Sunday, 7 September 2008

JARAK UNTUK HARUS SOLAT QASAR DAN JAMAK

Soalan; ustaz, saya ingin bertanya; setiap bulan saya terpaksa ke Bandar M, bandar yg berhampiran yg jaraknya kira-kira 60 - 70 km sehala utk membuat pembayaran bil, bank dan sebagainya. Dan perjalanan pergi dan blk memakan masa lebih kurang 120 km ke atas. Soalannya ustaz, bolehkah saya melakukan solat jamak dan qasar?

Jawapan;

Masalah jarak perjalanan yang mengharuskan jamak dan qasar (begitu juga berbuka puasa), para ulamak berbeza pandangan;

a) Jumhur ulamak –termasuk Imam-Imam mazhab empat- telah menetapkan jarak tertentu bagi perjalanan (musafir) yang membolehkan seseorang menghimpun dan memendekkan solat. Menurut mazhab Malik, Syafi’ie dan Ahmad; jaraknya hendaklah tidak kurang dari dua marhalah, iaitu kira-kira 85-90KM mengikut ukuran hari ini. Jarak yang dimaksudkan ialah sehala, bukan dua hala. Menurut Imam Abu Hanifah pula; perjalanan yang mengharuskan solat jamak dan qasar ialah jarak yang ditempoh selama tiga hari tiga malam (mengikut perjalanan orang Arab zaman dahulu), iaitu tiga marhalah atau lebih kurang 86 KM mengikut ukuran hari ini. Jadi berdasarkan pandangan jumhur ini, tidak harus saudara/saudari melakukan solat jamak dan qasar kerana jarak perjalanan saudara/saudari –secara sehala- tidak mencapai jarak yang ditetapkan (iaitu dua atau tiga marhalah).

b) Segolongan ulamak tidak menetapkan jarak tertentu bagi musafir yang mengharuskan solat jamak dan qasar. Asalkan seseorang itu menempuh satu jarak yang dapat dinamakan musafir (perjalanan) pada bahasa manusia di mana ia keluar dari daerah atau negerinya menuju ke suatu tempat dengan menempuh satu perjalanan, maka haruslah ia mengqasar dan menjamakkan solatnya. Di antara ulamak yang memberi pandangan sebegini ialah Imam Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim dan asy-Syaukani. Berkata Imam as-Syaukani; “Sesiapa keluar dari negeri/daerahnya menuju ke satu tempat di mana ia dianggap dalam perjalanannya ke tempat tersebut sebagai musafir (yakni orang yang menempuh satu perjalanan), maka harus baginya menqasarkan solat sekalipun jaraknya kurang satu Barid”[1] (ad-Darari al-Madhiyyah, hlm. 167). Berdasarkan pandangan ini, haruslah bagi saudara/saudari melakukan solat jamak dan qasar dengan jarak perjalanan yang saudara/saudari sebutkan itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/265.
2. As-Solah ‘Ala Al-Mazahib al-Arba’ah, Abdul-Qadier ar-Rahbawi, hlm. 228.
3. al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Quran al-Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 144.
4. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, hlm. 167.
5. Fiqh as-Shiyam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 46.

Nota kaki;

[1] Iaitu lebih kurang 22 KM (Lihat; Mu’jam Lughatil-Fiqh, Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ah Ji, hlm. 87).

6 ulasan:

ORE KAMPUNG said...

salam, saya ada terbaca (lupa buku apa) solat jamak tidak memerlukan jarak tertentu (ada hadis, nabi menjamakkan solat ketika hujan) hanya solat qosar yang memerlukan jarak 2 marhalah. minta penjelasan tuan.
Satu lagi minta tuan jelaskan berapa hari seseorang musafir boleh jamak/qosar solatnya ?

kulatlapok said...

salam Ustaz:

Saya ke Kedah selama 3 hari dan bertolak ke dari Melaka ke Kedah sebelah pagi hari khamis dan telah berniat untuk sembahyang jamak dan qasar saya teruskan sembahyang sehingga waktu magrib/isyak. Pada pagi esoknya (jumaat)pula saya mengerjakan sembahyang Jumaat. Persoalannya boleh kah saya jamak kan waktu asar selepas sahaja saya solat jumaat??

Ummi Munaliza said...

Assalamualaikum ustaz,

saya agak keliru dgn hukum jamak qasar, ini senario saya..

1) saya dan kawan2 telah posting seminggu di johor bahru (JB) dari KL. perjalanan dah confirm 2 marhalah. since saya org jb, sampai sahaja di jb, saya menunaikan solat seperti biasa. tetapi kawan2 saya yg dari KL semuanya jamak qasar selama 3 hari berturut2.walaupun kami sudah ahsampai di jb. boleh ke mereka solat jamak qasar, sedangkan masa di Johor Bahru maknanya bukan lagi masih dalam perjalanan. dan mereka da tahu akan tinggal situ lebih 3 hari.

2) sekiranya saya balik ke rumah dr kl ke jb, perjalanan mengambil masa 4 jam. bus saya non stop.saya bertolak pukul 6.30pm.so, confirm bila sampai jb maghrib da lepas. persoalannya, bole ke saya jamak maghrib dan isyak sesampai saya di rumah??? sbb saya sudah bukan lagi dlm perjalanan. atau option lain, saya qada' maghrib dan solat isyak normal.

terima kasih..harap dpt leraikan kekusutan memandangkan saya sering travel dan mempratikkan solat jamak qasar ni.

Sting - not the english man in New York! said...

bagaimana pula sekiranya telah tiba ke negeri lain dan bolehkah menggasar dan jamak solat semasa di negeri tersebut dan selama berapa hari?.

panglima_khalid said...

Assalamualaikum ustaz, setahu saya jika hendak diqasarkan solat dalam mazhab syafie, perlu musafir yang melepasi 2 marhalah, dan perlu keluar dari pagar sempadan negeri. 2 syarat tersebut adalah wajib disisi mazhab syafie yang muktamad. ustaz boleh rujuk Hasyiah Baijuri dan Minhaj Tolibin an-nawawi.

dan jika kurang dari 2 marhalah sekalipun boleh sekiranya tujuannya adalah lebih dari 2 marhalah namun telah melepasi pagar sempadan negeri sepertimana nabi SAW yang menuju ke mekah tetapi mengqasarkan solatnya di tempat yang masih belum melepasi 2 marhalah di luar kota madinah.

Allahu a'lam..

Anonymous said...

Assalamu'alaikum.. ustaz, bagaimana ya, jika saya bermusafir dari A (Tmpt sy belajar) ke kampung. Perjalanan lbh kurang 2 jam setengah, kalu x salah hmpir 175km untuk sehala perjalanan. Ada kwn sy mngatakan bahawa, saya boleh mengqasar atau menjamak solat sy smsa berada dikmpg, kerana sy dikira masih dalam musafir. Misalnya sy bertolak dari A, pada hari jumaat,dan kembali semula ke A pd hari Ahad. Jadi spnjg tmpoh sy berada dikampung (tmpt tgl asl sy), sy boleh mengqasar @ menjamakkan solat?


Satu lagi ustaz.. tentang bilangan hari yang dibolehkan mengQasar dn menjamakkan solat.. sewaktu sekolah menengah dahulu, saya selalu mengikut program diluar, yg memakan masa lbh kurang seminggu. Pernah sekali, ustz kata, boleh jamak solat dlm seminggu. sbb banyak pndpt tntg jmlh hari yg dibolehkan menqasar dn menjamak solat ini... Bolehkah ustza terangkan dengan lebih terperinci tntg jumlah hari yg dibolehkan mengqasar dan menjamakkan solat ini?