Monday, February 16, 2009

MENGGANTUNG GAMBAR

Soalan :
assalamualaikum...
sy ada kemusykilan...apakah hukumnya menggantung gambar keluarga seperti gambar konvokesyen, gambar hari raya dan sebagainya..minta tolong jelaskan

Jawapan :

Jika gambar itu adalah gambar yang bersopan, menutup aurat dan tidak ada sebarang imej yang bertentangan dengan syarak, insya Allah harus dipamerkan. Namun hendaklah jelas niatnya; yakni bukan untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi sekadar untuk menzahirkan nikmat Allah atau anugerahNya, untuk memberi semangat kepada orang lain atau sebagainya dari niat-niat yang positif.

Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. hanya melarang gambar lukisan dan patung-patung kerana ia menandingi ciptaan Allah. Adapun gambar foto, ia tidaklah menandingi ciptaan Allah kerana ia bukan lukisan, akan tetapi rakaman; yakni merakam kejadian Allah yang asal di atas kertas, maka tidak timbul unsur menandingi kejadian Allah. Ada juga di kalangan ulamak tidak mengharuskan semua jenis gambar termasuk gambar foto kerana mereka menyamakannya dengan lukisan yang dilarang oleh Nabi. Pandangan kedua ini menjadi pegangan ulamak-ulamak Arab Saudi. Adapun pandangan pertama tadi, ia menjadi pegangan ulamak-ulamak Mesir termasuk Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan pandangan pertama inilah yang saya pilih.

Wallahu a'lam.
Post a Comment