Sunday, August 17, 2008

PERNIAGAAN DALAM INTERNET

Soalan; ustaz, soalan saya adalah: apakah hukumnya menjalankan perniagaan internet dan menerima upah dari perniagaan itu seperti menjual e-book yang sedang hangat diperkatakan sekarang?

Jawapan;

Jika perniagaan yang dijalankan memenuhi syarat-syarat jual-beli yang ditetapkan Syarak (al-Quran dan as-Sunnah) dan bebas dari unsur-unsur yang diharamkan oleh Syarak (seperti gharar, riba, penipuan, menjual barangan/produk haram dan sebagainya), Insya Allah haruslah perniagaan internet itu. Untuk mendapat gambaran ringkas tentang ciri-ciri perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam, sila baca dalam kupasan saya tentang MLM; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/06/mlm-yang-halal-dan-yang-haram.html).

Komisyen dari hasil jualan atau dengan menjadi orang tengah -antara penjual dan pembeli- adalah harus dan halal jika produk yang dijual adalah halal dan bermanfaat dan urus-niaga yang dijalankan juga halal. Khusus bagi yang terlibat menjadi orang tengah, ada tiga syarat yang perlu diberi perhatian;

1. Hendaklah ia memberi syor (kepada penjual atau pembeli) berdasarkan pengalaman, pengetahuan atau kajiannya, bukan hanya memandai-mandai atau mereka-reka (yakni berlagak pandai) hingga merugikan penjual/pembeli yang berurusan dengannya.

2. Hendaklah ia jujur dan amanah; tidak menipu penjual atau pembeli yang menaruh kepercayaan kepadanya. Ia hendaklah memberi maklumat tentang barangan/produk yang dijual dengan benar, tanpa menipu dan tanpa melebih-lebih.

3. Ia tidak menjadi orang tengah dalam perkara/benda yang tidak halal dijual, dimiliki dan dimanfaatkan mengikut hukum Syarak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Baina as-Sail Wa al-Faqih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 22.

3 comments:

Azam Islam said...

Terima kasih Ustaz di atas penerangan ringkas dan padat ini. :)

Ustaz, saya ada sedikit pertanyaan. Ustaz ada menyatakan ini:

"Komisyen dari hasil jualan atau dengan menjadi orang tengah -antara penjual dan pembeli- adalah harus dan halal jika produk yang dijual adalah halal dan bermanfaat dan urus-niaga yang dijalankan juga halal."

Apakah yang dimaksudkan dengan urus-niaga yang dijalankan dengan halal? Boleh Ustaz terangkannya dengan lebih perinci lagi? Secara lebih khusus lagi pertanyaan saya, adakah cara orang tengah (agen affiliate) secara menyertai program affiliate seperti clickbank dan commision junction, dibolehkan?

Berikut adalah antara sedikit rujukan saya: http://wangcyber.com/pelaburan-internet-perniagaan-internet.htm

Harap Ustaz dapat perjelaskannya ya? Terima kasih saya dahulukan. :)

Abu said...

apakah hukum bagi perniagaan 'downline' seperti yang terdapat di internet contohnya yang terdapat dalam laman web facebook?

ezraleina boutique (Laila Qalesya) said...

assalamualaikum ustaz..
saya ingin bertanyakan soal keuntungan yang boleh diambil berdasarkan islam..
saya sertakan situasi ye..

"ali membeli barang terus dari kilang dan mendapat harga RM10, kemudian untuk harga pasaran, Ali menjual dengan harga RM30.. manakala untuk pemborong/agen, Ali menjual RM20.."

dalam situasi di atas, adakah harga pasaran yang dijual dikira riba?