Langkau ke kandungan utama

PENGERTIAN TADARUS AL-QURAN

Soalan; Ustaz, ada pendapat megatakan jika kita Tadarrus Al-Quran secara Berjamaah/Berkumpulan dgn kaedah "Seorang Baca Sebahagian, Semua Dapat Pahala". Contohnya: Ahli Jemaah ada 30 org. Setiap ahli baca 1 Juzuk. Maka setiap Ahli Jemaah dapat Pahala Spt. Membaca Keseluruhan Al-Quran. Pada waktu yg sama menjimatkan masa dan ada kemungkinan boleh khatam Al-Quran setiap hari. Harap Ustaz dapat menjelaskan perihal ini.

Jawapan;

Membaca al-Quran berkumpulan secara tadarus (yakni saling membaca dan menyemak bacaan al-Quran) adalah sabit dari Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka, maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Riwayat Abu Daud)[1]

Menurut ulamak; maksud tadarus ialah saling mempelajari al-Quran iaitu seorang membaca dan yang lain mendengar dan memerhati bacaannya. Setelah ia selesai membaca, di sambung pula oleh orang lain. Berkata Imam al-Minawi; maksud “membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka” ialah mereka saling mengikuti bacaan sesama mereka, kerap mempelajarinya dan berusaha menjaga/menghafalnya sesama mereka kerana takut lupa” (Faidhul-Qadier, hadis no. 7776).

Dari sudut pahala, apabila kita membaca dan mempelajari al-Quran secara bersama –yakni seorang membaca dan yang lain mendengar-, semua yang terlibat akan mendapat pahala. Yang membaca akan mendapat pahala tilawah sekalipun bacaannya tidak lancar. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya (bermaksud); “Orang yang mahir membaca al-Quran dia akan bersama dengan malaikat safarah (pembawa wahyu) yang mulia dan taat/berbuat kebajikan. Manakala seorang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (yakni tidak lancar) di mana ia menghadapi kesukaran dan kepayahan ketika membacanya, maka dia akan memperolehi dua ganjaran” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.).[2]

Yang mendengar pula akan mendapat pahala istima’ (mendengar tilawah/bacaan orang lain) dan pahala menegur (jika sahabat yang membaca tersalah). Firman Allah (bermaksud); “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah dengan tenang, agar kamu mendapat rahmat” (Surah al-A’raf, ayat 204). Sabda Nabi s.a.w.; (bermaksud); “Sesiapa yang mendengar dengan teliti satu ayat dari kitab Allah (al-Quran), ditulis baginya dengan kebaikan yang berganda-ganda dan sesiapa yang membacanya maka ia akan menjadi cahaya untuknya di hari kiamat”. (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)[3]

Adapun kaedah yang saudara sebutkan di atas iaitu setiap orang membaca bahagiannya tanpa didengar dan diperhati orang lain, maka itu –pada pandangan saya- tidaklah dapat dinamakan tadarus kerana tadarus membabitkan dua pihak iaitu pihak yang membaca dan pihak yang mendengar serta menyemak. Setiap orang yang membaca dalam kumpulan itu -Insya Allah- ia akan mendapat pahala dari tilawahnya. Namun adakah ia turut akan mendapat pahala dari bacaan kawan-kawannya yang lain (tanpa ia mendengar dan menyemak bacaan mereka), maka itu memerlukan penegasan dari nas yang lain. Jika ada nas, dapatlah kita mengiyakannya. Namun jika tanpa nas, tidak ada hak untuk kita mereka-reka pahala tanpa sebarang kenyataan dari Allah dan RasulNya. Pada pandangan saya, biarlah kita mengekalkan kaedah tadarus yang disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadis di atas. Sekalipun kita tidak berkesempatan mengkhatam al-Quran –kerana mungkin kaedah tadarus itu memakan masa-, namun melalui kaedah itu kita dapat membaca dengan teliti, kesalahan kita ditegur dan kita juga akan mendapat segala kelebihan yang dijanjikan Nabi s.a.w. dalam hadis tersebut.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Raudhatul-Muttaqien (Syarah Riyadhus-Salihin), Syeikh Abdul-Qadier Irfan, 1/293.
2. Faidhul-Qadier (Syarah al-Jami’ as-Saghier), Imam al-Minawi, hadis no. 7776.

Nota Kaki;

[1] Al-Jami’ As-Saghir, Imam as-Suyuti, hadis no. 7776 (Soheh).
[2] Al-Jami’ as-Soghir, Imam as-Suyuti, hadis no. 9165 (Soheh)
[3] Al-Jami’ as-Saghir, Imam Suyuti, hadis no. 8425 (Dhaif).

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tq...berguna utk saya..
drh berkata…
Mengejar khatam mungkin bukan matlamat tadarus yg baik. Menbaca, menperbaiki bacaan, menegur adalah baik tetapi memahami apa yg dibaca adalah terlebih baik. Kalam Allah tentunya utk difahami kemudian diamalkan. Element memahami dan mengamalkan ni agak kurang dihayati masyarakat kita. Saya kira biar lambat asal dapat. AlQuran adalah kata kata Allah tentunya kita ingin tahu/faham apa yg Allah katakan kpd kita.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk