Tuesday, September 9, 2008

MENGUBATI WASWAS

Soalan; mohon ustaz menyelesaikan masalah saya. Saya mengalami was-was yang terlampau dari mandi junub, berwudhuk dan akidah. Ianya silih berganti namun masalah mandi junub dan akidah semakin menjadi-jadi. Masalah mandi junub ialah terlalu lama didalam bilik air kerana terlalu banyak mencuci. Ada masa saya mengambil 1 - 2 jam didalam bilik air. Hal akidah dan 'dailog-monologue' terus berlaku didalam otak tetapi akan hilang sekiranya saya sibuk atau asyik dengan pekerjaan. Perkara 'dailog-monologue' ini terus berlaku walau pun saya ketika berdepan dengan orang lain. Ianya selalu bersekitar pada soal akidah yang contohnya 'Betul ke akidah kau ini?' Macamana dapau kau pastikan? Ada hujah ke? Ada nas ke? Kau ambil mudah saja dan buat tanpa kepastian?' Hal ini terus berlarutan dan kadang-kadang sampai 2 -3 jam. Saya sebenarnya seorang yang berpelajaran tinggi dan terlalu mementingkan soal maruah dan malu, jadi saya tidak mahu bertanya atau berdepan secara physical. Namun, saya sering menghadiri kuliah agama dan pengajian tetapi hal itu selesai buat seketika dan akan berlaku kembali ketika saya bersendirian. Inilah masalah utama kerana apabila saya bersendirian maka 'dailog-monolog' akan timbul kembali dan terus bersekitar dalam soal akidah, ketuhanan, Islam, Iman etc. Perkara begini akhirnya boleh membuatkan saya jadi gila!
Saya memohon ustaz memberi panduan atau ayat-ayat yang patut saya amalkan.

Jawapan;

Hendaklah saudara menumpukan kepada Syari’at, Insya Allah tidak akan timbul was-was. Was-was akan timbul jika kita mengukur sesuatu berdasarkan perasaan kita sendiri. Perasaan tidak tetap, selalu berubah. Tetapi Syariat adalah tetap. Beramal dengan Syari’at kita akan berpuas hati dan tidak akan timbul keraguan di dalam hati. Firman Allah (bermaksud); “Kebenaran itu adalah yang datang dari Tuhanmu, oleh itu jangan sekali-kali kamu tergolong di kalangan orang-orang yang ragu” (al-Baqarah, ayat 147).

Dalam aqidah, pelajarilah aqidah yang soheh dari al-Quran dan as-Sunnah. Apabila sudah didapati aqidah yang soheh, tetapkan pendirian di atasnya. Jangan berpaling lagi kepada yang lain termasuk suara-suara hati atau lintasan perasaan. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. pernah berkata; “Sesungguhnya Syaitan akan datang kepada salah seorang dari kamu, lalu berkata kepadanya; ‘Siapa yang menjadikan langit?’. Ia menjawab; “Allah”. Lalu ia (yakni Syaitan) akan bertanya lagi; “Siapa yang menjadikan bumi?’. Ia menjawab; “Allah”. Akhirnya Syaitan akan bertanya; “Siapa pula yang menjadikan Allah”. Kata Nabi; jika sesiapa dari kamu datang kepadanya soalan sedemikian, hendaklah ia berkata (pada dirinya); ‘Aku beriman kepada Allah dan RasulNya” (HR Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Amru r.a.. Kata Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 2029).

Dalam amalan/ibadah pula, lakukanlah mengikut yang disuruh Allah dan jangan layani perasaan was-was. Agama bukan perasaan, agama adalah al-Quran dan as-Sunnah. Jika kita telah melakukan ibadah dengan menepati rukun-rukunnya sebagaimana dituntut al-Quran dan as-Sunnah, sah lah ibadah kita dan tidak perlu kita was-was lagi. Contohnya; kita diperintahkan membasuh tangan hingga siku semasa mengambil wudhuk dan disunatkan mengulanginya tiga kali, maka kita lakukan mengikut yang diperintah itu, iaitu membasuhnya dengan meratakan air ke seluruh kawasan antara tangan dan siku itu dan mengulanginya tiga kali. Apabila itu telah kita lakukan, bertawakkallah kepada Allah dan tidak perlu ada waswas lagi dengan melayani perasaan itu dan ini. Begitulah juga sikap yang perlu kita ambil dalam ibadah kita, malah dalam segenap urusan kita yang lain, iaitu; amalkan mengikut yang disuruh Syari’at dan bertawakkal kepada Allah.

Kesimpulannya, untuk mengubati penyakit waswas itu, kita hendaklah beramal mengikut ilmu, bukan mengikut perasaan atau agak-agakan sahaja. Pada masa yang sama, kita perlu sentiasa memohon perlindungan Allah dari Syaitan kerana Syaitan itulah yang menjadi punca waswas dalam diri manusia. Tidak ada yang dapat mengusir Syaitan dari kita melainkan Allah sahaja. Firman Allah (bermaksud); “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mendengar, lagi maha mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)” (al-A’raf; 200-201).

Wallahu a’lam.
Post a Comment