Wednesday, August 20, 2008

SYARAT PENERIMAAN DALAM HIBAH

Soalan; Saya telah difahamkan bahawa pemberian secara hibah hanya sah jika pemberi hibah memaklumkan berkenaan hibah tersebut kepada si penerima dan penerima tersebut telah menyatakan persetujuannya untuk menerima hibah tersebut. Ertinya, hibah tidak boleh dirahsiakan daripada si penerimanya. Benarkah begitu ustaz?

Jawapan;

Hibah dari segi Syara’ bermaksud; memberi milik sesuatu kepada orang lain tanpa melibatkan tukaran dan pemberian milik itu dilakukan semasa hidup. Jika ia dilakukan selepas mati, maka ia dinamakan wasiat, bukan hibah.

Menurut jumhur ulamak, proses hibah tidak sempurna melainkan dengan memenuhi tiga perkara;
1. Ijab (penawaran/pelawaan dari pemberi hibah)
2. Qabul (persetujuan dari penerima hibah)
3. Qabdh (القبض) (pegangan/pengambilan oleh penerima hibah)

Jadi, hibah menurut jumhur ulamak memerlukan akad iaitu ijab dan qabul, berbeza dengan sedekah (yang tidak memerlukan ijab dan qabul). Hibah tidak sah kecuali dengan pelawaan dari orang yang memberi dan dengan penerimaan/persetujuan dari orang yang diberi kepadanya hibah (yakni ia menyatakan kesudian menerimanya). Dan hibah itu hanya menjadi milik apabila ia telah diambil/dipegang (القبض) oleh si penerimanya dengan izin dari pemberi.[1] Jadi, hibah bukan menjadi milik dengan semata-mata akad, tetapi dengan pengambilan (القبض).[2] Sebelum berlakunya pengambilan, si pemberi hibah berpeluang lagi menarik kembali hibahnya. Namun jika barang hibah telah diambil/dipegang oleh si penerimanya, maka tidak harus lagi dibatalkan oleh pemberi kecuali jika hibah itu kepada anak.[3]

Dalil pandangan jumhur itu ialah hadis dari Ummi Kalthum binti Abi Salamah r.a. menceritakan; tatkala Rasulullah mengahwini Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya; “Aku sesungguhnya telah menghadiahkan Najasyi pakaian dan beberapa uqiyah kasturi. Aku tidak mendapati Najasyi melainkan telah mati dan aku tidak mendapati hadiahku melainkan akan dipulangkan kepadaku. Jika ia benar dipulangkan maka ia akan ku berikan kepadamu”. Berkata Ummu Kalthum; “Benar bagai dikata Rasulullah. Telah dikembalikan kepada baginda hadiahnya itu, lalu baginda memberikan kepada setiap isterinya satu uqiyah kasturi dan diberinya kepada Ummu Salamah kasturi yang selebihnya berserta pakaian” (HR Imam Ahmad)

Hadis di atas menunjukkan bahawa suatu hibah atau hadiah tidak dimiliki dengan semata-mata pemberian (الإهداء), tetapi hendaklah disusuli dengan penerimaan (قبول) oleh orang yang diberi hadiah kepadanya. Jika penerimaan tidak disyaratkan sudah tentunya Rasulullah tidak akan mengambil kembali hadiah yang telah diberinya kepada Najasyi itu kerana ia menjadi milik Najasyi atau ahli-ahli warisnya.

Namun sebahagian ulamak dalam mazhab Hanafi menyanggahi pendapat jumhur di atas di mana menurut mereka; hibah hanya mempunyai satu syarat sahaja iaitu pelawaan/pemberian dari pemberi hibah. Tidak perlu penerimaan atau persetujuan dari penerima hibah dan begitu juga, tidak disyaratkan ia mengambil atau memegangnya untuk menjadikan hibah itu terlaksana dan di ambil kira.

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, 2/541-542,
2. Kifayatul-Akhyar, 308-309.
3. Fiqh al-Mu’amalat al-Maliyah al-Muqaran, Dr. Alauddin az-Za’tari, hlm. 409-415.
4. Al-Mughni, Ibnu Qudamah, 5/389.

Nota Kaki;

[1] Syarat pengambilan ialah mesti dengan izin pemberi hibah. Jika penerima hibah mengambilnya tanpa keizinan pemberi hibah, wajib ia memulangkannya. Sekiranya sebelum sempat memberi keizinan, pemberi hibah meninggal, maka hak keizinan itu kembali kepada waris. Warisnya boleh memilih sama ingin meneruskan hibah atau tidak dengan memberi keizinan kepada penerima hibah mengambilnya atau menyekatnya. Jadi akad hibah tidak terfasakh (terbatal) dengan kematian, akan tetapi terserah kepada waris untuk meneruskannya atau tidak. (Kifayatul-Akhyar, hlm. 309, al-Mughni, 5/389)
[2] Aqad hibah ialah aqad irfaq (yakni pemberian atas ihsan/simpati) yang menghendaki adanya penerimaan dari orang yang diberi (القبول), maka ia perlu pula kepada pengambilannya (القبض). Kedudukannya sama seperti aqad hutang (القرض). Malah jika seseorang menghantar suatu hadiah, kemudian ia menarik kembali hadiahnya (yakni membatalnya) sebelum hadiah itu sampai (kepada orang yang bakal menerimanya) atau ia mati sebelum hadiah itu sampai, maka hadiah itu tidak menjadi miliki orang yang akan diberi kepadanya hadiah itu. (Kifayatul-Akhyar, hlm. 309).
[3] Mughni al-Muhtaj, 2/541-542, Kifayatul-Akhyar, 308.

1 comments:

 

Copyright © LAMAN SOAL JAWAB AGAMA Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger