada manusia). Maka apabila ada para sahabat yang telah memberi fatwa keharusan tersebut, haruslah bagi seorang muslim untuk mengambil rukhsah (kelonggaran) itu…” (Min Huda al-Islam (Fatawa Mu’ashirah), Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 215).

Namun pandangan di atas menyalahi pendapat jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat. Jumhur ulamak tidak mengharuskan menyapu jaurab (stokin) melainkan yang tebal, tidak nipis, tahan dibawa berjalan dan menutupi kawasan kaki yang wajib dibasuh dalam wudhuk, yakni yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti khuf. (Sila baca kembali keterangan tentang menyapu khuf di dalam blog Laman Fiqh Anda; (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/menyapu-khuf.html)).

Pada khilaf ulamak ada keluasan bagi umat Islam. Berkata Umar bin Abdul-‘Aziz; “Aku tidak gembira jika sahabat-sahabat Nabi tidak berbeza pandangan, kerana jika mereka semua sepakat atas satu pandangan, sesiapa menyalahinya, ia akan sesat. Namun jika mereka berbeza pandangan, lalu seorang memakai satu pandangan (dari sahabat) dan seorang yang lain memakai satu pandangan lain (dari sahabat juga), maka terdapat keluasan/kelonggaran bagi urusan tersebut”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Lihat; al-Majmu’, jil. 1, hlm. 565. 2. Min Huda al-Islam (Fatawa Mu’ashirah), Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 215.
3. Al-Wajiz Fi al-Fiqh as-Sunnah Wa al-Kitab al-‘Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 48.
4. Fahmul-Islam, Syeikh Jum-‘ah Amin Abdul-‘Aziz, hlm. 134.

Nota kaki;

[1] Yakni mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum memakainya.
Post a Comment