Langkau ke kandungan utama

PERSOALAN WALI (2)

Soalan; salam ramadhan ustaz. Soalan saya menyambung semula tentang wali tu (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/siapa-wali.html), namanya __________, saya nak sangat belajar dengan _____ tu, tapi saya ada sedikit kerisauan. Saya belum pernah jumpa, cuma mendengar cerita sahaja melalui rakan, sekarang banyak orang yang belajar silat ________ dengan ____ tu, dan banyak juga yang di baiáh jadi murid untuk menyertai tarikat. Bila seseorang dirasuk jin, sebut je nama ______ tu, jin tersebut akan lari. Itu termasuk kelebihannya. Apa yang mesti saya buat ustaz? Di satu sisi saya nak sangat belajar dengan _____tu. Disatu sisi saya takut kalau tersilap. Tolong saya ustaz, beri penjelasan. Terima kasih.

Jawapan;

Menuntut ilmu hendak dengan niat yang bersih kerana Allah. Tujuan menuntut ilmu adalah untuk mengenali Allah, mengenali Agama, mengenali Sunnah Nabi dan mendapat petunjuk ke jalan yang benar. Jangan menuntut ilmu dengan niat untuk mendapat kehebatan itu dan ini, itu tidak ikhlas namanya dalam menuntut ilmu. Ulamak-ulamak dulu sanggup mengembara ratusan batu semata-mata untuk belajar satu hadis. Apa nilai satu hadis pada pandangan mata manusia? Memang manusia tidak rasa hebat. Tetapi itulah agama, itulah hidayah.

Saya nasihatkan saudara carilah guru yang alim, kuat berpegang dengan Syari'at, beramal, berjuang untuk agama dan diketahui latar-belakang pengajian agamanya (siapa gurunya atau di mana ia belajar) kerana itulah tradisi pengajian yang diwarisi dari Nabi s.a.w.. Rasulullah adalah guru kepada para sahabat. Para sahabat adalah guru kepada Tabi'in, Tabiin adalah guru kepada Tabi' Tabiin, begitulah susur-galurnya. Jangan nilai benar atau tidaknya seseorang dengan melihat kehebatan luar biasanya kerana Iblis dan Jin, ahli sihir dan ahli silap mata juga boleh menunjukkan kehebatan luar biasa. Orang yang jin takut kepadanya tidak semesti ia benar atau hebat dari sudut agama. Kemungkinan orang itu juga membela jin dan jin yang ada padanya lebih kuat dari jin yang masuk dalam tubuh orang sakit itu, maka timbullah ketakutan. Mungkin juga jin yang dibelanya banyak, maka perkara biasa seekor jin akan takut apabila berdepan dengan kumpulan ramai jin. Jadi, pelbagai andaian dapat kita buat dan andaian itu ada kemungkinan benar dan ada kemungkinan salah. Jalan selamat, jangan kita mengambil risiko yang tidak perlu. Biarkan dia dengan kehebatan peribadinya. Kalau kita tidak ada kehebatan itu pun kita akan hidup juga. Tetapi jika kita tersesat kerana tersalah pilih guru, itu adalah musibah besar bagi kita dunia dan akhirat.

Saya syorkan kepada saudara, carilah guru yang dapat mendidik saudara;
- Ilmu aqidah
- Ilmu Feqah
- Ilmu tentang hati
- Ilmu al-Quran
- Ilmu as-Sunnah
Di samping belajar (dan bekerja mencari rezki yang halal kerana itu juga wajib), saudara jaga solat berjamaah, banyakkan baca al-Quran, banyakkan solat sunat, banyakkan puasa sunat, rajin bersedekah (di samping zakat), amalkan zikir-zikir pagi dan petang, libatkan diri dalam perjuangan Islam (bersama-sama para ulamak dan orang soleh untuk menyebarkan Islam dan melaksanakan Syari'atnya). Ilmu dan amal, itulah kehebatan sebenar seorang muslim. Orang yang benar-benar hebat ialah orang yang hebat di sisi Allah. Ramai orang yang merasa diri hebat tetapi di sisi Allah ia sebenarnya rendah. Umpamanya Iblis, ia merasa dirinya hebat kerana bermacam kelebihan ada padanya, namun Allah berkata kepadanya; “Sesungguhnya engkau (Iblis) dari golongan yang hina/rendah” (Al-A’raf, ayat 13).

Wallahu a’lam.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Sekiranya berminat untuk belajar silat, saya syorkan Silat Cekak Malaysia. Setakat ni, tiada unsur syirik dan khurafat. Sekadar mandi limau sebagai adat selain ia mewangikan badan.

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...