Jumaat, 29 Ogos 2008

SIAPA WALI?

Soalan; soalan saya masalah aqidah. Saya dapat tahu dari kawan baik saya, bahawa di Terengganu ada seorang wali. Apakah ustaz boleh senaraikan nama-nama wali yang terkenal di Malaysia. Saya teramat ragu dengan penjelasan kawan saye tersebut.dan saye pun sangat takut kalau kalau-kalau kawan saye itu berkata benar dan saye tak mempercayainya. Macan ni ustaz; menurut keterangan kawan saye wali tersebut memang berilmu yang sangat tinggi,dan mempunyai kelebihan ( perkara luar biasa ). Tapi yang buat saya tak paham; apakah seorang wali dengan sengaja boleh menunjukkan kelebihannya dikhalayak ramai, dengan alasan agar manusia yakin yang ia adalah seorang wali, sebab dia kata; di zaman sekarang orang susah nak terima kebenaran, sbb tu dia tunjukkan berbagai kebolehannya, seperti menunjukkan aib atau kesalahan orang di khalayak ramai ( pandai membaca hati seseorang ) atau pun dia panggil angin supaya angin dekat dengan wali tersebut agar dia sentiasa tak kepanasan. Mohon sangat penjelasan...terima kasih...

Jawapan;

Wali ada dua; wali Allah dan wali Syaitan. Asas untuk mengenali wali Allah bukan terletak pada kebolehan luar biasa yang mampu ia tunjukkan kepada orang lain, tetapi pada keteguhan imannya kepada Allah, pegangannya dengan Syari’at dan pada perjuangannya (yakni perjuangannya untuk Allah dan agama Allah, bukan untuk menonjolkan kehebatan diri). Perhatikan firman Allah tentang wali-walinya (yang bermaksud);

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar”. (Yunus; ayat 62-64).

Perhatikan di dalam ayat di atas dua ciri Wali Allah yang disebut sendiri oleh Allah; (1) Iman, (2) Takwa. Berkata Imam Ibnu Kathir –mengulas ayat di atas-; “Setiap orang yang bertakwa kepada Allah, ia adalah wali Allah”. Ibnu Mas’ud r.a. berkata; “Wali-wali Allah ialah orang-orang yang apabila dilihat mereka akan mengingatkan (orang yang melihat mereka) kepada Allah”. (Lihat; tafsir Ibnu Kathir; surah Yunus, ayat 62-64).

Memang wali-wali Allah diberi karamah, tetapi karamah mesti difahamai apa makna sebenarnya dan kepada siapa ia dikurniakan Allah. Ramai wali-wali palsu mendakwa mereka ada karamah, walhal sebenarnya bukan karamah tetapi sihir, istidraj, atau ihanah. Jika semata-mata benda pelik atau luar biasa, bukan karamah sahaja yang luar biasa, tetapi sihir, istidraj dan ihanah juga luar biasa.[1] Menurut ulamak; Karamah ialah perkara luar biasa yang dizahirkan Allah untuk orang-orang soleh yang menjadi pengikut RasulNya, yang beriltizam dengan hukum-hakam Syari’at Allah tanpa sebarang kekeliruan dan percanggahan dengannya. Contoh Karamah yang ada di dalam al-Quran ialah;
1. Karamah Allah kepada Ashabil-Kahfi
2. Karamah Allah kepada Maryam (Ibu Nabi Isa a.s.).
3. Karamah Allah untuk Ashif (seorang soleh pengikut Nabi Sulaiman a.s. yang dapat memindahkan singgahsana Balkis dalam sekelip mata, iaitu lebih pantas dari kemampuan Ifrit. Lihat; surah an-Naml; ayat 38-40).

Menurut Syeikh Abdurrahman Habannakah dalam kitab ‘Aqidahnya; “Jika cerita/berita karamah disandarkan kepada satu peribadi yang jelas percanggahannya dengan Syarak, memejamkan mata apabila berdepan dengan maksiat dan munkar dan redha terhadap perbuatan yang meruntuhkan hukum-hakam Allah, maka ia bukan karamah pada makna sebenarnya tetapi yang nyatanya ia adalah satu kesesatan dari kesesatan-kesesatan Syaitan” (al-‘Aqidah al-Islamiyyah, Abdurrahman Habannakah, hlm. 349).

Lebih tegas lagi, Imam Ibnu Taimiyyah berkata; “Jika seseorang itu melakukan zikrullah siang dan malam, di samping menjalani hidup secara zuhud dan sentiasa bersungguh-sungguh beribadah padahal (dalam keadaan begitu) orang itu tidak mahu mengikuti ajaran al-Quran yang diturunkan oleh Allah, maka orang tersebut ialah wali Syaitan, sekalipun ia boleh terbang di udara dan berjalan di atas air. Kerana sesungguhnya Syaitanlah yang membawanya terbang di udara” (al-Furqan, Ibnu Taimiyyah, hlm. 12).

Pengalaman saya membaca biodata-biaodata para ulamak termasuk tokoh-tokoh sufi, tidak pernah saya berjumpa ada ulamak atau ahli sufi yang mencanang di depan orang ramai; aku adalah wali Allah. Begitu juga, tidak ada yang menunjuk-nunjukkan kehebatan mereka di depan orang lain. Yang menyebut dia adalah wali Allah ialah ulamak-ulamak sezaman dengannya atau orang ramai yang mengenalinya; dari keperibadiannya, perwatakannya, perjuangannya, jasanya kepada Islam dan sebagainya. Jika berlaku karamah, bukan dengan kehendak dirinya, tetapi kehendak Allah yang ingin memuliakannya di hadapan orang ramai kerana kesolehannya dan perjuangannya. Alangkah bezanya Auliya’ Allah (wali-wali Allah) dari Auliya’ Syaitan yang suka mengangkat diri dan menunjuk-nunjuk kehebatan diri sendiri, tetapi perjuangan untuk Allah tidak setara mana dan masa depan diri juga belum tahu (sama akan ke syurga atau ke neraka). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang tawadhuk (merendah diri) kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya” (HR Abu Nu’aim dari Abu Hurairah r.a.).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Al-‘Aqidah al-Islamiyyah, Syeikh Abdurrahman Habannakah.
3. al-Furqan Baina Auliyaillah Wa Auliyaish-Syaitan, Imam Ibnu Taimiyyah.
4. Intisari Iman dan Aqidah Islam, Us. Ahmad Adnan Fadzil.

Nota Kaki;

[1] Istidraj ialah suatu perkara luar biasa yang diberikan kepada orang fasik untuk menipunya. Ihanah pula ialah perkara luar biasa yang bertujuan untuk menghina seperti yang berlaku kepada Musailamah al-Kazzab (yang mengaku Nabi) di mana ia mendakwa dapat menyembuhkan penyakit buta, lalu dibawa kepadanya seorang yang buta sebelah matanya. Musailamah meludah ke mata orang itu (yakni ke sebelah yang buta), namun apa yang jadi ialah; bukan mata yang buta menjadi celik tetapi yang celik turut menjadi buta.

7 ulasan:

Panglima Perang Cyber berkata...

Wali sebenar tidak mengangkat atau mendakwa diri.

Cuma ada kaedah disebut, hanya wali kenal wali.

kita tak kenal cuma boleh tengok. Dgn melihat ilmu, basirah, izin dan sikap rahmat seluruh alam spt datuk kita Nabi Muhammad s.a.w.

mcm kisah tok kenali kutip ulat di kakinya. atau Sidi Ahmad Rifaie yg bg salam kat lembu.

sbb dia mewarisi khususiyyat Rasul iaitu bercakap dgn binatang.

siapa pewaris dia pasti ada warisan dari Nabi Junjungan.

sharil razali berkata...

assalam..di setiap kawasan tertentu akan ada wali-wali yang allah tugaskan untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu,,bukan saja di terengganu.Tentang karamah para wali kamu kena memandangnya dalam skop yang LUAS supaya sampai kepada hujung jatuh yang sebenar..KELIHATANYA KAMU MERASA HERAN DAN TAKJUB tentang karamah wali tersebut,,jadi jika di pandang di dalam satu sudut kamu masih jauh dengan allah,,mengapa??baik,,jika kamu lihat dan renung akan kehebatan dan kekuasaan allah ke atas makhluknya,,bukanlah perkara yang sukar untuk allah s.w.t menjadikan perkara tersebut...betul?jadi teliti,renung,,supaya sampai kepada hujung jatuh ilmu yang sebenar.tq.khalel

Tanpa Nama berkata...

wali allah adalh wali yang dipilih oleh allah.bukan dari apa yang kita cuba pahamkan .apabila dia wali disisi allah ,dia tetap wali disisiallh.walaupun dia hanya seorang pengemis di tepi jalan,dihina.pemahaman kita tetap terhad .penilaian kita cuma penilaian seorang hamba disisi allah berbanding wali disisi allah.

Tanpa Nama berkata...

maksud saya jawapan sebenar soalan ini adalah Wallahu a’lam.

Tanpa Nama berkata...

walaubagaimanapun saya setuju seorang wali itu tidak akan beritahu siapa dirinya yang sebenarnya

Tanpa Nama berkata...

encik nak tahu kenapa wali itu tidak boleh beritahu orang lain siapa dirinya.kerana ia adalah rahsia antara dirinya dan allah yang menyayanginya.assalamualaikum

Tanpa Nama berkata...

allahuakbar sekali lagi .minta maaf, encik seorang ustaz.saya baru terbaca profile.minta maaf ustaz...baiklah saya dah nak kena gerak ni.ikutlah kemana kaki ini melangkah.assalamualaikum ustaz.

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...